Laman Webantu   KM2A1: 4929 File Size: 24.9 Kb *



SAUK 4: RAW 3 - Meneka Identiti Imam Besar
By Panglima Sauk

10/7/2001 11:58 pm Tue

[Mahathir gemar mengejutkan orang dengan kisah dan berita yang luarbiasa sahaja yang disiarkan keseluruh negara. Itulah yang berlaku kepada Anwar dan Ku Li melalui beberapa gambar dan ilustrasi yang sengaja mahu mengaibkan. Sekarang kebakaran DTC pula membuka peluang - kali ini pemimpin pelajar pula menjadi sasaran. Sudah ada yang berpendapat inilah Sauk Versi kedua yang menggunakan api pula sebagai senjata agar ISA dapat mencekup pelajar pula.

Fokus Sauk lebih tertumpu kepada ajaran yang sesat supaya PAS dapat dilibatkan secara tempias melalui amanat Hj Hadi. Kemenangan PAS di Terengganu membuat Mahathir amat sakit hati. Kemungkinan Kedah menjadi negeri ketiga rebah semakin menghantui Umno kerana dengan pengundi hantu pun Umno tertewas juga.

Jangan lupa Ustaz Shamsuri telah dihilangkan beberapa hari untuk tujuan tertentu yang nampaknya tidak menjadi. Dan jangan lupa juga Mahathir ke Burma dulu bukan sekadar bercuti.... - Editor]


Mengimbau Kembali Tragedi Sauk

FeU

http://members.nbci.com/_XMCM/xumno/feu_panglima_sauk03.html

Episod Regimen Askar Wataniah

Meneka Identiti Imam Besar

Oleh: Panglima Sauk

Hari ini masuk hari yang ke-5 episod rompakan kelengkapan perang. Orang yang merompak sudah pun dikesan; sedang sesak nafas di hutan Jenalik Hulu. Kemana perginya sebahagian besar kelengkapan perang itu, masih belum ada sesiapa yang tahu. Pihak polis cuma mampu tahu akan keadaan dua orang perisik polis yang kini menjadi tebusan perompak yang terkepung. "Mereka dalam keadaan selamat," kata polis. Tetapi, bagaimana polis boleh tahu sedangkan pihak perompak itu tidak pun pernah berurusan telefon dengan pihak kerajaan? Ataupun sudahkan ada satu usaha berbalas-ucapan dan perundingan untuk menyelesaikan keadaan 'impasse' itu tanpa diketahui oleh para pemberita akhbar yang berpusu di situ?

Nampaknya episod rompakan kelengkapan perang ini lebih rumit dan kelamkabut daripada apa yang disangkakan selama ini. Terlalu banyak teka-tekinya kerana terlalu banyak muslihatnya. Soalnya sekarang siapakah yang menimbulkan teka-teki dan siapakah sebenarnya yang menerajui operasi mengepung kumpulan bajingan itu. Pihak PDRM kah ataupun pihak Atm kah?

Memang, semakin bertambahnya hari pergolakan di Jenalik Hulu itu, semakin ramai rakyat di negara ini yang tertanya-tanya "Apa sebenarnya kisah benar episod RAW ini?". Ada yang masih tidak percaya dengan cerita yang disiarkan walaupun semua cerita yan diterbitkan di media perdana adalah daripada sumber yang sama. Semua jalan cerita itu seirama dan sehaluan sahaja, semakin ramai rakyat yang tidak percayakannya. Kenapa? Bukankah di kawasan hutan itu semakin kuat bunyi dentuman yang kedengaran dan semakin galak pula tembakan yang jelas didengar? "Ah.......sesiapa pun boleh melakukan skrip tembak menembak....Tembak sahaja arah ke atas, peluru yang naik meninggi, semangat pun naik sama.." Demikian kata seorang veteran perang dunia ke-dua yang mengikuti perjalanan episod itu melalui telefon dengan saudaranya di Kampong Ngor.

Siapa yang Lebih Cekap: Polis ataupun ATM

Kalau ada satu soalan cepumas yang perlu dikemukakan dalam episod ini ialah 'Siapa yang Lebih Cekap: Polis ataupun ATM?' Inilah satu soalan yang amat mencurigakan beberapa pihak di negara ini. Kes yang berlaku adalah satu episod yang melanda Angkatan Tentera Malaysia. Pasukan 'askar' yang menyamar itu telah merompak kem tentera dan bukannya balai polis. Yang mereka gunakan untuk menyamar adalah pakaian dan kelengkapan ketenteraan. Operasi mengesan mereka sedang dilakukan oleh ATM. Tetapi, setiap kenyataan yang dibuat kepada pihak akhbar keluar daripada mulut Ketua Polis Negara. Inilah yang menjadikan perkara ini semakin pelik. Kenapakah pegawai tinggi angkatan tentera tidak membuat ulasan dan kenyataan kepada akhbar? Apakah mereka tidak cekap membuat liputan akhbar seperti yang dilakukan oleh pegawai polis? Adakah anggota polis yang digembeling sama untuk memburu dan mengepung pasukan perompak itu sehinggakan segala maklumat yang diberikan kepada orang awam mesti dilakukan oleh pegawai polis?

Gelagat yang dilakukan oleh pihak polis yang seolah-olah direstui oleh pucuk pimpinan ATM sedang diperhatikan oleh rakyat dengan teliti. Yang lebih berminat dalam perilaku ini adalah anggota tentera di seluruh negara. Ramai di antara mereka yang merasa malu dengan perjalanan episod ini. Mereka tahu betapa episod rompakan itu adalah sesuatu yang cukup misteri kerana ia dilakukan dengan bijaksana setakat perampokan kelengkapan perang itu. Tetapi, apabila tiba kepada sinario melepaskan diri dengan 'harta karun' itu nampak sangat para perompak itu sudah hilang tahap professional mereka. Kenapakah mereka turun ke arah Selatan dengan harta rompakan sedangkan mereka mudah lari dan menyelinap ke sempadan?

Kemudian muncul pula cerita bagaimana pasukan perompak itu menembak ke udara kerana mengikut Ketua Polis Negara: "Mereka cuba memeriksa senjata rompakan itu ." Bukankah Ketua Polis Negara yang mula-mula sekali melaporkan betapa perompak itu adalah pakar senjata berat-berat? Kalau sudah pakar apa perlunya mereka menembak ke udara? Bukankah itu satu cara mereka memberitahu seluruh dunia di mana lokasi mereka agar mudah dikesan oleh sesiapa yang mahu mengejar ataupun menyerang hendap? Ketua Polis Negara ada menyebut kumpulan ini satu kumpulan pengamal ilmu kebathinan. Betulkah cerita itu?


Perompak Upahan?

Sejak tercetusnya episod RAW ini, penulis telah mendapatkan pandangan beberapa pegawai ATM yang berpengalaman yang berbagai pangkat dan tahap kepintaran mereka. Daripada mereka yang berpangkat Sarjan hinggalah ke pangkat Panglima, episod RAW ini telah dibincangkan dengan panjang lebar sambil menggunakan peta terkini 'Grid Map' kawasan yang melibatkan operasi perompak kelengkapan perang itu. Malahan satu kajian menyeluruh di buat bermula daripada Taiping hingga ke Ijok dan menghala ke Lenggong. Kajian ini dibuat setelah menerima lapuran risikan tentera (yang masih berkhidmat) betapa segelintir manusia yang berpakaian celoreng memang kelihatan membeli durian dan manggis pada pagi Sabtu; yakni kira-kira dua belas jam sebelum terjadinya kejadian rompakan itu. Dengan lain perkataan, sesiapa yang cuba berkumpul untuk 'melaporkan diri' sebelum misi rompakan itu telah mula berkumpul di pekan Ijuk itu menikmati durian Ijuk dan B.Kurau yang memang terkenal serata negara itu.

Dalam membuat penilaian akan tahap profesionalisme kumpulan perompak itu beberapa faktor telah diambil kira, termasuklah lapuran terkini daripada semua sumber yang termampu diraih oleh kumpulan penganalisa ini. Diperturunkan di bawah ini pandangan yang dicapai oleh kumpulan tersebut:



  1. Banyak bukti menunjukkan bahawa apa yang dipanggil sebagai perompak ataupun penjenayah oleh pihak kerajaan adalah satu kumpulan askar upahan (mercenary) yang melakukan satu kerja keji yang terancang seolah-olah kerja itu adalah satu tugas persis 'mission impossible';

  2. Tidak nampak sebarang bukti yang kerja-kerja merompak kelengkapan perang itu bertujuan kommersial, melainkan ada bukti lanjut yang menunjukkan alat perang yang dicuri itu sudah terjual ataupun sudah dilarikan ke negara luar;

  3. Segala episod harian yang dilapurkan kepada media massa dan diikuti dengan butiran aksi-aksi itu adalah amat bertentangan dengan amalan merahsiakan pergerakan membenteras jenayah. Memandangkan kelengkapan yang dicuri itu jenis senjata berat, jumlah yang diterangkan sudah melanggar etika profesionalisme ketenteraan. Malahan, pendedahan segala taktik perompakan oleh pihak polis adalah satu pelanggaran kepada etika profesionalisme ketenteraan dan kepolisian juga.

  4. Sebarang cara untuk mencegah jenayah itu dan taktik yang akan digunakan untuk memerangkap penjenayah yang dikatakan terkepung itu sepatutnya dirahsiakan. Tetapi, pendedahan oleh pihak polis kepada umum adalah sesuatu yang difikir pelik. Lebih pelik lagi, apabila segala lapuran taktik dan butir-butir yang bersangkutan dengannya itu dibiarkan oleh pihak pemerintah ATM menjadi bahan penerangan oleh Ketua Polis Negara.


Apakah Kesannya?

Demikian antara pendapat dan pandangan beberapa veteran perang yang pernah mewarnai perkhidmatan ATM negara ini. Sungguh menakjubkan penganalisan mereka. Kalau semua pendapat itu dituliskan di sini ia akan menaikkan satu semangat juang kepada rakyat negara ini yang cintakan negaranya. Cukuplah kalau dituliskan di sini, pandangan ini menunjukkan ada unsur-unsur :



  1. mengalihkan pandangan dan perhatian rakyat negara ini daripada isu negara yang lebih besar masakini. Contohnya ialah dakwaan rakyat betapa korupnya kepimpinan negara ini bersandarkan apa yang diceritakan oleh Dato Shafie bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah satu ketika dulu.

  2. Unsur mengalihkan penelitian dan minat rakyat dengan memburukkan pasukan ATM adalah satu usaha yang amat berbahaya. Yang paling terserlah ialah taktik memperlekehkan ATM dan cuba menonjolkan imej Pasukan PDRM yang sudah lama tercemar disebabkan korupsi, kollusi dan segala bentuk amalan kurang baik yang berpihak kepada kumpulan samseng dan kerja-kerja maksiat secara bersindiket.

  3. Besar kemungkinannya, taktik memperlekehkan ATM dirancang dan direstui oleh peringkat pemerintahan yang tertinggi di negara ini. Impaknya mungkin tidak terbayang oleh pucuk pimpinan parti politik yang memerintah. Tetapi, inilah salah satu penggerak yang memungkinkan munculnya satu kumpulan yang tidak puas hati di kalangan ATM yang akan bangki untum memberontak. Imej ATM memang tegugat kini disebabkan beberapa insiden yang membabitkan pembikinan infrastruktur yang memalukan ATM sendiri. Tetapi, kelunturan imej itu adalah disebabkan budaya korupsi yang berleluasa dalam pucuk pimpinan parti yang memerintah yang bertanggungjawab dengan pembikinan infrastruktur itu. Kepimpinan ATM tidak boleh disalahkan dalam hal ini. Tetapi, kepimpinan ATM yang ada boleh disalah-ertikan oleh anggota ATM sebagai satu kumpulan yang lemah yang mudah dikuasai dan dikuda oleh ahli politik negara ini. Pucuk pemerintahan ATM sendiri bertanggungjawab dalam hal ini kerana membiarkan dirinya dijebak oleh budaya korupsi dan songlapan yang paling jijik dan dilakukan di tahap paling tinggi pemerintahan negara.

  4. Gejala pemerintahan yang korup sepatutnya menjadi pemerhatian ATM. Apabila ATM tidak mampu memainkan peranan yang bersih untuk membendung gejala ini bererti ATM sendiri membuka ruang untuk berlakunya pemberontakan ataupun 'mutiny' di kalangan warga ATM itu sendiri. Ini merupakan satu tradisi ketenteraan di mana juga terutama sekali di negara Dunia Ketiga.

  5. Jikalau kita buat kajian mendalam akan negara pengamal demokrasi yang akhirnya bertukar mengamalkan pemerintahan tentera (military junta, military chieftain dan sebagainya) kita dapati penukaran sistem itu adalah disebabkan terdapatnya kelemahan dalam pemerintahan sistem demokrasi itu sendiri. Inilah yang telah berlaku kepada Nigeria, Ghana, Ivory Coast, Algeria, Tunisia, Libya, Mesir, Uganda, Chad, Somalia, Ethiopia, Eriteria, Chile, Brazil (untuk satu tempoh yang lama), Panama, Pakistan, Indonesia, dan banyak lagi yang mungkin tidak dapat diingat ketika penulisan ini.


Tergugatnya Demokrasi Malaysia

Ketua Polis Negara ada menyebut betapa kumpulan penjenayah yang dikepung itu adalah satu kumpulan pengamal ajaran kebathinan. Kalau begitu, apakah tindakan mereka itu mahu melakukan huru-hara? Siapakah yang mengeluarkan teori ini sehinggakan Ketua Polis Negara sanggup mengeluarkan kenyataaan seperti itu? Satu ketika dulu, Al Arqam kepimpinan Ustaz Azhari telah menunjukkan gelagat yang dianggap menyalahi kesucian agama. Tetapi, ia memakan satu masa yang sungguh panjang untuk kerajaan menghitamkannya. Bagaimanakah kali ini, Kumpulan Kebathinan ini boleh dikesan begitu cepat hanya setelah mereka meerompak senjata? Boleh diterima akalkah dakwaan ini. Di Malaysia kalau sesiapa mahu membuat huru-hara dia tidak perlu merompak kem tentera. Mahathir sebagai Perdana Menteri sudah memberikan ajaran terang-terangan bagaimana mencetuskan huru-hara. Gunakan bom molotov (molotov coktail) sudah memadai. Bukankah itu yang dilakukan oleh budak sekolah dan juga para agen ceti haram sejak enam bulan yang lalu? Sedangkan ajaran itu Mahathir uacapkan sebagai tohmahan yang ia akan dilakukan oleh pemuda KeADILan.

Pendedahan Norian Mai itu sebenarnya memberikan satu konotasi yang amat berbahaya dan beliau harus bertanggungjawab dengan tuduhannya itu. Rakyat yang cintakan keharmonian negara tentu kurang senang dengan kenyataan yang dikira melulu itu. Kini, Norian Mai mesti membongkarkan semua rahsia yang dia tahu akan pergerakan ini. Satu ketika dulu Hamid Othman pernah mendedahkan "adanya lebih satu ratus kumpulan tabligh dan tarikat yang sedang diawasi oleh pihak kerajaan." Apakah kumpulan kebatinan yang dimaksudkan oleh Norian Mai in termasuk dalam kumpulan yang dimaksudkan oleh Hamid Othman? Kalaulah kumpulan ini dikira kumpulan ajaran agama, apa pula pendapat Hamid Othman dalam hal ini. Tentu sekali rakyat mahu tahu apa nama kumpulan itu. Tentu sekali masih ramai ahli kumpulan yang berleluasa dan tidak terperangkap di Hutan Jenalik. Yang penting sekali, tentu kita tidak mahu mengetahui secara terlambat bahawa jiran yang kita percaya sekian lama ini adalah seorang ahli kumpulan yang merompak alat kelengkapan perang.

Reaksi Awal Terhadap Kumpulan Kebathinan

Apabila Norian Mai membuat satu kenyataan yang membabitkan ajaran agama, tentu sekali dia maksudkan kumpulan yang merompak itu mengamalkan ajaran sesat? Malahan kita diberitahu oleh akhbar ada orang kampung yang melihat ahli kumpulan itu sengaja menembak ke udara untuk menaikan semangat mereka sambil bertakbir. Bukankah itu yang dilaporkan oleh akhbar dan mengaitkannya kepada Norian Mai?

Rakyat pada keseluruhannya tidak mudah percaya dengan kenyataan seperti itu kerana setakat ini tidak ada askar yang mengepung itu yang mati ataupun tercedera kerana tembakan daripada ahli kumpulan agama yang dikepung itu. Lagipun kalau sesaorang yang mempelajari ilmu kebatinan dia sebenarnya mampu menolak penggunaan sebarang jenis senjata samada besi tajam ataupun besi yang memuntahkan peluru.

Secara kasarnya ilmu kebatinan, samada dipelajari oleh orang yang beragama Islam ataupun agama bukan Islam, mengajar pengikutnya menggunakan pancaindera yang sedia ada untuk mengawal mindanya untuk menguasai persekitarannya. Contoh yang paling baik ialah siri TV lakonan David Caradine yang sungguh popular itu. Contoh yang paling selekeh yang boleh kita petih dalam suasana persekitaran Melayu ialah 'mainan' anak anak di Parit yang sudah pun dikomersialkan kini dengan nama Cakra Alam. Di persisiran Sungai Perak ada satu mainan kanak-kanak yang mirip pengawalan minda di mana anak-anak diajar mengawal minda sehingga mereka mampu menggantung sudu dan garpu di dada mereka. Orang putih kata 'mind over matter'. Inilah mainan orang Melayu yang diturunkan secara mainan juga kerana orang Melayu dulu-dulu menganggap perkara ini satu mainan.

Mainan yang kini dikomersialkan dengan nama semacam 'Mengawal Alam' itu sebenarnya hanya cebisan apa yang orang Melayu Islam tahu mengenai ilmu kebatinan. Keutuhan ilmu kebatinan boleh dilihat kepada keunggulan orang melayu keturunan Jawa yang mengamalkan 'Petigeni'. Ini adalah ilmu kebatinan yang bersandarkan ajaran agama Islam dan memerlukan berbanyak amalan serta berzikir sepanjang masa. Kerana itu kita dapati cerita bagaimana orang Belanda menulisnya dulu. Kalau ada orang di Malaysia ini yang mengamalkan ilmu ini sudah tentu dia mampu masuk Putrajaya tanpa perlu mengambil pas keselamatan. Mungkin Mahathir ataupun Norian Mai tidak percaya akan perkara ini. Tetapi, masanya akan tiba apabila keunikan ilmu ini akan terserlah juga.


Ilmu Kebatinan Tidak Memerlukan Senjata.

Semua orang tahu bahawa ilmu kebatinan tidak memerlukan sebarang senjata. Semua pancaindera yang ada adalah senjata yang semula jadi. Dengan menuduh kumpulan bersenjata di Jenalik itu sebagai kumpulan ilmu kebatinan sebenarnya Norian Mai menunjukkan betapa gelabahnya pihak kerajaan sekarang ini dalam usaha mengabui fikiran rakyat. Sebenarnya inilah kelemahan pentadbiran Mahathir yang amat besar.

Sejak pemerintahan kerajaan Mahathir bertukar wajah kepada satu rejim kukubesi kita kerap disogokkan dengan beberapa maklumat songsang. Yang terbaru ialah munculnya kumpulan agama ilmu kebatinan yang kini merampas kelengkapan perang dan menyorok di hutan Jenalik. Dengan menuduh kumpulan itu sebagai pengamal ilmu kebatinan ia membawa erti pihak kerajaan sudah terlalu gelabah untuk menipu rakyat lagi. Satu ketika dulu kumpulan Al Arqam dianggap berbahaya kerana ajaran sesatnya. Tetapi, kini kumpulan itu masih bergerak lagi cuma tanpa jubah hijau dan sarban hijau mereka. Ekonomi mereka masih lebih mantap kerana berjaya mengelak daripada tekanan ekonomi negara yang merudum. Hampir semua kumpulan nasyid yang popular kini adalah serpihan perkumpulan Al Arqam juga. Walaupun mereka sudah menukar identiti, kumpulan itu masih mampu berinteraksi dan mampu menegakkan ekonomi orang Melayu. Lantas, ramai yang berkata usaha kerajaan menggembar-gemburkan momokan terhadap Al Arqam dulu adalah satu muslihat politik juga yang didalangi oleh seorang jeneral tentera yang hampir mahu bersara.

Apakah tidak mungkin episod RAW ini ada didalangi oleh kumpulan gembar-gembur yang melibatkan jneral bersara yang sama dan disokong kuat pula oleh seorang senator yang baru sahaja dilantik setelah kalah di pemilu-10 dulu?

Dengan terdedahnya kenyataan bahawa kumpulan perompak bersenjata itu adalah kumpulan agama songsang, kerajaan dan juga pihak polis sudah mendedahkan satu idea betapa negara ini dalam bahaya disebabkan kumpulan ajaran agama yang tidak direstui oleh JAKIM. Apakah ini satu hasil terbesar sejak penubuhan MATIN?

Soalnya sekarang kalaulah kumpulan ini sah merupakan satu kumpulan pengamal ajaran agama songsang tentu sekali mereka telah diawasi begitu rapi. Tentu sekali pergerakan mereka diketahui lebih awal lagi. Bagaimanakah boleh terjadinya kumpulan ini mampu melancarkan serangan ke atas dua kem tentera tanpa ada sesiapa yang dapat menghidunya?

Sekarang saya mahu tanya Norian Mai dan juga Mahathir apakah kumpulan pengamal ilmu kebathinan ini mengangotai pertubuhan politik di negara ini? Apakah mereka menjadi ahli PAS? Adakah mereka ini ahli PKN ataupun lebih dikenali sebagai KeADILan ?

Rakyat perlu jawapan kepada dua soalan di atas kerana majoriti rakyat sudah lama 'fed-up' dengan taktik Mahathir memerintah negara ini. Semakin lama dia berkuasa kita lihat dia semakin menunjukkan kukubesi kekuasannya itu. Apa yang dicurigakan oleh rakyat akan kemungkinan pihak kerajaan merancang gerombolan bersenjata ini dan melabelkannya sebagai satu kumpulan pengamal ajaran sesat yang mahu mengambil kuasa pemerintahan secara kekerasan. Apabila mereka ini dikatakan pula menjadi ahli PAS, sekaligus kerajaan mahu membabitkan mereka dengan pejuangan PAS?

Jangan Perlekeh Kesabaran Rakyat

Apa juga yang akan berlaku dalam episod rompakan kelengkapan perang ini, ada satu pesanan yang baik kita rakamkan untuk perhatian semua pemimpin politik di negara ini. "Jangan Perlekeh Kesabaran Rakyat" Pesanan ini kita kirimkan kepada semua pemimpin politik di negara ini. Tidak kira sama ada mereka sedang berkuasa sebagai wakil rakyat ataupun tidak. Semakin jelas kini, rakyat sengaja diperlekehkan. Mahathir dan para pemimpin Barisan nasional sudah semakin tergugat dalam skala populariti di negara ini. Pada keseluruhannya rakyat yang cintakan keharmonian negara mahukan Mahathir mengundurkan dirinya sebelum terlambat. Orang Cina mahukan Ling Liong Shik bersara, orang keturunan India mahukan Samy Vello bersara, ahli parti Gerakan mahukan Dr. Lim turut bersara. Kenapa? Kerana mereka dianggap sebagai sudah terlalu lama bertakhta dan sudah tidak mampu mmimpin negara ini ke alaf baru. Di waktu yang sama riak-riak ketidaksenangan orang Melayu beragama Islam terhadap pucuk pimpinan PAS pun semakin terserlah. Cuma tahap ketidaksenangan itu belum mencapai tahap meluat ataupun getek seperti yang dikatakan oleh Megat Junid.

Ketidaksenangan rakyat ada kait mengait dengan tidak kepuasan terhadap kepimpinan mahathir. Kerana itu rakyat secara keseluruhannya menunggukan kes pendakwaan terhadap Mahathir kerana rasuah. Tetapi rakyat faham keadaan institusi kerajaan yang sudah dimonopoli oleh Mahathir. Kerana itu rakyat sanggup bersabar kerana memikirkan usia Mahathir sudah melebehi tahap maghrib dan satu hari terdekat dia pasti mengundurkan dirinya. Samada pengunduran itu secara terpaksa ataupun secara sukarela adalah satu soalan yang lain pula.

Haikatnya rakyat bersabar kini dan akan terus bersabar. Tetapi, pelbagai insiden yang muncul menampakkan aanya tangan ghaib Mahathir yang mendalanginya. Inilah yang membuat rakyat marah. Inilah sebabnya rakyat rela menghadapi satu pergolakan pasukan tentera yang memberontak untuk menjadi satu pergerakan yang akan mengajar pemimpin kerajaan yang terlalu rakus dalam penggunaan kuasa sehinggakan harta rakyat mahu dimilikinya.

Kalaulah apa yang sedang berlaku kini, merupakan salah satu taktik terbaru Mahathir untuk terus berkuasa dan mengelakkan proses undang-undang yang sangat hampir mendakwanya, Mahathir dan Norian Mai akan merupakan dua insan yang terpaksa menghadapi risiko kemarahan rakyat. Selama ini pun rakyat sudah faham akan segala taktik pihak polis yang merencana kerja-kerja aib ketika kumpulan damai reformis berdemo di Kuala Lumpur. Daripada insiden motorsikal polis 'dibakar' kepada insiden inspektor polis 'dikepung' oleh polis yang menyamar juga hingglah kepada insiden PWTC digugat oleh kumpulan polis yang menyamar para reformasi. Ini tidak termasuk dengan segala pengaiaban yang telah ditonjolkan. Bayangkan apabila penulis terkenal Ainon Mohamad boleh dituduh sebagai pelacur murahan ketika berpiket di depan Istana Negara satu ketika dulu...!

Semalam AFP ada melapurkan betapa pihak polis menggunakan beberapa saudara ahli kumpulan yang merompak itu untuk menyerah diri. Tetapi mereka enggan. Bagaimanakah agaknya orang India dan Iban boleh termasuk dalam kumpulan kebatinan ini? Apakah mereka mempunyai ketahanan diri untuk mempertahankan 'perjuangan' mereka itu? Kenapakah tidak ditembak sahaja salah seorang mereka itu untuk menyedarkan mereka bahawa kekebalan yang ada pada mereka itu adalah sesuatu yang tidak benar?

Kita amat mengharapkan segala bukti yang ditonjolkan oleh pihak polis benar-benar ikhlas betapa kumpulan perompak itu adalah kumpulan yang bukan didalangi oleh sesiapa. Rakyat sudah semakin letih kini memikirkan terlalu banyak insiden yang sengaja ditonjolkan oleh kerajaan seperti yang berlaku kepada beberapa pemimpin muda yang meninggalakan parti Keadilan. Rakyat sudah letih memikirkan cara mereka diperbodohkan.

Semua insiden yang menunjukkan penglibatan pihak polis menghina rakyat adalah bertujuan mengekalkan kuasa Mahathir Mohammad. Kini si diktator tua ini sedang tersepit. Dia mahu melepaskan sepitan rakyat itu. Dia tidak akan berjaya. Pejuang kental Melayu di zaman dulu selalu berkata: "Perang bermalaikat, sabung berjuara" adalah satu pepatah yang harus difahami oleh Mahathir dan juga Norian Mai.

Kalaulah ada sebarang bukti bahawa episod RAW ini adalah satu muslihat politik Mahathir bererti Mahathir dan Norian Mai akan menghadapi mahkamah rakyat. Kalau kedua-dua insan ini mahu membetulkan dakwaan dan kesangsian rakyat terhadap perkara ini, dedahkan kumpulan agama yang menjurus ajaran kebatinan itu. Namakan secepat mungkin siapakah imam besar pergerakan itu. Berilah jawapannya dengan kadar yang segera sebelum terlambat sebelum rakyat dan ATM bersatu padu mencari jawapannya.

Jangan biarkan rakyat berperang dengan emosi mereka. Siapakah Imam Besar pergerakan itu?????


Panglima Sauk
6 Julai 2000