Laman Webantu   KM2A1: 5124 File Size: 14.8 Kb *



TSG 2: 1A-1B - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India
By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali

1/8/2001 5:55 am Wed

[Phoolan Devi begitu kepingin untuk mencari jawapan dan penyelesaian dalam hidupnya. Sebab itulah dia begitu tercari-cari tuhan dan sentiasa menyoal kenapa hidupnya begini. Inilah sebenarnya aset dan kunci kejayaan Phoolan sehingga dia akhirnya berjaya dan amat disanjungi dunia. Hidup ini tidak akan berubah jika kita hanya berdiam diri membiarkan orang lain merampas, dan menentukan hidup kita. Kita akan terus hidup terbelenggu di tanah-air kita sendiri seandainya kita terus membisu.

Walaupun Phoolan dipukul dan ditakutkan dia tidak pula jeran. Sebaliknya dia terus berfikir dan cuba mencari jalan keluar untuk melepaskan bangsanya yang tertindas itu. Itu termasuk jalan yang kasar seandainya perlu jika hanya itu yang dapat membantu.....
- Editor
]


Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India

(I, Phoolan: the autobiography of India's bandit queen)

Oleh: Marie-Therese Cuny dan Paul Rambali

BAB 1A-1B



Bab 1 A


Ibu mencangkung di depan selonggok tahi lembu. Dia mengambil segenggam tahi itu dan dengan gaya dan cara yang memang aku fahami sejak zaman kanak-kanak lagi, ibu akan mengepal tahi itu dan membentuknya laksana sekeping kek yang disusunya dengan rapi di sebelah tempat dia mencangkung tadi.

Nun di hujung padang, terdapat barisan kek talembu (kita beri istilah yang lebih terhormat kepadan hasil tahi lembu ini - penterjemah) yang dijemur sejak beberapa hari dulu, yang menunggukan kami memungut dan menyimpannya. Ini bukannya satu kerja yang mudah. Talembu itu apabila dikepal akan melekat laksana madu di telapak tangan. Mula-mula aku akan membuatnya satu persatu sehingglah bikinanku tersusun rapi naik tinggi dan tidak lagi mampu akan mencecahnya. Kakak Rukmini, akan menyambung susunan itu dengan bikinannya sambil aku membuat satu susunan yang baru pula. Pada waktu petang halaman rumah kami itu akan dipenuhi longgokan talembu keras yang tersusun rapi, tidak lagi berwarna cokelat kegelapan tetapi sudah bertukar warna menjadi merah keperang-perangan. Itulah juga warna tanah di kampungku yang berdebu pada musim panas dan melekit pada waktu hujan sehinggakan kaki pun akan kemerahan juga warnanya.

Dengan menggunakan satu bakul lebar yang diperbuat daripada jerami akupun mulakan kerja memungut dan mengangkut ketulan talembu kering dari hujung padang kebun kami itu dan membawanya secara menjunjung bakul jerami di atas kepala. Adik kecilku Choti turut membantu dengan menjunjung satu bakul lagi di atas kepalanya. Seluruh perkampunganku berwarna merah, sama denngan warna buminya. Dinding-dinding setiap rumah yang berdiri tegap di perkampungan itu adalah hasil ketulan tanah yang dikepal dan disusun rapi oleh para penghuni kampung itu. Cara membuat ketulan bata dinding itu adalah sama dengan cara mengepal tahi lembu untuk menjadikannya talembu. Talembu yang kering kami gunakan sebagai bahan-bakar untuk mendiang badan ataupun untuk masak memasak. Itulah juga tahinya yang memberikan baja kepada bumi kami untuk membolehkan kacang 'hora' tumbuh dengan biaknya.

Di hujung halaman rumah kami yang kecil itu, ayah sedang menunggu kami menyediakan makanannya. Kakak Rukmini adalah yang tua di antara kami kerana itu dia ditugaskan membuat capati. Dia membuat capati itu dengan memulakan kerja-kerja mengisar biji gandum untuk dijadikan tepung. Kemudian dengan cara meniru gaya ibu yang suka mencangkung itu, Rukmini akan menghidupkan api dengan menggunakan ranting-ranting kayu yang kering sebagai bahan pembakarnya. Sambil menopangkan sebelah tangan di atas lututnya, kakakku itu akan membongkok secara mengiring untuk menarik rambutnya yang panjang ke bahagian belakangnya, sambil dia meniup anak bara yang baru menyala. Wajahnya bersinar dipanah cahaya yang menyala. Rukmini baru berusia tiga belas tahun ketika itu. Dia memang cantik dan mempunyai kulit yang cerah, bukannya semacam kulit aku. Ayah telah memberitahu kami betapa Rukmini tidak lama lagi akan berpunya.

"Phoolan, ke mana kamu dengan tongkat itu?" ayah menyoal aku.

Aku tidak menjawabnya. Cahaya suria yang keletihan itu sudah menyalurkan pelbagai bayangan di hadapan rumah kami yang tidak berapa luas itu. Sepanjang hari aku sudah memikirkan sesuatu yang sungguh serius.

'Ayah,' kataku. 'Di mana Tuhan tinggal?'

Terdapat garisan yang amat ketara apabila ayah mengerutkan dahinya. Itulah garisan yang terletak begitu menonjol di bahagian atas hidungnya yang dompot, seperti hidung aku juga. Kulit ayah memang gelap pekat seperti kulit aku juga. Dia selalu sangat menunjukkan perasaan yang sugul. Adakalanya dia menggaru kepala berjam-jam lamanya, seolah-olah dia mahu mengikis segala kerisauan yang melekap di situ semacam kutu. Apabila dia mengangkat muka merenung aku yang masih memegang tongkat itu, wajah kerunsingan yang lama melekat di mukanya itu tiba-tiba menghilang pula.

'Mana agakkau Tuhan tinggal, Phoolan?'

'Di dalam hutan, Buppa. Saya mahu pergi ke hutan dengan Chotti. Saya ada tongkat untuk memukul sebarang ular yang cuba mengganggu kami.'

Chotti dan aku memang bercita-cita memanjat tembok yang mendindingi halaman rumah kami. Kami bercadang mahu berlari mengikut longkang dan aliran sungai sehinggalah sampai ke tepian hutan.

Kali itu giliran ibuku pula yang mengganggu kami.

'Phoolan! Pergi ambil air, nak......!'

Ayahku tersenyum. Giginya hitam sahaja, dan sudah banyak yang hilang sehinggakan aku terus cuba mengagak berapa sebenarnya usia bapaku itu. Waktu itu aku hampir mencecah sembilan tahun. Itupun agak-agak sahaja. Tidak ada sesiapapun, termasuklah bapaku yang ingat tahun kelahiranku. Tetapi aku telah dilahirkan pada hari menyambut pesta bunga. Itu sebabnya mereka memberikan nama Phoolan, kepadaku. Ia bererti 'bunga'. Ibu bapaku sudahpun mempunyai seorang anak perempuan mendahuluiku dan seorang anak perempuan lagi, Ramkali selepas aku. Kami beri dia nama timangan, Chotti kerana bentuk badannya yang kecil. Kemudian, mereka mendapat seorang anak lelaki yang diberi nama Shiv Narayan, masih bayi lagi ketika itu. Selepas itu di dalam perut itu ada pula suatu rahsia.


"Tuhan ada di mana-mana, Phoolan. Bukan sahaja di hutan rimba," kata ayah. 'Pergi ambil air itu dulu, dan jangan pula bersembang dengan sesiapa ketika membawanya'. Kami menyusuri jalan dan mendaki tangga antara barisan rumah-rumah untuk mendapatkan telaga. Telaga tu memang dalam, aku dan Chotti terpaksa memegang kuat hujung tali timba untuk menarik naik baldi yang mengandungi air. Kami terpaksa menarik kuat tali timba itu sambil menyangkukkan hujung kaki kepada lapisan batu untuk menahan daripada terjatuh dalam telaga. Air di dasar telaga kelihatan kehitaman, sudah tentu ada hantu yang menghuninya.

Aku mahu menemui Tuhan kerana mahu bertanya sesuatu. Itulah soalan yang telah merunsingkan aku selama itu - semasa akau menyeret lembu untuk memakan rumput, ataupun semasa mendapatkan air di telaga, ataupun pergi ke tandas di kebun. Tetapi, yang mula-mula sekali aku mesti mencari mana perginya Tuhan yang menentukan aku dilahirkan di kampung itu, di kawasan datar tidak jauh daripada sungai.



Bab 1 B


Bergossip adalah hobi orang kampungku. Dan mereka mudah menceceh kalau tidak berapa keletihan bekerja di ladang. Mula-mula dulu aku ingatkan mereka suka berbalah kerana disebabkan kelaparan. Di sebalik dinding yang dibuat daripada lumpur kering di tepi halaman rumah, kita mudah mendengar suara ibu-ibu bertengkar kerana satu periuk susu ataupun sengaja terjerit-jerit memanggil anak mereka yang tidakpun jauh dari situ. Keadaan berubah kalau musim panas. Waktu itu kepanasan yang terik menyebabkan anginpun menjadi berat sehinggakan lalat hanya terapung-apung seolah-olah tidak bermaya. Kicauan burung pula mudah ditampan oleh dedaun yang kekeringan di pohon kayu. Setiap kali angin panas menghembus lalu, hanya monyet-monyet yang kepanasan akan menyedarinya sambil mereka saling mengutip kutu antara sesama mereka. Tetapi, hembusan bayu panas itu tidak pernah mengganggu segala unggas dan nyamuk yang terus keseronokan menghisap darap di badan manusia. Kami semakin ketandusan udara nyaman untuk menghidu kenikmatan hidup sehinggalah muncul hujan membasahi bumi dan menghalau segala debu ataupun membawanya pergi.

Setiap kali aku mahu bersendirian untuk berfikir aku terpaksa memilih kawasan lapang yang terletak di luar perkampungan kami, sambil mencangkung di celah-celah rumput yang tinggi untuk melegakan pepundiku sekali.

Untuk sampai ke kawasan lapang itu, aku terpaksa menggunakan satu lorong yang melengkar di sebelah sebuah rumah yang dipunyai oleh Bihari. Dia selalu sahaja mahu memukul aku. Dia sudah tua, zalim dan tidak berhati perut. Sambil menunjukkan senyuman yang kerap ditayangkan oleh bajingan yang mahu menjual air tebu, dia kerap memanggil namaku setiap kali aku lalu di situ. "Mari sini anakku... mari Phoolan," katanya, "marilah jenguk pamanmu Bihari...." Aku memang diajar untuk menghormati orang tua, tetapi kalaulah aku memijakkan tapak ke rumahnya itu dia akan menangkap untuk memukulku. Dia pernah memukul Chotti, dan begitu juga yang dilakukannya terhadap kakakku Rukmini setiap kali kakak melintas di halaman rumahnya. Malahan dia pernah memukul ibu kerana marahkan kami. Dia berlagak seolah-olah kami sengaja mengintai apakah yang dibuatnya. Sebenarnya dia yang mengintai kami - itulah caranya sambil terlentang di katil bebilah bambunya (khat) yang dilapik lemek jerami. Dia tidakpun bekerja sepeti ayahku; cuma terkangkang menantikan kami lalu sambil memerhatikan para pekerjanya menyapu debu yang kerap bertebaran di situ. Setiap kali dia bangun daripada khatnya, dia akan menjerit menghala ibuku melepasi tembok yang memisahkan rumah kami. "Tak bolehkah kau ikat anak-anak perempuan yang kotor itu dalam rumah?"

Bihari yang sungguh suka membuli itu menetap di sebuah rumah di barisan hujung yang sederet dengan rumah kami. Rumahnya itu diperbuat dengan simen konkrit. Rumah itu dua tingkat, lengkap dengan balkoninya. Di ruang tengah, kayu bingkainya diukir laksana istana seorang Rajah. Dia mempunyai telaga sendirian di halaman rumah untuk mengelakkan isteri-isternya bersusah payah beratur mendapakan air telaga di kampung kami.

Dinding rumah kami diperbuat daripada lumpur kering dan bumbungnya dibuat daripada jerami. Bingkai pintu rumah kami tidak pula dihiasi sebarang ukiran. Di bahagian dalam rumah terdapat ruang yang terbuka dengan beberapa bilik di sebelahnya: ada dua sahaja untuk kami. Satu kamar itu menjadi tempat tidur pada musim sejuk dan dalam lagi itu memang tersedia satu dapur yang diperbuat daripada tanah liat untuk masak-memasak sedangkan di sebelahnya tempat lembu berdiang ketika kesejukan. Memang tidak ada pintu ataupun tingkap, membuatkan kamar kami itu selalu sejuk dan gelap. Apabila senja tiba kami gunakan satu pelita minyak yang diperbuat daripada tin kosong yang ditebuk di bahagian atas untuk menghulurkan sumbunya. Kami mempunyai hanya satu bentuk hiasan yang merupakan tempat berhala kecil kami. Tidak ada sebarang perabot di rumah itu, selain tiga katil khat di ruang tidur dan satu khat lagi di halaman bersebelahan pintu masuk. Di situlah tempatnya ayah akan berbaring apabila ketiadaan kerja. Ketika musim panas, ayah memang gemar tidur di halaman rumah, sedangkan lembu kami lebih suka tidur di ruang dalam. Kami memelihara dua ekor lembu betina. Kami tidak boleh merelakan lembu itu tidur di luar rumah kerana kemungkinan ada orang yang akan mencurinya. Kami adalah kumpulan marhaen miskin; 'mallah' kata orang tempatan. Kami hanya bergantung hidup kepada apa yang ada di tepi sungai.

Setiap kali aku melintasi rumah Bihari, mengheret lembu, dia akan memukulku. Kalau aku melintasi rumahnya, walaupun sambil berlari untuk menyorok di kawasan belukar melegakan pepundi, dia akan memukulku jua. Aku tidak faham kenapa dia mahu mencederakan kami. Ibu pernah berkata dia sengaja mahu mengnyahkan kami. Yang aku tahu, dia kerap mengadu kepada ibu bahawa kami kerap buat kerja yang tidak senonoh, sengaja mahu melintas kawasan miliknya dan kami selalu kelihatan kotor dan hodoh.

Sengaja untuk mengelak beliau, aku kerap juga menggunakan jalan jauh untuk tiba ke kawasan perladangan, tetapi ketika aku masih kecil dulu memang ada masanya aku tidak dapat menunggu lama-lama kerana pepundi kencingku belum pandai lagi menunggu. Selalu jua aku berlari pantas rapat dengan dinding rumahnya, menyesuaikan tapak-tapak larianku agar tidak terjerobos dalam longkang, lari dan berlari secepat yang terdaya kerana takutkan terkencing sendiri dalam pakaianku. Namun, di saat begitulah dia kerap menunggu.

"Hai, Phoolan! Mana kau nak pergi?" demikianlah jeritannya. "Kenapa kau ceroboh kawasanku ini?" isterinya yang sudah tua itu akan ketawa kecilan di halaman rumah mereka, tercangkung di atas khatnya sambil mengipas diri dengan hujung sari.

Kalaulah aku menggunakan jalan yang panjang dan terkencing pula dalam pakaianku, terpaksalah aku ke tepi sungai untuk membasuh pakaian itu. Kemudian terpaksa pula menunggu di situ sehinggalah baju itu kering untuk dipakai semula. Itu sahajalah pakaian yang ada padaku. Aku pun tidak mempunyai sebarang sepatu. Malahan tidak ada seorangpun ahli keluarga kami yang mempunyai sebarang kasut.

Aku memang tidak faham kenapa aku terpaksa menanggung segala kutukan dan pukulan daripada Bahari. Pernah juga aku membayangkan satu hari nanti, Chotti dan aku akan merangkak mendapatkan Bahari yang sedang berbaring di atas khatnya berdengkur melalui hidungnya yang besar dan mencangkuk bentuknya itu, kemudian memukulnya dengan satu ketulan batu yang besar betul-betul mengenai kepalanya. Itulah caranya untuk dia membalas balik dosa terhadap kami. Dia berlagak seolah-olah aku tidak ada hak hidup di kampung itu, seolah-olah keluarga aku lebih teruk daripada langau yang menghurung anjing. Apakah kerana kami ini dianggap 'mallah' ataupun marhaen yang miskin? Inilah sebabnya aku mesti berjumpa dengan Tuhan untuk mendapatkan jawapan dariNya.


....bersambung....

Terjemahan: SPAR 10