Laman Webantu   KM2A1: 4908 File Size: 5.5 Kb *



TDPWN 1: Prakata - Manusia Berhati Syaitan - Anak Didik Raja Penyangak
By Khalid Jafri

8/7/2001 9:37 am Sun

[Setengah pihak mungkin merasa sedikit anih mengapa kami menyiarkan tulisan Khalid Jafri mengenai Daim. Memang kami ada jawapannya - kerana setiap maklumat (benar atau palsu atau luarbiasa) mestilah ada yang memberinya. Khalid Jafri adalah penulis yang kurang cerdik kerana dia telah mendedahkan dengan siapa dia bekerja sebenarnya.

Khalid seperti mendapat maklumat dari pihak tertentu yang sudah lama bekerjasama dengannya - malah mereka memberi lebih banyak kerjasama dengannya daripada pihak yang sewajarnya (seperti BPR misalnya). Kenapa agaknya dan siapakah yang memberinya jika tidak seorang yang memang tahu belaka kerana dialah raja segala raja yang tidak boleh dilanggar titahnya?

Khalid Jafri adalah penulis terbuang yang tidak bermaruah yang akan diambil oleh orang yang terbuang dan tidak bermaruah juga - cumanya mereka masih belum dibuang sahaja. Tulisannya berciri mengaibkan orang secara luarbiasa dan berleluasa - sebiji serupa dengan cara 'sidia itu' bekerja.
- Editor
]


Ihsan FeU


Siri Tun Daim Penyangak Wang Negara

PRAKATA

Manusia Berhati Syaitan - Anak Didik Raja Penyangak


Jika ada (sepatutnya anda) memelihara ayam, musang jangan dijinakkan. Peribahasa ini mengingatkan rakyat malaysia betapa ikhlasnya Raja Penyangak Malaysia Mahathir Mohammad menjinakkan Datuk Sri Anwar Ibrahim dari seorang pengkritik kerajaan yang bermulut lantang sehingga menjadi anak sabungnya.

Dengan tabah dan sabar mahathir menjinakkan Anwar sehingga muncul perwatakan pemimpin yang jitu dan ideal untuk menjadi pemimpin utama negara.

Rupa-rupanya Mahathir memelihara musang yang berbulukan ayam. Bukan saja ayam betina jadi sasaran, ayam jantanpun dikebasnya. Jika di hulu airnya keruh, tak dapat tidak di hilirnya keruh juga.

Bagi Mahathir mahu menyempurnakan maksudnya. Jika tak lalu dandang di air, di gurun di rangkakkan. Beliau mahu penggantinya juga seorang yang amanah dan jujur bukan saja pada dirinya tetapi kepada bangsa dan negaranya.

Selepas kekecewaan beliau terhadap Anwar, kini muncul pula masalah baru. Masalah penyangak wang negara.

Mahathir yang memberi tanggungjawab kepada Tun Daim Zainuddin untuk memikul amanah kewangan negara telah disalah-gunakan sehingga boleh mengakibatkan negara jatuh miskin. Tun, keluarga dan kroni-kroninya bertambah kaya raya.

Rupa-rupanya Mahathir telah memelihara dua ekor musang yang cuba dijinakkan, akhirnya membaham semua ayam di kandang.

Dari kriteria kelayakan, Daim tidak layak menjadi Menteri Kewangan untuk mengendalikan kewangan negara kerana dia pernah bangkrap sewaktu berniaga garam dahulu. Ini bererti Daim tidak tahu berniaga sehingga menjadi bankrap. Kerana itu beliau menjadi gelojoh dan rakus seperti kudung mendapat cincin apabila diberi kuasa mengendalikan kewangan negara.

Dari seorang bankrap Daim kini menjadi multi-bilionaire dengan menyimpan wang dan harta-bendanya di luar negara dalam bank-bank kepunyaan sendiri di Switzerland, Poland, Hungary, Maurititus, Namibia, Mozambique, Myanmar dan Cambodia.

Kalau Soros dianggap sebagai penyangak matawang antarabangsa, maka Daim pula penyangak wang negara dan pengganas ekonomi.

Kita amat terharu dan simpati kepada PM yang berjaya memprojekkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan sehingga ramai pelabur asing menanam modal di Malaysia.

Mahathir juga banyak jasa kepada rakyat negara dengan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan yang meletakkan kedudukan ekonomi kita terkukuh di rantau ini (hoooohooohooo!!!)

Kita juga berbangga dengan kebijaksanaan beliau meletakkan Malaysia di mata dunia sebagai pusat IT yang tercanggih di Asia melalui projek MSC (hoooo hooo hooo!!!)

Dari kepimpinan beliaulah menjadikan kedudukan politik Malaysia sebagai negara yang paling stabil di rantau ini (hoohoo hoooo!!!)

Tetapi malangnya segala usaha Perdana Menteri itu dimusnahkan oleh penyangak wang negara dan pengganas ekonomi yang mengambil kesempatan dari kemantapan politik dan kemajuan ekonomi negara yang dipelopori oleh Mahathir. Kita ditipu dan tertipu oleh penjenayah kolar putih yang bergelar Tun.

Rakyat negara menggesa agar kerajaan bertindak pantas bukan saja membawa Tun Daim ke muka pengadilan tetapi merampas segala harta bendanya termasuk harta keluarga dan kroni-kroni beliau yang mendapat kekayaaan menerusi projek kerajaan.

Perdana menteri akan dianggap adil dan dihormati sekiranya Daim disiasat dan dibawa ke muka pengadilan sama seperti dakwaan terhadap Anwar Ibrahim.

Jangan kerana Daim sahabat karib Mahathir maka beliau dilepaskan begitu sahaja asalkan Daim mahu mengalah dengan melepaskan jawatan-jawatannya dalam kerajaan dan parti.

Bila ini berlaku rakyat pasti akan menuduh PM tidak adil dan bersifat berat sebelah kerana hanya Anwar sahaja dihukum sedangkan kawannya terlepas daripada segala dosa pebuatannya menjadi penyamun dan penyangak wang negara yang merupakan wang rakyat.

Rakyat tidak akan mengampunkan perbuatan Daim, keluarga dan kroni-kroninya sehingga pendakwaan dilakukan.


Anak didik Raja Penyangak

Khalid Jafri
20 hb Mei 2001.