Laman Webantu   KM2A1: 5015 File Size: 16.5 Kb *



TDPWN 10: B15 - B16 Satu Ikut Fung Shui, Satu Ikut Tuhan?
By Khalid Jafri

19/7/2001 9:56 pm Thu

[Asnida kelihatan mempunyai falsafah hidup yang bersandar kepada tuhan dan tidak mengharapkan bantuan bapanya untuk berjaya tetapi Daim nampaknya bersandar kepada bomoh dan fung shui pula. Yang peliknya mengapa Daim tidak mengikut jejak Asnida? Mungkin dia tidak akan dihempap malang seperti sekarang. Kalau tenggelam pun tiada siapa yang mengecam.

Kejayaan Asnida menyebabkan banyak pihak tertanya-tanya apakah beliau memang berbakat atau kerana semuanya sudah dibuka oleh bapanya untuk didakap erat. Kalau diimbau kembali kes Datuk Harun, Asnida tidak sepatutnya terlibat dalam Syarikat Maluri jika beliau betul-betul mempunyai falsafah hidup... Mengapa Khalid Jafri tidak menulis mengenai kes Datuk Harun? Nampak sangat beliau tidak ingin Mahathir dan seluruh kepimpinan Umno dilibatkan. - Editor]



Siri Tun Daim Penyangak Wang Negara


BAB 15

Projek Garam Bankrapkan Daim


Tun Daim Zainuddin merupakan peguam yang 'tidak laku' bila beliau membuka syarikat guamannya setelah meninggalkan jawatan majistret dalam awal tahun tujuh-puluhan.

Beliau meninggalkan syarikat guamannya dan menceburkan diri dalam perniagaan garam. Dari syarikat peguam bertukar berniaga garam adalah bidang yang amat berbeza antara bumi dengan langit. Ini berpunca dari pandangan pelanggan guamannya, Low Kok Boo (mendiang) yang mengatakan berniaga garam boleh cepat kaya daripada guaman.

Menurut Low dari segi 'Fung Shui' perniagaan yang sesuai untuk Daim ialah menceburi dalam perniagaan ada hubungkait dengan air. Nasihat Low itu diberi kepada Daim selepas beliau menemui 'Fung Shui Master'. Low memberi pendapatnya bahawa perniagaan garam adalah baik untuk Daim kerana semua orang makan garam. Ianya juga adalah merupakan barangan perlu.

Daim yang bercita-cita besar untuk jadi orang kaya percaya dan begitu yakin dengan nasihat Low. Beliau berbincang dengan beberapa orang rakan dalam syarikat guamannya. Untuk tujuan itu beliau mesti buat kajian dan melihat bagaimana orang membuat garam. Setelah semua persetujuan dicapai antara rakan-rakan kongsinya maka Daim berlepas ke Taiwan, Thailand dan Jepun untuk mempelajarai secara lebih dekat dengan pihak-pihak kilang garam di negara tersebut bagaimana cara-cara pengeluarannya, kedudukan tanah dan tempat yang sesuai untuk mendiri kilang.

Daim dapati ketiga-tiga negara yang dikunjunginya itu amat menarik perhatiannya di mana orang Thailand memproses garam dengan menakung air laut ke dalam petak-petak untuk beberapa hari sebelum ianya bertukar menjadi garam. Sementara di Taiwan prosesnya tidak jauh beza seperti yang dilakukan oleh orang-orang Thailand. Tetapi di Jepun caranya agak berlainan kerana prosesnya sedikit rumit kerana mereka terpaksa mengguna mesin mengepam dan mengeringkan air laut.

Kajian mendalam diteruskan dengan mengambil kira tentang jumlah garam yang diimport negara dari luar, harga import dan harga runcit. Semuanya ditelitinya betul-betul kerana tidak mahu ada silapnya.

Apabila Daim memohon untuk mendapatkan lesen kilang garam daripada pihak MIDA (Malaysian Industrial Development Authority) permohonannya ditolak kerana diberitahu sudah ada permohonan daripada syarikat lain dan tidak mahu memberikan lesen kepada syarikat Daim.

Oleh kerana perasaannya ketika itu begitu membara untuk berjaya dalam perniagaan maka beliau berjaya menemui Menteri Kewangan, iaitu Tun Tan Siew Sin (mendiang). Dalam pertemuan itu Tun Tan meminta seorang pegawai Melayu turut sama hadir dalam pertemuan itu.

Setelah mendengar penjelasan Daim dengan penuh teliti maka Tan Siew Sin menasihati Daim bahawa dalam dunia perniagaan kita mesti bersedia dan sanggup bersaing. Menurut Tan Siew Sin kerajaan tidak boleh menolong mana-mana pihak kerana ini adalah pasaran bebas. Mendengar penjelasan dan pandangan Tan Siew Sin, Daim terus juga 'argue' dengan pendapat-pendapatnya yang belum begitu arif dalam dunia perniagaan sebenarnya.

Akhirnya Tan dengan senyum melihat wajah Daim dan berkata: 'Don't fight with the big boys. You will lose. Go for small things. Learn as you go along. I am sorry I can't help you.'

Untuk meneruskan juga hasratnya, Daim bertemu orang kedua iaitu Robert Kuok. Kuok memberi masa hanya setengah jam untuk Daim. Dalam pertemuan itu Robert Kuok juga mendengar segala percakapan Daim dengan teliti kemudian memberi nasihat kepadanya. "Don't go and take on the big boys. You are not ready. Buat cara kecil-kecil dahulu. Gain experience and go from there.' Mendengar percakapan Kuok terasa benar frustnya Daim.

Oleh kerana orang kedua yang ditemui juga mengecewakan beliau maka Daim menemui Tan Sri Senu Abdul Rahman (Allahyarham) supaya dapat membantunya menemui Tan Sri Khir Johari yang ketika itu menjadi Menteri Perdagangan.

Daim menyerahkan urusan untuk mendapat kelulusan lesen kepada Senu. Senu agak begitu prihatin terhadap nasib Daim dan sedia membantunya kerana Daim adalah kenalan lamanya. Daim juga menawarkan jawatan Pengerusi kepada Senu untuk kilang garam itu.

Bagaimanapun, dalam pertemuan itu Tan Sri Khir Johari juga agak kelihatan negatif kerana sudah tahu bahawa lesen perniagaan yang dipohon itu telah diberi kepada syarikat bukan bumiputra dan seorang usahawan yang berjaya. Namun Daim tidak putus asa dan menyerahkan soal mendapat lesen bulat-bulat kepada Senu.

Dengan pertolongan Senu yang ketika itu menjadi Setiausaha Agung UMNO berjaya memperolehi lesen tersebut dan dalam jangka masa yang agak cepat. Urusan lain juga dilakukan agak lebih mudah dan cepat. Tanah juga berjaya diperolehi daripada Kerajaan Selangor. Hanya Daim memerlukan modal tambahan yang memeningkan kepala Daim.

Daim akhirnya berjaya meyakinkan PERNAS, dan Raja Perlis (Almarhum) menjadi pemegang saham dan Daim sendiri melaburkan wangnya sendiri sebanyak RM100,000. Wang yang dilaburkan itu ialah daripada isteri pertamanya, Puan Noraini Rafei yang banyak membantu Daim.

Dengan segala perancangan rapi dan tersusun dengan tiga orang pakar dari luar negara di bawahnya untuk membantu pengendalian kilang garam itu, Daim dan rakan-rakan kongsi niaga memulalah perusahaannya denga rasa begitu bangga dan amat seronok. Apa tidaknya, kerana segala cita-cita dan usaha serta hajatnya tercapai dengan kelulusan sebidang tanah seluas 600 ekar menjalankan perusahaan kilang garam. Lesen dan modal cukup untuk perniagaan garam.

Perniagaan Daim untuk berjaya mesti berkaitan dengan air sepertimana diberitahu Low menurut 'Fung Shui' rupa-rupanya menjadi pemusnah kepada Daim. Ketika kilang perusahaan garam rancak dengan proses air laut untuk dijadikan garam tiba-tiba Allah terbalikkan ramalan Fung Shui yang dipercayai Daim. Air yang dikatakan baik untuknya, menghancurkan perniagaannnya. Hujan yang turun tidak teramal oleh peramal kaji cuaca. Hujan yang turun adalah luar dari kuasa manusia. Kelam-kabut Daim, dan ada yang memberi nasihat kepadanya supaya minta bomoh hujan ikhtiar supaya hujan berhenti. Dalam keadaan panik dan tak tentu hala itu. Daim meminta pengurusnya menghubungi bomoh hujan tetapi, ikhtiar bomoh itu hanya dapat menahan sekadar untuk satu ketika pendek sahaja iaitu kira-kira satu hari dan selepas itu hujan turun lagi dan terus banjir besar.

Daim terus berikhtiar dan meminta pihak Kementerian Perdangangan memberhentikan pengimpotan garam tanpa lesen dan permohonannya dilulus dengan 50% kuota import sementara 50% lagi dibeikan kepada pengimport lain yang telah sedaa ada. Perniagaan Garam yang dirintis oleh Daim terpaksa memikirkan cara untuk membayar hutang pinjaman dan Daim sendiri sudah terasa bahang siksa kegagalan dan menanggung hutang. Beliau jatuh bankrap.

Oleh kerana Daim adalah orang yang sentiasa membantu syarikat Low Kiok Boo menyelesaikan kes-kes yang dibawa ke mahkamah kerana tindakan undang-undang yang diambil daripada pihak kerajaan terhadap syarikatnya di atas kesalahan mengelak daripada cukai kastam maka, beliau mengajak Daim sama-sama mencebur diri dalam hartanah bersama dengan rakan kongsinya Datuk Tamby Chik.

Low dan Tamby Chk sememangnya sudah kaya dan banyak pengalaman dan berjaya dalam projek-projek perumahan mereka dalam Syarikat Sim Nam Housing Development Co. Ltd. Kedua-dua ahli perniagaan dan jutawan hartanah ini banyak membangunkan projek-projek perumahan di Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur. Kesemua projek perumahan yang dilaksanakan sejak awal tahun 60-an berjaya. Bagi Daim tiada tapak tangan nyiru ditadahkannya, bila mereka mempelawanya kerana Daim hanya ada sehelai sepinggang sahaja.






Siri Tun Daim Penyangak Wang Negara

(Mukasurat 111 - 125)


BAB 16

Asnida Daim Dan Puluhan Syarikatnya


Catatan: Artikel ini disauk oleh Khalid daripada Majalah JELITA keluaran Januari 1994. Sudah tentu banyak cerita yang sudah boleh dikira antik sahaja.


Apa ada pada nama? Adakah nama menjadi pendorong utama kejayaan sesaorang ? Semakin terkenal namanya, semakin cemerlangkah masa depan seseorang. Adakah nama itu penting hingga timbul pepatah Melayu lama, 'harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama?'

Kebenaran pepatah itu tidak dinafikan Pengarah Urusan Syarikat Maluri Sdn. Bhd, Asnida Daim Rashid, anak sulung Tun Daim Zainuddin dengan isteri pertamanya Noraini Rafei. Pada masa sama, dia tidak menyengkal dakwaan manusia tidak boleh hidup tanpa meninggalkan NAMA.

Bagaimanapun ibu berusia awal 30-an ini tidak mengambil jalan pintas untuk menerajui Kumpulan Syarikat Maluri yang diasaskan Daim. Ayahnya yang ketika itu menjawat Menteri Kewangan dan tokoh korporat terkemuka tempatan, tidak memberi galakan, jauh sekali menjadi penghubung atau pembuka jalan bagi memudahkan dia bekerja di syarikat milik keluarganya itu.

'Saya diterima bekerja seperti kakitangan biasa. Saya memohon untuk jawatan pelatih,' kata Asnida, yang kini mempunyai dua cahaya mata perempuan lima tahun dan tujuh bulan.

Selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran dan Pemasaran selama empat tahun di Northern Illinois University, Amerika, dia kembali untuk mencari kerja. Dia menuntut di Garden School, Kuala Lumpur pada awal 60-an sebelum melanjutkan pengajian peringkat A Level di United Kingdom, selama tujuh tahun mulai awal 70-an.

'Ayah tidak pernah menawar, bertanya, mahupun memberi galakan, jauh sekali memperkenalkan saya kepada teman korporatnya. Dia membiarkan saya membuat keputusan sendiri,' ujar Asnida sambil tersenyhum sebelum menyambung, 'bukan mudah menjadi anak orang ternama.'

Asnida mengamalkan sifat sederhana dalam hidup, berpakaian ringkas Baju Kedah ungu ketika ditemuramah. Mukanya gebu tanpa solekan. Hanya seutas rantai emas halus menghiasi lehernya.

Pengalaman Bekerja

Sifatnya yang sederhana malah terlalu 'simple' tidak mencerminkan dia generasi baru wanita korporat negara, yang disegani dan berjaya menugasi bidang lelaki.

Sebelum memohon menjadi pelatih dengan syarikat Maluri, Asnida menghabiskan lebih satu setengah tahun dengan Radio dan Television Pendidikan dan menerbitkan rancangan kanak-kanak untuk mencari pengalaman kerja.

Dia kemudian mencuba nasibnya memohon kerja dengan Sistem Televisyen Malaysia bhd (TV3) dan hotel terkemuka. Malangnya dia gagal dalam kedua-dua permohonan itu.

'Jika benar saya menggunakan kesempatan dan nama ayah saya, saya pasti mudah mendapat kerja,' jelasnya.

Ketika itu Daim ialah Pengerusi Kumpulan Fleet, konglomerat pelaburan UMNO. Selain menerajui kumpulan akhbar The New Straits Times (M) Bhd, kumpulan berkenaan turut memiliki kumpulan hotel Faber Merlin dan TV3. Daim juga pengasas dan pengerusi Peremba iaitu syarikat pembinaan Perbadanan Kemajuan Bandar (UDA).

Asnida tiada pilihan lain kecuali memohon jawatan pelatih dengan Syarikat Maluri setelah kedua-dua permohonannya ditolak. Bagaimanapun, untuk mengambil hatinya, Daim mencadangkan supaya dia bekerja dengan bank. Cadangan itu bagaimanapun ditolak kerana dia tidak berminat perangkaan dan kerjaya yang dianggap kurang mencabar bermula 'jam 9 padi dan berakhir 5 petang.'

Selepas dua setengah tahun mencari pengalaman dan mencari menganalisis pelan, perancangan bandar, kerja membabitkan pembinaan dan kejuruteraan mekanikal serta 'berhujan dan berpanas' di tapak pembinaan, dia dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Pentadbiran, pada 1985. Jawatan itu dipegangnya tiga tahun.

Dia kemudian dilantik sebagai pengurus besar tiga tahun sebelum dipilih lembaga pengarah untuk menerajui syarikat berkenaan. Ketika menerajui kumpulan Syarikat Maluri, dia bekerja dengan Samsudin Abu Hassan, kini naib Pengerusi Ekskutif Aokam Perdana Bhd.

(Kini, Kumpulan Maluri memiliki lebih 20 anak syarikat, modal berbayar RM13 juta dan aset terkumpul RM55 juta)

'Dakwaan masyarakat, khasnya golongan korporat, yang mengatakan saya dilantik sebagai pengarah urusan kerana pengaruh ayah adalah tidak benar. Memang benar saya anak Daim ketika di rumah tetapi di segi perniagaan saya dianggap seperti kakitangan lain. Justeru saya mengambil masa 10 tahun untuk membuktikan keupayaan dan kemampuan diri,' jelasnya.

Syarikat Maluri yang diasaskan keluarga K B Low (kini Lembaga Pengarah Sedap Food & Confectionary Bhd. dan Daibochi Plastics & Packaging Industries Bhd) diambil-alih oleh Asnida pada awal 90-an. Pada permulaan, keluarga Asnida hanya memiliki 20 peratus ekuiti dalam Syarikat Maluri. Bagaimanapun, keluarganya kini memiliki ekuiti majoriti syarikat berkenaan.

'Memandangkan ayah tiada pilihan lain kerana pembabitan cergasnya dalam politik, saya diarah untuk terus menerajui syarikat berkenaan. Keputusan itu saya terima bukan kerana saya tiada pilihan tetapi sekadar menurut ayah,' kata Asnida, kini, menuntut di luar negara.

Berikutan pengambilan itu, struktur ekuiti, kewangan, arah aliran masa depan syarikat dan cara pengurusan ala keluarga Cina dalam syarikat Maluri terpaksa disusun semula mengikut keadaan semasa. Ketika itu, tanggungjawabnya yang terutama dan penting ialah memulihkan imej dan mengukuhkan kewangan syarikat.

'Berdasarkan pengalaman terhad, saya dipertanggungjawabkan untuk memulihkan syarikat yang sudah sekian lama mencatat kerugian. Saya nekad untuk tenggelam atau timbul bersama syarikat tanpa bantuan ayah,' katanya.

Ketika itu juga dia mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa tidak benar anggapan orang ramai yang mengatakan berayah atau berkeluarga masyhur dapat mendorong kejayaan masa depan seseorang.

Selepas dia dilantik, ayahnya tidak mahu terbabit langsung dalam perniagaan itu, jauh sekali mahu membantu mendapatkan tender atau projek. Bagaimanapun, kejayaan ayahnya menjadi pendorong utama yang membuatnya terus berazam membuktikan kemampuan dan kewibawaannya.

Falsafah Hidup

Falsafah hidupnya mudah sahaja: 'Jangan sesekali menganiayai orang kerana kita mungkin memerlukan bantuan orang yang kita pernah aniaya suatu hari nanti.'

Hanya mereka yang insaf asal-usul diri sentiasa bersifat merendah diri dan sanggup memberi kerana setiap pemberian ikhlas pasti ada 'PULANGANNYA' daripada Tuhan.

Nasihat Berguna

Asnida yang bercita-cita menyenaraikan salah sebuah anak Syarikat Maluri di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) dalam tempoh lima tahun mendatang, berkata sifat tidak jemu untuk terus belajar adalah pengalaman dan pengajaran yang tidak boleh diukur ganjarannya.

Dia yang berminat membaca (tiada bidang khusus) bagaimanapun menasihati wanita supaya tidak menggunakan kedudukan dan tarikan seks untuk meningkat dalam bidang korporat.

'Biarlah pencapaian itu diperolehi atas daya usaha sendiri kerana selain lebih bermakna, ia tidak boleh dirampas oleh sesiapa. Wanita juga perlu bersedia berkorban sehingga syarikat bertapak dan menunjukkan daya amaju, ada teman bertukar pendapat serta kekecewaan (jika ada) dan selepas berusaha, bertawakkal kepada Tuhan kerana hanya Tuhan akan mengizinkan hala tuju syarikat dan insan di dunia,' katanya.