Laman Webantu   KM2A1: 4894 File Size: 5.5 Kb *



AUKU Menjadikan Golongan Cerdik Pandai "Yes Man"
By Fong Po Kuan

5/7/2001 7:43 am Thu

[BUNGARAYA]

AUKU menjadikan golongan cerdik pandai "yes man"

Kenyatan Akhbar oleh Fong Po Kuan, Ahli Parlimen Kawasan Batu Gajah dan Pengerusi DAP Wanita Negeri Perak pada 4.7.2001

Akta Universiti dan Kolej Universiti jika tidak dimansuhkan akan menjadikan Sistem Pendididkan Malaysia bakal menghasilkan golongan cerdik pandai jenis "yes man" seperti pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional terutamanya MCA di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamed

Akta ini kini digunakan oleh pihak universiti untuk mengambil tindakan ke atas pelajar-pelajar universiti tempatan yang menggunakan hak kebebasan bersuara dan berkumpul mereka adalah satu bentuk pencabulan hak asasi manusia.

Menurut laporan Malaysiakini, pada 28 Jun 2001 seorang pelajar bernama Rafzan Ramli, tahun kedua jurusan kejuruteraan elektrik UiTM telah dituduh terlibat dalam satu perhimpunan haram bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 8 Jun 2001 telah dipecat oleh pihak universiti tanpa hak pembelaan diri di beri kepadanya. Kini beliau sedang menunggu jawapan rayuannya kepada Kementerian Pendidikan.

Manakala 2 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Pengerusi Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Lee Yen Ting dan Setiausaha Agungnya Choo Chon Kai yang dituduh mengeluarkan kenyataan kepada Sin Chew Jit Poh dan The Star berhubung keengganan universitinya membenarkan pasukan debat PBT menyertai acara Debat Antara Universiti-universiti Singapura dan Malaysia pada 20-27 Mei di Singapura kerana penyertaan mereka tidak mendapat kebenaran USM. Choo juga dituduh menjual lencana kempen "Mansuhkan ISA".

Menurut Malaysiakini, pada 3 Julai 2001 hukuman telah dijatuhkan ke atas 2 orang pelajar tersebut bersama lima orang pelajar lain dari USM juga tidak dibenarkan didedahkan kepada "sesiapa" termasuk media.

Adalah amat kesal kerana sehingga hari ini, Menteri Pendidikan tidak mengambil sebarang tindakan berkenaan perkara ini.

Tambahan, tindakan pihak Universiti yang melarang didedahkan hukuman yang dijatuhkan ke atas pelajar-pelajar USM tersebut hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan terhadap pihak Unversiti oleh orang awam. Ini adalah juga satu tindakan yang tidak telus.

Penggunaan Akta tersebut akan terus menjadikan pelajar-pelajar unversiti tidak mempunyai ruangan langsung untuk menyuarakan ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak Unversiti.

Akta tersebut yang memperuntukan pelajar adalah dilarang untuk membuat hubungan dengan pihak akhbar atau orang ramai berkaitan hal-ehwal universiti.

Jika Menteri Pendidikan berpendapat bahawa pelajar-pelajar sepatutnya membuat aduan kepadanya jika wujud ketidakadilan atau penyalahgunaankuasa oleh pihak universiti, "sejarah" telah menunjukkan bahawa kurang perhatian di beri ke atas suara mereka. Ini terbukti di dalam layanan yang diterima oleh pelajar ketika mengemukakan memorandum berkenaan dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada Kementerian Pendidikan. Penyerahan memorandum tersebut yang dihadiri oleh sekumpulan 300 pelajar telah "dilayan" oleh pengawal peribadi Menteri Pendidikan dan memorandum diterima olehnya bagi pihak kementerian.

Melalui pengalaman saya sendiri, Menteri Pendidikan sehingga hari ini juga gagal menjawab surat saya kepadanya yang bertarikh 14.5.2001 berkenaan tawaran oleh pihak Menteri pada 3.5.2001 di Dewan Rakyat kepada saya untuk melawat pejabatnya bagi melihat proses penawaran kursus kepada pemohon-pemohon ke universiti tempatan.

Pelajar-pelajar hanya apabila tiada pilihan lain terdesak untuk ke media untuk bantuan bagi "menarik perhatian" Kementerian. Penyekatan hak ini oleh AUKU, apakah alternatif kepada pelajar dengan sikap tidak ambil berat atau peduli Kementerian ini.

Tambahan, Akta tersebut pula melarang pelajar dan pertubuhan menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap sebarang politik, kesatuan sekerja atau badan-badan lain.

Pihak Universiti harus faham bahawa apabila seseorang pelajar menghadiri satu perhimpunan secara aman untuk menyuarakan bantahan terhadap undang-undang zalim seperti ISA tidak patut disifatkan sebagai sokongan dan simpati kepada satu-satu parti yang membangkang ISA atau bangkangan terhadap satu-satu parti yang menyokong ISA.. Pihak Unversiti sepatutnya merasa bangga kerana melahirkan pelajar yang memahami hak bersuaranya serta berani untuk menggunakannya untuk membantah undang-undang yang zalim seperti ISA.

Pada 30 Jun 2001, satu memorandum telah diserahkan kepada SUHAKAM oleh Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA antaranya meminta dikaji semula dan dimansuhkan Akta Universiti dan Kolej Unversiti. Ini adalah cabaran dan ujian kepada SUHAKAM untuk memastikan generasi cerdik pandai negara kita yang bakal dihasilkan tidak berupa "yes man", satu jenis pemimpin masa depan yang tidak berani menyuarakan ketidakadilan dan penyalahgunaankuasa oleh pihak atasan seperti pemimpin BN terutamanya MCA.