Laman Webantu   KM2A1: 4877 File Size: 14.5 Kb *



TAG SP 188: Pembelian Sebuah Syarikat Akhbar
By Harun Rashid

3/7/2001 5:43 pm Tue

[Pembelian Nanyang nampaknya lebih banyak tidak berguna daripada berguna untuk MCA. Ia mungkin akan memufliskan MCA dan Nanyang itu sendiri. Baru sahaja beberapa hari ia sudah muflis beberapa editor dan penulis penting dalam Nanyang. Mereka sudahpun cabut lari kerana tidak sanggup untuk bersekongkol menipu bangsa sendiri.

Pengambil-alihan Nanyang juga telah menyebabkan MCA tercedera dan dimarahi oleh majoriti masyarakat Cina - baik di dalam atau di luar MCA. Ling telah membuat keputusan ala diktator terlebih dahulu tanpa berbincang dan mendapat restu ahli dan AJK pelaburan parti. EGM tempoh hari itu hanyalah gimik untuk menunjukkan dia mendapat izin melalui demokrasi padahal dia telah melangkah 'seorang diri' untuk membeli sambil dipimpin oleh presiden Umno yang sakit hati sejak tertewas di Lunas tempoh hari.

Ling telah membeli dahulu dan bertanya kemudian. Apabila ditegur barulah dia menggelabah sakan memberi pelbagai alasan. Rencana ini menunjukkan semuanya tidak menguntungkan - sebaliknya ia mungkin melingkupkan MCA sendirian.
- Editor
]


Terjemahan : SPAR-09-011

Jun 23, 2001

Pembelian Sebuah Syarikat Akhbar

(Worldview: Buying A Newspaper)

Oleh : Harun Rashid


Pada mulanya kita dimaklumkan yang ia hanyalah merupakan satu transaksi urusniaga. Kemudian ia menjadi satu muslihat politik yang strategik. Mana-mana satu pun ia tidak menguntungkan.

Pertama sekali marilah kita mengkaji pembelian itu sebagai satu transaksi perniagaan. Terdapat mereka yang terdiri daripada para pembaca, atau sekurang-kurangnya pernah terdapat pembaca-pembaca. Dan terdapat juga para pengiklan, atau sekurang-kurangnya pernah terdapat pengiklan-pengiklan. Para pembaca dan pengiklan ini menyumbangkan wang kepada perniagaan itu. Hasil penjualan keseluruhan sepatutnya mencukupi untuk membayar gaji para pekerja dan kos pencetakan akhbar tersebut. Sepatutnya juga ada baki wang yang dapat melunaskan bayaran sewa dan utiliti.

Akhbar merupakan sebuah syarikat awam. Adakalanya para pemegang saham mendapat habuan dividen dan adakalanya mereka tidak pula mendapatnya. Ini adalah risiko yang diambil oleh setiap ahli perniagaan. Di dalam pembelian yang terbaru ini terdapat banyak sekali wang tunai yang di dalam laci wang, yang meningkatkan satu penilaian berdasarkan aset-aset nyata secara bersih. Pembeli yang berkenaan pasti menjangka untuk mendapat pulangan wang tunai yang lumayan ini. Tetapi itu mungkin tidak berlaku kepadanya.

Membeli satu perniagaan menggunakan satu-satunya jumlah wang yang anda miliki ada risikonya, kerana sebahagian modal perlu diperuntukkan untuk menjalankan operasi perniagaan tersebut. Membeli satu perniagaan keseluruhannya dengan wang pinjaman adalah kurang berisiko, kecuali anda bercadang untuk membayarnya semula. Jika anda tidak berniat demikian, maka masalah itu akan dibebankan kepada si pemberi pinjaman. Meminjamkan wang untuk membeli akhbar mempunyai risikonya sendiri. Meminjamkan kesemua wang untuk membeli akhbar membawa risiko yang lebih tinggi lagi. Namun dengan adanya badan kerajaan yang bersedia untuk mengambilalih suatu pinjaman yang teruk akan dapat membebaskan risiko ini.

Rakyat Malaysia tidak menyedari apa yang berlaku kepada wang mereka. Ia telah disembunyikan dari mereka seperti satu rahsia rasmi. Dan sungguhpun apabila mereka, dalam keadaan yang amat jarang sekali, menyedarinya, mereka hanya naik marah untuk tempoh beberapa hari. Dan para pencuri pun akan terus menyimpan wang itu, tanpa perlu mengucapkan terima kasih kepada parti-yang-berkuasa dan Perdana Menteri, yang telah menikuskan pihak polis dan Badan Pencegah Rasuah. Jauh sekali kepada Menteri Kewangan. Beliau telah pun menyerahkan keupayaannya menjana wang dan pergi bermewah-mewah. Tetapi itu sudah menyimpang pula.

Satu perniagaan yang membuat keuntungan, dan diharapkan untuk terus membuat keuntungan yang sama, boleh dinilaikan berdasarkan pendapatan yang diperolehinya. Dalam kes ini, akhbar tersebut meraih pendapatan sekitar RM4 juta setahun. Bon-bon tanpa risiko akan memberikan pulangan lebih 5% dengan tidak memerlukan sebarang pengurusan, maka satu jangkaan yang munasabah adalah pulangan sebanyak 10-12% di atas perbelanjaan modal yang telah dilaburkan. Pendapatan masakini mewakili pulangan 10% pada RM40 juta, jadi itu adalah satu tawaran harga permulaan yang berpatutan. Jika anda berkeras untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik, maka harganya akan menjadi kurang.

Harga yang telah dibayar (atau hampir dibayar, kelihatannya) dikatakan berjumlah RM230 juta, dan ini hanya untuk lebih kurang 73% dari pegangan saham. Seandainya kesemua saham-saham itu dibeli, harga keseluruhan akan menjadi sekitar RM310 juta. Jumlah wang sebanyak ini dibelanjakan untuk membeli akhbar yang memberi pulangan tahunan sebanyak RM4 juta. Kadar pulangan adalah di dalam lingkungan 1.3%. Pulangan yang sebegitu rendah bukanlah satu urusan perniagaan yang menarik, dan sesiapa sahaja yang cuba memberitahu anda perkara sebaliknya umpama seseorang yang sudah ketinggalan kapal.

Kadar faedah ke atas pinjaman bank akan menjadi sekurang-kurangnya RM15 juta setahun, tanpa sebarang bayaran ke atas pinjaman pokok. Anda mungkin terfikir dari mana datangnya semua ini. Setakat ini transaksi perniagaan yang mudah memerlukan tambahan kemasukan modal sekurang-kurangnya RM10 juta setahun, dan mungkin dua atau tiga kali ganda dari itu.

Orang yang menjual akhbar itu ketawa riang dengan begitu kuat sekali sehinggakan boleh didengar dari Hong Kong ke Kuala Lumpur. Beliau bukan sahaja memperolehi wang tunai dari penjualan itu, beliau telah membayar kepada tabung simpanan (lebih kurang RM45 juta) dalam bentuk dividen khas, di mana beliau menjadi penerima faedah secara langsung ke atas 73% darinya. Pembeli yang baru, merasa kecewa dan diperbodohkan, merenung jauh ke luar jendela, sambil memikirkan apa yang telah terjadi.

Tiada sesiapa pun yang boleh menceritakan apa yang difikirkan oleh pemberi pinjaman, namun ia mudah untuk diteka. Sebagai cagaran kepada pinjaman itu si pemberi pinjaman telah mengambil akhbar The Star, bersama-sama saham akhbar yang baru. Memandangkan adalah tidak mungkin si pembeli akan dapat membayar kadar faedahnya, apatah lagi pinjaman pokoknya, si pemberi pinjaman mempunyai peluang yang besar untuk memperolehi sesuatu yang amat lumayan dengan langkah pelaburan yang tidak begitu tinggi.

Sebagai satu transaksi perniagaan, pembelian tersebut adalah baik buat penjual dan juga pembeli. Bagi pembeli tidak salah lagi, ia sudah tentu akan menggunakan wang orang lain. Setiap pembeli biasanya merasai kegembiraan sebanyak dua kali, sekali apabila ia membeli dan sekali lagi apabila ia menjual. Di antara keduanya ini seringkali yang timbul adalah kesengsaraan yang asli. Dalam kes ini mungkin terdapat lebih kesengsaraan dari kebiasaan.

Namun kini kita diberitahu yang ia adalah satu keputusan penting politik yang strategik. Justifikasinya perlu berkait dengan politik. Itu bermakna pembeli adalah seorang ahli politik, dan beliau mempunyai sesuatu di fikiran yang berkaitan dengan politik yang strategik. Ada baiknya juga menunggu untuk melihat apakah kemungkinan itu. Tidak perlu lagi bersusah-payah memikirkan faedah kewangan yang bagaimana boleh didapati dari pembelian itu, kita kini boleh mengalihkan perhatian kepada apa yang diluahkannya kini sebagai sebab sebenar yang menjurus kepada pembelian itu. Mungkin juga beliau bercadang untuk mendidik kakitangan yang berkaitan dengan kerja-kerja penyuntingan tentang prinsip-prinsip partinya yang mengkagumkan itu. Rupa-rupanya tidak, beliau telah membungkus mereka semua keluar.

Barangkali beliau bercadang untuk memujuk para penulis menyediakan cerita-cerita yang digemari kepada para pembaca. Tetapi tidak juga, beliau tidak pun berbincang tentang hal ini bersama mereka, dan kerana merasa curiga dengan campurtangannya di masa hadapan terhadap kebebasan kreativiti mereka, mereka semua mengundurkan diri. Tidak mengapa. Penyunting-penyunting dan penulis-penulis baru boleh sahaja dibeli dari The Star. Mereka pun sudah usang dan mudah dilentur di sana.

Apa yang tinggal hanyalah pandangan para pembaca. Bolehkah para pembaca memahami muslihat halus di sebalik pembelian itu, yang kini didedahkan sebagai satu langkah politik yang strategik? Bagi kebanyakannya jawapannya adalah jelas sekali TIDAK! Para pembaca ini telah mengejutkan, menolak cadangan tersebut sama sekali. Bersama-sama mereka perginya para pengiklan, membantah terhadap apa yang dilihat sebagai cuba mengubah apa yang telah ditentukan. Apa yang sudah terjadi kepada orang-orang Cina yang selama ini sering mengikut kata?

Jika para penyunting tidak boleh menyunting, para penulis tidak boleh menulis, dan para pembaca tidak boleh membaca, maka adalah sukar untuk memahami bagaimana rancangan politik yang bijak itu boleh diteruskan. Dan sekiranya para pengiklan menarik diri dari memberikan sokongan, kemungkinan harganya akan menjadi lebih tinggi dari sekarang. Ini adalah kerana para pembaca dan pengiklan The Star juga akan mengasingkan diri berikutan langkah politik yang suka mengawal ini.

Ahli-ahli parti politik tersebut telah dipanggil berhimpun di dalam satu bilik esok untuk memberikan persetujuan mereka ke atas kedua-dua langkah pembelian dan pinjaman itu. Tidaklah dapat dipastikan sama ada persetujuan mereka benar-benar diambil berdasarkan kepada transaksi perniagaan atau muslihat politik yang strategik. Ini terpulang kepada pemimpin mereka, Ling, seorang lelaki dengan pengalaman yang panjang dan luas dalam menguruskan wang orang-orang Cina.

Bantahan kuat yang lantang kedengaran terhadap pembelian tersebut sungguh di luar dugaan, berkata seorang ahli politik veteran yang usang. 'Saya telah memberikan lampu hijau kepadanya,' katanya. 'Kami telah pun membeli sebuah akhbar Melayu beberapa tahun yang lalu, dan orang-orang Melayu tidak pernah bersuara walau sepatahpun.' Orang-orang Cina, nampaknya, telah dijolok, bagaikan sarang tebuan yang dijolok, dengan ciri-ciri di mata umum sebagai 'pengganas dan Komunis'. Mereka telah dikecam sebagai tidak patriotik kerana mempertahankan hak-hak sekolah mereka, dan tidak berterima kasih kerana mendesak penjelasan bagi kedudukan sumbangan derma awam yang bertujuan untuk mengurangkan beban para penternak khinzir Cina. Dengan menyentuh isu akhbar kegemaran ini menjadikannya satu penghinaan yang muktamad.

Cakap-cakap di belakang tabir pula adalah: Sebagai hukuman kerana memilih untuk mengundi menentang penjawat masakini di Lunas, maka akhbar ini diambil. Dalam pilihan raya akan datang anda akan terdesak untuk menerima kedua-duanya, di sebelah kiri akan dihujani dengan bahasa Inggeris, dan di sebelah kanan penulisan bahasa Cina. Kami akan tunjukkan siapa yang sebenarnya memiliki negara ini. Sama ada menyokong kami atau balik semula ke China. Kami benar-benar nekad untuk meresahkan dan menggugat hantu-hantu itu sehingga anda akan terkencing di dalam seluar. Di lain masa anda akan tahu siapa yang perlu diundi. Sekarang mari sini dan sokong pembelian ini! Berikan undi anda sekarang dan akan ada sesuatu untuk anda ..satu kerusi, sebuah pejabat, atau mungkin pengurniaan pangkat Datuk! Tentanglah kami dan kami akan tetap mengingati diri anda.

Penjual tersebut, didatangi untuk membeli semula akhbar itu, membuat tawaran untuk membayar sebanyak RM100 juta sahaja. Apabila didesak untuk memberikan penjelasan, ia berkata, 'Begini, saya telah menjual kepada anda sebuah perniagaan yang berdaya maju. Kini apa yang berlaku? Para kakitangan kerja-kerja menyunting saya telah disingkirkan, para penulis telah berhenti kerja, para pembaca telah memboikot akhbar ini, dan para pengiklan telah meminggirkan diri mereka dan menarik balik sokongan mereka. Anda telah memusnahkan akhbar saya, dan kini anda mahu saya membelinya semula. Anda sepatutnya gembira yang saya sanggup memberikan anda RM100 juta.'

Pemimpin-pemimpin parti itu berpecah dengan seriusnya terhadap isu tersebut, dan mungkin akan terjadi pertumpahan darah kemudiannya, tidak kira bagaimana pembelian akhbar itu berlangsung. Buat ahli-ahli parti, jika mereka menyokong pembelian itu bermakna mereka membeli sesuatu yang tidak memberikan apa-apa keuntungan pada harga tinggi yang tidak masuk di akal, sesuatu yang mereka tidak mampu. Bagi menjayakan rancangan ini, mereka mempertaruhkan harta milik mereka yang begitu berharga, The Star. Pembelian itu memerlukan jumlah wang yang begitu besar yang akan memakan masa bertahun lamanya ke masa hadapan. Untuk apakah semua ini? Apakah para pembaca akan kembali semula? Apakah para pengiklan akan memberontak terhadap akhbar beradik, The Star, juga? Apakah akhbar baru ini akan dapat menarik semula undi orang-orang Cina, sebagaimana yang dirancangkan? Apakah undi menyokong itu akan membawa makna kemuflisan buat MCA?

Namun, seandainya mereka mengundi untuk membakulsampahkan transaksi tersebut, harga yang mahal juga akan terpaksa dibayar. Pemimpinnya, Ling, menjadi mangsa kemarahan, dan barangkali ia dan semua rakannya akhirnya akan dipaksa keluar dari MCA. Parti itu sendiri akan kehilangan maruah di kalangan komuniti Cina dan rakyat Malaysia secara amnya. Para menteri yang menentang pembelian itu telah pun dimaklumkan akan nasib mereka yang telah pun dicorakkan. Mereka mesti berjaya untuk terus berkuasa. Komuniti Cina dilihat berdiri di belakang mereka. BN tidak dapat bertahan tanpa undi orang-orang Cina. Buat parti-yang-berkuasa ia adalah satu keadaan yang begitu terdesak dan serius. Ia pasti akan menjadi satu perjumpaan yang menarik.


Tamat

Terjemahan : SPAR-09-011

Link Reference : Harun Rashid Worldview: Buying A Newspaper