Laman Webantu   KM2A1: 4946 File Size: 14.2 Kb *



TJ SP MGG: Politik Telur Di hujung Tanduk
By M.G.G. Pillai

13/7/2001 12:33 am Fri

MGG 1361

[Umno dan MCA sebenarnya semakin kronik dilanda masalah cuma ia disorokkan sahaja. Lim Ah Lek gagal kerana surat yang dikirimnya telah disorok oleh Pos Malaysia yang baru ditelan oleh seekor raksakasa. Raksaksa yang sama jugalah yang menelan Nanyang tetapi masih belum kenyang-kenyang. Sekarang isu UTAR dihidangkan agar Likas nanti dapat dibaham. Tetapi keputusan Hakim Md Kamil bukan sebarangan kerana di dalamnya tercatat satu konspirasi menipu sehingga sanggup membunuh untuk menang. Mengapa polis tidak menyoal siasat kerana angka pengundi hantu itu mencecah ribuan banyaknya. Tidak mungkin tiada yang kenal siapakah yang menjadi dalang.

Bak kata MGG dan penterjemah - usaha ketiga-tiga pemimpin BN ini lebih berbentuk memperkasakan kuasa sendiri dengan segala macam cara sehingga media dan Pos Malaysia pun sanggup dicemari. Namun realitinya mereka semua tidaklah seunggul dulu lagi - jika tidak mereka akan sanggup berdepan dengan akhbar dan pelajar serta pengundi sendiri tanpa dikawal rapi.
- Editor
]


Terjemahan: SPAR-01-027

Harakah

Politik Telur Di hujung Tanduk

(Politics by the skin of Mahathir's teeth)

Oleh: MGG Pillai

Kalau Perdana Menteri Mahathir Mohammad mentadbir negara dengan kedudukannya laksana telur di hujung tanduk, dia memang pintar untuk menyorokkannya. Sejak musuh ketatnya yang sebelum itu ditabalkan menjadi penggantinya, Dato' Seri Anwar Ibrahim, disumbat dalam penjara pada 1998, Mahathir telah bertindak tanpa banyak kejayaan untuk menyekat gelagat orang yang dipenjaranya itu daripada mengkotak-katikkan cara hidupnya. Kabinet pimpinannya hanya bertugas untuk memanaskan kerusi mereka, parlimen hanya untuk diperlekehkan sahaja, dan projek serta rancangan yang bernilai berbilion ringgit itu sengaja diumumkan berulang-ulang sedangkan Khazanah negara sudah pun kering kontang. Parlimen sudah menjadi tempat cop perakuan sahaja, itupun kalau dia fikirkan perlu menggunakan nama dewan rakyat itu. Tetapi, dia amat memerlukan parlimen kini, cuma keperluan itu sudah dikenakan harga yang sungguh tinggi yang dia tidak pun bersedia sama sekali. Mereka sudah mendesak segala butiran dan penjelasannya terhadap dasar pembaziran negara, antara lainnya.

Persetujuan Parlimen tidak pernah dirayukan ketika berbilion ringgit dihamburkan untuk membina pelbagai projek mega seperti Putra jaya, Lebuhraya Utara Selatan, laluan pengangkutan transit, KLIA, penswastaan harta kerajaan kepada para kroni, pak-pacak, sukusakat golongan yang berkuasa. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan merupakan dua orang manusia yang membuat keputusan siapa yang sepatutnya membaham apa, dan apabila projek itu kantul seperti beberapa projek penswastaan yang lain, mereka pun merencana bagaimana projek itu boleh diselamatkan, selalunya dengan membeli semula projek itu semua seolah-olah mengingatkan mereka yang gagal itu agar tidak susah-susah untuk berjaya.

Barisan Nasional yang memerintah hanya merupakan sambungan tempelan UMNO yang tidak relevan, berguna hanya untuk menyerlahkan wajah sebuah kerajaan yang pelbagai kaumnya telah pun bersidang untuk pertama kali sejak 1995. Pertemuan itu memberikan gambaran betapakah pentingnya dalam dasar negara. Persidangan itu dilaksanakan kerana Perdana Menteri mahu memperkasakan cengkamannya terhadap pemerintahan negara, dan mahukan satu kepastian berbentuk multi-kaum bahawa dia tidak dipulaukan seperti keadaan yang sebenarnya. Walaupun banyak janji-janji yang dihamburkan seperti penubuhan Bangsa Malaysia ataupun kelahiran Negara Malaysia yang diimpikan, ia hanya merupakan omongan kosong UMNO untuk rakyat Malaysia yang semakin sedar masa depan mereka yang semakin kelam. Seperti biasa, isu yang penting dan hangat semasa tidak pun diselesaikan. Yang lebih penting daripada Bangsa Malaysia ialah jurang pemisahan antara penduduk di bahagian timur dan barat Malaysia yang semakin mudarat. Masyarakat bumiputra di bahagian Timur sudah semakin merasakan jangkauan ketuanan orang Semenanjung ke atas hidup seharian mereka.

Apakah benar UMNO begitu serius dengan persoalan Bangsa Malaysia? Presiden UMNO kerap bercakap mengenai hak asasi Melayu dan negara, yang mengikut pandangannya lebih penting daripada hak-hak kaum yang lain. Presiden Barisan Nasional pula bercakap mengenai hak-hak rakyat Malaysia dan negaranya. Demikianlah caranya Perdana Menteri dengan lidah bercabangnya bercakap kepada satu arah di satu ketika dan kepada arah yang lain pada ketika yang berbeza pula. Oleh kerana manusia yang bercabang lidahnya itu adalah manusia yang sama membuatkan Mahathir menjadi bahan ketawa mendengarkan cadangannya di persidangan BN itu; apabila keadaan politik sudah menekan, terserahlah kepada presiden UMNO memutuskan. Ketika itu dia tidak mengharapkan sokongan rakyat Malaysia, cuma kepada orang Melayu sahaja.

Tidak ada banyak yang berbeza dalam apa yang diucapkan dan dilakukannya selama ini terutama sekali selepas 1998, yang berlainan daripada semua ini. Apapun yang akan terjadi dan dituturkannya berpuluh kali, penonjolan pentadbiran negara ini, walaupun wujudnya segala perlembagaan dan hukum-hakam yang meniru barat, adalah cenderung kepada unsur kemelayuannya UMNO memang mengekalkan kuasa politiknya, tetapi pengaruh budaya Melayu yang menyalutinya selama itu sudah lama hilang berlalu. Kod etika feudal Melayu yang sungguh berserabut ciri-cirinya adalah unsur-unsur kelakuan yang berhubung rapat dengan politiknya. Adalah menjadi satu kemestian, seorang pemimpin yang disanjung penuh kemuliaan tidak seharusnya menjatuhkan air-muka pengikutnya dengan penuh keaiban.

Justeru, apabila Mahathir mengaibkan Anwar Ibrahim, dia melanggari sumpah setia kod etika kepimpinannya, walaupun secara mistik dan berlagenda mempunyai daya tarikan terhadap alam politik Melayu seiras kuasa yang wujud kepada Magna Carta yang mencengkam King John. Itulah perjanjian diraja yang ditandatangani di Runnemede pada abad ke-13 dulu yang menentukan hukum-hakam politik British hingga ke hari ini.

Mahathir cuba memesongkan perhatian rakyat dengan menaikkan taraf Kolej TAR (Tengku Abdul Rahman) menjadi Universiti TAR, sebagai bahan memujuk sokongan Cina yang sudah lama meninggalkannya. Masyarakat Cina terutama sekali MCA memang memuji-muja Mahathir kerana keputusan itu. Lagipun MCA amat memerlukan bahan lencongan selepas episod pembelian Nanyang Press. Mujurlah diwujudkan sebuah universiti kelolaan MCA yang mengikut Ling Liong Sik akan dijadikan pusat fakulti perubatan, mengikut rancangan. Dia mengharapkan lencongan terbaru itu akan mengeluarkan segala bahang yang menyelimuti kisah sekolah wawasan dan masalah jumlah Sekolah Cina di bawah sistem pendidikan negara.

Apakah yang sudah dicapai oleh persidangan Barisan Nasional itu? Habukpun tidak ada. Begitulah kalau diadakan satu persidangan besar satu hari untuk menyorot perjuangan enam tahun lamanya. Para perwakilan dipilih secara rawak, kerana tidak ada mesyuarat tahunan peringkat cawangan dan bahagian gagasan BN itu. Kewujudannya hanya akan bernafas apabila muncul pilihanraya untuk menonjolkan simbol persekongkolannya. Dan berfungsi sebagai 'longgokan sampah' untuk menampung ahli politik yang sudah usang dan terbuang. Setiausaha agung BN yang ada merupakan bekas Setiausaha Agong UMNO yang masih ada gahnya seluruh negara setanding gahnya ketika menguruskan UMNO dulu. Bagaimanakah gahnya seruan seorang presiden BN, sedangkan sebelum ini dia berucap di hadapan majlis Melayu selaku presiden UMNO, melaungkan kepentingan ketuanan Melayu?

Kenapakah pemimpin BN menggelabah bertempiaran setiap kali tercetusnya cabaran? Kalau kebenaran didedahkan, Barisan Nasional sebagai sebuah parti politik, gagal melunaskan apa yang dijanjikannya selama ini. BN tidak pernah merelakan pertumbuhan amalan politik yang sehat, kerana mahu mengamalkan satu dasar khas di mana pemimpin yang telah dipilih tidak boleh dicabar oleh sesiapa. Ini merupakan satu amalan oligarki yang mementingkan keistimewaan.

Sudah wujud lapisan pemimpin yang berdarjat dalam setiap parti komponen BN, sesiapa tidak dibenarkan menceroboh lapisan itu melainkan diundang. Seorang pemimpin parti komponen BN yang berusia 80 tahun masih sanggup memegang jawatannya selagi dia diperlukan. Ada seorang menteri kabinet yang merupakan orang yang paling lama di kementeriannya, sedangkan seorang lagi pegawai yang sama lama perkhidmatannya di kementerian itu ialah seorang pemandu. Pada mulanya ahli kabinet itu menganggotai kementerian itu ditahap penubuhannya sebagai seorang setiausaha politik dan naik berdikit sehingga menjadi seorang menteri dalam tempoh 27 tahun lamanya. Tidak hairanlah kalau dia menunggu tempoh lengkapnya perkhidmatan selama tiga dekad sebelum berfikir untuk bersara.

Para pemimpin BN tidak membenarkan orang Ling menyoal mereka. Presiden MIC, S. Samy Vellu kerap bengkeng apabila disoal. Demikian yang ditunjukkannya ketika mengadakan lawatan di Kampung Medan untuk mengagihkan buah tangan kepada penduduk di sana untuk rakaman kamera dan TV. Keadaan sudah banyak berubah dan BN masih tidak sedar akan fenomena ini. Tidak ramai pemimpin kabinet UMNO yang berani berhadapan dengan para pengundi mereka lagi, sehingga memudahkan pihak pembangkang melawat kawasan mereka sebagai pengganti.

Begitulah, ketika Dr. Ling membeli Nanyang Press dalam satu putar-belit politik, kerana tidak menyedari kesan tentangan yang mungkin dicetuskannya. Dia telah memilih jalan memintas peraturan parti dan cuba memperlekehkan para penentangnya. Apabila timbalannya, Lim Ah Lek bersama tujuh ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi parti membantah, Ling bertindak untuk melecehkan hasrat mereka. Lim Ah Lek bertindak-balas mengirimkan surat penjelasan kepada 2,400 ahli perwakilan parti yang menghadirkan diri untuk Mesyuarat Tergempar Parti. Surat itu memberikan penjelasan kenapa Lim dan tujuh rakan seperjuangannya menolak pembelian itu. Surat itu semuanya tidak pun sampai kepada yang patut menerimanya.

Siapakah yang memberi arahan kepada Pos Malaysia menahan penghantaran surat itu? Ataupun apakah PMB (Pos Malaysia Berhad) membuang sahaja surat pekeliling secara pukal, seperti yang saya syaki, sebagai satu amalan biasa? Saya sendiri tidak kehairanan lagi apabila menerima kad jemputan upacara ucap-selamat di kedutaan; berminggu-minggu selepas perginya orang yang harus diraikan. Saya menerima satu kad jemputan minggu lalu, yang diposkan pada pertengahan Mei untuk jamuan Jun 12; satu minggu selepas Pesuruhjaya Tinggi Pakistan dan isterinya berlepas pulang.

Setelah selesainya mesyuarat tergempar MCA untuk membenarkan pembelian Nanyang Press, dan memberikan kemenangan kecil kepada Dr. Ling, beliau telah pergi berjumpa Dr. Mahathir keesokan harinya. Dr, Ling meminta agar Mahathir mengnyahkan penyokong kuat Lim, Dato' Chua Jui Meng daripada barisan kabinet yang ada. Permintaan itu ditolak. Seruan Dr. Ling agar partinya bersatu padu membawa kesan yang sama seperti seruan Mahathir mahukan penubuhan negara Malaysia.

UMNO beranggapan, dalam hal ketuanan Melayu, hanya parti itu yang berhak menentukannya dan mentadbir negara. Semua parti politik yang lain diperlekehkannya sebagai parti nyamuk sahaja walaupun usia parti itu sama tuanya dengan UMNO (Silap MGG nii - UMNO yang ada, UMNO Baru(a) sahaja. Baru berhingus lagi...!!! penterjemah). Hanya UMNO yang mempunyai keupayaan untuk memerintah, yang lain pasti akan gagal. Hanya UMNO yang boleh mengepalai satu gagasan parti pelbagai kaum yang mampu mentadbir negara secara berkesan.

Keangkuhan ini telah merobah fokus sebuah parti politik yang membesar dan berupaya menghadapi pemilu yang bermusim untuk menjadi parti yang tidak boleh dikalahkan. Inilah yang tidak boleh diperkasakan. UMNO dan BN tidak berusaha untuk menjadikan kewujudan mereka itu terus relevan dan berkekalan kepada tiga lapisan generasi pengundi yang telah menonjolkan mereka. Gagasan ini sudah menjadi takut melihatkan kemunculan parti pembangkang yang berbentuk kepelbagaian kaum dan berusaha pula untuk menumpaskan kemunculan tentangan itu. Itu sebabnya pemimpin BN kerap memberikan siaran lintas langsung kepada masalah yang mereka bayangkan sedang dihadapi oleh DAP dan PAS dalam usaha mewujudkan sebuah negara Islam, sedangkan mereka tidak sedar betapa merekalah yang menyediakan batu asas penubuhan negara berunsur konsep itu. Bukankah itu yang membolehkan PAS menguasai Kelantan pada 1990 dan diikuti oleh penguasaan Terengganu pada 1999?

Akan tetapi, keangkuhan ini disumbang secara kecilan pula oleh beberapa parti pembangkang yang selesa untuk memanjangkan pemikiran dan tanggapan BN dalam hal ini, kecuali PRM dan PAS. PRM bertegas dengan kepercayaannya bahawa rakyat akan terus terpesona dengan sogokan BN untuk berpendirian yang berbeza sedangkan PAS berpegang kepada ajaran Islam dalam menyanggah isu ketuanan Melayu. Kini, Dr. Mahathir hanya berusaha menampal lubang-lubang kepincangan politik yang mula merekah di merata tempat yang tidakpun disangkanya. Lagi kerap dia berlagak begitu lagi teruk gelagatnya berpusing-pusing mengikut satu putaran politik yang membuatkannya terus pening. Semakin samarlah masa depan BN dalam penentuan peranannya. Selagi semua ini tidak berubah secara drastik dan penuh dramatik, jasad BN yang semakin kematu itu akan bertukar menjadi mayat yang mudah kaku.


M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan: SPAR-01-027