Laman Webantu   KM2A1: 5067 File Size: 9.0 Kb *



TAG SP 223: Nakhoda Yang Ternoda [Recession]
By Harun Rashid

24/7/2001 8:43 pm Tue

[Mahathir seperti begitu takut untuk mengakui bahawa negara sudahpun meleset buat kali yang kedua. Kerapkali dia memberi angka yang lebih tinggi dan terlalu optimis sedangkan itu bukan markah sebenar prestasi ekonomi negara. Patutlah banyak syarikat kroni yang terkena.

Dengan tidak mengakui kesalahan sendiri kita akan condong melakukan kesalahan itu sekali lagi. Itulah yang berlaku sekarang ini. Renong kini dihantui masalah hutang yang memeningkan sekali sehingga menggugat ekonomi negara. Hutang itu tidak pulih pun ketika ribut dulu sudah reda kerana wang boleh diambil lagi seikut suka tanpa membayarnya. Lagipun lihatlah siapa yang memegang semua rekodnya... semalam Mahathir berkata isu Renong tiada kaitan dengan kepincangan apa-apa!

Kesian rakyat Malaysia asyik tertipu sahaja..... - Editor]


Terjemahan: SPAR-05-017


Nakhoda Yang Ternoda

(Captains Incapable)

Oleh: Harun Rashid


Bukan susah menjadi seorang ahli ekonomi sekarang ini. Istilahkata bidang itu sudah semakin terhad, 'pemulihan' ataupun 'kegawatan'. Nampaknya tidak pula ada perkataan menunjukkan keadaan pertengahan antara keduanya. Kalau bukan yang satu itu, mestilah yang lagi satu. Ekonomi negara dikatakan sedang semakin pulih, ataupun dirasuk kegawatan. Mungkin juga sudah teruk antara istilah yang dua itu, ataupun masih lagi terumbang-ambing menunggukan kepastian angka statistik suku-tahun, sesekali condong ke kiri arah pemulihan ataupun melentik ke sebelah lagi menuju kegawatan.

Secara keseluruhannya, pelantar geladak ekonomi sepatutnya tidak terjungkang-jungkit mengikut ragam mainan ombak percaturan nasib, tetapi seharusnya terus menghadapi gelombang yang lebih besar, yang turun dan naik mengikut kuasa putaran purnama, angin perniagaan dan pasang surutnya.

Bukan mudah menjadi seorang jurumudi kerana seseorang nakhoda itu memerlukan kepintaran mentafsirkan pergerakan awan dan angin sebagai pertanda kemunculan bahaya yang datang bermain. Isyarat awal kalau dapat dikenali segala tandanya mampu memberikan masa yang selesa untuk bersiap sedia. Seandainya kelengkapan kapal tidak sempurna adalah masa menyelinapkan kapal mencari perlindungan. Si nakhoda mesti berani mengakui kesilapan yang lalu kerana kedegilannya boleh membahayakan awak-awak dan kapal itu. Seorang nakhoda yang memelihara egonya akan menghadapi banyak bahaya. Tetapi lebih bahaya lagi minatnya memasung sesiapa yang tidak disukainya kerana mereka suka bertanya ataupun menentangnya. Itu sebabnya tidak ada kesan tapak kaki mereka yang menyuap segala jerung selama ini.

Dalam bidang ekonomi, kedudukan suasana selalunya bergantung kepada wawasan apa yang digunakan untuk dianalisa dan dicongakkan. Mereka yang mencongak sentimen pembekal dan pengguna mempunyai rekod kepintaran meramalkan perlakuan ekonomi di masa depan, sambil membayangi segala lakonan dan mainan kelentongan para pemimpin politik yang gemar membuatkan penafian. Temu bual setempat dikira lebih berkesan kerana memberikan gambaran yang lebih jelas keadaan sebenar perniagaan.

Di Malaysia, cuma ada seorang nakhoda yang juga seorang perdana menteri yang mengendalikan segala sumber negara mengikut nafsu-nafsi. Dia mempunyai seorang pembantu, yang sudah diketepikan, dan dulu diberi tugas menjalankan kerja harian mengendali jabatan kewangan. Kini semua buku kira-kira perbelanjaan negara dan juga parti sudahpun diserahkannya. Buku cek dan penyata kira-kira itu tidakpun diaudit tetapi sudahpun diserahkan kepada presiden parti yang juga menjadi perdana menteri. Memang tidak pernah dilaksanakan sebarang audit kepada khazanah negara ataupun halehwal parti politiknya.

Perdana menteri memang terkenal oleh sejarah sebagai seorang peniaga yang suka berniaga besar, dengan jumlah wang yang besar-besar sehingga terkenal sebagai seorang kaki judi dengan modal yang besar. Kemenangannya tidak seberapa berbanding kerugian terlalu besar yang bertaraf mega.

Tidak ada rakyat lain di Malaysia ini yang pernah kerugian lebih besar daripada perdana menteri. Jumlah wang yang dihamburkannya untuk ketuanan politiknya, pelbagai projek mega, apabila dicampurkan dengan segala pelaburan yang tinggi-tinggi risikonya, memang menakjubkan pihak yang menelitinya. Dia mempunyai alasan yang menakjubkan juga bagi setiap kerugian yang dialaminya. Dia menuduh penyangak mata wang yang pelahap katanya, sedangkan dosa sebenar mereka ialah bertaruh menentangnya. Dia juga menuduh orang Melayu sebagai malas dan dungu sehingga menyebabkan kerugiannya itu. Memang dia tidak menyukai mereka seperti juga mereka membencinya. Tetapi, dia menganggap penduduk yang lain itu sama ada ahli keluarga, para kroninya, kumpulan komunis ataupun pengganas yang bermazhab yang mahu menggulingkannya.

Inilah dia seorang gila yang memegang kemudi kapal. Inilah bajingan yang tidak pernah jelas pandangannya akan daratan di depan. Dia lebih gemar menyauk wang daripada peti khazanah untuk dihambur ke dasar laut, seolah-olah itulah minyak ajaib yang mujarab, sambil memberi ingatan kepada awak-awak kapal bahawa itulah caranya orang yang pandai menyelamatkan kapal dihentam badai. Setiap kali mulutnya terbuka, dia akan berkata itulah kapal yang memang perkasa yang dibikin dengan teknologi lama yang tidak berguna untuk melawan serangan badai yang ada, sedangkan gelombang yang datang bukan main tinggi dan kuat pukulannya. Dia tidak pernah mahu mengaku bahawa dialah penyebab segala kegagalan dan kerugian, menafikan betapa sifatnya yang suka berjudi besar membahayakan kapal kerana pelayaran yang jauh tersasar.

Dia tidak pernah membuat persiapan siapakah nanti yang akan muncul sebagai pengganti. Dia tidak mahu melantik seseorang yang dianggap akan bangun menentang. Itu sebabnya kapal tidak ada ketua pelapis, hanya dianggotai oleh awak-awak yang berusia tua. Inilah kumpulan manusia yang makanpun tak habis, teringatkan kapal-kapal lama yang banyak pecah berkecai kerana teknik pelayaran yang usang dan terlalu hancai bila dihentam badai. Inilah dia nakhoda sewel yang tidak ada kepintaran menyelamatkan kapal, tetapi disebabkan kesombongan memikirkan dirinya kebal, mahukan kesetiaan yang mutlak daripada awak-awak yang bebal dan ketakutan bila ditempelak.

Tetapi pada kali ini, pertaruhannya amat tinggi sekali. Pertanda di angkasa sudahpun mengeluarkan isyaratnya. Apa yang dianggap tiupan bayu berkemungkinan bertukar menjadi taufan yang menderu. Amaran cuaca mengatakan keadaan lega sahaja, bererti kehilangan peluang yang ada, sedangkan itulah punca segala taufan di mana ketenangan sementara akan menandakan taufan besar yang kunjung melanda. Memang tidak mudah mentafsirkan ketenangan yang kelihatan lega kerana bayu yang tidak menderu melekakan pandangan terhadap pergerakan kecil yang senyap dan tidak menentu.

Demikianlah takdir bahtera itu, semakin kehilangan arah-tuju apabila angin enggan berlalu. Biarkan nakhoda terjerit dan terlolong, biarkan dia menyumpah-seranah atau berbohong, biarlah dia merayu kepada bayu untuk datang menolong. Rantai besar yang semakin melilit lehernya tidak akan melepaskan jerutannya.

Dia memang sedar akan semua bahaya itu. Itu sebabnya seisi keluarga dan para sahabat sudahpun dihantar ke daratan dengan menggunakan perahu penyelamat. Namun, dia masih berani berdiri tegak di lantai geladak. Sambil menjerit ke kiri dan kanan dengan panji-panji berkibaran di tangan dia melalak mahukan semua saham awak-awak yang masih boleh dibeli dengan duit yang banyak.

Kebanyakan awak-awak itu akan pulang ke kampung halaman mereka. Apakah yang akan jadi kepada nakhoda yang semakin keras kepala? Dia semakin bertegas mahu tetap berada di atas bahtera. Dia akan berseorangan dalam kamar nakhodanya sambil diawasi oleh beberapa khadam yang sudah lama dikasi anunya untuk terus kekal setia kepadanya.

Tamat

Sambungan penterjemah:

(Mereka akan kekal menunggu, sampai bila tidak sesiapa yang tahu. Walaupun si nakhoda mati kematu sendirian di situ. Tidak ada yang mendengarnya terlebih dulu kerana riuh-pekuk bunyi bayu yang berlalu).

Terjemahan: SPAR-05-017


https://members.tripod.com/e-umno/feu_tag_231.html

FeU Baru: https://members.tripod.com/e-umno/

Link Reference : Harun Rashid Worldview: Captains Incapable