Laman Webantu   KM2A1: 4788 File Size: 8.9 Kb *



BK: Nasionalisme Haprak Menunggu Mati
By Adlan Benan Omar

21/6/2001 8:14 pm Thu

[Pemimpin negara sedang bersembunyi dibawah selimut anti globalisasi kerana ia menggugat kedudukkan mereka. Globalisasi bukanlah sesuatu yang mengancam selagi ia tidak memusnahkan identiti. Melayu seseorang tidak akan hilang dengan globalisasi tetapi pemimpin yang mencengkam serta bertindak ganas merampas hak rakyat akan dinyahkan pergi. Itulah antara nilai murni globalisasi yang sengaja dicemuh pemimpin Umno kini kerana ia tidak berpihak kepada kezaliman mereka. Itu nationalis haprak namanya. - Editor]


http://berita-keadilan.net/bmelayu/ rencana/nasionalismehaprak21jun.htm

Nasionalisme Haprak Menunggu Mati

Adlan Benar Omar

Bercakap dalam suatu seminar di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini, penganalisa politik Graham Fuller menyatakan bahawa tidak ada pihak yang mampu menghalang globalisasi, walaupun ianya membawa kepada "kehilangan semua budaya yang berbeza, menjurus kepada hanya budaya barat namun begitu ianya akan membawa manfaat, sekalipun kepada Malaysia".

Pernyataan sebegini tentunya menggusarkan kebanyakan pihak yang terkumpul di bawah tajuk "nasionalis haprak" seperti yang diperkenalkan oleh Tan Sri Musa Hitam. Kewujudan fenomena globalisasi menjadikan para politikus yang mengetengahkan keunikan sebagai alasan untuk mengekalkan undang-undang yang kuno dan bodoh sebagai tidak lagi relevan dalam percaturan politik antarabangsa.

Namun begitu, telahan Fuller bahawa globalisasi adalah penukaran budaya-budaya indigen dengan budaya Barat adalah kurang tepat. Globalisasi kerap digambarkan oleh musuh-musuhnya sebagai agenda Amerika Syarikat mahupun korprat besar seperti Coca-Cola dan McDonalds.

Sekali pandang, mungkin begitu. Tetapi, dilihat secara realiti globalisasi bukanlah satu fenomena baru, malah ianya pernah dialami dalam berbagai era yang terdahulu, termasuk di rantau ini.

Globalisasi bukanlah satu fenomena yang disengajakan. Ianya wujud kerana kehendak manusia untuk menjadi sama kaya, sama senang, sama bebas dan setaraf dengan jiran-jiran. Dalam abad kedua Masihi, golongan tertakluk di bawah Empayar Rom menuntut agar mereka juga diberi hak yang sama seperti golongan penakluk.

Mereka mahu mempunyai kuasa memilih perwakilan dan perlindungan dari segi undang-undang yang serupa dengan seorang rakyat Rumawi yang seraya berbangga berhujah "civis Romanus sum" ("aku ini rakyat Rom"). Atas kesedaran ini Maharaja Marcus Aurelius, yang terkenal kerana fahaman dan pemikirannya yang cukup moden dalam buku "Meditations", membuka kerakyatan Rom kepada semua etnik dan bangsa dari Dubrovnik di Balkan, hinggalah ke Colonia di utara Rhine, sampai ke York di Pulau Britain. Kejayaan Rom dalam sepuluh abad seterusnya diasaskan oleh sikap keterbukaan golongan pemerintah terhadap konsep globalisasi.

Globalisasi Rom membawa kepada penerimaan budaya dominan masyarakat Itali tengah. Bahasa Rom menular hingga penghujung benua Eropah. Dalam bahasa, perkataan-perkataan Rumawi mula digunakan di Parsi dan benua Arab.

Malah dalam kitab-kitab Melayu seperti Hikayat Merong Mahawangsa nama Rom digembar-gemburkan sebagai empayar contoh. Sistem kewangan Rom diterima pakai di negara-negara Timur Tengah dan India - perkataan "dinar" contohnya dicungkil dari perkataan Rom" denarius" bermaksud wang emas.

Tetapi, penguasaan budaya Rom bukanlah proses satu hala. Sebaliknya, negara-negara yang menerima budaya Rom turut mengeksport budaya mereka. Ini pula diterima dan diolah oleh rakyat Rom dan menjadi sebati dengan hidup mereka. Contohnya, Rom menerima agama Kristian dari Palestin, lantas agama itu berkembang dan akhirnya Rom sendiri menjadi pusat gereja Katolik yang masih merangkumi jumlah penganut paling ramai di dunia.

Seterusnya, pada zaman kekhalifahan Bani Umayyah, fenomena yang sama meliputi dunia Islam. Pemerintahan Bani Umayyah menghadapi tekanan agar golongan "mawla" atau etnik bukan Arab yang memeluk Islam mendapat layan yang serupa di bawah naungan kerajaan Islam. Pemerintahan Umar bin Abdul Aziz yang singkat itu banyak tertumpu kepada isu percukaian antara golongan Arab dan mawla, lantas menjelang zaman Abu Abbas Al-Saffah dan Abu Jaafar Al-Mansur, khalifah menerima pentadbir dan elit pemerintah daripada semua etnik tanpa mengira samada mereka mempunyai darah Arab.

Penerimaan keserataan dan kesejagatan ini menjadi mudah apabila budaya Islam diterima oleh semua etnik yang memeluk agama itu. Keseragaman aqidah tidak bermakna tidak wujud kepelbagaian di serata dunia Islam. Malah wujudlah pula pencorakan agama yang lebih kaya dan tersendiri, lantas menidakkan pendapat sesetengah kaul bahawa kemasukan bangsa lain ke dalam rangkuman Islam lantas mencairkan peranan budaya Arab.

Tentangan terhadap globalisasi diwujudkan oleh golongan pemerintah yang tidak bertanggungjawab. Malah, mereka menimbulkan sikap was-was dan takut di kalangan rakyat supaya mereka menolak sebarang unsur yang berkaitan dengan budaya Barat, sungguhpun ianya bermanfaat, seperti hak asasi manusia, demokrasi liberal dan budaya bebas mengkritik melalui media massa.

Pemimpin yang ingin mengekalkan pemerintahan kuku besi kerapkali menjadikan globalisasi sebagai musuh utama. Mereka mengetengahkan :nilai-nilai tersendiri" seperti "nilai Asia", "budaya tradisi Melayu" dan sebagainya, konon menyatakan bahawa nilai-nilai ini terancam oleh globalisasi. Kerapkali pemimpin "haprak" inilah yang paling jauh dari nilai-nilai ketimuran.

Sejarah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin ini berbohong. Nilai Asia dan nilai Melayu (jika ianya benar-benar wujud) tidak luntur akibat globalisasi yang membawa agama Hindu, Buddha dan Islam, ke rantau Asia Tenggara. Orang Melayu masih kekal Melayu, sungguhpun nenek moyangnya pernah bertukar agama tiga kali. Keutuhan budaya itu berasas kepada penerimaan globalisasi yang cerdik dan adaptif, sambil mengekalkan ciri-ciri tersendiri. Tidak ada orang Melayu Islam yang dicap sebagai Arab semata-mata kerana anutannya ialah agama Islam. Begitu juga, tidak luntur keMelayuan seseorang yang makan burger atau bifstek.

"Nasionalis haprak" lantas wajar ditakrifkan sebagai "Luddite" atau golongan kuno dan kolot yang tidak mahu berubah mengikut arus kemodenan. Mereka tidak bijak menyusur arus teknologi dan menerima pemindahan pengetahuan.

Yang paling menyedihkan, apabila mereka sedar bahawa penolakan itu menyebabkan mereka tertinggal, mereka semakin xenofobik, semakin menghentam dunia luar, umpama orang gila yang meracau-racau kerana tidak dapat memahami pergerakan dunia di sekelilingnya.

Kumpulan "haprak" ini menimbulkan kaedah-kaedah yang tidak masuk akal sebagai justifikasi tindakan mereka. Wujudlah paradoks dan fikiran setengah masak seperti "kediktatoran baik" dan "firaun baik" yang sebenarnya merupakan alasan akademik yang tidak berasas, kontang dan dangkal. Bau kepentingan sendiri menusuk hidung hinggakan kita mulai sedar inilah alasan yang turut diberi oleh sang negarawan syok sendiri seperti Hitler, Stalin dan baru-baru ini Milosevic atau Pinochet.

Franklin Roosevelt pernah berkata, "Tidak ada yang perlu ditakuti kecuali ketakutan itu sendiri". Puak anti-globalisasi ini sebenarnya takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka sedar tidak ada orang yang waras dalam dunia ini sanggup dibelenggu oleh undang-undang restriktif yang menyekat kebebasan berkumpul, berdiskusi dan mencetak idea-idea masing-masing. "Nasionalis haprak" takut kehilangan kuasa dan kedudukan kerana hanya sang sapi dan sang kerbau yang mahu ditenggala dan dicucuk hidungkan. Manusia moden tidak mahu diperlaku sedemikian.

Telahan dan kupasan Tan Sri Musa Hitam itu menggambarkan golongan ini masih wujud dalam negara kita, malah mereka sedang berkuasa. Namun, kerana globalisasi tidak pernah disengajakan dan merupakan satu fenomena semulajadi, golongan yang semakin berani menentang ideologi songsang ini semakin ramai dan hati para "nasionalis haprak" ini semakin sakit. "Nasionalisme haprak" sedang menunggu saat matinya. Itu sudah pasti, kita tunggu dan lihat.

Adlan Benan Omar, 28 tahun, lulusan Sarjana Undang-undang dan Sejarah Universiti Cambridge, adalah Exco Pemuda Keadilan Malaysia dan penerima Anugerah Belia Negara 1997.