Laman Webantu   KM2A1: 4994 File Size: 13.6 Kb *



TAG SP 208: Hilangnya Kepercayaan Terhadap MCA
By Harun Rashid

17/7/2001 10:48 pm Tue

[Ling ternyata memperjudikan Star dan semua wang ahli MCA dengan membeli Nanyang yang kini sudah tidak bersinar lagi itu. Tanpa sokongan masyarakat Cina bukan sahaja Nanyang akan gulung tikar malah Star juga akan tersadai dan MCA semakin miskin. Sepatutnya Ling bertanya dahulu sebelum bertindak tetapi dia telah terjun tergopoh-gopoh sedangkan itu melibatkan dana MCA yang bukan sedikit banyaknya.

Dengan mengambil alih Nanyang minda anak bangsa akan semakin rusak dan binasa seperti yang berlaku kepada orang melayu. Setelah 20 tahun Mahathir berkuasa orang melayu masih teralpa kerana akhbar melayu memang tidak berguna. Itu mungkin berlaku terhadap masyarakat Cina juga sebab itulah sebegitu banyak cendiakawan mereka menentang pengambil-alihan Nanyang.

Sakit badan boleh diubat sehari dua tetapi minda yang rusak amat lama tempoh untuk membaikinya. UTAR pun mungkin tidak mampu merawatnya. Sebab itulah Said Zahari lebih rela ke penjara - demi membela minda dari dijajah pihak yang berkuasa. Malangnya tidak ramai yang menyelongkarnya walaupun sudah berkali membacanya. - Editor]


Terjemahan SPAR-05-015

Hilangnya Kepercayaan Terhadap MCA

(Worldview: MCA's Loss Of Public Trust)

Oleh: Harun Rashid

Urusan jualbeli Nanyang Press oleh MCA adalah satu gambaran betapa aibnya keadaan yang menghantui Malaysia. Tidak ada langsung sebarang kewarasan terhadap urusan jualbeli itu ataupun pembiayaan urusannya. Apabila sebuah parti politik sanggup melabur RM230 juta semata-mata untuk menguasai sebuah perniagaan yang memberikan pulangan keuntungan tiap tahun sekitar RM5 juta sahaja, pasti mengundang banyak tandatanya tentang kewarasannya.

Urusan itu diperkasakan dengan dalil bahawa 'ianya satu pelaburan politik yang strategik.' Apabila diberikan tafsiran bahasa mudah, bererti sudah wujud satu kepastian betapa para pembaca akhbar Malaysia dalam Bahasa Cina adalah terdedah kepada propaganda untuk mendorong mereka mengundi MCA dan BN di masa hadapan. Ini adalah satu percaturan niaga yang tinggi risikonya dan sudah pasti tidak akan diambil oleh seorang peniaga yang memang unggul wibawanya.

Harga pasaran saham The Star, sudah lama diasak oleh tekanan. Selama berbulan saham itu telah tergantung pada tahap RM8.50 dan sedikit meninggi dari paras ini dengan wujudnya sokongan pembeli setiap hari. Kini, harga itu sudah menurun ke paras RM8.10, menggelonsor dan mencecah paras RM7.95 pada catatan pasaran Jumaat lalu dan berkemungkinan menggelonsor lagi ke tahap bawahan yang lagi satu. Setiap kejatuhan sebanyak 0.50 sen yang terjadi kepada harga saham The Star itu, membawa erti betapa kolateral MCA akan turut jatuh sekitar RM33 juta. Nilai harga saham The Star yang dipegang oleh MCA dan dicagarkan untuk pembelian Nanyang Press adalah ditaksirkan ketika itu sekitar RM560 juta. Ini bererti nilai tersebut sudah pun terkena senggugut untuk mereput sekitar RM530 juta.

Masyarakat Cina sudahpun menyerlahkan ketidak-senangan mereka terhadap tindakan MCA, yang turut dirangsang oleh pembuangan secara melulu para editor Nanyang Press itu. Ini telah disusuli oleh panarikan sokongan para peniaga Cina untuk menarik pengiklanan mereka dan diikuti pula oleh beberapa kumpulan penulis popular Cina yang menghentikan sumbangan karya mereka. Apabila dicampurkan dalil semua ini dengan penolakan para pembaca yang dulunya setia membeli, tentunya menggugat kewarasan urusniaga belian itu tadi; baik dari segi kewangan mahupun daripada pandangan politik yang matang.

Kalau diketepikan dulu unjuran politik buat sementara waktu, tentu kita pening memikirkan tanggungan baru MCA itu. Dari manakah datangnya dana untuk membayar balik hutang itu nanti, termasuk faedah tahunannya sekali? Bukannya banyak sangat pendapatan tahunan Nanyang, sedangkan hutang tahunan MCA pada kadar yang minimanya, sekitar RM15 juta akan terus bergoyang? Malahan, kalau diambil kira syarat urusan hutang yang sebenarnya, harga tanggungannya tentu menjadi lebih tinggi lagi.

Kemungkinan besar, pelunasan hutang itu nanti akan diusahakan melalui kutipan derma ahli MCA. Kalau diandaikan terdapat setengah juta ahli MCA, sumbangan tahunan mereka ialah sekitar RM30 ataupun lebih kurang begitu; yang dianggap satu sumbangan yang tidak membebankan. Akan tetapi, ramai ahli MCA menentang urusniaga itu, dan tidak pula sanggup menyumbang terhadap tabung sukarela ini. Sudah dianggarkan hanya sekitar 25 persen ataupun sedikit kurang dari itu yang akur dengan pembelian Nanyang. Jika demikian, jumlah ahli yang bersetuju itu terpaksa menyumbang sekitar RM150 setiap seorang untuk menyokong tindakan Dr. Ling. Kepada sebahagian besar kumpulan ahli itu, wang sebanyak itu adalah bersamaan dengan gaji mereka untuk satu minggu.

Sudah timbul kini soal penting yang mempertikaikan penggunaan saham Star sebagai kolateral. Ketidak-senangan ini nampaknya sudah menjalar kepada para pembaca, penulis dan pengiklan The Star, setelah mereka menyedari betapa Ling dan MCA cuba menggunakannya sebagai propaganda politik mereka. Semakin kuat pula kini kejijikan terhadap pemberitaan MCA yang dianggap berbisa itu. Seandainya tahap keuntungan The Star menurun juga, sehingga tidak mampu menyokong harga pasaran sahamnya yang sengaja dilonjakkan itu, kemerosotan harga yang berterusan sudah tentu boleh dijangkakan, apalagi dengan berkurangannya kutipan hasil pengiklanan yang memang merudum selari dengan trenda global disebabkan keadaan ekonomi yang merosot.

Ada pihak yang menyebut wujudnya hartanah kepunyaan Nanyang, yang tidak siapapun tahu nilaian harga tekanan pasarannya. Aset itu berkemungkinan terpaksa dijual untuk menanggung sebahagian bebanan harga belian. Soalnya sekarang, apakah sokongan ahli MCA terhadap pembelian itu dulu boleh digunapakai seandainya kolateral yang dipajakkan itu didapati tidak mencukupi untuk menyokong hutang yang belum langsai? Seandainya nilai saham The Star menjunam ke paras RM4, nilai kolateral yang dicagarkan itu akan merudum setakat RM265 juta sahaja, yang bersamaan dengan kadar 100 peratus harga pembelian Nanyang.

Seandainya pendapatan The Star menjunam disebabkan kerungsingan pelabur dan suasana pelaburan yang semakin kabur, nilai saham akhbar itu akan melalui satu tempoh kepahitan seiras pengalaman sebuah akhbar bahasa Inggeris yang paling popular di Malaysia, The New Straits Times, yang sudah merudum daripada ketinggian harga RM19 kepada tahap tahunan RM2.4, walaupun pada pasaran Jumaat lalu ia ditutup pada kadar RM3.30 sahaja.

Liabiliti ataupun tanggungan MCA boleh mencecah RM330 juta, seandainya diambil kira syarat membeli juga baki 28 persen saham yang masih ada itu dikuatkuasakan. Ini bererti nilai saham The Star seharusnya berada di atas paras RM5 untuk memberikannya lindungan yang mencukupi tanpa keperluan menjual sebahagian hartanah kepunyaan Nanyang. The Star telah memperolehi keuntungan 50 sen bagi setiap saham dan membayarnya dalam bentuk dividen. MCA pernah memiliki 66 juta saham The Star dan memperolehi pendapatan antara RM25-30 juta daripada pelaburannya. Sekarang, keseluruhan keuntungan yang diperolehi itu terpaksa digunakan utnuk membiyai urusan pembelian Nanyang.

Dengan pembelian itu, MCA sudah mencorakkan masa depannya terhadap kejayaan Nanyang Press sebagai pembelian yang berunsur satu 'pelaburan politik yang strategik.' Hanya seorang peniaga yang sesak dan terdesak mampu membuat percaturan sebegitu tinggi risikonya, terutama sekali apabila bergantung harap kepada sokongan orang lain yang diharap akan menjayakan rencana pembelian itu. Seorang pemain judipun akan faham betapa rencana itu adalah satu kerja haprak. Seorang penganalis mudah terfikir menanyakan, 'Siapa sebenarnya yang merencanakan semua itu?'

MCA baru sahaja membuat pengumuman penubuhan sebuah universiti yang akan dibiayai melalui sumbangan derma orang awam. Masyarakat Cina sudah pun diminta menyumbang terhadap projek yang dianggap berguna itu. Presiden universiti itu dan juga MCA ialah Dr. Ling, yang juga merupakan perancang utama urusan membeli Nanyang Press. Sejarah pembabitan Dr. Ling dalam mengendalikan tabung dana kutipan MCA, memang begitu berserabut dengan kesangsian umum terhadap salahguna kuasa. MCA pernah diamanahkan mengurus derma yang dikhaskan untuk membantu para penternak khinzir yang digugat serangan wabak JE Nipah satu ketika dulu.

Sebahagian dana yang terkumpul itu masih tidak jelas pengagihannya, walalupun MCA pernah berjanji mendapatkan khidmat Price Waterhouse sebagai firma perakaunan untuk menyelia buku kira-kira. Penyata akaun itu tidak juga muncul dan ada dana yang telah dikesan telah disalurkan kepada penyokong MCA dan petugas parti yang tidak ada kena mengena dengan industri babi. Price Waterhouse tidak pula diketahui pernah membuat kenyataan untuk mempertahankan reputasinya.

Para pemimpin MCA telah diamanahkan dengan RM10 juta untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukannya. Dana itu tidak pernah dikeluarkan untuk menepati tujuan asalnya. Sehingga hari ini MCA masih belum menyerahkan dana itu ataupun faedah simpanannya. Seolah-olah wang itu telah ghaib entah ke mana, walaupun sudah ada arahan mahkamah mengarahkan peratuan itu.

Ketika berlangsungnya pilihanraya kecil Teluk Kemang yang berpusat di kawasan perindustrian ternakan khinzir, Ling telah menyerahkan surat perletakan jawatannya (sebagai presiden parti), setelah tersibar desas-desua betapa perdana menteri mengarahkannya mengosongkan pejabatnya kerana gagal mengagihkan wang kutipan tabung dana yang terkumpul.

Dua minggu kemudian dia tetap kekal jua, dan tentunya dengan adanya satu janji yang dapat diterima-pakai oleh perdana menteri. Namun, apakah orang awam puashati dengan gelagatnya itu? Pilihanraya kecil di Lunas telah membuktikan pengundi Cina tidak memberikan undi mereka kepada MCA.

Dengan hal yang demikian, apabila Ling merayu agar masyarakatnya menderma terhadap universiti itu, masyarakat umum pantas membuat pemikiran apakah sumbangan mereka akan digunakan untuk tujuan yang disebutnya ataupun digunakan untuk projek percaturan politiknya lagi? Selaku pengasas urusniaga pembelian Nanyang, apakah ini juga bererti Ling akan dipertanggungjawabkan, sehinggakan muncul satu desakan dia terpaksa dinyahkan kerana sikap berurusniaga laksana seorang pemain judi sahaja?

Seandainya harga pasaran The Star merudum ke paras empat ringgit dan tidak ada pula tambahan nilai kolateral untuk dicagarkan sebagai menutupi pembelian Nanyang dulu, pihak pemiutang mempunyai hak mendapatkan tambahan cagaran, ataupun merampas kesemua saham itu sebagai memenuhi tuntutan perjanjian mengeluarkan pinjaman. Sekiranya pendapatan The Star merudum, situasi yang sama akan menjelma juga. MCA sebenarnya telah mengambil satu langkah berbentuk satu perjudian dalam pelaburan utamanya.

Akan tetapi, Ling merupakan seorang kaki judi yang matang, dan berkemungkinan dia ada muslihat yang tersorok di lengan bajunya. Berkemungkinan besar dia mahu menggembeling bakat semua peniaga Cina yang masih memegang kontrak dengan kerajaan untuk membantu beliau membiayai penubuhan universiti itu. Dalam politik, adalah mudah menggunakan tekanan untuk mencetuskan sokongan kewangan. Dengan demikian, dana untuk penubuhan universiti boleh dilencongkan dengan mudahnya untuk membiayai Nanyang Press. Siapakah yang lebih cerdik dalam perkara ini? Jikalau inilah rencananya, Ling mungkin telah memberikan jaminan kepada pemiutang, rakan seperjuangan politiknya dan para penyokongnya betapa pembelian Nanyang itu adalah satu permainan mudah sahaja. Apakah rencana itu akan tercapai, adalah satu tekateki juga.

Ada satu pengumuman sebelum dilangsungkan Mesyuarat Agung Luarbiasa parti untuk mendapatkan pengundian para perwakilan, bahawa Huaren Holdings yang dikatakan cabang pelaburan MCA, sebenarnya bukanlah menyumbangkan asetnya kepada MCA. Dengan itu, perlembagaan MCA tidak boleh dikaitkan kepada Kemelut Nanyang. Masalah perlembagaan sudah dianggap satu peraturan mengikut tafsiran dan mainan kata presiden parti dan pucuk kepimpinannya seiras dengan hukum-hakam UMNO Baru(A) yang menentukan bahawa jawatan presiden dan timbalannya tidak boleh dipertandingkan pada pemilihan kepimpinan parti, sehinggakan jawatan itu terpaksa diberahminkan.

Pemegang jawatan yang ada, perdana menteri yang juga merupakan presiden sebuah parti telah membuat penentuan itu, seperti cara seorang diktator memusnahkan sistem demokrasi dengan menghentikan proses pilihanraya. Inilah partinya dan inilah juga gagasan kepartian (BN) yang telah didapati bersalah melakukan pemalsuan dalam pilihanraya dulu sehingga mencetuskan satu pilihanraya kecil di Likas, di mana ia sekali lagi berharap untuk memenangi pertandingan semula itu.

-Harun Rashid-

Terjemahan SPAR-05-015

Link Reference : Harun Rashid Worldview: MCA's Loss of Public Trust