Laman Webantu   KM2A1: 5089 File Size: 4.1 Kb *



BG: Selamatkan MAS Bukan Sekadar Naikkan Harga Tiket
By Chow Kon Yeow

27/7/2001 6:16 pm Fri

[BUNGARAYA]

Selamatkan MAS bukan sekadar naikkan harga tiket

[Ucapan oleh Ahli Parlimen Tanjung Chow Kon Yeow semasa membahas usul tergempar mengenai kenaikan tambang domestik MAS di Dewan Rakyat pada Rabu, 25 Julai 2001 ]

Kerajaan harus menangani isu perlakuan jenayah dan kelemahan pengurusan demi baik pulih MAS bukan sekadar naik harga tiket penerbangan domestik sebanyak 52%




Perdana Menteri telah mengakui hari ini bahawa kerajaan terpaksa mengambil alih MAS dengan keadaan tergesa-gesa untuk mengelakkan daripada mengalami kerosakan yang lebih teruk. Katanya, jika kerajaan tidak berbuat demikian, MAS akan semakin rosak dan kerosakan itu mungkin tidak dapat dipulihkan sama sekali.

Kerugian MAS meningkat mendadak dan pada 1999 ia mencatatkan kerugian RM 800 juta dan seterusnya meningkat kepada RM1.3 billion pada tahun 2000, kerugian terbesar dalam sejarah syarikat penerbangan itu.

PM berkata, "Sebab itu kita terpaksa ambil alih, bukannya kita suka bayar duit banyak-banyak pada orang."

Saya ingin tanya, "Mengapa MAS boleh menjadi rosak dan siapa menjadikannya rosak."

Bolehkah kerajaan membaiki kerosakan itu dengan menaikkan tambang penerbangan domestik sebanyak 52 peratus? Mengapa rakyat jelata diperas untuk membayar hutang yang banyak-banyak itu? Apakah dengan kenaikan tambang domestik ini, segala kerosakan yang menyebabkan MAS kerugian lebih RM 1.3 billion boleh dibaiki?

Pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk PM sering menggunakan suasana ekonomi dan pasaran dan peningkatan harga minyak sebagai alasan mengapa perniagaan MAS rugi berbilion ringgit.

Bukankah syarikat-syarikat penerbangan serantau menghadapi faktor-faktor ekonomi dan harga minyak yang sama?

Ambil contoh Singapore Airlines. Pada 14 Julai 2001, SIA mengumumkan mereka untung RM3.1 billion dalam tahun kewangan yang baru akhir dan pekerja mereka mendapat bayaran bonus tujuh bulan. Mengapa mereka boleh untung?

Ambil harga tiket secara bandingan. Kerajaan kata MAS rugi kerana tambang domestik rendah. Tetapi harga tiket SIA ke destinasi luar negeri adalah lebih murah 30 hingga 50 peratus berbanding MAS. Misalnya, penerbangan ke Paris, harga tiket MAS adalah RM3400 tetapi harga SIA adalah RM2400.

Mengapa SIA yang jual tiket lebih murah boleh dapat keuntungan?

Dari segi kos penyelenggaraan, SIA adalah tinggi sebab pesawat-pesawat SIA perlu ditukarkan baru setiap enam tahun.

Satu komponen kos yang besar ialah penggunaan minyak. Malaysia adalah negara pengeluar minyak sedangkan Singapura tidak hasil minyak setitik minyak. Sememangnya dari segi kos minyak, SIA menanggung kos yang lebih tinggi tetapi masih untung besar.

Syukurlah, sekarang Perdana Menteri tidak mencari alasan-alasan faktor ekonomi dan harga minyak sebab ianya bukan sebab sebenar MAS kerugian RM1.3 billion.

Kerajaan harus meneliti isu-isu pokok punca kerugian MAS dan kami mengalu-alukan siasatan audit ke atas Naluri Berhad yang pernah menguasai MAS bagi menentukan sama ada wujud perlakuan jenayah atau kelemahan pengurusan hingga menyebabkan MAS kerugian berbilion ringgit.

Program Cuti-Cuti Malaysia akan gagal jika tiket ke negara-negara jiran lebih murah dari penerbangan domestik.

Saya menyeru kerajaan ulangkaji keputusan untuk menambah tambang penerbangan domestik sebab ia bukan isu pokok yang menyebabkan MAS rosak. MAS rosak kerana ada perlakuan jenayah, kelemahan pengurusan, Menteri Pengangkutan yang tidak jaga tugasnya dan oleh itu kerajaan harus menumpu perhatian atas isu-isu pokok ini.


CHOW KON YEOW