Laman Webantu   KM2A1: 4934 File Size: 11.6 Kb *



TAG SP 202: Balak Yang Tumbang Siapa Yang Kenyang
By Harun Rashid

11/7/2001 7:27 pm Wed

[Dengan membeli hartanah yang amat bergaya di luar negara nampak sangat keluarga di raja mahu menyembunyikan harta mereka dan lebih rela mengkayakan orang asing dari rakyat sendiri. Bahkan istana mereka dalam negara sendiri pun menggajikan orang asing - seolah-olah rakyat tempatan yang asyik menyanyikan lagu untukmu di sekolah dan doa untukmu di masjid setiap minggu itu langsung tidak berguna. Apakah kuda dan bekas penjajah negara itu lebih disayanginya dari rakyat sehingga sanggup berbelanja berjuta-juta untuk mendampinginya?.

Majlis Perhutanan Negara menetapkan had 6890 hektar setahun hutan simpan boleh ditebang tetapi hanya kerajaan PAS Kelantan sahaja menepati syarat ini. Bahkan kawasan yang diterokai oleh kerajaan BN sudahlah melebihi had, hasilnya jauh lebih rendah.

Sila rujuk Jadual dibawah.
- Editor
]


Terjemahan: SPAR-05-14.


Balak Yang Tumbang Siapa Yang Kenyang

(For Whom The Trees Fall)

oleh: Harun Rashid

Ada sebuah mahligai purba yang dijual pada bulan ini yang merupakan penjualan paling termahal di England. Pembelinya ialah Raja Muda Pahang. Mahligai yang mempunyai 30 kamar itu berharga 70 juta pound sterling, yang bersamaan dengan RM370 juta.

Mengikut bancian 2000, di seluruh negeri Pahang ada 63,000 perumahan yang menampung 283,000 penduduk. Kalau dicongak secara mudahnya, apa yang telah dihamburkan oleh Tengku Mahkota untuk kuda polo yang diminatinya itu adalah bersamaan dengan pendapatan setengah tahun sumber pencarian setiap keluarga di Pahang. Ini juga bersamaan dengan bayaran 25 peratus untuk membeli setiap buah rumah yang diperlukan oleh rakyatnya.

Bayangkanlah, harga sebuah rumah yang baru untuk setiap empat keluarga di Pahang, telah dibazirkan untuk membeli sebuah mahligai yang bertujuan untuk mempermudahkan permainan polo seorang anak raja di perantauan orang putih (sedangkan anak raja itu bakal mewarisi takhta daripada ayahandanya). Belanja untuk menyelia harta itu sahaja dianggarkan sekitar RM5.3 juta, yang jauh lebih tinggi daripada pendapatan orang professional di Pahang.

Kita boleh bayangkan juga kesan faedah ekonomi kepada rakyat Pahang seandainya Raja Muda tumpukan usaha untuk menaikkan taraf hidup rakyatnya daripada membazirkannya itu kepada kuda-kuda dan nafsu-nafsinya. Agama ajarannya telah mengarahkan beliau memberikan contoh yang terbaik dan bukannya menunjukkan contoh kerakusan dan pembaziran wang dan harta kekayaan yang tidak pun diperolehi melalui titik keringatnya. Dia bermain polo dengan rakan diraja Inggeris di padang mainan yang nun jauhnya, sedangkan rakyat Pahang bertungkus lumus kais pagi makan pagi, kais petang menjeruk hati.

Raja Muda memang merupakan kawan permainan polo kepada Putra Charles daripada istana Buckingham. Permainan polo memerlukan pemerhatian laksana kemahuan seorang gundek, sehinggakan tidak banyak ruang untuk melaksanakan tugasan istana ataupun persediaan untuk menyiapkan diri mengambilalih takhta diraja. Seorang tokoh radio dan penunggang kuda terkenal Amerika, Arthur Godfrey pernah berkata: 'Ada sesuatu yang terdapat pada kelakuan kuda yang sesuai untuk mencekalkan hati seseorang insan.' Dia merujuk kepada keadaan kuda yang tahan lasak, yang menyumbang kepada lanjutan usia. Tetapi tidak ada pula yang merujuk kepada kebaikan kemanusiaan.

Para menteri kerajaan yang memerintah di Malaysia walaupun bukan daripada warga istana, memang memiliki rumah dan mahligai yang besar-besar. Ramai yang mempunyai hartanah yang luas dan mahal-mahal, yang dipagari tembok tinggi yang dihiasi jeriji besi waja untuk menghiasi pintu pagarnya. Mereka menggaji pegawai keselamatan berbangsa Gurkha yang pernah dilatih oleh kerajaan British dulu dan kini ditempatkan untuk menjaga pintu masuk yang dihiasi warna emas-emasan. Pengawal keselamatan (yang diimpot khas) tidak merelakan pengambilan gambar. Memang tidak mudah untuk mencongak perbelanjaan mendapatkan segala harta itu dengan pendapatan rasmi para pemiliknya ataupun memikirkan betapa pemilikan itu benar-benar mematuhi ajaran agama Islam mereka.

Dua negeri di pantai timur, Kelantan dan Terengganu, kini ditadbir oleh PAS. Di dua negeri itu pemilikan harta oleh para pemimpin negerinya memberikan perbandingan yang amat menarik sekali.

Kedua-dua Menteri Besar PAS menduduki rumah kediaman di kampung yang sungguh sederhana keadaannya kerana itulah juga kediaman mereka sebelum memenangi pilihanraya. Mereka tidak mengamalkan cara hidup yang mewah-mewah seperti amalan orang yang terdahulu dalam kerajaan yang mereka kalahkan. Cara hidup begitu telah diamalkan oleh Menteri Besar Kelantan sejak 11 tahun yang lalu dan itu jugalah stail cara hidup yang diamalkan oleh Menteri Besar Terengganu yang baru.

Di Kelantan dan Terengganu, hari Jumaat ialah hari cuti am. Rakyat memasang badan untuk berhimpun menghadiri kuliah subuh yang diberikan oleh Menteri Besar mereka. Mereka penuhkan auditorium sehingga sendat dan jalan raya pun dipenuhi juga kerana ketiadaan tempat. Mereka datang berbondong-bondong bersama anak-anak, duduk dengan khusyuknya mendengar kuliah untuk dua jam lamanya sambil pancaran suria memanah muka. Mereka mengajak anak-anak untuk bersama agar mereka juga turut merasakan nikmat pengalaman mendekati Tuhan. Jelas di wajah terpancar keceriaan yang dihiasi senyuman. Tidak ada wajah yang berkerut sebagai lambang kehidupan perit yang menjerut. Memang jelas wujudnya kekayaan semangat kerohanian.

Memang sungguh menakjubkan melihat ramainya keluarga yang berhimpun memenuhi jalan raya untuk menghadiri kuliah yang dapat membersihkan jiwa dan membawa ketenangan minda kepada mereka yang amat memerlukannya. Kuliah semacam itu tidak wujud di bahagian selatan negara. Memang sukar mendapatkan seorang-dua pimpin yang mempunyai karisma begitu hebat yang mampu menarik perhatian umat. Memang amat beza perbandingannya. Di bahagian utara (pantai timur) wujud kekayaan rohani di tengah-tengah kemiskinan duniawi, sedangkan di bahagian selatan memang terdapat kekayaan duniawi yang dibaluti kemiskinan rohani.

Berbalik kepada kisah pembelian mahligai di England itu; pada tahap awal tersebar beritanya ramai yang menyangkakan seorang Sheikh Arab Timur Tengah adalah pembelinya. Anggapan itu bersandarkan sejarah pembelian rumah besar lama-lama di sana yang kerap diongkosi oleh hasil minyak (dan gas) - sumber asli yang turut disalahgunakan. Akan tetapi, bersalahan dengan anggapan umum itu, kali ini pembelinya ialah seorang anak raja melayu, yang turut menyalahgunakan sumber asli hasil mahsul negaranya. Pada kali ini pokok kayu di hutan rimba yang menjadi mangsa. Pokok-pokok ditebang dengan rakusnya laksana alunan simponi irama abad yang baru.

Bekas Menteri Besar Pahang memang memainkan peranan yang besar dalam pembalakan yang memberikan hasil yang lumayan. Walaupun kini sudah menjadi seorang menteri pusat, dia sudah disebut-sebut bertanggungjawab dengan kerja-kerja musibat. Tuduhan terbuka sudah dianjurkan oleh seorang wakil rakyat yang bersedia mengosongkan kerusi yang dipegangnya untuk mencetuskan satu pilihanraya yang akan menggoncangkan semua.

Akan tetapi, seolah-olah perkara ini mahu dipengapkan oleh kerajaan pusat dan juga oleh kerajaan negeri yang berpusat di Kuantan. Kebisingan yang ada hanya berpunca di tengah-tengah hutan rimba kerana semakin banyak pokok yang tumbang untuk membiayai rumah-rumah besar para menteri dan mereka yang memang sibuk dengan segala kerakusannya. Pengawal Gurkha sibuk menghalau marhaen yang sibuk mahu tahu. Kuda-kuda polo sibuk berlarian dengan penunggangnya di padang yang dikawal rapi oleh pasukan keselamatan. Mereka berlumba-lumba mengejar sebiji bola putih untuk memberikan keseronokan kepada wakil penjajah dan anak raja yang sudah menjadi anak patungnya. Inilah kesenangan yang terjamin keselesaannya.

Para menteri Malaysia sudah mengumumkan pembikinan 46 empangan, sekurang-kurang dua akan dibina di Pahang. Projek beginilah yang membolehkan penebangan hutan sehingga tanah yang luas dibiarkan terdedah untuk dihakis permukaannya oleh titisan hujan. Hakisan itu akan turun melumuri dasar sungai sehingga wajahnya yang jernih bertukar warna, berlumpur dan pekat sahaja. Inilah pembangunan negara ala otak semperit para menteri Malaysia Semua ini adalah satu kemestian untuk menjamin padang polo di England sentiasa menghijau dan ceria suasananya untuk memuaskan nafsu-nafsi kumpulan haprak yang rakus akan kemegahannya.

TAMAT

Terjemahan: SPAR-05-14.




SIAPA GONDOL BALAK BERLEBIHAN?

http://www.parti-pas.org/kelantan/balak1.html


PERBANDINGAN KELUASAN KAWASAN HUTAN YANG DITEBANG DAN HASIL YANG DIPUNGUT OLEH KERAJAAN KELANTAN KETIKA PEMERINTAHAN BN DAN KETIKA APU/PAS



Had dibenarkan tebang oleh Majlis Perhutanan Negara: 6890 Hektar setahun

Tahun Keluasan Kawasan ditebang (hektar) Hasil (RM juta)
Dalam Pemerintahan Barisan Nasional
1985 13,503 23.87
1986 43,496 30.13
1987 33,870 33.13
1988 27,180 37.60
1989 40,151 42.87
Dalam Pemerintahan Angkatan (PAS)
1994 6807 93.67
1995 6731 99.52
1996 5126 69.17
1997 5679 56.45
1998 6108 42.96




Link Reference : Harun Rashid Worldview: For Whom The Trees Fall