Laman Webantu   KM2A1: 5017 File Size: 16.2 Kb *



TDPWN 12: B19 - B20 Skandal Semakin Maju Kerana Mahathir Jua
By Khalid Jafri

19/7/2001 11:40 pm Thu

Siri Tun Daim Penyangak Wang Negara

[Banyak skandal yang amat dahsyat berlaku dalam era Mahathir tetapi mengapa beliau membiarkannya sahaja? Mengapa Khalid tidak mempersoalkan kewibawaan Mahathir? Bukankah Mahathir yang melantik polis yang kemudiannya memukul orang yang tidak mengambilpun sebarang benda sehingga tidak bernyawa tetapi tidak menyentuhpun orang lain yang sudah menyauk berjuta-juta khazanah negara.

Wujudnya skandal-skandal ini adalah kerana sikap Mahathir juga. Bukankah Mahathir yang mengarahkan agar siasatan terhadap Ali Abul Hasan dihentikan serta-merta bila BPE menemui wang yang disorok di dalam meja? Polis dan BPR hari ini sudah tidak bekerja - jika tidak sudah lama Daim dan Mahathir sendiri akan terperosok dalam penjara. Kes Abul Hasan itu sudah cukup untuk membuktikan siapakah Mahathir yang sebenarnya. Mengapa Khalid tidak menulis tentang itu pula kerana disitulah terserlah segala rahsia mengapa terjadinya ini semua.
- Editor
]


Muka Surat 138 - 147

BAB 19

Di Celah Arus Kemajuan

Jenayah kolar putih merupakan satu fenomena sosial yang semakin membimbangkan. Kemunculannya di celah-celah arus kepesatan pembangunan negara masa kini bolehlah dianggap seperti duri dalam daging. Gejala tersebut juga boleh diandaikan sebagai api dalam sekam atau gunting dalam lipatan. Implikasinya amat berbahaya dan padahnya amat menggerunkan.

Meskipun pelbagai tafsiran digunakan bagi melabelkan bentuk dan jenis sebenar kecurangan yang dialukan oleh pengganas atau lanun-lanun ekonomi ini, namun apa yang perlu kita lihat ialah kesan buruknya kepada masyarakat, ekonomi dan negara keseluruhannya.

Jenayah kolar putih yang sering disebut sebagai jenayah perdagangan, jenayah atau skandal ekonomi dan jenayah korporat sebenarnya mempunyai pengertian yang hampir sama. Ia cuma berbeza dari segi sebutan. Motif perbuatannya tetap sama iaitu berkelakuan curang bagi mengaut kemewahan dan mahu menjadi lebih kaya dalam sekelip mata.

Berasaskan kepada pelbagai kes yang pernah berlaku di Malaysia, terbukti kepada kita bahawa penjenayah kolar putih ini adalah tergolong dalam kelompok manusia yang kejam dan zalim. Kalau pengedar dadah sanggup menjaja maut demi mengaut keuntungan lumayan, ciri-ciri yang serupa juga dimiliki oleh penjenayah canggih ini. Bezanya cuma sedikit, mereka bertindak secara professional dengan menjaja kepakaran, pengaruh, kedudukan dan pangkat yang dimilikinya.

Mereka adalah musuh yang wajar diperangi habis-habisan kerana perbuatan mereka tidak pernah mengenal mangsa dan jumlahnya juga tiada had serta batasan.

Skandal BMF (RM2.2 bilion), kecurangan yang dilakukan Syarikat Pengambilan Deposit (RM 600 juta), penyelewengan dalam Perwira Habib Bank (RM 663 juta) serta skandal Pan-EL yang pernah menggemparkan Malaysia sekitar tahun 1983-1986 merupakan sebahagian dari kecurangan jenayah kolar putih yang wajar untuk dijadikan ukuran terhadap padahnya kepada sistem ekonomi dan imej Malaysia.

Akibat kerakusan yang dilakukan oleh pengganas-penganas ekonomi itu, Malaysia telah mengalami kerugian lebih RM6 bilion. Ekonomi negara ketika itu jatuh menjunam. Keyakinan pelabur terhadap sistem pengurusan ekonomi kita juga turut terhakis.

Walaupun tindakan penguatkuasaan kian kerap dilakukan dan sistem perundangan terus diperkemaskan, namun dalam tempoh beberapa tahun lepas sekali lagi kita dikejutkan dengan kejadian-kejadian mungkar lainnya seperti kes Aman Shah (RM 4 juta), skandal permulangan cek saham MIDFCCS (RM 2.8 juta) dan kes penipuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (RM 700,000).

Bagi sebuah negara kecil yang sedang melangkah ke era negara maju seperti Malaysia, jumlah wanga dan aset yang dikaut secara haram oleh penjenayah kolar putih menerusi skandal kewangan seperti itu adalah terlalu besar, amat membebankan serta memberikan imej kurang baik mengenai Malaysia kepada masyarakat pelabur.

Skandal yang berlaku sekitar tahun 1983-1986 mungkin berulang. Ketika itu ahli perniagaan tidak peduli tentang operasi mereka dan berbelanja secara tidak bijak. Oleh itu bila ekonomi jatuh mulai 1983, pelbagai skandal terdedah.

Polis menyiasat purata sebanyak 4,300 kes jenayah perdagangan setahun sejak 1990. Kebanyakannya membabitkan kes penipuan, pecah amanah, pemalsuan dokumen, kad kredit, wang dan sebagainya.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad pula menganggap penjenayah kolar putih bukan sahaja menjadi pengkhianat kepada rakan sendiri, tetapi juga adalah musuh rakyat. (hoooohooo hooo!!!)

Maklumat yang diperolehi dari Cawangan Siasatan Jenayah Perdagangan (CSJP), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, secara jelas menganggap bahawa jenayah kolar putih sebagai suatu yang amat sofiskated. Ia terlalu kompleks berbanding dengan jenayah lainnya disebabkan oleh 'modus operandi' nya yang begitu terancang, canggih serta bersifat global dengan kemajuan teknologi komunikasi dan automasi moden terkini.

Oleh kerana ia dilakukan bagi mengaut keuntungan besar dalam tempoh yang singkat, berbagai teknik perdangangan dan aktiviti perusahaan yang sofistikated turut digunakan.

Kalau kita lihat, penganas-pengganas ekonomi ini juga ternyata kurang menghadapi risiko fizikal berbanding pencuri, perompak atu pembunuh yang terdedah kepada bahaya diri.

Terdapat di kalangan mereka yang cuma menggunakan kemahiran mengendalikan komputer. Ada pula di kalangan mereka yang hanya menjadi pelapor atau penyalur maklumat bagi sesuatu urusan perniagaan atau lebih dikenali sebagai urusniaga dalaman.

Kemungkinan yang dilakukan oleh penjenayah kolar putih yang kebanyakannya terdiri dari golongan professional, berpendidikan tinggi dan berpengaruh ini merupakan suatu pengkhianatan besar kepada negara.

Terdapat juga kes-kes jenayah kolar putih yang mengakibatkan keruntuhan sesebuah institusi perniagaan seperti yang berlaku dalam skandal urusniaga dalaman Michael Million/Ivan Boesky di Wall Street dan skandal BCCI.

Walaupun kadar jenayah kolar putih di Malaysia masih berada pada tahap yang terkawal dan tidak seteruk seperti yang sedang melanda di negara-negara maju khususnya di Amerika Syarikat dan Eopah, tetapi aliran ke arah itu akan makin jelas jika ianya tidak dibanteras segera dari sekarang.

Kerajaan menerusi agensi-agensi penguatkuasaannya serta sektor swasta terus-terus menganjurkan kempen kesedaran, penerangan, forum dan perbincangan bagi membanteras gejala tersebut. Berdasarkan kepada beberapa skandal besar yang pernah berlaku di Malaysia, kita juga dapat membuat andaian bahawa soal kesempitan hidup bukanlah punca yang mendorong mereka menjadi pembelot. Sebaliknya mereka bertindak kerana tuntutan nafsu, tamak, rakus serta lain-lain kelakuan curang yang mengenepikan terus soal moral dan etika.

Pindaan ke atas Akta Kanun keseksaan 1993, yang diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini memberi gambaran yang amat jelas tentang ketegasan Kerajaan dalam menangani permasalahan ini.

Hukuman sebat dan penjara ke atas penjenayah kolar putih juga dianggap berpatutan di samping mampu membenihkan kesedaran serta amaran kepada mana-mana pihak yang turut berkeinginan untuk melakukannya.

Malaysia juga di samping beberapa negara lain telah menubuhkan Suruhanjaya Sekuriti (Security Commission) bertujuan mengawasi dan mengawal industri sekuriti juga sektor korporat.

Dalam usaha memerangi pengganas ekonomi ini, kita juga seharusnya menggunakan pendekatan atau langkah yang lebih luas. Ini penting kerna mereka yang terbabit merupakan kelompok professional yang bergerak secara bersindiket. Adakalanya turut membabitkan hubungan dengan pihak luar atau mungkin di peringkat antarabangsa.

Agensi-agensi penguatkuasa perlu bekerjasama dan bertindak secara bersepadu untuk merumus sistem serta kaedah terkini bagi membiasakan diri dengan taktik licin pengganas-pengganas ekonomi ini.

Tugas memerangi penggganas ekonomi ini sesungguhnya tidak terletak hanya di bahu agensi-agensi penguatkuasa sahaja. Peperangan menghapuskan penjenayah ini adalah tanggungjawab bersama. Ianya menuntut kerjasama yang erat antara Kerajaan dengan swasta dan seluruh rakyat.

Sebagai bangsa bermaruah, kita wajar memahatkan ikrar untuk sama-sama memerangi kemungkaran ini. Sebagai bangsa bermartabat, kita juga tidak mungkin akan merelakan Malaysia dijadikan syurga oleh pengganas-pengganas ekonomi ini bermaharajagila.








Siri Tun Daim Penyangak Wang Negara

Muka Surat 148 - 155

BAB 20

Guna Taktik Penipuan


[Artikel ini disauk oleh Khalid daripada: Cawangan Siasatan Jenayah Perdagangan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. ]

Jenayah perdagangan sebenarnya tidak mempunyai definisi atau istilah yang tepat. Namun begitu, istilah jenayah kolar putih, jenayah perdagangan, jenayah korporat, skandal atau jenayah ekonomi merupakan suatu sebutan yang sering digunakan secara brtukar ganti bagi tujuan pentadbiran sahaja tanpa mempunyai kekuatan dari segi takrifan undang-undang.

Walaupun ianya mempunyai makna yang hampir serupa, tetapi penggunaannya adalah tertakluk kepada pemilihan pengguna. Pemakaian tertakluk kepada pemilihan pengguna. Pemakaian istilah berkenaan juga berbeza di antara sesebuah negara bergantung kepada sistem sosial, ekonomi, kebudayaan serta politik setempat.

Namun begitu, Pertubuhan Polis Antarabangsa (INTERPOL) telah mengaktifkan jenayah seumpana itu sebagai aktiviti perniagaan dan perdagangan serta semua operasi yang dijalankan secara curang membabitkan individu, pertubuhan atau orang ramai dan merangkumi jenayah yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

Bagaimanapun, setelah menyedari kehendak undang-undang kesaksian, definisi tersebut hanya boleh menjelaskan maksud bentuk jenayah yang dilakukan tetapi tidak boleh digunakan sebagai pertuduhan di Mahkamah. Oleh itu, penekanan secara khusus tidak diberikan untuk mengaktifkan jenayah berkenaan, tetapi cuma bertujuan mengklasifikasikannya sahaja.

Di antara langgaran di bawah Peruntukan Kanun Keseksaan yang dihubung-kaitkan dengan jenayah-jenayah berkenaan adalah kesalahan menipu, pecah amanah jenayah, permalsuan serta pelancungan matawang kertas dan suratjanji bayaran bank, pemalsuan kira-kira dan lain-lain kesalahan mengenai penyalahgunaan harta dan penerimaan harta curi.

Walaupun kesalahan-kesalahan tersebut merupakan jenayah kolar putih yang utama di negara kita, terdapat juga undang-undang kesalahan teknikal yang ditakrifkan sebagai jenayah berkenaan. Ini termasuk kesalahan pengambilan deposit serta pemberian kemudahan kredit kepad a pengarah dan pegawai di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, larangan syarikat memperdagang saham sendiri serta penyalahgunaan maklumat yang diperolehi melalui ruang tugas rasmi di bawah Akta Industri Sekuriti 1983 dan kesalahan-kesalahan dagangan pasaran hadapan di bawah Akta Dagangan Komoditi 1985.

Pernyataan tersebut hanya merupakan sebahagian kecil undang-undang berkaitan dengan jenayah kolar putih. Seringkali juga jenayah dikategorikan berdasarkan kepada kegiatan ekonomi seperti Penyelewengan Korporat (Corporate Fraud); Penyelewengan Sekuriti (Securities Fraud); Penyelewengan Insurans (Insurance Fraud): Penyelewengan Maritim (Maritime Fraud); Penyelewengan Pertukaran Asing ( Exchange Control Manipulation); Penyelengan Dagangan Hadapan Komoditi (Future Market Fraud); Penyelewengan Kad Kredit (Credit Card Fraud); Banking Haram (Criminal Banking) dan Penyelewengan Perkiraan (False Accounting).

Secara umum, jenayah tersebut tetap dilakukan oleh pihak yang mempunyai kesempatan berurusan dengan wang tunai ataupun cagaran berharta tanpa penyeliaan yang rapi. Kekurangan dari segi kekerapan audit juga boleh menyebabkan berlakunya amalan curang itu yang mana mereka akan menutup kesalahannya secara membuang keterangan-keterangan serta dokumen yang ada.

Adakalanya kelemahan sistem serta prosedur sesebuah badan menjadi punca penyelewengan. Umpamanya, kes KWSP di mana 96 orang pencarum telah memperdayakan pihak KWSP supaya meluluskan permohonan mereka bagi mengeluarkan wang caruman.

Terdapat juga jenayah kolar putih yang dilakukan secara persubahatan penjenayah atau sindiket dengan orang dalam sepertimana yang berlaku dalam kes MIDFCCS.

Fenomena jenayah kolar putih yang dilakukan oleh mereka yang diamanahkan dengan wang terletak jauh ke dalam konsep korporat dan democratization of corporation. Ini memberi hak kepada sesiapa juga untuk menjadi ahli lembaga pengarah dengan syarat syarat tertentu. Hal seperti ini amat ketara dalam kes-kes koperasi di mana seseorang ahli yang berpendapatan rendah serta tidak memiliki latihan formal, dilantik sebagai lembaga pengarah. Dalam keadaan sedemikian ramai di kalangan mereka telah mengambil peluang untuk mengaut keuntungan peribadi.

Bagi kebanyakan syarikat korporat pula, amalan 'prudent' sudah diketepikan di dalam soal mengejar keuntungan. Mereka sering berlumba-lumba mencari keuntungan tanpa mengira risiko. Akibatnya, pengesahan latar belakang, kredit, cagaran dan 'vialibility' projek yang hendak dilaksanakan tidak diambilkira.

Sejumlah besar masalah jenayah kolar putih berkait rapat dengan soal etika. Ini mungkin disebabkan ramai di kalangan mereka yang memegang jawatan tinggi berterusan didedahkan dengan peluang melibatkan diri di dalam kegiatan tidak bermoral ini.

Penekanan mengenai soal etika dalam konteks pengurusan juga jarang diberi perhatian. Pengambilan kakitangan dan seterusnya latihan yang dijalankan tidak memberi keutamaan terhadap soal tersebut di mana kerja kakitangan hanya ditumpukan kepada penugasan tanpa mengambil kira kepada nilai etika dan moral pekerja.

Sesuatu keputusan sering diambil berasaskan kepada prinsip keuntungan optima menerusi kepakaran pengurusan tanpa mengambil kira kepada nilai etika dan moral pekerja.

Sesuatu keputusan sering diambil berasaskan kepada prinsip keuntungan optima menerusi kepakaran pengurusan. Manakala pengurus korporat pula cuma dilatih, didedah dan ditumpukan kepada kegiatan bagi tujuan mencapai tahap pengurusan yang paling tinggi. Kepincangan sistem begini menjadikan pengurusan sebagai satu bidang yang terpisah dari ciri-ciri etika dan moral.

Jenayah kolar putih juga sering diandaikan sebagai suatu yang sofistikated dan kompleks berbanding dengan jenayah lainnya disebabkan oleh 'modus operandi'nya yang begitu terancang, canggih serta bersifat global dengan kemajuan teknologi komunikasi dan automasi moden.

Oleh kerana ianya dilakukan bagi mendapatkan keuntungan besar dalam tempoh yang singkat, berbagai teknik perdagangan dan aktiviti perusahaan yang sofistikated digunakan. Umpamanya, melalui mesyuarat lembaga pengarah ataupun dengan penggunaan peralatan canggih seperti komputer, fax, telex, telefon dan lain-lain. Ianya juga membabitkan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang professional tertentu.

Trend jenayah kolar putih masa kini ternyata lebih berbentuk jenayah bersindiket yang mana ahli-ahlinya diberi peranan tertentu bagi melengkap dan melicinkan pelaksanaan tugas pada tahap risiko yang paling minima.

Dari aspek penyiasatan, kes-kes yang melibatkan jenayah ini merupakan suatu siri kegiatan yang mengambil masa, komplikated dan berlanjutan.

Biasanya, ia terpaksa membabitkan pngesahan amalan yang benar, kesahihan penyelewengan yang telah berlaku menerusi pemeriksaan rekod, data dan akaun perniagaan serta mendapatkan bukti-bukti penyelewengan di samping menyokong pendakwaan. Oleh yang demikian, pengendalian penyiasatan semestinya dijalankan oleh pegawai-pegawai yang berkaliber, bepengalaman, berdedikasi dan bermotivasi tinggi. (hooo hooo hooo!!!)