Laman Webantu   KM2A1: 4757 File Size: 4.2 Kb *



BK: Tuduhan terhadap Ezam tak berasas - Puan Ishah
By BK

18/6/2001 11:04 am Mon

http://berita-keadilan.net/bmelayu/berita/ puanishah-isa17jun.htm

Ceramah PRM Kampung Baru Ampang

Tuduhan terhadap Ezam tak berasas - Puan Ishah

AMPANG: PRM yang berjuang menentang kezaliman, seperti penggunaan ISA telah mengundang ibu Ezam, Ishah Osman untuk menceritakan pengalaman beliau selama anaknya, Ezam (Ketua Pemuda Keadilan) ditangkap di bawah akta tersebut.

Ishah Osman berkata bahawa dalam tuduhan yang membawa anaknya ke Kem Tahanan di Kamunting itu tidak mempunyai asas. Apa yang memelikkannya lagi, tidak ada satu pun tuduhan yang berkaitan dengan penggunaan senjata bahaya seperti yang diheboh-hebohkan.

Dr Syed Husin Ali (Presiden PRM) berkata pihak berkuasa boleh mengambil tindakan mahkamah atas tuduhan awal yang mengatakan bahawa Ezam menggunakan senjata bahaya untuk merusuh atau dituduh mengadakan perhimpunan haram.

Oleh kerana proses tersebut rumit dan memakan masa, hanya ISA sahaja yang boleh dilakukan.

Pada tahun 1967 lagi, cara menuduh aktivis menggunakan senjata bagi menggulingkan kerajaan di bawah ISA iaitu seperti tuduhan terhadap ahli-ahli Persatuan Bahasa Cina, telah digunakan.

Dalam tahanan, pihak berkuasa akan menggunakan tekanan mental dan fizikal. Syed Husin mengambil contoh rakan tahanannya, Aladdin yang ditahan menjual makanan kepada komunis. Aladdin menafikan menjual kepada komunis sahaja tetapi kepada semua pihak, termasuk ahli Umno.

Beliau telah didera dengan cara mencucuh puntung rokok di belakang tubuhnya dan membakar alat kemaluan. Polis pada waktu itu cuma mahu Aladdin mengaku bahawa beliau menyimpan senjata. Tetapi, akhir sekali Aladdin mengalah dan menangis apabila kepalanya dihumban dalam longkang kotor hadapan anak dan isterinya. Terdapat banyak juga kes bunuh diri kerana tidak tahan dengan tekanan tersebut.

Menurut pengalamannya pula, Syed Husin berkata beliau telah ditempatkan dalam bilik gelap selama 6 bulan. "Saya diludah dan ditumbuk hanya kerana tidak mahu memberi kerjasama kepada pihak polis," kata Syed Husin. Polis juga telah mengada-adakan cerita bahawa isterinya kerana mengadakan hubungan dengan lelaki lain sehingga saya disuruh untuk menceraikan isteri saya.

Syed Husin juga diminta mengaku untuk menjadi orang tengah di antara komunis bawah tanah dengan Mahathir. Tetapi Syed Husin tidak mahu mengaku dan akhirnya tahanan beliau ditambah 2 tahun. Arahan tersebut datangnya dari Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie.




http://berita-keadilan.net/bmelayu/berita/ bahirahbangkok17jun.htm


Bahirah ke Bangkok

KUALA Lumpur: Kempen untuk memansuhkan ISA terus mendapat perhatian di luar negara apabila isteri Ezam Mohd Nor, Bahirah Tajul Aris dijemput memberi penerangan dalam beberapa program di Bangkok.

Beliau berlepas ke sana pada 11 Jun lalu. Beliau juga akan menerangkan perkembangan terkini mengenai keadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Bahirah mempunyai jadual yang ketat sepanjang dua hari di Bangkok. Pada pagi hari pertama beliau mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Thailand dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan.

Beliau kemudiannya ditemuramah oleh British Broadcasting Corporation (BBC), The Nation dan CNN pada sebelah petangnya. Pada malamnya, beliau berucap di dalam forum umum di Foreign Correspondence Club, Thailand. Kelab ini menghimpunkan wartawan-wartawan media luar negara yang berpangkalan di Bangkok.

Kerajaan Thailand juga menunjukkan minat yang mendalam terhadap perkembangan Anwar dan isu ISA ketika perbincangan Bahirah bersama pegawai-pegawai dari Kementerian Luar.

Program-program yang diselaraskan oleh Forum Asia ini menjadi medan untuk meningkatkan kesedaran antarabangsa dan serantau mengenai kezaliman ISA.