Laman Webantu   KM2A1: 4775 File Size: 10.4 Kb *



PAU: UMNO, Mahathir, Daim dan Orang Melayu
By Tengku Mazlan

20/6/2001 10:31 pm Wed

[Umno bersidang lagi tetapi tanpa seorang bendahari. Alangkah peliknya hal ini di saat presidennya melaung anti politik wang dan korupsi. Makin pelik lagi kerana presidennya sendiri menerima 'lapuran' penyata di saat akhir menjelang perhimpunan agung parti. Lain orang yang menjaga, lain orang pula yang membentang. Sudah tentu mana-mana yang berlubang tidak akan berjawapan. Lagipun Daim tidak pun menemui Mahathir untuk memberi penjelasan. Dia cuma menyerahkan lapuran dan lari jauh meninggalkan negara sekarang. Sila amati perkara ini kerana Daim menjauhi semua orang - baik wartawan mahupun perwakilan. Nampak sangat semua mahu diperbodohkan dan wang seperti sudah dikerjakan. - Editor]


UMNO, Mahathir, Daim dan Orang Melayu.

Oleh: Tengku Mazlan

Kuala Lumpur semakin sesak kini. Kesesakan itu kerap tertumpu di persekitaran PWTC kerana di situ nanti majlis tepuk-tepuk akan bergema lagi. Secara teknikalnya itulah dia majlis persidangan UMNO yang pertama di alaf baru ini. Secara teknikalnya juga itulah persidangan yang kalau mengikut perlembagaan parti adalah satu perjumpaan yang akan dipenuhi pelbagai debaran, tandatanya dan yang akan berkesudahan dengan lebih banyak kekusutan dan kekalutan.

Media massa kepunyaan UMNO dan BN sudah pun menunjukkan segala persiapan mega untuk pelancaran persidangan itu. Maklumlah 2,000 perwakilan daripada seluruh negara termasuk para wakil daripada negara luar dan hampir 1,000 wartawan yang datang daripada segala ceruk dunia, katanya. Itulah dia persidangan tahunan parti utama negara ini yang dikatakan mengamalkan demokrasi. Cuma, wartawan Malaysiakini dan Harakah tidak akan diberi undangan kerana mereka tidak sama martabatnya dengan wartawan asing yang akan melaporkan persidangan itu ke negara mereka, seolah-olah orang luar yang akan datang memangkah kertas undi pada pilihanraya negara ini seterusnya.

Keseluruhan persidangan hanya tidak melebihi lima hari, tetapi persiapannya sudah bermula lebih daripada lima bulan yang lalu. Sejak itu pelbagai peristiwa sudah pun direncana bertahap-tahap dan berlapis-lapis kerana semua itu adalah peristiwa yang banyak maknanya. Apabila semuanya dianyam laksana pemandangan yang indah, jadilah segala peristiwa itu satu pelan induk yang cantik hasilnya menjadi tabir-tabir kelentongan yang menghiasi dinding PWTC itu dalam lakaran 'mosaic-photo' betapa hebatnya UMNO dibawa kepimpinan seorang diktator tua.

Kita tidak mahu mengulang-ulang segala peristiwa itu kerana tidak perlu. Tetapi kita mesti menyoal diri kita berapa lamakah lagi orang Melayu akan terus tertipu oleh segala kelentongan itu?

Peletakan Jawatan Daim

Semua orang geger dengan apa yang disebut peletakan jawatannya kerana banyak yang menyebut persaraannya itu adalah satu paksaan untuk menghukum Daim kerana memandai-mandai menguruskan ekonomi negara yang semakin teruk keadaannya. Namun, ada yang mengatakan, Daim mengundurkan diri kerana tidak tahan dengan segala kerenah si diktator tua itu lagi.

Apa jenis pemimpinkah si Daim itu yang selama ini dilaungkan sebagai seorang bijaksana yang tidak ada tolok bandingnya? Kadir Jasin dalam 'The Other Tots' (NST - Other Tots ms 9) ada menyebut pujian yang meninggi terhadap sumbangan bedebah yang diam ini. Kalau Daim benar-benar seorang bestari, kenapakah dia tidak tunggu sehingga berlangsungnya persidangan UMNO itu sebelum meletakkan semua jawatannya? Kenapakah dia melepaskan semua tugasnya tetapi tidak pula kerusi Parlimen Merbuk?

Kenapakah Perdana Menteri menerima peletakan semua jawatan yang penting-penting tanpa menyuruh Daim menimbangkannya semula dan menunggu sehingga selesai persidangan UMNO. Bukankah penyata akaun UMNO sudah lama diperamnya sejak 17 tahun yang lalu? Kenapakah Daim dikatakan masih mengemukakan buku-buku dan rekod kepada PM sedangkan dia sudah bersara? Apakah itu akaun peribadi yang mereka sama-sama kongsi? Kenapakah tidak ada seorang pemimpin UMNO yang berani menyoal 'kenapakah Daim dibenarkan meletakkan jawatannya' sebelum akaun parti dibentangkannya? Orang Melayu khasnya mahu tahu apa sebenarnya akaun itu dan berapa banyakkah hutang tertunggak UMNO kepada bank-bank selama ini yang dikatakan tidak pernah dilunaskannya sehinggakan Bank Bumiputra lingkup lebih tiga kali? Kalau Daim sudah bersara, kenapakah jawatannya dipegang oleh PM dan tidak oleh orang lain? Soalan-soalan ini menunjukkan betapa peletakan jawatan Daim itu direncana begitu rupa oleh kedua mereka untuk menipu dan membohongi orang Melayu khasnya dan seluruh masyarakat Malaysia secara amnya.

Pemimpin UMNO yang semakin biadap

Sejak lima bulan yang lalu kita nampak betapa ramai pemimpin UMNO yang semakin biadap kepada bangsanya. Cuba lihat apakah yang dimaksudkan oleh Rafidah dan Aziz Shamsuddin bila menyarankan orang Melayu yang tidak puas hati dengan kerajaan agar berhijrah ke negara lain. Apakah mereka ingat Malaysia ini negara datuk moyang mereka? Apakah mereka fikir orang Melayu di alaf baru ini semakin ramai semacam katak di bawah tempurung. Cuba Aziz Shamsuddin jawab dulu, apa jadinya dengan cek yang dibayar oleh syarikat minuman 'mineral water' yang bertulis nama arwah isterinya dan dicuri oleh seorang anggota PLUS ketika kemalangan keretanya dulu. Sampai bilakah perbicaraan itu mahu ditangguhkan? Cuba tanya Rafidah, kenapakah tarif minyak sawit yang dijual di India kena cukai sebanyak 300 persen sedangkan minyak soya Amerika hanya dikenakan 45 persen? Berapa bilionkah tuntutan kerajaan Thailand terhadap Malaysia kerana tidak membuka pasaran negara kepada kereta bikinan Thailand? Kenapakah rakyat Malaysia terpaksa menanggung beban harga kereta PROTON yang dijual lebih murah di luar negara?

Gelagat Rafidah dan Aziz Shamsuddin yang marah-marah kepada rakyat yang tidak sebulu dengan mereka adalah satu kelakuan biadap dan kalau mengikut istilah dulu-dulu boleh dianggap 'kurang ajar'. Mereka harus meminta maaf sebelum terlambat.

Sikap Rafidah dan Daim itu sudah direncana terlebih awal lagi sebagai satu amaran kepada perwakilan UMNO jangan suka memandai-mandai untuk mempersoalkan perjalanan kerajaan UMNO dan rejim Mahathir. Apabila amaran itu diulang-ulang di akhbar-akhbar secara terus terang ia membawa kiasan betapa Mahathir tidak akan memaafkan setiap perwakilan yang berani mengungkit keadaan ekonomi negara yang teruk ini.

Pasaran Saham Yang Sengaja Dipacu

Secara teknikalnya, semua pasaran saham global sedang menurun. Pengecualian hanya terdapat di BSKL, walaupun Daim sebagai menteri kewangan yang baru bersara dikatakan mempunyai kuasa ke atas lebih 50 persen kaunter saham-saham utama negara. Apabila dilihat dengan kenaikan indeks komposit sejak dua hari yang lalu dan dibandingkan dengan jumlah kaunter yang naik, kita tahu bahawa pemacuan untuk menaikkan indeks itu sengaja dilakukan agar indeks berada di lorong yang positif? Nisbah teknikal yang lain menunjukkan pelabur asing sudah lama pergi dan pelabur runcit sudah lama menyepi. Ini bererti Mahathir sebagai menteri kewangan yang terbaru sudah mengarahkan agar indeks komposit tetap positif sepanjang persidangan tepuk-tepuk itu. Siapakah yang empunya dana untuk tujuan itu kalau bukan segala tabung simpanan rakyat seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, LTAT dan dana amanah yang lain. Itu sebabnya saham Maybank, Arab-Malaysia, Tenaga dan Telekom akan naik-turun bersilih ganti kerana inilah kaunter yang mudah dikotak-katikkan untuk memacukan indeks pasaran.

Pengaruh Ekstrem dan Kuasa Asing

Demikianlah, segala persiapan kelentongan ini yang dirancang begitu lama untuk mempersiapkan minda perwakilan agar terus akur dengan arahan seorang diktator tua yang sialan. Untuk memperlekehkan PAS dan masyarakat Islam yang semakin bertaqwa dan meninggalkan UMNO, diulang-ulang segala cerita khayalan mengenai pembabitan kumpulan agama yang dikatakan tidak mementingkan dunia. Itu sebabnya kes Al Maunah sengaja dipanjangkan di mahkamah, boleh ditunda bila-bila suka untuk menyediakan bahan putaran minda mengikut suasana negara. Kemudian dibuat pula kisah baru kemunculan satu kumpulan militan yang merompak dan membunuh untuk memperkayakan kumpulan mereka sebagai rencana menjatuhkan kerajaan.

Untuk memutarkan minda ahli UMNO akan ketuanan Melayu yang mesti kekal dengan UMNO, dicetuskan pula kisah kumpulan yang mahu menggulingkan negara dengan penggunaan senjata. Ditangkap sepuluh pemimpin pembangkang dan disumbat enam orang antara mereka bawah ISA walaupun sebarang bukti adanya segala bom dan peledak roket itu masih tiada.

Demikianlah kisahnya betapa putar belit menipu, membohong orang Melayu akan berterusan selalu. Persidangan tepuk-tepuk tangan yang terkini itu akan menunjukkan segala maklumat diputar-belitkan sehingga ada ahli perwakilan yang akan pulang nanti melinangkan air mata kerana dipukau dan dipersona oleh laungan 'Hidup Melayu', 'Hidup Mahathir' yang bertalu-talu dan sengaja didengungkan oleh muslihat elektronik sepanjang persidangan itu.

Berapa ramaikah antara yang pulang itu nanti dengan suaranya yang sudah serak akan sedar betapa tandas Mahathir di Putrajaya (di mahligai airmata rakyat) itu adalah jauh lebih mahal daripada kebanyakan rumah kampung Melayu di seluruh negara?

Berapa ramaikah antara mereka yang sedar betapa wang khazanah orang Melayu yang sepatutnya tersimpan oleh Petronas sudah lama kehabisan kerana kering-kontang perbendaharaannya dibalun dan disamun oleh dua bedebah yang bernama Daim dan Mahathir itu sejak lama dulu?

Terlintaskah kepada semua perwakilan bahawa selagi Mahathir tidak ditumbangkan, negara ini akan terus dilaknati Allah dan orang Melayu khasnya akan terus merempat di negara kelahiran mereka?


Tengku Mazlan.