Laman Webantu   KM2A1: 4879 File Size: 13.9 Kb *



SAUK 2: RAW 1 - Operasi Luarbiasa Untuk Tujuan Luarbiasa Juga
By Panglima Sauk

3/7/2001 8:07 pm Tue

[Mahathir memang suka benda yang besar dan luarbiasa kerana ia akan mendapat perhatian yang juga besar dan sedikit luarbiasa. Ini diharapkan akan dapat mengaibkan satu parti lawan agar kaum bukan Islam, khususnya kaum Cina tidak merapati mereka. Kata kunci 'negara islam dan hudud versi PAS' menjadi satu senjata Mahathir untuk menakutkan kaum Cina sehingga agak ramai yang terpedaya.

Jika dan seandainya konsep negara Islam dan hudud oleh PAS itu tidak betul mengapa pihak alim ulamak dan mufti dalam negara ini tidak pula membangkangnya? Mengapa Mahathir sahaja? Apakah dia lebih banyak berilmu dari semua? Bukankah kerajaan sendiri telah mengeluarkan arahan hanya mereka yang bertauliah sahaja boleh memberi kuliah dan tafsiran ugama?.

Kebencian Mahathir terhadap PAS begitu terserlah dalam setiap kali perhimpunan agung Umno. Dia telah mencuba pelbagai putarbelit tetapi masih tidak berjaya. Sekarang dia menghina bangsa melayu pula sedikit lebih dari biasa.

Memang nampak benar dia amat sukakan sesuatu yang luarbiasa. Bukankah Anwar pun menerima tuduhan yang amat luarbiasa dan sakit luarbiasa? Yang peliknya dia tidak pula mengizinkan Anwar mendapat rawatan luarbiasa.

Mahathir sebenarnya semakin mendedahkan dirinya adalah dalang segala-galanya. Kebakaran di UM baru-baru ini juga luarbiasa ... kerana ia dapat menyediakan modal untuknya berbicara.

Mahathir berharap kejadian yang luarbiasa itu akan menyediakan pulangan yang luarbiasa juga. Tetapi dia lupa itu cuma sebentar sahaja. Lama-lama ia akan terbongkar jua. Bukankah mahkamah hari ini sudah membuktikannya? Itupun luarbiasa juga...... - Editor]


Mengimbau Kembali Tragedi Sauk:


FeU

http://members.nbci.com/_XMCM/xumno/feu_panglima_sauk01.html


Operasi Terbesar Tentera Selepas Zaman Dharurat

Oleh: Panglima Sauk

1. Prolog:

Di muka surat akhbar perdana hari ini tertera gambar Perdana Menteri Malaysia sedang makan dengan 'rakyat biasa'. Ini adalah satu strategi baru UMNO yang cuba memenangi hati orang Melayu. Tetapi, 'rakyat biasa' yang digambarkan itu adalah Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria, Dato Ismail Rauf bekas exco Perak dan Dato Ahmad Hambal Yeop Majlis bekas ketua bahagian UMNO Parit. Di meja yang sama Menteri Besar Perak tidak kelihatan kerana itu adalah jamuan makan Perdana menteri dengan 'rakyat biasa'. Cuma Dato Majid Hussein menjadi wakilnya, kerana beliau adalah Setiausaha Negeri Perak yang mewakili pegawai pentadbiran kerajaan. Apakah yang mereka bincangkan agaknya? Apakah mereka membincangkan kisah wanita Melayu yang ditangkap di Restoran The Ship di Damansara Utama ataupun kisah askar bajingan yang menyamar untuk merompak senjata canggih daripada dua kem tentera di Gerik? Kalau membincangkan perihal wanita di 'The Ship' tentu sekali Dato Majid Hussein mampu berinteraksi sakan dengan Dato Seri Mufti. Rumah Majid Hussein hanya selaung suara daripada 'The Ship' itu. Yang labih hampir dengan restoran tersebut ialah Rahim Noor. Rumahnya memang setapak dua sahaja dari situ.

Apapun yang dibualkan oleh Mahathir bersama tetamu khasnya kali itu, sudah tentu dia tidak dapat melupakan keadaan negara yang menjadi perhatian seluruh dunia masakini. Inilah pertama kalinya Majlis Tertinggi UMNO mengadakan mesyuarat bulanannya di luar Kuala Lumpur. Ipoh menjadi pilihan utama mereka dan majlis itu telah diwarnai oleh beratus askar Gerak Khas yang mengawal bandaraya itu sedangkan kereta perisai diletakkan di beberapa pintu masuk bangunan yang penting di bandar itu. Penduduk di Ipoh tentu tertanya-tanya kenapa perlunya kawalan keselamatan yang ketat seperti itu. Ramai di kalangan penduduk Ipoh yang belum biasa dengan pemandangan seperti itu kerana mereka lebih selesa melihat pemandangan demikian di TV dan pawagam sahaja. Tetapi, kini gambaran itu boleh dilihat dengan jelas di depan mata.

Memang belum pernah berlaku sebelum ini, tidak juga ketika Tengku Abdul Rahman Putra masih menjadi Perdana Menteri. Hanya di zaman Mahathir barulah kelihatan kereta perisai digunakan sebagai kawalan berjaga-jaga ketika Perdana Menteri bermesyuarat dan beristirahat. Ini adalah satu gambaran betapa keselamatan negara sudah tergugat. Tidak cukup dengan serangan Virus Nipah ataupun JE yang melanda seluruh Kedah dan juga Pulau Pinang dan berkemungkinan besar sedang menjalar ke kawasan perkampungan Siam seperti di Sungai Tiang dan juga Kampung Tas dan persekitarannya. Bagaimana pula keadaan negara yang diserang oleh kedatangan pendatang tanpa izin (pendatang haram) yang dibiarkan berleluasa kerana kemampuan untuk membenterasnya memang tidak ada? Kini, serangan ancaman terbaru sudah menjelma pula. Ia adalah sesuatu yang tidak pernah difikirkan akan berlaku kerana tidak siapa yang sanggup mengaku bahawa perkara begini bolehpun berlaku.


2. Kem Tentera yang Tidak Selamat

Siapakah yang boleh sangka tentera Malaysia yang dikatakan paling dihormati di antara pasukan tentera Dunia Ketiga dan dikatakan setaraf dengan pasukan tentera Dunia yang maju telah dicemarkan dengan berlakunya rompakan terang-terangan di malam hari? Hampir semua akhbar perdana menyiarkan ceria ini dengan tajuk "Senjata Tentera di Curi". Kalau satu senjata hilang, ia bolehlah dikatakan telah dicuri orang. Tetapi kalau kecurian itu dilakukan secara terang-terangan dengan tipu helah ia bukan satu kecurian lagi. Ia adalah satu rompakan.

Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila senjata canggih boleh dibawa keluar dengan tipu helah. Ia lebih menakjubkan apabila taktik rompakan itu dilakukan di dua kem tentera yang berasingan oleh kumpulan yang sama. Patut jugalah Najib sanggup berkata betapa "kejadian berkenaan yang dirancang secara professional serta rapi."

Sememangnya, kejadian rompakan itu dilakukan begitu profesional sehinggakan berita perdana pun menganggapnya sebagai satu cerita sensasi yang boleh dibikin filem dan ditonton untuk tayangan perdana ala-Hollywood. Mungkin kalau rompakan itu berlaku hanya pada satu kem, pembikinan filem boleh diberikan secara bertaraf Bollywood sahaja. Disebabkan ia dilakukan pada lebih daripada satu kem tentera maka taraf penghormatan sudah dinaikkan sedikit tinggi lagi.

Semua akhbar perdana sibuk dengan catatan jenis senjata yang dirompak. Begitu juga dengan siaran televisyen tajaan Mahathir Mohammad. Hanya MGG Pillai ada menulis perkara yang lebih serius lagi terutama sekali dengan penggunaan tiga kenderaan berwarna hijau dan bernombor ala-tentera. Tulisan Pillai ada menyatakan penggunaan trak pengangkut bermuatan tiga-ton untuk mengangkut peralatan yang dirompak itu. Secara tidak langsung laporan akhbar dan media kerajaan memberikan perhatian kepada taktik yang telah digunakan oleh para perompak dan ada pula komen akhbar dan TV yang menyatakan betapa adanya orang Melayu yang bangga kerana taktik itu dilakukan oleh anak watan.


3. Kem Sasaran Perompak

Mungkin tidak ramai yang mengetahui betapa kem yang diserang oleh perompak itu terletak di satu bahagian negara ini yang amat sukar perjalanan untuk menghampirinya. Grik dan Pengkalan Hulu adalah dua pekan kecil yang memang terkenal sejak zaman komunis dulu. Perjalanan di antara dua pekan ini adalah satu perjalanan yang menakjubkan kerana keadaan sekeliling yang sungguh indah dari aspek pemandangan semula jadi. Keadaan hutan yang mengimbau pemandangan memang mempersonakan kerana inilah satu batang jalan di mana ratusan jiwa askar Malaysia dan British yang pernah terkorban. Sesiapa yang memandu kenderaan menyusuri jalan ini (kebanyakannya jalan yang baru dibuat menggantikan jalan lama) akan nampak kesan jalan lama yang berada nun di bahagian sebelah kanan yang menyusuri anak sungai yang memang jernih lagi airnya.

Gerik yang ada pada hari ini adalah satu pekan yang sudah besar kerana adanya satu stesen bas yang baru sangat dirasmikan oleh Menteri Besar. Di bahagian belakang stesen bas itu ada pula gerai makan yang luas untuk menampung kedatangan pengunjung yang berhenti di pekan itu untuk berehat sebelum menyambung perjalanan ke arah Lenggong dan Kuala Kangsar. Kalau kita menghampiri Gerik dari arah Ijok ataupun Taiping kita akan bertemu bahagian Gerik Lama yang memang amat kotor keadaanya, seolah-olah bahagian pekan lama itu sudah merupakan satu pekan terbiar. Di zaman komunis dulu, inilah bahagian yang penuh aktiviti kerana terdapat dua hotel lama yang sentiasa penuh dihuni oleh para pengembara.

Sesiapa yang mahu ke utara daripada Gerik terpaksa melepasi Balai Polis Gerik yang terletak di satu bahagian anak bukit yang mampu mengawasi setiap pergerakan kereta yang lalu di hadapannya. Perjalanan akan menghala Simpang Batu Dua di mana jalan berpecah, satu menghala ke Pengkalan Hulu (Keruh) dan satu lagi adalah jalan Lebuhraya Timur Barat menghala ke Kota Bharu. Banding terletak kira-kira 30 kilometer daripada Grik di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat itu. Di sinilah letaknya kem tentera di mana para perompak yang menyamar itu telah merampas 17 laras Rifel M-16, beberapa laras Steyr Rifel dan kira-kira 6,000 butir peluru. Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.00 pagi (ini merupakan satu anggaran kerana waktu yang tepat hanya Allah yang tahu. Segala catatan di akhbar dan TV berbeza kerana kesamaran waktu yang diberikan itu) Dari kem itu mereka telah bergerak ke arah Gerik dan pada jam 4.15 pagi mereka telah merompak banyak senjata lagi. Kita tidak mahu rakamkan jenis senjata yang dirompak secara terperinci sehinggalah jumlah itu telah disahkan oleh pihak tentera. Khabarnya Menteri Pertahanan akan membuat satu pengumuman pada hari Rabu ataupun Khamis nanti.


4. Perjalanan Ke Kampung Sauk

Setelah merompak, konvoi perompak dikatakan telah behenti di Lawin untuk mengisi minyak. Mereka berpatah ke arah Selatan menghala ke Lenggong. Dari Lenggong mereka berhenti di sebuah pekan kecil yang bernama Sauk. Kenapa mereka berpatah balik itu adalah satu misteri. Terdapat beberapa pekan kecil daripada Lenggong menghala ke Kuala Kangsar. Di antara pekan kecil itu yang mudah diingat ialah Sauk, Kuak dan Kati, barulah Kuala Kangsar. Kalau kita menyusuri jalan itu daripada Kuala Kangsar ke arah Lenggong keadaan tanah di sekeliling ialah berbukit bukau di bahagian kiri jalan dan kawasan rendah di bahagian kanan. Ini adalah disebabkan pada satu masa dulu jalan dibuat berhampiran anak sungai. Apabila pembetulan dan pembangunan dilaksanakan kerja-kerja menarah kaki bukit dilakukan untuk membesarkan jalan. Jikalau rompakan terakhir dilakukan pada jam 4.15 pagi bererti konvoi itu terpaksa meredah jalan Lenggong ke Kuala Kangsar ketika azan berkumandang di udara. Ini bererti, kalaulah 'siren' (semboyan) kecemasan digerakkan di kedua kem tentera itu, pihak polis dan tentera tentu sudah mampu mengadakan sekatan jalan di sepanjang jalan Lenggong-Kuala Kangsar. Untuk mengelakkan mereka dicam dan ditangkap pihak perompak terpaksa bersembunyi di siang hari.


5. Pertempuran di Kampung Jenalik, Sauk

Laporan terbaru yang diterima daripada wartawan reformis di Sauk melaporkan pertempuran sengit masih berjalan ketika sebelum azan maghrib di Kampung Jenalik yang terletak enam kilometer daripada Pekan Sauk. Ketua kampung di situ ialah seorang yang bernama Abdul Halim yang satu ketika dulu adalah seorang pegawai tentera yang berpangkat Waran Officer. Khabarnya beliaulah yang mula-mula sekali yang menenangkan orang kampung ketika berlakunya tembak menembak di kampung itu. Ramai orang kampung di situ yang terkejut ketika meletupnya senjata canggih kerana mereka memikirkan ada orang kampung yang membakar mercun untuk menakutkan ungka dan monyet yang cuba merosakkan durian mereka. Kini Sekolah di Sauk, Kati dan Kuak sudah ditutup kepada anak-anak sekolah kerana diambil alih oleh pihak tentera. Seluruh kawasan itu sudah dikepung oleh pasukan tentera dan kawalan ketat sedang dilaksanakan. Pengawasan daripada udara pun dilakukan untuk menentukan kesemua anggota perompak itu dapat diberkas.

Untuk memudahkan pembaca yang pernah menyusuri jalan Lenggong ke Kuala Kangsar biarlah dirakamkan lokasi pekan-pekan kecil yang perlu dilalui oleh 'perompak berpakaian seragam itu: Lenggong- Kota Tampan, Raban, Kuak, Jenalik, Sauk, Kampung Chua, Kati, Kampung Tiung, Changkat Jambu, Lubok Merbau, Talang, Kuala Kangsar. Ternyhata mereka tertahan di Jenalik kerana masalah keadaan perjalanan. Apakah mereka sengaja mahu menghala ke Kuala Kangsar tanpa memikirkan kemungkinan adanya sekatan jalan raya untuk menahan mereka? Ataupun apakah mereka sengaja mahu mengadakan satu pertempuran di kampung Jenalik itu sambil memudahkan perjalanan sabahagian kumpulan mereka keluar daripada kawasan itu? Kenapakah mereka pilih untuk lari ke arah Kuala Kangsar sedangkan mereka mampu lari ke arah Keroh dan Baling? Apakah mereka sudah memunggah sebahagian kelengkapan perang itu dengan menggunakan tasik yang luas di Raban?

Laporan terkini pada jam 2100 Hrs melaporkan tiga orang anggota 'penjahat' itu telah ditangkap oleh pihak tentera.

Nampaknya penduduk Kampung Jenalik yang sudah diarahkan pindah daripada rumah mereka akan mendapati pokok buah-buahan mereka akan berlubang dan bersarang peluru mesingan seperti yang berlaku kepada pohon-pohon kelapa di rumah kediaman Arwah Ibrahim Libya dulu.


Panglima Sauk
4 Julai 2000