Laman Webantu   KM2A1: 4861 File Size: 4.3 Kb *



BG: Kembalikan Hak Pendidikan Rafzan
By Fong Po Kuan

30/6/2001 5:59 am Sat

[Pemimpin BA harus melancarkan kempen BESAR-BESARAN mendesak dan menekan kerajaan agar menarik balik keputusan memecat Rafzan, pelajar tahun kedua UiTM kerana berhimpun membantah ISA di hadapan Masjid Negara pada 8hb Jun lepas. Bukan itu sahaja, seluruh pelajar IPT harus mogok dengan tidak menghadiri kuliah sehingga hak Rafzan dikembalikan. Sudah tiba masanya untuk kaum pelajar di negara ini bertindak bersepadu. Persatuan pelajar-pelajar perlu mengerah ahli dalam hal ini dan ini amat mudah dirancang dan dilakukan dengan menggunakan kemudahan internet masakini. Belum cuba belum tahu. Mungkin ia amat berbisa sehingga pihak yang menindas akan tergaru. Jika tidak teruskanlah hidupmu yang asyik terbelenggu. - Editor]


[BUNGARAYA]

Kembalikan hak pendidikan Rafzan

Kenyataan Akhbar oleh Fong Po Kuan, Ahli Parlimen kawasan Batu Gajah dan Pengerusi DAP Wanita Negeri Perak pada 27.6.2001.

Menteri Pendidikan Harus Mengambil Tindakan Mengembalikan Hak Pendidikan Kepada Rafzan Tanpa Keperluan Mempertimbangkan Surat Rayuannya

-=-=-


Menteri Pendidikan seharusnya bertindak dalam kadar yang segera dengan mengembalikan hak pendidikan kepada Rafzan Ramli, pelajar tahun kedua jurusan Kejuruteraan Elektrik UiTM yang dilapurkan telah dipecat oleh Lembaga Tatatertib Unviersiti Teknologi tanpa hak pembelaan diri di beri kepada pelajar tersebut.

Rafzan Ramli bersama enam pelajar yang lain telah ditangkap polis di depan Masjid Negara pada 8 Jun 2001 kerana berhimpun secara aman untuk menyuarakan bantahan terhadap undang-undang yang zalim, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Perhimpunan ini telah dianjurkan oleh gabungan 12 persatuan pelajar pusat pengajian tinggi tempatan.

Rafzan Ramli yang telah dibebaskan selepas ditahan semalam di Balai Polis Dang Wangi dengan jaminan polis sehingga ke hari ini masih belum didakwa di mahkamah.

Adalah dilapurkan Pihak Lembaga Tatatertib Universiti Teknologi Mara yang mendapati Rafzan bersalah tanpa memberi hak pembelaan diri kepadanya dan seterusnya memecatnya sebelum beliau didakwa ataupun dihukum oleh mahkamah adalah satu keputusan yang tidak adil dan amat berat.

Seseorang adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah (one is presumed innocent until proven guilty) serta kegagalan untuk memberi hak pendengaran (right to be heard) atau hak membela diri adalah satu bentuk perlanggaran hak asasi manusia.

Keputusan yang tidak adil ini yang telah menafikan Rafzan hak untuk pendidikan juga perlanggaran hak asasinya. Article 26 of the Universal Declarations of Human Rights antaranya memperuntukkan " Everyone has a right to education"

Rafzan dilapurkan telah mengemukakan surat rayuannya kepada Jawatankuasa Tatatertib Universiti semalam, 26.6.2001 dan dikatakan keputusan rayuan itu boleh diketahui dalam masa tiga minggu.

Tindakan segera yang patut diambil oleh Menteri Pendidikan adalah mengembalikan hak pendidikan kepada Rafzan dengan mengembalikan status Rafzan sebagai pelajar UiTM. Menteri Pendidikan tidak patut membiarkan badan perayu mempertimbangkan serta mendengar rayuan Rafzan. Isu di dalam kes ini adalah penafian hak pembelaan diri oleh pihak Lembaga Universiti. Jika pertimbangan diteruskan ke atas surat rayuan Rafzan, Menteri Pendidikan akan menjadi pakatan kepada penyalahgunaankuasa kepada perlanggaran hak asasi manusia dengan pihak Lembaga Universiti yang seterusnya meninggalkan satu contoh kes yang buruk, (set a bad precedent) di dalam sistem Pendidikan Malaysia.

Akhir kata, tindakan pihak Universiti dengan mengambil keputusan memecat Rafzan adalah terlalu berat dan tidak adil. Sebaliknya pihak UiTM seharusnya berbangga kerana mempunyai pelajar yang tahu serta berani menggunakan hak kebebasan berkumpul serta bersuara mereka untuk membantah undang-undang zalim, ISA.