Laman Webantu   KM2A1: 4777 File Size: 16.1 Kb *



TAG SP 176: B5: Pengalaman Seorang Wiramarhaen Yang Bergaya
By Sheryll Stothard

20/6/2001 11:31 pm Wed

[Isham akhirnya tertangkap juga tetapi dengan akta ISA tanpa perlu dibukti atau dibicara. Ini menunjukkan kerajaan tidak mampu berdepan dengannya di mahkamah kerana tuduhan itu tidak berpijak di alam nyata. Isham menjadi mangsa dongengan dan putaran minda agar dia dipinggirkan dari masyarakat namun itu tidak berjaya - Kamunting itulah buktinya.

Inilah hadiah dari kerajaan buat seorang wira yang memperjuangkan rakyat yang teraniaya. Isham tidak akan padam dalam sejarah dengan penangkapannya - sebaliknya dia semakin bersinar kerana semakin ramai yang akan cuba mengenalinya untuk memahami kenapa dia hidup terbuang dan dibuang sebegitu rupa.

Sudah pasti semangat Isham itu akan menjadi dorongan untuk menjejakki langkah yang serupa. Sesungguhnya seorang pejuang melahirkan ribuan pejuang juga. Kerajaan telah melakukan satu kesilapan dengan menangkap Isham kerana ramai akan tersentuh oleh perjuangan Isham - itu termasuk anak kecil dulu yang kini sudah besar panjang. Mereka semua sudah berada di seluruh negara hanya menunggu satu semboyan untuk menumbangkan kezaliman... bukan dengan senjata tetapi dengan suara kerana itu sudah cukup berkesan. - Editor]


Terjemahan: SPAR-09-007


Pengalaman Seorang Wiramarhaen Yang Bergaya - (Siri 5 - Akhir)

(Malaysiakini: Isham Rais: Adventures of a trendy rebel - Part 5)

Oleh: Sheryll Stothard

Dalam bulan Februari 1982, Belgium bersetuju untuk mengambil Isham sebagai penduduknya. Beliau menghabiskan masa dua tahun berikutnya di Brussels, belajar di Universiti Leuven La Nauve dan menjalani semula kehidupan sehari-hari yang separa normal.

"Saya mula menulis surat kembali, berhenti memalsukan dokumen perjalanan saya dan memasuki negara- negara asing secara haram. Kawan-kawan mula melawat saya?.."

Pada tahun 1984, Isham berpindah ke London kerana beliau mahu mempelajari bidang pembuatan filem. Sehingga waktu itu, beliau mengakui, beliau tidak lagi mengikuti perkembangan isu-isu di Malaysia dan dari itu menjauhkan diri dari politik.

Beliau berjaya menamatkan pengajian di dalam bidang pembuatan filem itu di Central London Poly ("Poly ini telah berlagak dan kini menamakannya sendiri sebagai University Westminster") dalam tahun 1991. "Filem tamat pengajian yang saya buat dipanggil 'Serigala jadian Malaysia di London'," beliau ketawa. Hasilnya begitu teruk sekali sehinggakan saya terpaksa membayar kepada mereka agar tidak bertanya sebarang soalan mengenainya."

Aktivis yang bergaya di Malaysia ini telahpun mengorak langkah ke satu lagi perjuangan yang bergaya - mengarah filem.

KEPULANGAN :

Proses untuk Isham kembali ke Malaysia bermula semasa tempoh beliau tinggal di London. "Jomo dan Syed Husin Ali yang telah meyakinkan saya untuk pulang."

Jomo bersetuju : "Saya telah memberitahunya untuk sekian lamanya yang ia mesti pulang. Oleh kerana saya yang memujuknya untuk mendalami bidang perfileman, secara peribadi saya merasa bertanggungjawab terhadap dirinya."

Apabila Parti Komunis Malaya dan kerajaan Malaysia menandatangani surat rasmi perjanjian damai dalam tahun 1990 dan "ancaman komunis" telah tiada lagi, Isham merasakan bahawa sudah sampai masanya untuk beliau pulang ke tanah air. Beliau, bagaimanapun, tidak pernah terlibat memikul senjata di Malaysia. Hanya perkara yang berkaitan dengan tuduhan Tasik Utara yang masih belum diselesaikan.

Pada tahun 1993, beliau menulis kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri dan mendapat maklumbalas yang memberansangkan. Walau bagaimanapun, beliau telah diberitahu di London oleh seorang pegawai di jabatan Perdana Menteri yang beliau akan ditangkap sekiranya pulang ke Malaysia.

Dalam bulan Mac 1994, kawan lamanya Kamarazaman Yacob mengunjunginya di London. "Beliau membantu saya menulis sepucuk surat dan dan membawanya bersama kembali ke Malaysia untuk bertemu dengan Anwar Ibrahim. Anwar berkata, 'Semuanya telah selesai, pulanglah.'

"Zaman datang ke London dalam bulan November dan membawa saya pulang."

Selepas hampir dua dekad, Hishamuddin Rais pulang ke Malaysia pada 19hb.November, 1994.

'Saya telah mengharapkan agar masa akan menemukan saya dengan sesuatu yang baru tentang wawasan yang jelas. Saya mahu melupakan masa muda saya, bersalin kulit atau seumpamanya, dan di dalam tempoh sementara itu, saya akan mengurangkan pelayaran saya mengikut perubahan keadaan, percaya tentang kekurangan anak muda/ - kemarahan yang lemah dan penghinaan yang menyelubungi kegembiraan yang menakjubkan, tetapi semakin menghilang.' - Rehman Rashid, 'A Malaysian Journey (1993)'.

KEMENANGAN DI ATAS PENGORBANAN:

Apabila Hishamuddin Rais pulang dalam bulan November 1994, perbandingan dengan seorang lagi orang buangan Malaysia yang bergaya, Rehman Rashid, yang telahpun pulan dua tahun lebih awal, tidak dapat dielakkan. Kedua-duanya adalah bekas pelajar MCKK, kedua-duanya adalah tokoh yang dikatakan tidak pernah berbuat sesuatu yang salah dan yang sering menjadi ikutan di zaman mereka (walaupun untuk alasan yang berbeza), kedua-duanya telah ditanyakan tentang isu Hang Tuah-Hang Jebat oleh Cawangan Khas (SB) dan kedua-duanya telah meninggalkan negara dalam bulan Oktober. (Alasan di sebalik perkara yang terakhir yang kebetulan sama ini menjadi misteri kepada saya sehingga ke hari ini).

Apabila Rehman meninggalkan Malaysia, beliau masih muda. Isham mengahbiskan masa selama 20 tahun di luar negara; Rehman pula, dua tahun. Isham pulang. Isham pulang dengan kesibukan perundingan bersama kerajaan. Rehman? Memetik dari bukunya, beliau berkata, "Apabila sampai masanya untuk kembali, lalu, adalah lebih baik saya melakukannya secara tanpa disedari, menyelusup masuk melalui sempadan bagaikan seorang pencuri." Adalah sesuatu yang ironis apabila kemasukan semula Rehman ke dalam negara ini menyamai cara bagaimana Isham meninggalkan negara.

Rehman Rashid, sudah tentu, tidak pernah menjadi seorang pelarian yang melarikan diri dari sebarang tuduhan pihak polis, dan dari itu, boleh menyusup masuk "melalui sempadan bagaikan seorang pencuri" pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Isham pula dari segi teknikalnya masih seorang pelarian yang melarikan diri dari undang-undang. Dalam pada itu, beliau berusia 22 tahun di Malaysia. Pemergiannya dalam bulan Oktober 1975, beliau memberitahu saya, selama 20 tahun, adalah kerana "berpegang kepada prinsip".

Perjalanan yang jauh kembali ke pekan kelahirannya dan pengembaraan ala-Ulysses kelihatannya, buat rakyat Malaysia yang biasa, merupakan satu pengorbanan besar yang perlu dibayar hanya untuk membuktikan sesuatu. Mengimbas kembali ke masa lampau, tindak balas ganas dari sayap kanan yang menyusul sebaik sahaja berlaku tunjuk perasaan pelajar dalan tahun 1974 telah membuatkan apa yang berlaku ekoran dari itu seumpama kemenangan di atas pengorbanan.

Beberapa kali semasa beliau mengingati kembali kehidupan 20 tahunnya itu saya terfikir bukankah lebih mudah buat Isham untuk pulang sahaja, selesai tinggal di Kamunting dan teruskan "perjuangan" di sini. Di akhir temuramah, saya bertanyakan soalan ini kepadanya, mengenepikan soalan yang lebih besar tentang 'kewajaran' tindakannya.

"Tidak, saya tidak boleh. Saya percaya saya bertanggungjawab terhadap satu generasi. Saya mewakili pelajar-pelajar yang menaruh kepercayaan kepada saya. Saya tidak boleh menyerah dengan sebegitu mudah," beliau menjawab, bersungguh-sungguh. Terfikir juga apa yang akan berlaku seandainya Isham tidak berjaya melepasi sempadan tersebut, seandainya beliau memilih untuk tinggal di sini, ditangkap dan dihantar ke Taiping bersama Anwar, Zaman dan Adi Satria.

Beliau mematahkan lamunan 'seandainya' saya itu tanpa berlengah lagi, "Apa guna membuat andaian? Saya telah kembali dan itulah hakikatnya. Saya akan menjadikan hidup saya penuh dengan kegembiraan. Saya tidak akan menyesali apa yang telah saya lakukan sebelum ini."

WIRA ATAU PENJAHAT :

Kemudian saya membaca di akhbar politik Melayu tentang khabar-khabar angin yang Isham telah dipelawa untuk menyertai Pemuda Umno. Selepas itu, Jomo memberitahu saya, "Saya tidak fikir Isham akan memasuki dunia politik. Kini beliau telah kembali, mungkin beliau akan melibatkan diri dengan bidang perfileman. Saya dapat melihat beliau menjadi tokoh budaya yang agak penting sekiranya beliau mendapat sokongan."

Kemudian, peguam Dominic Putucheary, yang mewakili Anwar Ibrahim semasa beliau berada di Kamunting, memberitahu saya, "Saya dapat melihat banyak tentang diri saya pada mereka (aktivis-aktivis pelajar tahun'74) dan idealisme mereka."

Kemudian, ayah saya, juga seorang bekas graduan UM, memberitahu saya,dengan marahnya, "Itu disebabkan kamu, pihak media, yang menjadikan seseorang itu sebagai wira atau penjahat. Orang ini hanyalah seorang pelarian yang telah kembali semula."

Kemudiannya, seorang kawan bertanya kepada saya, "Jadi, adakah kamu bertanya kepadanya sama ada semua itu adalah sesuatu yang wajar?"

Saya tidak pernah menanyakan soalan itu kepada Hishamuddin Rais. Jawapannya pasti begitu jelas sekali. Tidak seperti orang buangan yang lain, tidak seperti Rehman, tiada langsung penyesalan dalam suaranya apabila beliau menceritakan kisahnya, dan tiada pula kebimbangan tentang masa depan. Tiada alasan pun.

Beliau menghapuskan keraguan saya dengan sikapnya yang tiada langsung rasa menyesal dan takut. Kini terpulang kepada saya untuk memutuskan sama ada saya perlu terus mengejar cita-cita khayalan berdasarkan pengalaman beliau; mempertahankan mitos (dongengan) itu, atau untuk meruntuhkannya dan memdedahkan beliau sebagai "pelarian yang kelebihannya dibesar-besarkan" seperti anggapan ayah saya terhadapnya. Mitos (Dongengan) dicipta dari persepsi (daya tanggapan) - sebagaimana yang terjadi kepada penjahat. Kita menjadikan diri kita seperti pejuang suci, tertekan oleh penindas ghaib, takut akan kegelapan. Kita yang mendongengkan pengalaman kita, menggunakan orang seperti Hishamuddin Rais sebagai alat, untuk menebus kembali rasa tidak selamat kita sendiri.

Dengan kesedaran ini, saya menyedari sekarang bahawa bukan tugas saya untuk menilai patut atau tidaknya beliau hidup dalam buangan. Kini, saya akan memberitahu teman saya, "Baca kisah tentang dirinya. Dan buatlah keputusan sendiri."

KELAS '74 UNIVERSITI MALAYA :

JUN 1971 :

Bantahan umum Anwar Ibrahim terhadap Akta Universiti dan Kolej 1971 pada satu mesyuarat MLSUM. Kejadian ini kemudiannya disebut di dalam perintah tahanan ISAnya dalam tahun 1975 di bawah "pertuduhan fakta #5 sebagai seruan kepada "gerakan berkaitan militan". Respons Anwar, melalui peguamnya Dominic Putucheary : "Bukanlah sesuatu yang ganjil kepada pelajar-pelajar untuk mengimpikan bahawa pelajar-pelajar dapat bersatu, kerana, tidak ragu-ragu lagi, dengan bersatu, pelajar-pelajar akan mempunyai kuasa yang tertentu; dan adalah tidak adil untuk mengaitkan kehendak ini sebagai suatu motif untuk menghasut pelajar kepada gerakan militan atau keganasan semasa apa yang dipanggil tunjuk perasaan terancang yang tidak pun berlaku."

JULAI 1971 :

Tunjuk perasaan yang diketuai oleh Anwar-PKIM bagi membantah lawatan PM Thailand ke KL di Lebuhraya Persekutuan. Isunya adalah : Layanan buruk terhadap orang-orang Islam di Selatan Thailand. Antara yang tertangkap adalah Anwar, yang kemudiannya dibebaskan tanpa tuduhan tiga hari kemudiannya.

1972 :

Pengambilalihan kepimpinan Majlis Belia Malaysia oleh Anwar. Penyandangnya, Tunku Abdullah, tidak bertanding menentang Anwar bagi merebut jawatan Presiden.

OKTOBER 1973 :

Isu perang Tujuh Hari dan PLO. Tunjuk perasaan pertama pada 13hb. melibatkan hanya kurang dari seribu pelajar yang dikepalai oleh Anwar. Mereka menerima habuan gas pemedih mata. Tunjuk perasaan kedua adalah lebih besar yang dianjurkan oleh MBM melibatkan 3000 orang di Kedutaan Amerika dan Pusat Lincoln. Bendera Amerika dibakar, batu-batu dilontar ke arah Pusat Lincoln dan pelajar mendesak agar Pusat itu ditutup. Menteri Dalam Negeri Ghazalie Shafie meyakinkan untuk menenangkan kumpulan yang ramai itu dan mengurangkan ketegangan. Anwar kemudiannya mengetuai pelajar-pelajar ke Masjid Negara yang tidak jauh dari situ untuk bersembahyang

SEPTEMBER 1974 :

Insiden Tasik Utara. Penangkapan Isham dan lain-lain pelajar yang menyertai tunjuk perasaan di JB telah mencetuskan bantahan di UM. Pelajar-pelajar di bawah kepimpinan presiden PMUM, Kamarazzaman Yacob berdemostrasi selsecara rasmi selama tiga hari di hadapan pejabat Perdana Menteri sebelum sebelum mengambilalih kampus dan bahagian pentadbiran. Menjelang malam, berlaku "rampasan semula" oleh, menurut Kamarulzaman, presiden Persatuan Bahasa Melayu Aziz Shamsudin, yang menyerahkan semula UM kepada Ungku Aziz. Kesatuan pelajar diharamkan secara rasmi - dan bangunan kesatuan pelajar ditutup.

3 DISEMBER 1974 :

Isu petani miskin di Baling. Demonstrasi dibuat di hadapan Kelab Selangor. Anwar ditahan di Masjid Negara, dibebaskan oleh pelajar-pelajar dan kemudiannya ditahan semula apabila beliau pergi ke balai polis untuk menjamin keluar rakan-rakan pelajar.

4 DISEMBER 1974 :

Pelajar-pelajar UM dan UKM berkumpul di bulatan yang berada di luar tidak jauh dari pintu masuk ke UM untuk tunjuk perasaan membantah penangkapan Anwar. Rapat umum diadakan di DTC. Antara jurucakapnya adalah kakitangan akedemik termasuk Dr. Syed Husin Ali dan Tunku Shamsul Bahrin.

5 DISEMBER 1974 :

Syed Husin Ali, Tunku Shamsul, KS Jijhar dan Lim Mah Hui dari UM dan Sabiha Abdul Samad dati ITM ditahan di bawah ISA. Bantahan semakin meningkat di Lembah Pantai.

6 DISEMBER 1974 :

Psukan polis mula mengambillih tugas operasi dan meletakkan anggota yang bersenjatakan M16 di sekitar UM dan UKM. Topeng-topeng gas pemedih mata menjadi aksesori harian kepada pelajar-pelajar yang telah dikepong.

8 DISEMBER 1974 :

Operasi Mayang. Adi Satria, Ibrahim Ali (presiden kesatuan pelajar ITM), A.Rahman Rukaini (UKM) dan Selamat Ahmad Kamal )USM adalah di antara mereka yang ditangkap. Isham Rais, Kamarazzaman, Abu Zer Ali dan Yunus Ali berjaya menyelinap keluar dari kampus ke sebuah 'rumah selamat' Timur tengah. Pada minggu berikutnya, lebih banyak tangkapan telah dibuat. AUKU 1971 dipinda. Kamarazzaman ditahan di Seremban dan menyertai Anwar, Syed Husin Ali, Adi Satria dan lain-lain lagi di Kamunting, Perak. Abu Zer menghilangkan diri ke dalam hutan. Beliau secara rasminya masih bebas. Isham menyembunyikan diri sehingga bulan Oktober 1975 apabila beliau menyelinap keluar dari negara ini melalui sempadan Thailand. Yunus kembali semula ke universiti, dan terlepas dari tangkapan.

....Tamat....

Nota : Pada 10hb. April 2001, Isham telah ditahan di bawah ISA, yang membenarkan penahanan tanpa dibicarakan, kerana dituduh terlibat untuk menggulingkan kerajaan melalui "cara militan".

**

Penulis SHERYLL STOTHARD adalah Naib Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM). Pada asalnya beliau menulis rencana di atas untuk majalah 'Men's Review' bagi bulan Febuari dan Mac 1995.





Asal:

http://www.malaysiakini.com/Column/2001/06/2001060102.php3

Isham Rais: Adventures of a trendy rebel - Part 5)