Laman Webantu   KM2A1: 5088 File Size: 10.9 Kb *



TAG SP 228: AWSJ - Penyelamatan UEM
By Terence Gomez

27/7/2001 5:07 pm Fri

[Kumpulan Renong telah lama berhutang berbilion sehingga menjejaskan bank tetapi Mahathir membiarkannya sahaja. Malah dia pernah membela kumpulan itu dulunya bila pembangkang menegurnya. Wawasan Mahathir adalah untuk mencipta konglomerat koporat yang besar-besar dan bank yang besar-besar juga untuk bersaing di peringkat global. Malangnya itu gagal akibat tiada penekanan kearah pengkhususan, kepakaran, kecekapan dan membanteras penyelewengan kerana ada kepentingan lain yang lebih penting dari segala-segalanya yang disembunyikan.

Ada pihak berpendapat Halim tidak sebegitu bersalah tetapi kerajaanlah yang sebenarnya bersalah kerana lebih tidak bertanggungjawab. Kerajaan sengaja tidak masuk campur dan memberi segala macam kemanjaan buat Renong sehingga membiarkan bank dan dana awam ditebuk mudah. Sikap kerajaan itulah menyebabkan bank, dana awam, dan kini ekonomi negara pula parah. - Editor]


Terjemahan: SPAR-03-041

Penyelamatan UEM

(Malaysia's UEM Bailout)

Oleh: Terence Gomez

Pada Isnin lalu, kerajaan Malaysia mengumumkan niatnya membelanjakan 3.8 bilion ringgit untuk membeli semula United Engineers Malaysia (UEM), tercetuslah berita meluas betapa Mahathir Mohamad mahu melancarkan satu proses penyelamatan lagi. Renong merupakan konglomerat terpenting di kalangan beberapa syarikat besar kepunyaan Melayu yang dihenyak hutang yang besar-besar menyebabkan ia tidak boleh terlepas daripada usaha kerajaan untuk menyelamatkannya. Setakat November 1999, syarikat dalam Kumpulan Renong merupakan milik UMNO yang dipimpin oleh Mahathir Mohammad.

Seperti biasa, Mahathir menafikan sebarang usaha penyelamatan ataupun 'bailout'. Apapun pendirian sebenar beliau, adalah sukar menilai apakah kepentingan awam merupakan alasan terpenting untuk menyokong sikap penyelamatan itu. Lagipun usaha ini bukannya merupakan sebahagian usaha beliau untuk memulakan satu tindakan berterus terang yang penuh ketelusan dan penuh suasana bertanggungjawab mengikut cadangan setiap pengamat seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan.

Krisis hutang Kumpulan Renong sudah lama bergelora sejak 1997 ekoran ledakan krisis fiskal rantau ini. Oleh kerana luasnya bidang urusniaga konglomerat yang menakluki perhotelan, lebuhraya, telekomunikasi, petroleum dan penerbangkan, para pengkritik telah lama memberikan cadangan agar kumpulan itu menurunkan bebanan hutang dengan cara melepaskan pegangannya dalam beberapa aset yang mewah-mewah, yang pada waktu ini dinilai sekitar 25 bilion ringgit. Tiba-tiba, inilah pula yang difikirkan oleh pihak kerajaan.

Akhbar tempatan telah menjelaskan betapa usaha menyusunan semula Renong/UEM boleh membantu meredakan keresahan dan keyakinan pelabur di pasaran saham Kuala Lumpur. Dalam menangani krisis kewangan itu, beberapa institusi baru dan peraturan baru telah diperkenalkan untuk memajukan ketelusan dan semangat bertanggungjawab di kalangan sektor korporat. Namun demikian, Kumpulan Renong dan pemegang saham terbesarnya Halim Saad jarang sekali tertakluk kepada peraturan ini.

Memang kerap juga tercetusnya beberapa skandal. Pada Mac 2001, ketika dilancarkan terbitan pertama saham anak syarikat Renong, TimedotCom, sambutan umum jelas terlalu dingin sehinggakan jumlah besar ekuiti yang berbaki disogokkan kepada beberapa institusi awam. Pernah pada 1997, UEM telah digerakkan untuk membeli longgokan saham terbesar bersamaan dengan 32.6% saham Renong dengan nilai 2.34 ringgit. Pembolotan ini, dilaksanakan secara pinjaman bernilai 800 juta ringgit yang ditanggung bersama oleh beberapa bank tempatan yang rapat dengan kerajaan dan UMNO. Inilah tindakan yang mencemaskan pemegang minoriti saham UEM. Proses penyelamatan ini nampaknya memanjangkan lagi sikap salah urus sektor kewangan tempatan untuk memenuhi nafsu-nafsi pihak tertentu yang berkepentingan.

Kini sudah ada pertanda munculnya perubahan dalam iklim politik negara. Tercetusnya pergeseran ideologi politik antara Dr. Mahathir dan sahabatnya yang paling berpengaruh pada satu ketika dulu, Daim Zainuddin, dengan persaraan beliau sebagai menteri kewangan pada Jun lalu, dianggap sebagai sebahagian dari fenomena itu. Mereka berdua tidakpun berusaha memberikan penjelasan kenapa berlakunya persaraan itu. Yang pasti, beberapa individu memang amat sangsi mengenai suasana pentadbiran korporat negara dan ketelusannya, ingin membuat pengaduan tentang pengunduaran Daim itu, ataupun mengenai pergeseran antara mereka berdua, ataupun tentang kemungkinan pengambil-alihan UEM oleh kerajaan. Namun kebanyakan rakyat seharusnya lebih curiga tentang cara pengambil-alihan itu dan apakah yang terselindung di sebalik semua itu yang menyerlahkan keadaan sebenar politik negara.


Pengambilalihan UEM menyerlahkan dua isu utama: Pertama, ia menyerlahkan keadaan pentadbiran negara sebenarnya yang banyak tertumpu kepada kuasa seorang perdana menteri di mana semua agensi kerajaan adalah berlagak sebagai khadam upahannya sahaja. Kedua, ia mendedahkan betapa kuasa politik yang berlebihan ini sudah menggangu-gugat hak asasi kebendaan dan harta milik individu dalam dunia korporat, negara ini kerana mudah sangat diperkotak-katikkan oleh penguasa yang pelahap.

Dengan kata mudah, pengambil-alihan UEM dan tumpuan kuasa politik terhadapnya, menarik perhatian kepada isu pemilikan dan pengawasan firma tempatan. Di Malaysia, kewujudan kuasa milik majoriti dalam sesebuah syarikat tidak membawa banyak makna apabila ada usaha kerajaan mahu mengetatkan dasar-dasar baru ataupun penyusunan semula korporat. Perkara ini amat relevan dalam isu UEM, malahan amat terserlah dalam usaha menyusun semula sistem perbankan negara.

Mereka yang mudah sangat terdedah kepada pengambil-alihan aset korporat adalah manusia yang sama yang berkemungkinan besar telah menikmati banyak faedah daripada naungan negara selama itu. Cuma pada kali ini, mereka tidak bernasib baik kerana tidak lagi dipayungi seorang gergasi politik yang telah dinyahkan oleh perdana menteri. Halim Saad, seorang anak emas Daim, terpaksa melepaskan pegangan ekuiti dalam Renong. Sebalik segala penglibatan Halim sebelum itu, dia sanggup melepaskan pegangan semua itu dengan mengambil sikap terus membisu. Besar kemungkinannya, para peniaga lain yang rapat dengan Daim akan turut mengalami paksaan yang serupa untuk melepaskan pegangan mereka yang besar dan berpengaruh dalam sektor korporat tempatan.

Pengambilalihan yang diilhamkan oleh nafsu serakah politik, bukanlah perkara baru di negara ini. Melalui penguatkuasaan berahsia bertopengkan tadbiran korporat, pemimpin politik yang mendekati penguasa pernah mengalihkan aset korporat kepada pengangan pihak sekutu mereka. Apabila mantan perdana menteri Anwar Ibahim dinyahkan pada 1998, sekutu niaga beliau telah turut teraniaya apabila kehilangan aset korporat mereka. Kebanyakan aset 'yang dirampas' itu berpindah tangan kepada para peniaga yang rapat dengan Daim. Ketika itu, Daim muncul besama Mahathir, sebagai salah seorang pemimpin politik yang sungguh besar kuasanya di negara ini.

Ketika penguatkuasaan beberapa peraturan pilihan dikenakan terhadap beberapa perusahaan tealh membantu menyerlahkan suasana wujudnya seliaan korporat yang berwibawa, terdapat pula segelintir keganjilan yang dibiarkan terus berleluasa, terutama yang membabitkan syarikat yang berhubung rapat dengan Daim. Selain penyelamatan TimedotCom, Tajuddin Ramli seorang lagi anakmas Daim, telah diberikan pampasan yang lumayan oleh kerajaan dengan menggunakan dana awam untuk mengambil-alih pegangan saham dalam syarikat penerbangan (MAS) yang dihantui hutang bertimbun-timbun dan bekarat itu.

Halim dan Daim kini digambarkan secara senyap-senyap dalam akhbar tempatan sebagai orang yang bertanggungjawab dengan krisis hutang Renong dan terhadap ketiadaan ketelusan serta tanggungjawab dalam akauntabiliti urusan mereka. Akan tetapi, Dr. Mahathir seharusnya bertanggungjawab juga dengan segala kemelut ini. Dalam keghairahannya mahukan pencapaian wawasan mewujudkan sekumpulan usahawan Bumiputra yang menguasai konglomerat mega, kerajaan Mahathir telah terlampau memanjakan kumpulan ini dengan memberikan pelbagai nikmat seperti konsessi dan permit yang tidak ada hadnya tanpa sebarang ketelusan kepada kumpulan Renong dan juga kepada anak-didik kesayangan bersama mereka, Tajudin Ramli.

Kumpulan Renong naik mencanak melalui beberapa siri pengambilalihan dan dokongan pinjaman bank daripada pelbagai institusi perbankan kerajaan Sebalik semua pembesaran Renung itu tidak ada sebarang pengkhususan dalam cara mereka berniaga. Tidak pula ada sebarang usaha kerajaan untuk mendisiplinkan mereka ataupun membetulkan sebarang kepincangan dan kerja gila-gila. Sebaliknya bantuan kerajaan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk itu dianggap sebagai bertepatan dengan ilham bahawa semua itu adalah untuk kepentingan negara.

Apakah pula yang boleh diharapkan dalam usaha penstrukturan semula korporat yang ada apabila Dr. Mahathir memegang dua kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan negara? Besar kemungkinannya beberapa agensi kerajaan akan digemblengkan mengambil-alih beberapa perusahan milik sekutu niaga Daim. Kemudian, milik kebanyakan ekuiti itu terpaksa dipindahkan kepada negara ataupun kepada individu yang kuat mengampu Dr. Mahathir.

Memandangkan kuasa penguasa mencengkam pengaruhnya, ciri-ciri halatuju korporat, baik dalam kerajaan dan di pihak awam, akan seterusnya bergerak mengikut rentak dan irama yang ditentukan oleh Dr. Mahathir. Perdana menteri telah meminta rakyat jelata memberikan kepercayaan kepadanya dengan menjanjikan ketelusan yang lebih luas, dan akauntabilti dalam pentadbiran kerajaan seperti yang diajukannya dalam cara penyusunan semula Renong. Apa juga yang akan terjadi; selagi kuasa itu dipusatkan kepada cengkaman seorang penguasa yang gila kuasa, para pelabur akan terus meragukan apa juga urusan niaga yang dilaksanakan bertopengkan 'kepentingan awam'.

Tamat

Terjemahan: SPAR-03-041




Asal: KM2 5085 - AWSJ: Malaysia's UEM Bailout