Laman Webantu   KM2A1: 4867 File Size: 10.2 Kb *



OH 4: Apa Lagi Yang Sudah Terbakar?
By Graduan 69

1/7/2001 11:48 pm Sun

[Dewan yang terbakar itu sudahpun padam, tetapi cerita yang berkisar masih panas menyala dan tidak padam-padam. Kehadiran sampai lima buah kereta bomba dan penggunaan skylift menggambarkan ini satu kebakaran luarbiasa. Dan dengan akhbar kroni menulis dalam prasangka nampak jelas apa yang ingin dibakar sebenarnya - bukannya dewan tetapi orang-orang tertentu secara pengaiban.

Apa yang menarik di sini kenapa Menteri Pelajaran begitu diam dalam isu ini. Malah beliau tidak diajakpun untuk bersama dalam simposium itu. Apa perlunya PM dan TPM untuk hadir di UM jika tidak untuk berkempen? Jika kerajaan BN boleh berkempen di dalam kampus begitu terang-terangan mengapa para pelajar berkempen pula tidak dibenarkan?. Sebagai peguam dan jaguh tekwondo, Azalina sepatutnya pandai sedikit menendang kerana hayunannya itu mengena pucuk pimpinan parti sendiri yang 'lebih berwawasan'. Apakah dia tidak malu nanti terjatuh dan ditertawakan kerana polis sendiri masih belum dapat membuat kepastian? - Editor]


Siri 4: Oh Malaysiaku....!!!!!


Apa Lagi Yang Sudah Terbakar?

Azalina Othman ketua Puteri UMNO telah menyerahkan satu memorandum mahukan Naib Canselor Universiti Malaya, meletakkan jawatannya. Demikian yang dilaporkan di muka depan Harian Metro bertarikh Sabtu 30 Jun, 2001. Alasan desakan itu adalah kerana Dr. Anuar 'gagal menyekat kempen anti-pemimpin kerajaan di kampus itu'

Alangkah anehnya, apabila memorandum itu dihantar oleh seorang pemimpin Puteri UMNO yang belumpun dirasmikan pergerakannya, tetapi sudah berani mendahului pemimpin lain dalam UMNO mengeluarkan memorandum itu. Adakah Azalina 'menerima arahan? dari atas kepimpinan parti? Sanggupkah pucuk kepimpinan parti mengendos gesaan beliau itu sedangkan jawatan Naib Chanselor adalah berasaskan selera pucuk pimpinan parti?

Apakah asas tuduhan kempen anti-pemimpin kerajaan?

Menurut Azalina, imej UM terjejas berikutan penerbitan risalah Varsiti 2001 yang mengandungi kecaman terhadap pemimpin kerajaan yang diedarkan dengan meluas di kampus itu serta kebakaran Dewan Tunku Canselor. Puteri UMNO menggariskan lima perkara dalam memorandum itu:



  1. Kepimpinan dan pengurusan organisasi Dr. Anuar mempunyai kelompongan dan kelemahan tidak sepatutnya berlaku, malah tidak boleh diterima oleh masyarakat Melayu khususnya penerbitan majalah Varsiti 2001 dan risalah yang menghasut pelajar menyekat lawatan Perdana Menteri ke UM. Kejadian itu mencemar imej dan nama UM serta pemimpin kerajaan dan menyebabkan kredibiliti Dr. Anuar diragui dan dipertikaikan.

  2. Sebagai intelektual Melayu beragama Islam, malah mendapat kepercayaan pucuk pimpinan negara untuk mentadbir universiti tersohor dan tertua di negara ini, kenapa Dr. Anuar tidak dapat menghidu terlebih dulu kegiatan tidak bermoral dan tidak beramanah itu berlaku?

  3. Meminta Dr. Anuar memberi penjelasan mengenai penyebaran risalah Varsiti 2001 dan kebakaran berkenaan serta meminta beliau bertanggungjawab ke atas kejadian itu.

  4. Apa yang nyata, hampir keseluruhan artikel dalam Varsiti 2001 dan risalah yang menghalang kedatangan Perdana menteri ke UM Ahad ini penuh dengan cacian, hinaan, fitnah dan hasutan yang jauh tersasar daripada kebenaran dan kenyataan. Adakah ini dimaksudkan oleh sekumpulan mahasiswa yang bergerak dan berselindung?

  5. Kebakaran di Dewan Tuanku Canselor awal pagi ini sepatutnya dapat dielakan jika pihak keselamatan universiti menjalankan tugas dan/atau seolah-olah kebakaran berlaku ada hubungan dengan kedatangan Perdana menteri untuk memberi ucapan pada pagi 10 di dewan itu Ahad ini.


Salinan memorandum itu dihantar kepada Menteri Pendidikan, yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UM (MPPUM), Ketua Pemuda UMNO, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Setiausaha Agung UMNO.

Sebagai seorang yang berkelulusan guaman, Azalina telah menulis memorandum itu dengan jelasnya. Ada beberapa perkara pokok di situ: yang mendesak Dr. Anuar meletakkan jawatannya:



  1. Kebakaran Dewan Tunku Canselor,

  2. Majalah Varsiti 2001 yang dikeluarkan sebelum persidangan UMNO di PWTC. Majalah ini dikatakan diterbitkan oleh pihak yang mahu menjatuhkan imej persatuan-persatauan pelajar dengan satu agenda politik.

  3. Risalah yang mencerca pemimpin kerajaan yang 'meminta penuntut melakukan sesuatu untuk menghalang pemimpin negara daripada menghadiri Simposium Penegasan Arah Tuju Idealisma Mahasiswa di Alaf Baru' Risalah itu dijumpai diedarkan beberapa jam sebelum terbakarnya Dewan Tunku Cahnsellor.



Tajuk Akhbar Melayu Mengenai Kebakaran:

Utusan Malaysia: Dewan Tunku UM Dibakar.

B. Harian: Kebakaran dewan UM disyakki angkara khianat;

Harian Metro: Puteri Meradang: Gesa Naib Canselor UM letak jawatan

Berita Harian menunjukkan tajuk yang mempunyai kesangsian betapa dewan itu 'mungkin' terbakar kerana adanya angkara khianat. Utusan Malaysia lebih berani lagi mengatakan Dewan itu DIBAKAR. Kerana kebakaran itu Harian Metro terus memberi penekanan kepada memorandum yang mahukan Dato' Dr. Anuar melepaskan jawatannya.


Alangkah Ajaibnya

'Beberapa pengawal keselamatan cuba memadam kebakaran yang dikesan di kiri pintu 'M' sebelah pentas Dewan TC sebelum menghubungi bomba apabila api semakin marak. Api marak denan cepat dan menyambar peralatan pentas, lebih 3,000 kerusi, alat audio video dan jubah konvensyen.

'Seorang pengawal keselamatan mengesan api marak di dewan itu kira-kira jam 3.40 pagi dan memanggil rakannya untuk membantu memadamkan kebakaran. Selepas gagal, mereka panggil bomba pada 3.50. Bomba tiba jam 3.55 pagi. Lima minit kemudiannya lima kereta bomba dan jentera 'skylift' bomba tiba. Bagaimanapun api sudah marak termasuk beberapa letupan kecil yang kedengaran.

'Bomba mengawal keadaan pada jam 5 pagi dan memadamkan api sepenuhnya padam 7.45 pagi.'


Akibat kebakaran

'Lebih 90 peratus barang dalaman dewan musnah, kecuali struktur konkrit, manakala langsir, kerusi, bumbung musnah dalam kebakaran itu dan 1,800 jubah akademik untuk konvensyen.

'Majlis konvensyen yang dijadualkan pada 1 hingga 3 Ogos akan ditangguhkan untuk merangka perancangan baru membabitkan tempat pilihan dan persediaan jubah kira-kira 5,800 graduan.


Adanya Unsur Khianat?

Polis menyiasat adanya unsur khianat dalam kebakaran yang memusnahkan Dewan TC. Ini berikutan dakwaan Pengerus Yayasan Pergerakan Wawasan, Rahim Thamby Kecik bahwa beliau mengsyaki pihak tertentu membakar dewan itu untuk menggagalkan satu simposium anjurannya (RTC) selama dua hari ini di dewan itu.

Simposium 'Arahtuju Idelalisme mahasiswa Di Alaf baru' dijadualkan dirasmikan Timbalan Perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi dan ditutup oleh Perdana Menteri Mahathir Mohammad.


Apa Pendapat Polis

Tuduhan adanya sabotaj adalah satu tuduhan yang serius. Tetapi, bagaimanakah Rahim Tamby Chik dan Dasuki Ahmad sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri sanggup membuat tuduhan itu dan tergamak memegang apa yang dikatakan risalah hasutan pelajar untuk dirakamkan dan disiar oleh Harian Metro pada muka surat 2 akhbar itu?

Timbalan Ketua Polis Negara Jamil Johari ada menyatakan polis turut menyiasat kes itu dari unsur khianat dan meminta semua pihak jangan membuat sebarang andaian mengenai kejadian itu. Apakah Jamil Johari akan bertindak terhadap Dasuki Ahmad dan Rahim TC kerana tuduhan mereka itu?


Apa Sebenarnya Terbakar?

Tindakan Azalina boleh dipertikaikan kerana dia sengaja mengapi-apikan keadaan. Apakah dia turut yakin bersama Rahim Tamby dan Dasuki Ahmad bahawa dewan itu terbakar kerana khianat? Apakah buktinya nanti mesti disokong oleh pegawai penyiasat dengan kenyataan 'Ya, bangunan terbakar kerana khianat...' ?

Kita tidak mahu membuat andaian lain selain berkata bahawa adalah satu idea haprak yang datang daripada otak desperado sahaja yang sanggup mendahului keputusan siasatan itu. Apabila dilihat akan keadaan kebakaran yang didahului dengan terjumpanya risalah 'menghasut' itu adalah tidak sukar untuk pasukan siasatan 'menjumpai' barang bukti bahawa bangunan itu sengaja dibakar seperti yang dirumuskan oleh Utusan Malaysia.

Soalnya sekarang kenapakah simposium pelajar universiti mahu ditaja oleh orang politik seperti Rahim Tamby Chik yang sebenarnya tidak ada sebab dan maruah utnuk menjadi pemimpin lagi? Oleh kerana Dasuki Ahmad terbabit sama adakah simposium itu satu permulaan untuk 'memperkasakan' minda pelajar dengan ?Pemikiran Mahahtir? ala ?The Thoughts of Presiden Mao?.

Kalau simposium itu perlu dihadiri oleh pelajar IPT kenapakah dilaksanakan ketika sebahagian besar pelajar harus berada di kampung halaman bercuti selepas peperiksaan akhir semester mereka. Apakah perkara ini tidak diambil kira?

Kenapakah Azalina begitu celupar untuk mahukan Dato Dr. Anuar melepaskan jawatannya. Apa akan jadi kalau pelajar berdemo di kampus menyanggah memorandum Azalina itu nanti?

Soalnya sekarang kalau ada unsur khianat, siapakah yang membuatnya? Apakah tidak mungkin ia dilakukan oleh penyokong Mahathir kerana tidak selesa melihat beliau menutup peristiwa yang dibuka oleh timbalannya. Cuba tunjukkan majlis yang dibuka oleh timbalan pemimpin ulung dan ditutup oleh pemimpin ulung itu di dunia ini?

Nampak sangat kerajaan Mahathir terdesak, sehinggakan lakonan sandiwara yang mahu dilaksanakan tidak mengikut skrip yang jitu walaupun Dasuki terkenal sebagai produser drama TV. Kepada mereka ini semua kita ingatkan jangan suka sangat bermain api. Lihat apa lagi yang sedang terbakar gara-gara lakonan membakar sebuah dewan.

- Graduan Agric. Engineering 1969.