Laman Webantu   KM2A1: 5112 File Size: 11.1 Kb *



TAG SP 230: HR: Ahli Politik dan Dunia Ekonomi [Mesti Baca]
By Harun Rashid

30/7/2001 5:44 am Mon

[Apabila ahli politik turut bermain dalam dunia ekonomi ia akan mencemarkan dunia itu kerana kepentingan politik akan mengatasi segala-galanya. Kesannya tindakkan diambil lebih menguntungkan politik daripada peniaga. Yang jijiknya dana awam dan instrumen kerajaan digunakan untuk menyauk harta ke dalam cengkaman mereka. Patutlah Morgan Stanley mengubah skima ukur MSCI kerana tiada jaminan pasaran itu bebas sebebasnya dari mainan pihak penguasa.

Menurut setengah analis Umno akan semakin muflis kerana hartanya semakin tiada dan Qarun gagal menambahnya melalui operasi diam-diamnya. Oleh itu si Firaun kini mengambil semua tugasnya - termasuk sebagai bendahari Umno. Oleh kerana si Diam itu ligat orangnya semua anak-didiknya sudah tidak boleh dipercaya lagi sebab itulah buku Khalid Jafri menjelma. Lagipun semua tuduhan dapat dipesongkan kepada si Diam itu agar Firaun terlepas darinya. Lihatlah sebegitu banyak proses tukar-menukar orang berlaku sekarang.

Krisis ekonomi telah membogelkan Umno. Tanpa wang dan si Diam Umno mungkin takkan mampu bernyawa kerana minyak keretanya tiada dan kereta itu sendiri sudah rusak-serusaknya. Sekarang kereta itu di'baiki' dan kilang minyak itu ditelannya pula.... dengan harapan pelabur akan datang untuk disentap wang mereka untuk Umno. - Editor]


Terjemahan: SPAR-06-008


Ahli Politik dan Dunia Ekonomi

(The politician in the economy)

Oleh: Harun Rashid


Negara-negara maju sedang bersidang di sebalik tembok yang tinggi-tinggi di Genoa, sedangkan negara membangun hanya mampu menanti sambil membuang masa menunggu dan memerhatikan apa peluang mendapat habuan bahagian kek sejagat yang mungkin dihidangkan. Mereka yang bersidang itu adalah orang politik, bererti mereka bukannya pegawai korporat dunia.

Sekumpulan manusia yang berkumpul di bahagian luar membuat bising yang hingar-bingar, adalah bukannya politikus ataupun para eksekutif. Mereka merupakan wakil generasi muda-mudi yang mempunyai idealisme tersendiri. Mereka inilah yang mempunyai pertelagahan dengan pemimpin politik yang sedang bersidang.

Demikianlah lagaknya betapa wujudnya konfrontasi antara golongan muda yang punyai iealisme dan pemimpin politik di seluruh dunia. Memang demikianlah kerana golongan muda-mudi yang mudah ke sana ke mari, lebih tersusun pergerakan mereka dan lebih lantang suaranya.

Kajian sains politik memberikan pengajaran bagaimana sesebuah kerajaan itu mula bertapak dalam sesebuah negara. Pendidikan ekonomi mengajar hukum pembekalan dan keperluan, di samping sebuah teori membangunkan dan menguruskan usahasama komersial yang bersar-besar. Apa jugapun pendidikan yang disebarkan itu, pengajarannya tidak mencukupi untuk menyediakan pengetahuan secukupnya untuk menangani dunia yang dikuasai oleh masyarakat politikus. Aktiviti ekonomi selalunya bergerak dalam suasana poitik yang dinaungi oleh satu petua utama politik. Lantas diwujudkan satu bidang pengajian yang disebut Ekonomi Politik.

Petua kencana dunia politik mengajar kita supaya mempercayai orang lain sepertimana kita mahu dipercayai oleh mereka. Kumpulan yang sinis mengubah-suaikan petua ini dengan berkata: 'Sesiapa yang menguasai emas berbungkal, dialah yang menentukan peraturan dan tangkal'. Pada hakikatnya, 'Mereka yang menentukan hukum dan hakam membalun emas bermayam-mayam.' Apabila orang politik memegang kuasa merekalah yang menentukan 'segala hukum-hakamnya'.

Seorang penguasa yang mempunyai kuasa berlebihan, apabila tidak diawasi oleh rangkaian penelitian untuk menentukan imbangan kuasanya, berupaya menentukan apa juga peraturan dan hukum-hakam yang memudahkannya membalun emas bermayam-mayam. Tindakan seperti itu membuatkannya kurang popular. Kerana itu dia mesti meyorokkan nafsu-nafsinya, sambil mengawasi kemungkinan munculnya pihak yang mencabar. Segarang-garang singa yang menghadapi habuannya, terpaksa undur menyorokkan ekor apabila sekumpulan serigala berpakat menyondolnya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ahli-ahli politik mengumpulkan beberapa sekutu dengan menjanjikan habuan hasil rompakannya. Habuan rompakan itu memang menyelerakan kerana itulah bahagian yang jempolan semuanya. Itu sebabnya ramai manusia yang sanggup berhabis-habisan dan bermati-matian untuk sampai ke puncak kuasa, sama ada sebagai pelakon yang jelas peranannya itu ataupun cuma sebagai pelaku sebalik tabir untuk mendalangi sesuatu.

Jawatan politik memang menjentik nilai wang yang lumayan, memang berbaloi apabila berjaya mencapainya. Itu sebabnya ramai yang sanggup membelanjakan lima juta ringgit semata-mata mengimpikan jawatan yang menjanjikan gaji cuma sepuluh ribu ringgit setiap bulan. Sebaik sahaja mencapai impian itu mulalah usaha mendapatkan kembali perbelanjaan yang dikeluarkan, tidak kira apa caranya.

Dalam banyak hal bidang pemerintahan dan niaga mempunyai kepentingan yang berbeza. Sistem perusahaan terbuka, yang merupakan asas kapitalisme, lebih cenderung beroperasi dalam satu ragam yang tidak tersusun dan bebas kerana mahukan semua keuntungan untuk dikebas. Inilah yang menjurus kepada gelagat salahguna. Seperti yang pernah disebut oleh Karl Max, segala keuntungan mungkin tidak perlu diagihkan kepada pemegang saham ataupun pemiliknya seperti yang dipersetujui, tetapi disimpan dan dihimpunkan oleh para pengurus untuk membeli perusahaan lain yang menguntungkan. Justeru itu, segala pemusatan keuntungan ditumpukan dan dikuasai oleh segelintir tuanpunya sahaja, yang mungkin menyisihkan segala bentuk tandingan dengan cara bersekutu dan berpakat ataupun pertandingan yang tidak sihat. Modal dan juga kuasa ekonomi yang tercetus itu menjadi terkumpul sebagai bahananya.

Dengan mengenakan cukai dan biaya perlesenan, kerajaan berlagak sebagai rakan tidur, selalunya menyauk setengah ataupun lebih lagi keuntungan yang tersembul tanpa memiliki sebarang saham ataupun menyediakan secebis kepakaran dalam pengurusannya. Gelagat kerajaan begini menyebabkan para peniaga yang merasa terhina, menggaji akauntan dengan gaji yang lumayan untuk mengecutkan bahagian yang boleh disauk oleh kerajaan. Tercetuslah mainan tarik-tali antara dunia niaga dan kerajaan, di mana suasana selesa disediakan oleh kerajaan.

Sebagai balasan masyarakat niaga membayar sebahagian keuntungan yang muncul daripada perniagaan mereka. Inilah perhubungan simbiotik di mana kedua pihak saling memerlukan, sedangkan rakyat, masyarakat pekerja dan pelanggan ataupun pengguna hanya memain peranan yang paling kecil sahaja.

Di Malaysia hubungan antara kerajaan dan dunia perniagaan memang tidak jelas sempadannya. Kepentingan perniagaan sengaja bercampur aduk dengan kerajaan, pemimpin politik yang berkuasa, para sahabat dan suku-sakat, dan juga parti politik mereka. Kesetiaan bercampur baur juga, dan rakyat, masyarakat pekerja, dan pengguna jarang sangat turut serta dalam menentukan peraturannya, yang bertukar menjadi hukum-hakam, yang sepatutnya menjadi amalan demokrasi yang memberi kepentingan bersama. Sikap menyisihkan ini sengaja diwujudkan walaupun selalunya simpanan para pekerja yang digunakan untuk menentukan kuasa yang mempengaruhi perniagaan itu.

Para peniaga yang sepatutnya menumpukan sepenuh tenaga kepada kelicinan operasi dan pengurusan perniagaan mereka menghabiskan sebahagian besar waktu berjaga untuk mempertahankan kepentingan persendirian pemimpin politik yang tamak dan haloba. Di Malaysia, wang ringgit merupakan minyak pelincir yang melancarkan putaran roda birokrasi.

Malaysia mempunyai bursa saham yang penuh kepalsuan pergerakannya. Di situlah sebahagaian besar saham kepunyaan kerajaan, pemimpin politik, dan UMNOBN didagangkan. Kerana itu minat besar ditentukan agar harga saham tertentu sengaja dilonjakkan tinggi dengan segala usaha dilakukan untuk menarik pelabur asing untuk membantu usaha ini. Minat kerajaan dalam usaha ini bererti pembabitan secara terus untuk terlibat sama dalam aktiviti pasaran.

Keseluruhan struktur perniagaan terbuka itu terpaksa disusun untuk menyesuaikan selera pembabitan ahli politik UMNOBN yang terlibat dalam perniagaan di negara ini. Mereka telah gunakan dana awam untuk menguasai saham yang terpengaruh dalam syarikat-syarikat mega, sambil menentukan barisan pengurusan yang sepatutnya setia dan berdedikasi tetapi mudah dijentik dan melatah oleh deringan telefon jabatan perdana menteri.

Perdana Menteri kerap mengugut untuk campurtangan secara terus dan mengambil-alih setiap industri ataupun syarikat yang dia tidak senangi. Semua korporat utama adalah di bawah kawalan dan taklukan perdana menteri. Setiap perniagaan memang sengaja dipantau agar mudah dikacau oleh perdana menteri.

Tidak ada satupun insititusi perbankan, ataupun dana ataupun apa juga sumber kewangan yang mampu bergerak secara bebas. Malahan korporat asing perlu membuat taksiran suasana politik selalu untuk mengelakkan kelecehan birokrasi dan sebarang gangguan terhadap operasi perniagaan mereka.

Usaha penyelamatan terkini dengan menggunakan dana awam telah menyebabkan penyingkiran menteri kewangan. Perdana menteri telah mengambil-alih jawatan itu. Parti politik pimpinannya telah memberikan dia enam bulan untuk mendapatkan balik wang yang hilang termasuklah segala harta yang telah dipesongkan kepada tangan orang lain. Inilah tekanan yang menghenyak perdana menteri untuk memulihkan keadan, kerana tidak ada cara lain lagi wang yang sebesar jumlahnya ini dapat dirembat dalam waktu yang terhad.

Kaedah beliau ialah menyangga pasaran tempatan secara bertubi untuk menarik minat pelabur asing yang mungkin buta ataupun tuli. Pada waktu yang sama dia cuba menyorokkan segala gunung hutang yang tinggi itu daripada pengamatan pihak yang ingin tahu; menjadikan gunung hutang itu lesap disorok kaedah perabun asap. Fikir beliau, kalau boleh disungkup gunung hutang itu, tentulah tidak siapa yang akan tahu.

Usahanya tidak akan ke mana. Hutang itu akan kekal di situ, terus mengeras laksana batu. Titisan darah disebabkan tuntutan bayaran bunga dan faedah tidak mampu mengizinkan luka hutang itu betah. Usaha perdana menteri itu hanya sia-sia sahaja, walaupun dia mempunyai lima bulan lagi untuk berjaya. Malangnya, inilah musibah yang belum menari bogel di depan matanya.

Terjemahan: SPAR-06-008

Link Reference : Harun Rashid Worldview: The Politician in the Economy