Laman Webantu   KM2A1: 5123 File Size: 7.3 Kb *



TSG 1: Prolog - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India
By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali

1/8/2001 3:45 am Wed

[Berikut terjemahan sastera buku 'I, Phoolan: the autobiography of India's bandit queen terbitan London: Little, Brown and Company, 1996.

Keadaan hidup yang melarat memaksa keluarganya mengahwinkan Phoolan dengan orang yang berada yang jauh lebih tua darinya sedangkan usianya ketika itu cuma 11 tahun sahaja. Dia masih kanak-kanak dan belum bersedia lagi untuk berumahtangga. Kisah pembuka ini menunjukkan Phoolan semasa kecilnya adalah seorang kanak-kanak yang bijak berfikir dan tidak mendiamkan diri sahaja walaupun telah diikat sebegitu rupa. Tidak ramai yang memiliki sikap sepertinya. Hidup ini sebenarnya ada banyak jalan untuk keluar dan cara untuk mengajar. Kita hanya perlu memikirkannya kerana mereka yang akan memihak kepada kita tetap ada dimana-mana. - Editor]


Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India

(I, Phoolan: the autobiography of India's bandit queen)

Oleh: Marie-Therese Cuny dan Paul Rambali

[Buku ini adalah satu pencapaian wanita daripada masyarakatku yang mendedahkan penderitaannya. Ia merupakan huluran tangan yang berani kepada mereka yang diaibkan dan ditindas dengan segala harapan agar hidup yang aku lalui itu tidak akan berulang lagi. Aku bernekad memilih nasibku. Walaupun lahir tertindas tetapi mahu hidup dijulang menjadi seorang ratu. ]

Phoolan Devi. New Delhi, 1995.


PROLOG

Bapa mertuaku telah mengunci kamar yang gelap itu. Namun sinaran lampu di luar masih mampu menerjah ruang bawah pintu yang tertutup rapat dan membolehkan aku melihat beberapa alat pertanian yang sudah berkarat. Alat itu dilonggokkan berkecamuk dengan beberapa alat masak-memasak. Semuanya ternyata lama dibiarkan di situ sehinggakan menjadi teman kepada butiran taik-taik tikus yang sudah pun kering rupanya.

Aku terus mencangkung di situ sambil memekap muka dengan dua tanganku. Memang panas rasanya sehinggakan pipiku naik hangat juga.

Memang lama aku menangis, meneriak nama ibu. Tetapi bapa mertuaku tentu terlalu takut kalau-kalau aku akan lari juga. Lagipun aku sudah mengadu padanya bahawa suamiku mahu membantaiku. Mungkin itu juga sebabnya beliau mengunci aku dalam bilik gelap itu, memikirkan aku yang bersalah sebenarnya.

Ketika bertanya kenapa anak lelakinya marah padaku, aku naik takut sehingga tidak berani menjawabnya. Namun dia berkeras mahukan jawapannya.

Aku beritahu cerita sebenarnya.

'Dia cuba meraba saya! Dia tanggalkan butang baju saya.'

Aku menjerit meminta tolong. Aku tahu adalah tidak patut orang lelaki melihat badanku. Sejak musim bunga dulu, ibu sudah memberitahu bahawa usiaku sudah mencecah sepuluh tahun dan harus berjaga-jaga supaya tidak berkeliaran dengan baju yang terbuka butangnya.

'Apakah dia menyakitkan kamu?' tanya mertuaku itu dengan muka yang serius sekali. 'jangan menangis, beritahu apa yang dibuatnya pada kamu.'

'Dia kata saya adalah laksana seekor merpati...dia cakap sampai bila agaknya saya boleh menjadi dewasa.....Dia raba seluruh anggota saya dengan tangannya!'

Aku merayu agar dihantar aku balik ke rumah ibu. Tetapi, bapa mertuaku menyuruh aku bertenang sendirian, sambil berjanji membawakan susu untuk minuman. Apabila aku enggan berhenti menangis, dia pun menguncikan aku dalam bilik gelap itu. Betapapun aku merayu agar dibebaskan, dia tidak menghiraukannya. Mungkin juga dia sudah lama berpergian membiarkan aku sendirian.

Aku telah berada di rumah suamiku itu selama tiga hari, dan bapanya tinggal bersama kami. Mereka telah memujuk ibubapaku bahawa mereka memerlukan aku membuat kerja rumah, kerana suami aku itu dulu adalah seorang yang sudah lama menduda. Kami berpindah ke kampung suamiku itu sebaik selesai perkahwinan kami. Sebaik sampai aku telah membuat segala kerja rumah dan menurut segala perintah. Tetapi aku tidak dibenarkan mendekati telaga kerana mereka takut aku akan terjatuh ke dalamnya. Aku juga tidak dibenarkan memasak, kerana orang tua itu takutkan jari aku terbakar pula. Mujurlah terdapat makanan yang mencukupi, sehingga aku dibenarkan makan sampai empat keping capati. Tetapi, setiap kali muncul waktu makan, aku teringatkan adik beradik di rumah. Alangkah baiknya kalau aku dapat bekalkan makanan yang mewah itu untuk mereka kongsi bersama.

Aku juga tidak diizinkan untuk bermain dengan kanak-kanak lain di luar rumah.

'Satu hari abang akan hantar kamu pulang,' kata suamiku memujuk.

'Abang akan belikan makanan yang lazat-lazat. Tetapi, kalau kamu menangis dan cuba melarikan diri, abang akan bantai kamu.'

Selepas itu dia cuba bula menanggalkan butang baju aku dan meraba dadaku. Kemudian, dia picit-picit tulang rusukku sambil menggegek sendirian. Tetapi renungan tajam matanya yang membuatkan aku cemas.

Bukannya salah aku membuatkannya merenung dadaku ataupun merabanya. Memang, aku cuba menjauhkan diri daripada jangkauannya. Mujurlah bapanya pulang ketika itu jika tidak tak tahulah apa jadinya. Mungkin juga dia cuba membantai aku.

Dulu, kakak telah berkahwin dan terus menetap dengan ibu sebelum berpindah ke kampung suaminya. Dia tidak pernah mengugut kakak malahan terus melindunginya. Kakak bebas membuat kerja-kerja rumah dan memasak untuk suaminya. Tetapi, suami aku ini sentiasa berbau peluh sahaja. Setiap kali dia terpandangkan kelibatku dia akan membuat satu bunyi yang ganjil dengan mulutnya. (isyarat geram agaknya...!) Itulah yang membuatkan aku mahu pulang kepada ibu menanyakan apa yang sepatutnya aku lakukan di rumah suamiku.

Mungkin kerana terlalu lama menangis, kepala pun naik sakit. Kain 'skirt' yang aku pakai sentiasa lembab kerana mengesat air mata.

Aku terdengar mereka sedang bertengkar di laman.

'Dia baru naik,' demikian suara orang tua itu meninggi bunyinya. 'janganlah kau kacau dia lagi.'

'Tapi ayah, apa yang patut saya lakukan? Bukankah ayah juga yang memilih anak kecil untuk menjadi isteri saya?'

Itu sahaja perbualan yang dapat aku dengar daripada mereka. Tetapi, mereka masih juga mengunci aku di kandang yang gelap gelita itu.

Aku sudah bernekad, kalau mereka pulang, aku mahu mengekori orang tua itu sahaja. Aku akan ikut dia bila pergi ke telaga, supaya anaknya itu tidak dapat menghampiri aku untuk meraba. Aku akan kenakan pakaian yang ketat-ketat lengkap dengan pakaian dalam dan dibalut dengan kain sari. Biarkan dia rasa, tak dapat raba-raba dan gunakan jarinya. Bukannya aku kenal dia sebelum itu. Dia bukannya ahli keluarga aku tetapi sudah berani menakutkan aku pula!

'Phoolan! Di mana kamu merpati sayangku?'

Itulah suara Putti Lal. Memang, itulah suara suamiku.

'Kan kita sudah berkahwin....Abang akan tunjukkan apa yang patut dibuat oleh suami isteri....jangan takut. Abang akan ajar satu permainan baru......'


....bersambung.....


Terjemahan: SPAR 10