Laman Webantu   KM2A1: 5056 File Size: 5.9 Kb *



BKAdil: Kesuraman ekonomi M'sia dan isu Renong jadi fokus media asing
By Abu Bakar

23/7/2001 11:26 pm Mon

[Dengan memberi sedikit fokus kepada ekonomi parti Keadilan akan dapat mendampingi golongan koporat negara ini. Inilah satu bidang yang selama ini tidak begitu mendapat perhatian BA, khususnya di laman web sedangkan ia penting untuk mendidik rakyat betapa Mahathir sebenarnya tidak memulihkan ekonomi.

Mahathir sebenarnya telah memulihkan kroni terlebih dahulu. Bayangkan betapa banyaknya belanja yang digunakan untuk menolong kroni dan cuba bandingkan jumlah untuk rakyat yang mengundi mereka selama ini. Kerajaan terlalu memberi fokus kepada kroni sebab itulah Daim dipanggil dulu untuk menjawat sebagai menteri.
- Editor
]


http://berita-keadilan.net/bmelayu/rencana/230701kesuramanekonomi.htm


Kesuraman ekonomi M'sia dan isu Renong jadi fokus media asing

Oleh: ABU BAKAR RASHID

Nilai ringgit diramal jatuh, belanjawan Malaysia akan mengalami defisit yang lebih besar, ekonomi Malaysia sekali lagi mengalami penguncupan dan kerajaan pula dilaporkan akan mengambilalih kepentingan dalam United Engineers Malaysia (UEM) serta Renong Berhad.

Berita-berita yang menggambarkan kesuraman ekonomi Malaysia itu menjadi bahan liputan CNN, Business Times (BT), Berita Harian Singapura (BH) dan Asian Wall Street Journal (AWSJ).

Menurut CNN, kejatuhan nilai matawang lain seperti dollar Singapura dan peso Filipina memberi kesan buruk kepada eksport Malaysia, mendorong pengeluar barangan eksport mendesak penurunan nilai ringgit yang lebih berdaya saing.

Sementara Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Mahathir Mohamad menekankan nilai ringgit yang kini ditetapkan pada kadar RM3.80 bagi setiap satu dollar Amerika tidak akan diubah, CNN menyatakan bahawa perubahan dijangka berlaku pada bulan September ini oleh sesetengah penganalisis.

Menurut rangkaian berita kabel itu, cabaran-cabaran dalam ekonomi Malaysia dijangka akan semakin getir.

Kemerosotan eksport barangan elektronik sejak setahun lalu memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi Malaysia, kata CNN lagi.

Ahli-ahli ekonomi sektor swasta juga sependapat bahawa kadar pertumbuhan tahun ini akan lebih rendah - mungkin antara satu hingga 2.5 peratus, bergantung kepada bila dan secepat mana, pasaran teknologi maklumat (IT) seluruh dunia akan pulih semula, lapor CNN.

Rangkaian kabel berita itu seterusnya memetik George Worthington, ketua ahli ekonomi bahagian Asia Pasifik firma penganalisis IFR sebagai berkata:

"Ketika berita-berita ekonomi semakin memburuk dan kemelesetan pula di ambang pintu walaupun beliau berusaha sungguh-sungguh untuk mempertahankan ekonomi negaranya dari ditimpa kesan faktor luaran, peninggalan Mahathir akan tercemar dan para penyokongnya dilanda kegelisahan."

Pertumbuhan ekonomi yang membimbangkan seperti diramal oleh ahli-ahli ekonomi sektor swasta kelihatan diakui oleh institusi Malaysia sendiri apabila BH 18 Julai melaporkan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) telah menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk kali kedua tahun ini, ekoran kelembapan eksport elektronik dan produk lain.

Menurut akhbar itu, MIER telah menurunkan ramalannya dari 4 peratus kepada 2.2 peratus untuk tahun ini. April lalu, badan penyelidikan itu telah menurunkan ramalannya dari lima peratus.

Ekonomi Malaysia tumbuh sebanyak 3.2 peratus pada suku pertama tahun ini, berbanding setahun lalu. Ia merupakan rentak pertumbuhan paling perlahan sejak dua tahun lalu, lapor BH.

Berbanding suku keempat tahun lalu, ekonomi negara merosot 3.7 peratus.

Menurut akhbar itu, walaupun tidak memberikan sebarang ramalan bagi pertumbuhan ekonomi suku kedua tahun ini, Pengarah Eksekutif MIER, Mohamad Ariff Kareem, berkata:

"Kita akan lihat penguncupan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) pada suku kedua berbanding pertama."

Melaporkan kemerosotan eksport barangan elektronik Malaysia, BT 17 Julai menyatakan, Malaysia mengeksport barangan elektronik bernilai RM167 bilion, iaitu kira-kira 45 peratus eksport keseluruhan tetapi ahli-ahli ekonomi menjangkakan eksport barangan tersebut akan merudum kira-kira RM140 bilion tahun ini.

Gambaran ekonomi yang suram semakin ketara apabila, dalam laporan yang sama, BT melaporkan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu para pemberita bahawa belanjawan negara akan dijangka mengalami defisit dalam lingkungan enam peratus, lebih besar dari defisit yang dijangkakan sebelum ini iaitu sebanyak 4.9 peratus.

Ketika ekonomi negara dijangka oleh para penganalisa sebagai berada di ambang kemelesetan, kerajaan pula dilaporkan sedang merancang untuk mengambilalih kumpulan Renong sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah hutang lapuk yang dialami oleh syarikat itu, BT 18 Julai memetik laporan AWSJ.

AWSJ memetik pegawai-pegawai kerajaan dan eksekutif-eksekutif kewangan yang tidak disebut nama mereka, yang mempunyai kaitan rapat dengan rancangan pengambilalihan itu.

Sumber-sumber berkata, menurut BT, kerajaan mengambil tindakan itu kerana Renong begitu lembab dalam menstrukturkan semula hutangnya.

Renong kini disifatkan sebagai syarikat yang paling besar hutangnya dalam negara ini.

Sumber-sumber itu menyatakan, sebuah agensi kerajaan akan mengumumkan rancangan pengambilalihan UEM minggu hadapan, yang akan mengakibatkan Pengerusi Eksekutif Renong, Tan Sri Halim Saad, hilang penguasaan dalam keseluruhan kumpulan itu.

Akhbar itu seterusnya melaporkan, tindakan pengambilalihan itu, yang dijangka menelan kos sehingga RM2 bilion, diarahkan sendiri oleh perdana menteri.