Laman Webantu   KM2A1: 4768 File Size: 9.6 Kb *



BK: Memoir Said Zahari: Memapar Kezaliman dan Mengetuk Hati Nurani
By Nenek Kebayan

19/6/2001 6:32 pm Tue

[Pergolakkan di Nanyang dan penerbitan buku Memoir Said Zahari sedang menyediakan sesuatu yang menanti. Cengkaman terhadap dunia kewartawanan itu perlu ditentang kerana itulah harga dan maruah diri. Penjajahan minda akan merosakkan bangsa untuk tempoh yang agak lama sehingga orang melayu kini terus me-layu jadinya walaupun kita telah dihadiahkan dengan pelbagai isu yang mahal-mahal belaka tetapi gagal dijulang sebaiknya.

Krisis ekonomi telah menelanjangkan tembelang kroni manja. Fitnah terhadap Anwar telah menyedarkan betapa akhbar sudahpun dipulas telinga. Dan kini tindakkan dua hakim yang arif lagi berani telah menunjukkan institusi kehakiman dan polis telah menjadi alat politik pihak yang menerajui kuasa. Kita tidak akan menang selagi tidak ada yang sanggup menempuh risiko dan berkorban. Tidak ada hadiah untuk diri sendiri melainkan satu kebebasan yang amat mahal untuk rakyat yang hidup tertekan. Itu sudah cukup untuk mengukir satu senyuman..... - Editor]


http://berita-keadilan.net/kolum/ kolumnis/nenek8jun.htm

Memoir Said Zahari: Memapar kezaliman dan mengetuk hati nurani

Pak Said adalah tokoh wartawan zamannya; memuncak sebagai Pengarang Utusan Melayu. Beliau seangkatan dengan Samad Ismail, Usman Awang, Keris Mas, Asraf, Salim Kajai - yang sinonim dengan dunia kewartawanan dan Sasterawan Melayu. Dan dalam dekad-dekad mendebar sebelum dan setelah kemerdekaan, beliau sempat bergaul dengan tokoh-tokoh utama Umno, dan turut berada dalam lengkongan pejuang-pejuang kebangsaan seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam dan Ishak Hj Muhammad.

Sebagai pengarang, beliau prihatin dengan perjuangan kebangsaan, bertekad mempertahankan prinsip kebebasan akhbar sebagai suara umat dan bukan alat tunggangan kabilah atau parti. Demikianlah dikira semangat sebahagian besar pengarang dan wartawan ketika itu, degil mempertahankan maruah dan kewibawaan akhbar.

Tunku Abdul Rahman Putra dan lain lain pemimpin UMNO mula membantah kerana mempertikai dasar dan liputan akhbar. Seperti juga Yusuf Ishak, beliau menyusul dengan memberi liputan utama, sekitar 70 peratus kepada UMNO dan kerajaan Perikatan; dan selebihnya kepada lain-lain parti dan pertubuhan Melayu.

Tunku murka dan Umno memutuskan untuk mengambil alih Utusan dan menyerahkannya supaya dikendali oleh Ibrahim Fikri. Maka berlaku lah mogok selama hampir 100 hari yang bersejarah. Pak Said diusirkan, dinyahkan buat selama-lamanya dari Persekutuan Tanah Melayu!

Di Singapura, beliau terus menjadi pengarah dan kemudiannya memimpin Parti Rakyat Singapura, sambil menjalin hubungan rapat dengan Parti Buruh dan Barisan Sosialis di bawah pimpinan Lim Chin Siong dan lain-lain seperti James Putucheary.

Lee Yuan Yew, pemimpin PAP, setelah gagal memujuk Pak Said bersekongkol dengannya, akhirnya menggunakan ISA memenjarakan Pak Said selama 17 tahun! Hanya setelah 6 tahun dalam tahanan beliau difitnah sebagai komunis tanpa sebarang bukti atau didakwa di mahkamah. Maka kian pudarlah kisah Pak Said, dibicara secara terbatas dalam lengkongan politik pembangkang Singapura.

Di Malaysia beliau dianggap orang asing, hinggakan Utusan turut mencelanya. Kedua-dua bersubahat menggunakan media yang dikongkong untuk meyakinkan rakyat mengenai bahaya komunis dan menggolongkan pengkritik dan tokoh progresif sebagai komunis belaka. Hinggakan pejuang kebangsaan dan pergerakan Islam meragui samada nasib tokoh-tokoh ini perlu mendapat pembelaan.

Demikian bahaya fitnah dan kongkongan media yang berjaya mengelirukan rakyat sekurang-kurangnya buat seketika. Hanya segelintir rakan-rakannya yang setia termasuk Dr Syed Husin Ali; juga Usman Awang, yang menyegarkan kisah perjuangan Pak Said dalam sajaknya yang hangat tetapi mengetuk hati nurani:

Atas nama "undang-undang",
Rakyat dirompak dan dicandui,
Sambil meneriakkan "demokrasi" ....
Sekali rakyat bersuara bertindak,
Tiada tangan menahan ombak ....
Salut untuk Said Zahari,
Salut untuk mereka yang berani!


Alhamdulillah, sekarang Pak Said bebas dan dapat pula kembali ke Malaysia. Beliau dapat menyaksikan perubahan besar persekitaran; lonjakan ekonomi dan gedung mega pencakar langit.

Malangnya, undang-undang zalim warisan penjajah yang usang tetap terpelihara sebagai senjata menekan rakyat; kongkongan Umno ke atas Utusan lebih ketat. Kita dapat bandingkan perbedaan-perbedaan akhbar di dua zaman.

Utusan tatkala bebas diterajui pengarang handalan dan wartawan wibawa, dikagumi ilmu dan bahasa mereka. Mereka lebih yakin dengan kebolehan diri dan mampu mengajak rakyat berfikir. Agenda mereka ialah memperkasa rakyat, menentang kezaliman dan imperialisme. Mereka tidak mahu digelar pengarang picisan, wartawan upahan berebut menerima bintang dan anugerah.

Dalam memoirnya, Pak Said menyebut bukan semata liputan terhadap gerakan Melayu lainnya yang tidak disenangi penguasa ketika itu. Liputan ucapan Aziz Ishak, Menteri Pertanian yang membela masyarakat desa dan usahanya membangunkan kilang baja urea memecah monopoli taukey yang menindas petani juga dianggap bercanggah dengan kepentingan Umno!

Justeru kerana kejayaan Umno menguasai Utusan, maka dilebarkan pengaruh untuk mengambilalih kumpulan New Straits Times. Rasional awalnya disenangi kerana perubahan milik tempatan dari milik asing. Malangnya, pemilikan tersebut berhasrat memperkukuh penguasaan dan kongkongan kapitalisme dan kronisme pemerintah terhadap media yang mirip dengan pendekatan penjajah sebelum ini.

Ini disusuli dengan MCA mengambil alih The Star dan China Press. Dan kini, pengalaman mogok Utusan dikenang semula dengan kontroversi pemilikan Nanyang Siang Pau.

Buku Pak Said tidak seluruhnya mencatat kisah gusar dan gundah. Beliau mengungkapkan "tanda-tanda perubahan" manakala menyaksikan keghairahan 580 wartawan mengemukakan memo menuntut kebebasan akhbar, dalam tahun 1999.

Sebenarnya dalam memo terakhir, jumlah wartawan yang menandatangani hampir 1000 orang. Penguasa masih mengenepikannya. Malahan secara angkuh, bekas pengarang Utusan yang agak perak sebagai jaguh politik baru mencemuh memo tersebut sebagai memenuhi agenda asing.

Kita dapat bayangkan betapa dangkalnya pemikiran pengarang tersebut. Maka tidak hairanlah jika mutu akhbar di bawah rejimnya begitu merosot. Pastinya Tenung & Tilik kali ini bukan sekadar kritikan buku Said Zahari, Meniti Lautan Gelora: Sebuah Memoir Politik, atau versi Inggerisnya: Dark Clouds at Dawn.

Buku tersebut mencatat pengalaman amat berharga dan diolah dengan menarik sekali. Pengantar buku oleh Usman Awang dan Jomo KS serta ulasan Rustam A Sani dalam media alternatif dapat menyelami hasrat pengarang.

Di sini, kita lebih cenderung mengajak kalangan muda menelaah buku, merenung sejenak, sehingga terketuk dhamir, suara hati; bagaimana mungkin di negara merdeka - Malaysia dan Singapura - seorang insan boleh dicampak bagaikan sampah, merengkok di penjara hampir dua dekad?

Apakah kezaliman menjolok tidak dapat membangkitkan kemarahan meluap, cemuhan jijik menolak kebiadapan penguasa? Apa maksudnya karamah insaniyah, keadilan dan kemanusiaan yang wajib ditegakkan dalam negara merdeka dan berdaulat?

Hampir empat dekad berlalu. Pengalaman Pak Said bagi kebanyakan rakyat mirip persoalan sejarah. Namun kita bersyukur kerana kisah dan padah yang menimpanya terungkai juga akhirnya. Ia harus dijadikan iktibar agar kezaliman tidak berulang; dan pendorong bagi pejuang.

Pak Said terpaksa membayar dengan harga sungguh mahal, terpisah dari keluarga, dirampas seluruh kekuatan zaman mudanya; dan hanya kembali ke gelanggang masyarakat setelah menjangkau umur 70 tahun. Ini bukan sejarah penindasan penjajah. Ia berlaku di bumi kita setelah merdeka! Kisah beliau mengetuk hati nurani; tetapi bukan untuk diratapi.

Senjata ganas, kuasa rakus, penafian hak dan kebebasan masih satu kenyataan. Ini bermakna sistem masih mencengkam dan penguasa ketiadaan conscience. Andaikata penguasa punyai dhamir, kezaliman tidak diredai; rasuah tidak didalangi; dan hak rakyat tidak dinodai.

Kita ulangi Salut buat Said Zahari: karyanya mempertahankan semangat dan daya juang yang kental. "Kerawang berkasi" tidak membuatnya gentar dan sesal dengan mesej kebebasan dan keadilan. Memoir adalah catatan pengalamannya dan pengajaran buat kita.

Beliau menukil dalam pendahuluannya: Inna ma`al `usri yusra: sesungguhnya dalam setiap kesukaran itu ada kesenangannya.

Naskhah buku tersebut dalam bahasa Melayu dan Inggeris dikirim pengarang dan editor kepada Sdr. Anwar Ibrahim di penjara. Beliau membelek sepuasnya: menyatakan rasa hormat dan kagum kepada Pak Said.

Katanya: "Experto Credite! Kita meyakini dan menimba pengalaman bapa yang telah mengharungi pahit getir perjuangan. Bak mutiara kata pujangga lama: bijak dan handal sekali orang yang memaafkan meskipun tidak melupakan."