Laman Webantu   KM2A1: 5117 File Size: 12.9 Kb *



TAG SP 232: HR: Pasaran Saham Yang Jadi Pekasam
By Harun Rashid

30/7/2001 6:28 pm Mon

[Apabila kerajaan sendiri turut bermain di pasaran saham sudah tentu ia bisa menukar-nukar peraturan agar sentiasa memberi keuntungan kepada kerajaan dan pengampu kerajaan - khususnya mereka yang menyumbang wang untuk tabung politik parti. Di Malaysia begitu banyak dana awam menyokong syarikat yang dikuasai politik ini walaupun mereka berhutang sehingga bank pun hancur bersekali. Malah KWSP bermurah hati memberi wang pinjaman kepada kroni padahal bank pun sudah tidak berani kerana itu hanya mengundang masalah yang tidak terperi.

Kebanyakkan wang itu tidak akan kembali sebab itulah bank pun sudah sakit hati. Keranamu Mahathir bank terpaksa membuang pekerja yang begitu berjasa sekian lama akibat kolateral saham yang sudah tidak bernilai dan NPL yang semakin banyak tersadai. Baru-baru ini Mahathir merayu bank agar memberi kelonggaran pinjaman ... (agar dapat disentap olehnya sampai kekenyangan). - Editor]

Terjemahan: SPAR-06-009


Pasaran Saham Yang Jadi Pekasam

(Worldview: Malaysia's Manipulated Market)

Oleh: Harun Rashid

Kerajaan Malaysia sedang dalam proses mengengsot segala aset dan kawalan pengurusan terhadap pasaran modalnya daripada kelompok yang dulunya setia hanya kepada bekas menteri kewangan kepada satu kelompok baru yang dikuasai hanya oleh perdana menteri. Segala sumber awam digunakan tanpa segan dan silu untuk merencana segala itu. Jumlah nilaian yang dilibatkan oleh sebuah negara yang dihuni oleh hanya 23 juta insan adalah terlalu besar. Apa juga yang pernah miliki oleh Malaysia sebagai sebuah negara yang berpotensi dalam bidang teknologi tinggi sudah terurai dan terburai. Dana yang hamburkan terhadap segala projek haprak kini sudah membebani generasi yang akan muncul, sedangkan pertambahan projek-projek baru yang kini dirancang akan menghenyak negara ini menjadi penghutang berkarat sepanjang hayat.

UMNOBN adalah parti politik yang menguasai seluruhnya media cetak dan televisyen, sama ada secara terus ataupun melalui penetapan mengenakan keperluan mendapatkan lesen tahunan untuk beroperasi. Kaedah pengawalan lesen ini kini dipanjangkan kepada semua bentuk perniagaan di negara ini. Pencabulan kebebasan ini sudah pasti mencetuskan perasaan mual kepada pelancaran perniagaan baru dan inilah yang memberikan dalil yang berkesan kepada syarikat yang sudah lama bertahan untuk bertindak berpindah ke negara lain yang lebih nyaman.

Kaedah memerlukan pembaharuan lesen tahunan adalah satu cara menggugat kebebasan berniaga di semua tahap perniagaan. Ini juga merupakan kaedah lain yang memudahkan pencabulan untuk menentukan ketuanan politik dalam dunia pasaran. Apabila diterjemahkan dengan tepatnya, ia membawa erti akan pupusnya sistem pasaran bebas di Malaysia. Setiap pemilik perniagaan ataupun pengurus mesti menguruskan perusahaannya mengikut rentak dan ragam nafsu-nafsi seorang perdana menteri. Lantas, ia mengecutkan nilai intrinsik dan 'goodwill' setiap perusahaan yang ada menjadi 'zero' ataupun sifar. Tidak akan ada lagi pergerakan niaga yang akan berkembang selagai perdana menteri mempunyai kuasa menentukan apakah sesuatu lesen itu boleh diberbaharui untuk tahun yang mendatang. Hanya mereka yang bebal yang akan berani untuk berniaga dengan aturcara yang mendera.

Malaysia mempunyai satu pasaran saham yang luarbiasa ragamnya. Ia mudah disebut sebagai satu contoh pasaran bebas di Asia Tenggara mengikut skala takrifan barat di hujung yang paling minima. Tetapi sesiapa yang pernah berpengalaman berdagang di pasaran itu akan tahu betapa terdapatnya salah tanggapan dalam penilaian itu. Jurang untung ruginya adalah lebih lebar daripada pintu stor penyimpan pesawat udara, sedangkan segala butiran dalam laporan auditnya sentiasa tidak dapat ditemui. Kepincangan ini bukannya disebabkan kecuaian para auditor, kerana mereka seharusnya tidak dibebankan dengan tuduhan. Kesilapan itu terletak kepada anggapan bahawa para pelabur adalah golongan dungu, kerana inilah yang perdana menteri mahu walaupun amat bertentangan dengan kenyataan itu.

Kerajaan mempunyai saham dalam setiap bentuk industri yang besar-besar. Kerana itu kerajaan mempunyai kecenderungan menentukan siapa yang seharusnya menerajui syarikat itu agar terus setia memelihara sasaran tuan politiknya. Syarikat yang besar-besar adalah di bawah penguasaan pemimpin politik, dan hampir semuanya sedang tercungap-cungap di samudera hutang yang besar dan dalam. Saham syarikat itu masih mampu terapung kerana kerajaan terus menggunakan wang dan dana untuk membantunya. Walaupun Suruhanjaya Sekuriti masih meneruskan usaha penyeliaannya, jumlah pergerakan yang banyak menyimpang memang sukar untuk dibayangkan. Tindakan menguat-kuasakan kawalan memang ketandusan usaha yang berkesan.

Pasaran saham kelihatan rancak pergerakannya kerana kegiatan penyusunan aset. Jumlah saham yang diniagakan sengaja dilonjakkan ke tahap yang tinggi tetapi tidak munasabah sekali. Kesannya, indeks komposit BSKL telah melonjak naik daripada tahap 550 kepada 650 mata. Tidak ada sesuatu yang ketara untuk menjelaskan suasana yang optimis ini. Semua aset saham dinilai mengikut pelbagai faktor seperti pulangan, dividen dan nilai hartanya yang ada. Sebenarnya, semua ini sedang merudum nilaiannya.

Semakin menyerlah usaha kerajaan dan perdana menteri sedang gian mencuba menaikkan semula martabatnya. Usaha ini membabitkan segala simpanan wang simpanan rakyatnya. Dana pencen negara sedang semakin kontang disebabkan usaha haloba, seperti juga beberapa tabung lain yang turut menjadi mangsa. Simpanan wang rakyat sengaja dibiarkan lesap dan terhakis ditelan syarikat yang sudah muflis, dan hutang yang baru pula mula ditulis sedangkan itupun tidak mungkin dapat dibayar balik sampai beres.

Setiap kali pemilikan saham syarikat melepasi peratusan yang ditentukan, ada peraturan khas yang memestikan tawaran umum dibuat untuk mendapatkan saham yang berbaki. Tetapi, peraturan ini mudah diketepikan sahaja apabila kerajaan bertindak enggan mematuhinya. Begitu juga apabila pembelian dilakukan oleh sebuah dana menghampiri had yang ditetapkan. Pembelian itu dihentikan untuk diambilalih pula oleh dana yang lain. Ini bererti kerajaan yang melanggar peraturan tanpa menyentuh penentuan membeli saham lain yang masih berbaki. Adalah sesuatu yang menyulitkan apabila kita mengamati gelagat kerajan sekarang ini, selain daripada satu petanda betapa perdana menteri sudah menjadi begitu terdesak kerana diperlekehkan; gara-gara membiarkan segala harta dan aset UMNO sengaja dibalun dengan mudahnya di bawah pengawasannya.

Walaupun banyak petanda ekonomi semakin gawat, harga saham semakin mencanak, seolah-olah menidakkan pelbagai anggaran bahawa akan menurunya pendapatan syarikat itu. Apabila kita saksikan perkara ini setiap hari tentu akan tiba masanya apabila penentuan sebenar akan menjelma. Memang tidak mungkin wujudnya pendapatan yang bertambah berdasarkan nisbah harga berasaskan pendapatan separa 20:1, berbanding nisbah 40:1 yang masih biasa itu. Siapakah nanti yang sanggup memegang sekeping saham yang tidak akan naik nilainya selepas memegangnya selama 40 tahun dengan penuh kesabaran? Apatah lagi dengan adanya banyak petanda bahawa pendapatan syarikat itu akan semakin menurun? Ini menyebabkan tempoh bayaran dipanjangkan sehingga hari kiamat. Sekaligus tekanan menjual saham dalam simpanan akan terus meninggi, menyebabkan nilainya menurun tanpa sebarang petanda akan adanya kemampuan menyokongnya lagi secara menipu.

Apabila ubahsuaian ini tidakpun terjadi, ia memberikan andaian bahawa adanya usaha membedek pergerakan saham dengan melaksanakan pergerakan yang memanipulasi aktivitinya. Inilah tindakan untuk menarik minat pengurus dana asing yang mudah terpedaya. Kesangsian ini diperkuatkan lagi oleh keengganan perdana menteri membenarkan tindakan siasatan kepada pelbagai hal yang melibatkan kerajaan. Laporan siasatan berkaitan kematian dan rusuhan kaum di Kuala Lumpur (Kampung Medan) kini ditafsirkan sebagai satu laporan rahsia. Pendakwaan betapa adanya penglibatan dan provokasi kerajaan menggunakan anggota tentera dan samseng upahan kini tidak akan dapat diperbetulkan.

Satu usaha mendapatkan lima bilion dollar Amerika di pasaran London dengan menggunakan bon kerajaan Malaysia yang dipalsukan, sudahpun diketahui ramai, tetapi kerajaan masih enggan mendakwa kumpulan yang melakukannya. Rencana itu dikatakan berpunca daripada tahap atasan. Ketua agensi yang terlibat dalam penipuan itu telahpun dinaikkan pangkatnya oleh perdana menteri. Inilah peristiwa yang menghitamkan nama baik pasaran bon di Malaysia. Oleh kerana kerajaan adalah penyokong pengagihan bon terbitan Malaysia, membuatkan skandal itu menjadi satu perkara yang serius dan memudaratkan martabat Malaysia di pasaran bon seantero dunia.

Apabila pasaran naik mencanak untuk mencecah satu tahap tertentu, dengan pembabitan kerancakan jual beli yang tinggi, ia menandakan kemunculan minat pihak pelabur ataupun cuma setakat gerakan manipulsi sahaja. Buat masa ini, indeks pasaran terus naik meninggi daripada kebiasaannya sedangkan tidak ada pula kenaikan 'volume' nya. Proses harian ini yang disebut di negara barat sebagai 'churning' bolehlah ditakrifkan dengan istilah tempatan sebagai 'menggoreng'. Apabila fenomena ini berlaku ia menandakan pindahan saham daripada punca yang kuat bertenaga kepada penyambut yang kurang upaya, sebagai satu persediaan penarikan sokongan yang akan menjahanamkan pasaran itu.

Gerak geri turun naik laksana mainan pam itu, memberikan ruang kepada pembeli yang sudah lama menempah harga beliannya menjadi pelabur yang akan rugi kerana tidak mampu meraih keuntungan. Kelentongan ini mengena pihak yang tidak berwaspada, yang mudah ghairah melihatkan pergerakan 'rally' yang mendadak. Mereka membeli ketika harga mencanak di bahagian atas dan memegangnya sambil mengharapkan harga akan naik lagi. Sedangkan yang berlaku ia penggelonsoran harga itu yang buatkan mereka terpaku dan menjadi kaku. Akhirnya kerana telah dirasuk ketakutan, merekapun lepaskan pegangan ketika saham berada di tahap bawahan.

Kalau manipulasi itu dapat diteruskan, berjayalah nanti perdana menteri mengembalikan sedikit harta UMNO yang sudah lama menghilang. Daripada siapakah keuntungan itu akan diperah? Yang pasti, tentulah orang awam, rakyat, para pekerja, para pengguna yang menyumbang secara sukarela ataupun secara paksa kepada tabung simpanan dan dana pencen yang ada. Tetapi, kumpulan inipun sudah semakin cerdik kebelakangan ini. Semakin mereka menyedari keadaan sebenar, semakin mereka nekad mahukan segala gelagat membalun harta rakyat dihentikan untuk secara muktamad.

UMNOBN memang sedar akan kekuatan yang terpendam di sebalik kesatuan sekerja. Kerana itu mereka sengaja memberikan sedikit penghormatan dan penelitian yang rapi. Tetapi bukan begini keadaannya dengan kumpulan 'NGO ataupun 'ornop' (organisasi non-pemerintah) pelbagai suruhanjaya, Majlis Peguam, persatuan-persatuan Cina, persatuan pelajar, dan pari-parti pembangkang. Semua kumpulan yang disebut ini tidak mudah diampu ataupun diugut. Akan tetapi di sebalik kegiatan kesatuan sekerja itu, kerja-kerja membalun wang simpanan rakyat masih juga berterusan. Rancangan anuiti KWSP belum lagi dihentikan dan wang yang sudah dikeluarkan belum lagi dipulangkan. Ahli-ahli kesatuan pekerja bank sudahpun diarahkan membayar balik kerugian kegiatan pengurus dana pasaran saham mereka dengan memotong 10 peratus gaji bulanan. Ini akan memakan masa setahun ataupun mungkin dua tahun, kerana anggaran kerugian per ahli adalah sekitar RM25,000. Ahli-ahli kesatuan pekerja bank itu tidak pernah diundang untuk turut serta dalam operasi jual beli saham dulu. Mereka tidakpun mengetahuinya sehinggalah terlalu lambat masanya.


Terjemahan: SPAR-06-009

Link Reference : Harun Rashid Worldview: Malaysia's Manipulated Market