Laman Webantu   KM2A1: 4898 File Size: 20.9 Kb *



SAUK 3: RAW 2 - Perang Malaikat Sabung Berjuara
By Panglima Sauk

5/7/2001 8:16 pm Thu

[Catatan Panglima Sauk menunjukkan banyak perkara dan adegan yang luarbiasa berlaku di hulu sana. Aqal yang waras sukar menerimanya kerana pengganas itu seperti sengaja mengundang bahaya. Malah mereka bergembira menjamu selera dan bermain peluru agar mudah diburu oleh pihak berkuasa. Apa yang menarik kerajaan semakin galak menghidang fakta setiap kali paparan mereka dicabar. Akhirnya ia menyiarkan beberapa gambar yang sekaligus menelanjangkan kisah sebenar tanpa ia sedar. Gambar askar yang berbalut menunjukkan dia sebenarnya tidak tercedera separah mana sehingga perlu dikejarkan merata. Gambar tali gantung yang rendah pula mentertawakan kita kerana semua yang ditangkap itu besar-besar belaka. Dan gambar Jaafar Puteh lagi menambah curiga - dialah hero dan dialah pengganas dalam satu masa. Filem Bollywood pun tidak sanggup menipu sedemikian rupa - kerana logiknya langsung tiada.

Orang melayu dikatakan mudah lupa tetapi jika sesuatu itu luar biasa ia akan dikenang sentiasa. Aib dan malu misalnya sukar padam walaupun bertahun-tahun lamanya. Bukankah ramai naib presiden Umno diaib dengan amat dahsyatnya? Malah pembangkang pun terkena sama seperti Md Sabu sehingga terkejut akan kita. Tentu Ku Li masih belum lupa gambar tengkolok yang muncul tiba-tiba. Mahathir mempunyai banyak mata-mata yang bertopeng di mana-mana oleh itu semua perlu berwaspada - termasuk Pak Lah juga. Mana yang sukar dijerat akan dihujani khabar angin - dan kini sandiwara pula. Ini semua tektik Yahudi belaka.
- Editor
]

Mengimbau Kembali Tragedi Sauk


FeU

http://members.nbci.com/_XMCM/xumno/feu_panglima_sauk02.html


Episod Askar Wataniah

PERANG BERMALAIKAT SABUNG BERJUARA

Oleh: Panglima Sauk

Apa yang dikatakan sebagai operasi tentera terbesar sejak berakhirnya zaman dharurat komunis dulu, kini sudah dianggap bahan ketawa pula. Semakin ramai rakyat yang memperlekehkan 'kisah benar' yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Walaupun Mahathir, Paklah dan Najib Tun Razak bersilih-ganti menegeluarkan pendapat mereka mengenai episod rompakan senjata itu, semakin ramai rakyat yang berfikir semua itu adalah kerja dalangan yang layak dimasukkan dalam skrip filem Hollywood. Kenapa mereka tidak fikirkan skrip Bollywood ataupun skrip filem keluaran Hongkong, belum pula ada sesiapa yang mahu pertikaikan. Setakat ini, ramai yang fikir Episod RAW (Rompakan Askar Wataniah/Rejimen Askar Wataniah; pilihlah yang mana satu) sudah layak diselitkan dalam filem Hollywood. Tetapi, 'RAW' dalam bahasa Ingeris bererti 'mentah'. Apakah episod ini menunjukkan kementahan beberapa pihak yang terbabit dengannya, hanya masa akan menjadi penentunya.

Memang terdapat beberapa elemen intrig yang menyoal minda kita bagaimanakah episod rompakan itu boleh tersekat jalanan skripnya di Sauk? Apakah kerana Kampung Jenalek Hulu itu sebuah perkampungan Melayu yang meminggiri kawasan dusun buah-buahan yang memudahkan sesiapa sahaja bersembunyi di situ? Malahan bunyi tembakan memang sudah lama di dengar di keseluruhan kawasan Kampung Jenalek itu sebelum berlakunya rompakan senjata tersebut. Kerana itu apabila tercetus bunyi tembakan yang semakin galak pada pagi Ahad yang lalu, orang kampung tidak memperdulikannya sehinggalah tercetusnya berita ada orang kampung yang ditangkap.

Kalau disingkap sejarah silam, tempat di mana kumpulan 'perompak' bersembunyi sekarang ini adalah satu tapak pembalakan yang terkenal sebelum itu, sebagai sarang komunis. Kira-kira empat tahun yang lalu pernah berlaku satu episod di malam hari apabila terjadinya peristiwa heret mengheret seorang peniaga Cina yang akhirnya ditembak dan ditinggalkan di kawasan semak di situ. Malahan, dalam tahun 1987, berlaku satu peristiwa apabila pihak pasukan keselamatan berjaya membunuh empat orang komunis di perkampungan Cina di situ. Bayangkan, bagaiman peristiwa kemunculan komunis di situ tiga puluh tahun selepas negara mencapai kemerdekaannya dan selepas kawasan itu lama diisytiharkan bersih daripada ancaman komunis. Oleh itu, orang kampung memang tidak berani sangat keluar di tengah malam buta semata-mata untuk menyiasat bunyi yang ganjil yang mungkin mencurigakan. Setiap bunyi yang kedengaran di malam gelita hanya mampu diselidiki di siang hari. Itu pun kalau-kalau difikirkan ada ayam dan hasil tanaman yang dicuri ataupun hartabenda yang sudah dibawa lari. Kerana itu apabila berlaku bunyi tembakan di hujung 'baruh', ada penghuni kampung yang cuba membalas bunyi itu dengan membakar mercun. Ini merupakan budaya kampung, setiap bunyi dibalas dengan bunyi dan setiap laungan dibalas dengan laungan jua. Inilah budaya lawan-melawan dan sambar-menyambar, secara acah-acah sahaja. Apa bezanya sangat dengan budaya orang Melayu berpolitik? Kalau orang di hilir meraung, orang di hulu pun sambut dengan meraung juga Kalau orang di bukit bersiul panjang orang di paya bersiul panjang juga. Lainlah kalau yang menyambut siulan itu sudah tidak pun bergigi. Mana mungkin dia menyambut siulan panjang bila mulut sudah kurang berpagar lagi?

Setiap kali perkampungan bergegar dengan tembakan yang bertalu-talu dan apabila disahkan betapa tembakan itu adalah satu pertempuran, orang kampung pun mula gelabah. Ada yang sibuk memanggil anak dan cucu agar masuk ke rumah sebelum menutup pintu. Si suami mencari si isteri, si isteri pula mula mencari anak dan cucu. Ayam dan itik pun mula bertempiaran kerana mereka pun kebingungan. Apa punya kerja ini, fikir mereka. Manusia sudah semakin gila, bertembak-tembakan tak tentu hala. Yang anihnya, binatang ternakan tidak pernah lari ke kandang dan reban apabila berlakunya bunyi tembakan. Mereka lebih suka berkumpul di satu tempat yang difikirkan selamat. Di waktu itu mereka tidak mahu memikirkan reban dan kandang sebagai tempat yang selamat. Begitu juga dengan burung-burung. Mereka lebih rela terbang jauh daripada sarang mereka. Mungkin kerana takutkan peluru sesat yang menghala ke udara? Inilah masanya burung-burung menguji kekuatan sayapnya untuk terbang jauh menyelamatkan nyawa. Yang peliknya ayam dan itek pun bersayap juga, tetapi kenapa tidak sanggup menggunakan kepaknya untuk terbang ke tempat yang selesa?


Orang Kampung Yang Semakin Keliru

Kini, empat hari sudah berlalu, cerita rompakan senjata di dua kem tentera sudah pun menjadi satu berita hangat hingga melariskan akhbar. Siaran berita TV dan radio pun menjadi program yang diminati semula. Episod RAW akan mengubah cara hidup ramai manusia. Pertama sekali, orang kampung di Jenalik Hulu sudah merasakan betapa pentingnya mereka itu sekarang ini walaupun satu ketika dulu hanya saudara mara terdekat sahaja yang mengenal mereka. Kini, telefon di rumah mereka sentiasa berdering kerana rakan dan taulan mahukan berita terkini untuk dijadikan perbandingan dengan cerita skrip olahan kerajaan. Semua berita yang dipaparkan oleh media massa adalah seirama bunyinya dan sehaluan tujuannya. Kerana itu dunia bebas di luar sana mahukan berita yang lebih meyakinkan lagi. Penduduk Kampung Jenalik Hulu adalah harapannya yang terakhir kini. Disebabkan kejadian hebat berlaku di Jenalik Hulu, penduduk di kampung berdekatan pun turut merasakan glamornya. Kampung Jenalik Hilir, Kampung Ngor, Kampung Changkat, Sauk, Kuak dan Kati dan banyak lagi kampung yang lain sudah mula merasakan keseronokan glamor itu.

Sekarang ini, penduduk sebenar di Jenalik Hulu dinasihatkan keluar dari rumah mereka kerana kerajaan takutkan peluru sesat. Kerana itu ada yang menumpang di rumah anak-anak dan juga menantu. Ada yang menumpang di rumah saudara mara yang terdekat di situ. Mereka terpakas akur dengan arahan, tetapi mereka tidak mahu pergi berjauhan. Di awal pagi mereka mahu pulang ke rumah untuk membuka reban dan mungkin pintu dan jendela rumah agar angin rimba masuk menjamah. Makanan ayam dan itek perlu diletakkan dalam takung makanannya, jika tidak ternakan akan menjeruk rasa dan bermasam muka. Kerana biasa dengan rezki murah di pagi hari, kalau kini ditiadakan juga tentu ada ternakan yang merasakan diri mereka sudah mula didera. Cukuplah dengan bunyi tembakan yang membingitkan telinga sepanjang masa, takkan makanan pun mahu dicatu ataupun dihentikan pula. Akibatnya, mungkin ada ternakan yang meragam dan mogok. Ada yang tidak mahu bertelur kerana terencat dan terkejut. Bayangkanlah kalau setiap kali meneran untuk mengeluarkan telur mereka dikejutkan oleh letupan senapang dan bom. Jangan dikatakan ayam dan itik yang mahu bertelur. Manusia yang sedang mengandung pun boleh keguguran. Ternakan bunting pun boleh mati beragan.

Demikianlah kelirunya penghuni kampung Jenalik Hulu hinggakan suasana kekeliruan itu menjalar jauh ke perkampungan yang berdekatan. Dalam dunia teknologi ini, apa yang berlaku di sana masih boleh diikuti oleh orang luar dengan bijaksana. Panggilan telefon yang dilakukan oleh saudara mara jauh dan dekat memberikan lapuran semasa yang terperinci dan tepat. Malahan lapuran itu lebih meyakinkan kerana ia tidak ditapis dulu oleh Jabatan Perang Saraf parti yang memerintah dan jabatan kerajaan.

Kalau kita baca lapuran di akhbar dan juga meneliti gambaran dan bayangan yang ditunjukkan di kaca TV kita mungkin mahu bertanya, kenapakah berita episod rompakan tentera itu dibiarkan tersebar luas seolah-olah tidak ada elemen rahsia kenegaraan yang perlu diperamkan? Apakah kerajaan tidak merasa malu dengan episod itu sehinggakan membenarkan media massa bermaharajagila membuatkan laporan yang menyeluruh terhadapnya? Apakah pihak tentera sendiri tidak memikirkan elemen rahsia ketenteraan yang tergugat dengan tersebar luasnya episod itu? Semakin lama perkara ini berlalu, semakin ramai pemberita luar akan datang berpusu, semakin kalut lagi analisa rakyat yang ingin serbatahu. Apakah jadinya nanti, terbukakah rahsia sebenarnya episod ini?


Identiti Penjenayah Tafsiran Polis

Pihak kerajaan melalui kenyataan yang dibuat oleh Najib Tun Razak dan juga Ketua Polis Negara sudah semakin yakin bahawa kumpulan perompak itu adalah satu kumpulan yang ada sangkut-paut dengan kegiatan ajaran Islam. Sama ada ajaran itu yang betul ataupun yang sesat, belum dapat dipastikan lagi. Yang nyata, di hutan itu mereka mengenakan kopiah putih dan "serban merah dan serban putih". Apa makna kenyataan itu seperti yang disiarkan oleh hampir semua akhbar perdana (melainkan akhbar Bahasa Cina), masih lagi samar-samar. Apakah ada yang berserban berwarna merah dan ada pula yang berserban berwarna putih ataupun serban itu mempunyai dua jalur warna, merah dan putih laksana bendera Indonesia ataupun Singapura, masih tidak diketahui.

Polis ada juga membuat kenyataan betapa bilangan kumpulan jahat itu sudah pun bertambah dua kali ganda. Semasa merompak dulu bilangannya adalah lima belas orang. Kini sejak berada dalam hutan itu, bilangannya bertambah menjadi tiga puluh orang, dan mungkin lebih. Dengan lain perkataan, kini sudah ada dua platun kumpulan bersenjata secara haram yang sedang dikepung oleh pasukan tentera yang berjumlah 2,000 askar itu.

Di sini muncul satu soalan: Bagaimanakah kumpulan yang dikatakan mengandungi orang Melayu, India dan Iban boleh berkumpul di hutan itu sambil memakai kopiah dan sarban?

Semalam kita diberitahu mereka ini adalah satu pasukan yang memang pakar dengan senjata. Kalau begitu, apakah perlunya mereka mencuba senjata yang dirompak itu dengan menembaknya di angkasa sambil bertakbir? Apakah mereka sengaja mahu menarik perhatian pasuakan tentera kerajaan yan sedang mengepung mereka itu? Kalau memang pakar senjata apakah mereka perlu lagi menguji setiap senjata yang ada?


Bermulanya Episod Yang Mencurigakan

Tersebarnya kisah permulaan episod RAW ini sudah diterima oleh sebahagian rakyat negara ini dengan perasaan yang penuh curiga. Mereka tidak perlu mengetahui apakah tujuan sebenarnya rompakan itu dilakukan. Mereka juga tidak perlu tahu secara terperinci jenis senjata dan bilangannya yang dilarikan. Mereka lebih senang membuat penganalisan apakah motif sebenarnya episod itu dimulakan.

Rompakan dilakukan di dua kem tentera yang berasingan. Jarak jauh di antara dua kem itu adalah sekitar tiga empat puluh kilometer. Dengan perjalanan berliku di kawasan itu walaupun dilakukan di malam hari, satu jam diperlukan untuk konvoi. Lapuran akhbar mengatakan rompakan pertama terjadi pada jam (lebih kurang) 3.15 pagi dan rompakan di kem yang lagi satu pada jam 4.15 pagi. Maklumat yang rasmi melapurkan betapa 15 orang perompak yang berpakaian seragam tentera telah menggunakan tiga buah kenderaan 'Pajero' untuk alat pengangkutan mereka. Tidak disebut pula kenderaan lain yang digunakan untuk mengangkut kelengkapan perang yang dirompak itu. Hanya MGG Pillai ada menyebut penggunaan trak muatan 3 tan bagi tujuan tersebut. Nampaknya MGG Pillai lebih terkini daripada semua media massa tajaan kerajaan.

Kalau kita lihat peta kawasan di mana rompakan dilakukan kita akan dapati jalan yang paling sesuai untuk melarikan diri ialah ke arah utara menghala ke Pengkalan Hulu. Pekan ini yang dulunya diberi nama Keruh, adalah amat hampir kepada sempadan Siam. Dari situ perjalanan boleh membawa kita ke Baling yang juga berada di sempadan negara dengan Thailand.

Mungkin tidak ramai pembaca yang pernah memandu ke kawasan pergunungan Gerik yang menghala ke Baling. Kawasan ini memang bergunung-gunung. Tetapi daripada Gerik ia nampak rata dan rendah sahaja, kerana itu adalah satu permulaan perjalanan yang jauh dan berbahaya. Satu ketika dulu, perjalanan itu memang amat berbahaya. Tetapi kini, jalan baru sudah dibuat dengan membelah kawasan pergunungan untuk memudahkan perjalanan daripada Gerik ke Kelian Intan dan menghala ke Pengkalan Hulu. Perjalanan daripada Gerik ke Pengkalan Hulu adalah satu perjalanan yang lebih meyakinkan kalau mahu melarikan diri. Di kawasan yang bernama Tanah Hitam terdapat bekas lombong bijih jenis terdedah ('open-cast-mine') yang satu ketika dulu dipunyai oleh Rahman Hydraulics. Di bukit yang tinggi itu kita masih mampu melihat kesan tapak perlombongan terbuka ini kerana masih lagi terdapat tiang besar yang diperbuat dariapda besiwaja. Dari tiang besi inilah tergantungnya tali kabel yang mengangkut bijih besi ke kilang. Yang menarik sekali di tempat ini, ialah terdapatnya perigi lama dan terowong lama yang bersimpang siur hasil penerokaan orang Siam di satu ketika sebelum datangnya kuasa British di negara ini. Oleh kerana tempatnya tinggi dan terdapatnya terowong yang merupakan laluan pintas ke sempadan dua negara, kawasan ini amat sesuai untuk perompak melarikan diri mereka. Sebarang usaha pihak kerajaan menghambat mereka ataupun mengepung mereka akan menyulitkan operasi itu dan membahayakan nyawa.

Kalau niat sebenar perompak itu adalah untuk mencuri dan merompak kelengkapan perang, mereka sepatutnya lari arah ke Baling. Segala unsur melarikan diri dan keupayaan untuk menggunakan jalan alternatif seandainya dikesan dan diserang lebih meyakinkan sesiapa sahaja menggunakan jalan Gerik ke Baling itu daripada Gerik ke Kuala Kangsar. Inilah unsur-unsur yang digunakan oleh Chin Peng dan Rasyid Maidin (Ketua parti Komunis Malaya satu ketika dulu) ketika mereka sanggup untuk berunding secara terbuka dengan Tunku Abdul Rahman dan David Marshall di Baling. Malahan, walaupun masa sudah lama beredar, kalau kita pergi ke Baling masih lagi banyak unsur-unsur lama yang terdapat di pekan itu seolah-olah ia berada pada satu masa yang dibekukan ('time-warp'). Contohnya ialah menara jam yang dibina pada 31.8.57 yang terletak di pintu masuk masjid pekan itu. Jam yang terletak di bahagian atasnya sentiasa menunjukkan waktu yang menghampiri 12.00 sahaja, sejak sekian lama.

Oleh kerana pekan Pengkalan Hulu adalah merupakan satu pekan kecil yang lebih dihuni oleh orang daripada Pattani, adalah amat mudah sekali kalau para perompak itu melarikan diri ke pekan ini kerana mudah menyusup ke seberang sempadan. Kenapakah mereka tidak lakukan semua ini? Kenapakah merek sanggup berpatah ke arah selatan untuk melarikan diri? Mungkin soalan ini sudah dijawab dengan bertambahnya bilangan kumpulan itu di Jenalik Hulu. Tetapi, dari manakah mereka bertemu untuk menambahkan kekuatan?

Kalau kita mahu mengambil kira laporan terakhir di TV, kini sudah terjumpa beberapa buah kereta yang tersorok di satu pekan. Dalam kereta itu ada identiti tuanpunya kereta dan juga kad identiti serta nombor keahlian kumulan agama mereka. Kereta itu tersimpan di sebuah bengkel kereta yang dipercayai bertanggungjawab mengecat tiga biji Pajero yang digunakan itu.

Terjumpanya kereta persendirian mereka itu amat mengelirukan lagi. Bukan kereta itu yang membuatkan kita keliru. Tetapi terjumpanya kad yang menyerlahkan identiti setiap ahli yang terbabit, kerana kad itu adalah kad keahlian mereka dalam kumpulan ajaran agama. Bagaimanakah agaknya kumpulan ini mampu sengaja menyimpan kad ajaran agama (yang mereka tahu ditakrifkan sebagai ajaran agama sesat oleh kerajaan) sebegitu mudah dalam kereta mereka?

Lapuran terbaru mengatakan seluruh kawasan persekitaran Jenalik diperintahkan berkefiu (curfew) bermula jam lapan malam hingga enam pagi. Ini yang membuat keadaan tegang menjadi lebih sensasi. Bermacaam andaian boleh dibuat lagi. Orang kampung tidak mudah tidur lena, terutama sekali orang Sauk yang memang amat rapat persaudaraan mereka di kalangan perkampungan persekitaran di situ. Tentu mereka berbincang sesama sendiri apakah kesudahannya drama yang terkini itu. Apakah akan berpanjangan sehingga munculnya 31.8.00 ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan? Tetapi, tentu banyak lagi soalan yang lebih penting yang memerlukan jawapannya: Siapa yang akan menampung kerugian kalau durian yang runtuh tidak berkutip dan dijual? Siapa yang akan membayar ganti rugi kalau penoreh getah tidak boleh turun ke tanah? Siapa pula yang akan memberi jaminan agar ayam dan itek yang terbiar di kampung halaman tidak dicuri orang di tengah malam.


Soalan Misteri

Salah satu soalan yang memerlukan jawapan segera ialah bagaimanakah ada askar kerajaan yang cedera kalau perompak tidak menyerang mereka? Mereka mungkin terkena peluru yang jatuh dari angkasa. Bukankah para perompak itu dikatakan sedang menguji senjata mereka? Yang anihnya kalau terkena peluru sesat tanpa disasar oleh para perompak, bagaimanakah askar kerajaan itu tidak pun mengalami pendarahan? Jenis peluru apakah yang mengena badan tanpa mengeluarkan darah? Lihat akhbar perdana hari ini (5/7/00) askar yang terkena tembakan itu mampu diberi balutan bandage dengan bajunya tersangkut di badan. Inilah gambar yang amat mencurigakan rakyat biasa di negara ini.

Rakyat memang tahu kalau askar kita kena tembakan secara 'direct' tentu ada yang rabak bahunya. Tetapi kalau terkena peluru daripada udara tidak begitu bahananya. Namun, mesti ada luka dan berdarah juga. Tetapi, yang peliknya perkara ini tidak berlaku. Askar itu dikejarkan ke hospital Taiping pula. Kenapa tidak ke hospital Kuala Kangsar? Yang dimasukkan ke Taiping itu kenapa pula dilarikan ke hospital Ipoh? Bukannya serius sangat lukanya kalau dia mampu keluar daripada hospital sambl berjalan kaki.

Perang bermalaikat sabung berjuara, adalah satu pepatah Melayu yang muncul setelah orang melayu mengenal ajaran Islam. Ia membawa erti betapa kita sebagai umatNya perlu berusaha tetapi Dialah yang menentukan berjaya tidaknya usaha rencana itu. Mungkin pepatah ini digunakan sebagai pedoman juga oleh para perompak yang kini sudah berjumlah lebih tiga puluh orang ramainya. Gelagat mereka itu yang menjadi soalan kita kini.

Memang banyak soalan lain yang penting lagi. Tetapi, apa juga soalan yang akan muncul itu tentu ada satu soalan yang paling penting lagi: Siapakah sebenarnya perompak yang memakai serban itu? Siapakah gerangan imam besar mereka dan di mana?


Panglima Sauk
5 Julai 2000