Laman Webantu   KM2A1: 5129 File Size: 20.9 Kb *



TAG SP 234: B1 - Perjalanan Yang Panjang [Mandela]
By Nelson Mandela

1/8/2001 6:49 pm Wed

[Reformasi bukan setakat menumbangkan Mahathir sahaja kerana negara akan tetap terjajah jika hanya itu menjadi sasaran kita. Lihatlah Indonesia dan Filipina yang terpaksa melalui dua peringkat reformasi kerana kerosakkan itu sudah jauh menular di dalam tampuk pemerintahan negara.

Mahathir masih bertahan kerana ada yang memagarinya. Inilah pihak yang kini sedang bergelut dengan perjuangan reformasi di Indonesia. Perjuangan ini ada banyak anak tangganya. Jangan kita mudah tertewas dengan lambatnya perjuangan itu menemui penghujungnya keranan nyawa kezaliman BN bukan setakat Mahathir sahaja.

"I have walked that long road to freedom. I have tried not to falter; I have made missteps along the way. But I have discovered the secret that after climbing a great hill, one only finds that there are many more hills to climb. I have taken a moment here to rest, to steal a view of the glorious vista that surrounds me, to look back on the distance I have come. But I can rest only for a moment, for with freedom comes responsibilities, and I dare not linger, for my long walk is not yet ended." - Nelson Mandela (L.W.T.F.) - Editor (sila baca catatan penterjemah di penghujung)]



PERJALANAN YANG PANJANG

(Long Walk To Freedom)

Oleh: NELSON MANDELA



Satu Autobiografi

Terjemahan SPAR 11


Penghargaan

Para pembaca akan mengetahui juga akhirnya, betapa penulisan buku ini merupakan satu kerja yang sungguh lama sehinggakan ia sendiri memasuki satu sejarah panjang yang tersendiri. Saya mulakan penulisannya secara haram dengan tersorok-sorok dan bersembunyi daripada dicekup. Ia bermula pada 1947, ketika saya mula-mula dipenjarakan di Robben Island. Kalaulah bukan kerana usaha gigih sahabat lama seperti Walter Sisulu dan Ahmed Kathrada, menjentik ingatan lama, adalah amat sukar menyudahkan manuskrip ini. Salinan manuskrip yang saya simpan sendirian telah dijumpai oleh pihak yang berkuasa (kerajaan kulit putih) dan terus merampasnya. Namun demikian selain dari kepintaran mereka dalam bidang kaligrafi yang sungguh unik, sahabat seperjuangan saya Mac Maharajah dan Isu Chiba telah bertindak menentukan bahawa manuskrip asal tulisan itu disampaikan dengan selamat kepada penerima amanahnya. Saya pun menyambung kerja penulisan itu sebaik dibebaskkan daripada penjara pada 1990.

Sejak dibebaskan tugasan saya semakin sesak oleh jadual tugas yang sungguh banyak dan termasuk sekali tanggungjawabnya. Sekaligus ia menidakkan masa saya yang secukupnya untuk menulis apa yang masih lagi mampu diingati. Mujur juga, saya mempunyai bantuan sekumpulan kawan-kawan yang berdedikasi, teman-teman dan para profesional yang telah membantu menyudahkan kerja-kerja saya ini akhirnya. Kepada mereka semua saya rakamkan penghargaan yang tidak terhingga. Saya juga mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada sahabat seperjuangan Ahmed Kathrada, kerana masanya yang panjang-panjang, mengubah, menyemak, membetulkan dan memberikan kejituan kepada jalanan cerita.

Saya sungguh terhutang budi kepada Richard Stengel yang telah bersekutu dengan saya dalam penciptaan buku ini, sambil memberikan sokongan yang sungguh berharga dalam tugas penyuntingan dan mengulang semula beberapa bahagian awalan dan juga pada bahagian terakhir penulisan buku. Masih terimbau dengan jelasnya dan penuh keceriaan suasana berjalan kaki di pagi hari di Transkei dan juga wawancara yang panjang-panjang di Shell House, Johannesburg dan juga di kediaman saya di Houghton. Kenangan khas dirakamkan kepada Mary Piaff yang telah membantu kerja-kerja Richard. Saya juga telah mendapat banyak manfaat daripada nasihat dan pandangan serta sokongan Fatima Meer, Peter Magubane, Nadine Gornimer dan Ezekiel Mphahlele.

Ribuan terima kasih dirakamkan kepada petugas di pejabat ANC yang lama terpaksa bersabar menangani segala keperluan logistik pembikinan buku ini, terutama sekali kepada Barbara Masekela kerana koordinasi yang licin. Begitu juga, Iqbal Meer, yang menyelia pembikinan buku ini dari aspek kewangannya. Saya berterima kasih kepada editor saya, William Phillips of Little Brown yang telah memberikan tunjuk ajar semasa projek ini dilancarkan pada awal 1990 hinggalah seterusnya dan menyunting teksnya. Beliau telah dibantu dengan begitu berkesan oleh Jordan Pavlin dan Steve Shneider. Saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Professor Gail Gethart kerana menyemak perjalanan manuskrip ini.


Perjalanan Yang Panjang

Selain menentukan sambungan zuriatnya ini sihat segar-bugar dan mempunyai pertalian darah yang sahih kepada Istana Thembu, hanya ada satu tugas lain yang dilaksanakan oleh ayah ketika saya dilahirkan. Beliau telah memberikan nama Rohlihlala kepada anaknya yang ini. Dalam Bahasa Xhosa, 'Rohlihlala' secara literal bererti 'melentik cabang sebuah pohon'. Tetapi secara bahasa kasarnya makna yang sebenar bererti 'Tukang-kacau'. Saya tidak pernah mempunyai kepercayaan bahawa sesuatu nama itu adalah penentuan nasib manusia. Ataupun ayah saya semacam sudah tahu akan masa depan saya. Tetapi, dalam tahun-tahun yang kebelakangan ini kawan-kawan dan saudara-mara telah membuat pengamatan bahawa nama pemberian ayah ketika saya lahir dulu memang ada hubungkaitnya dengan pelbagai taufan dan puting beliung kehidupan yang pernah saya alami. Nama berunsur Inggeris dan Kristian saya yang lumrah dikenali orang diberikan kepada saya hanya ketika saya memasuki gerbang persekolahan. Cuma menunggukan nama itu saya lebih menyerlah dengan perwatakan saya ketika itu.

18 Julai 1918 adalah tarikh kelahiran saya di Mvezo, sebuah perkampungan kecil di tepi tebing Sungai Mbashe dalam jajahan Umtata, ibukota Transkei. Tahun kelahiran saya itu merupakan berakhirnya satu Peperangan Besar (The Great War); meledaknya satu epidemik influenza yang meragut nyawa jutaan manusia di seluruh dunia; berlakunya satu lawatan oleh delegasi ANC (African National Congress) kepada persidangan aman Versailles untuk menyuarakan rintihan penduduk Afrika (kulit hitam) di Afrika Selatan. Namun Mvezo hanya merupakan satu titik noktah dalam peta dunia, yang jauh daripada sepak terajang peristiwa besar sejagat, kerana demikianlah cara hidup perkampungan itu sejak ratusan tahun dahulu.

Transkei terletak 800 batu jaraknya daripada bahagian timur Cape Town, 550 batu daripada bahagian selatan Johannesburg dan berada antara Sungai Kei dan garis sempadan Natal, diapit pula oleh banjaran pergunungan Drakensberg di bahagian utaranya dan samudera yang kebiruan Lautan Hindi di bahagian timurnya. Memang indah kawasan itu yang berbukit-bukau, lembah yang kaya hasil taninya, yang dipenuhi ribuan sungai dan perparitan yang menjamin kehijauan senario persekitaran walaupun musim panas telah berlalu.

Pada satu ketika dahulu, 'The Transkei' pernah merupakan salah satu wilayah terbesar dalam taklukan Afrika Selatan, dengan keluasannya sebesar Switzerland, dihuni oleh 3.5 juta kaum Xhosa, dan segelintir kaum Basothos dan orang kulit putih. Inilah tanah tumpah darah kaum Thembu yang merupakan sebahagian bangsa Negara Xhosa yang juga merupakan asal usul saya.

Ayah saya, Gadla Henry Mphakanyiswa, merupakan seorang Ketua Kaum, baik daripada pertalian darah mahupun melalui tradisi budaya. Dia telah ditabalkan sebagai Ketua Mvezo oleh Raja Thembu, tetapi di bawah peraturan British, pemilihannya itu terpaksa diperakukan oleh kerajaan, melalui pengesahan seorang majistret. Sebagai seorang ketua yang dilantik oleh kerajaan, dia menerima sedikit habuan daripada sebahagian cukai yang dikenakan oleh kerajaan terhadap masyarakat setempat kerana pembelian vaksin ternakan dan sewaan tempat padang ragut. Walaupun peranan ketua kaum itu adalah sesuatu yang dihormati, selama tujuh puluh lima tahun dulu, pangkat itu menjadi luntur disebabkan tipu muslihat kerajaan kulit putih.

Sejarah kaum Thembo boleh berbangga dengan pertalian dua puluh generasi sebelumnya yang bermula daripada Maharajah Zwide (King Zwide). Mengikut tradisinya, kaum Thembu menghuni kaki bukit pergunungan Drakensburg dan telah berhijrah menghala pantai laut pada abad keenam belas, sehingga mereka bersekutu memperteguhkan negara Xhosa. Orang Xhosa adalah sebahagian masyarakat Nguni yang telah lama menduduki di keseluruhan wilayah selatan dan tenggara Afrika Selatan. Di sanalah dulu mereka hidup bebas, bertani dan memburu di darat dan mengail dan membuat kerja-kerja nelayan di pantai dan lautan. Kerana itu sejarah telah merakamkan betapa mereka sudah lama menduduki lembah luas di bahagian utara dan wilayah menghadapi Lautan Hindi di bahagian selatan sejak abad yang ke sebelas lagi. Masyarakat Nguni boleh dibahagikan kepada kumpulan utara yang mengandungi puak Zulu dan Swazi dan kumpulan selatan yang mengandungi puak amaBaca, amaBomvana, amaGcaleka, amaMfengu, amaMpodomise, amaMpondo, abeSotho, dan abeThembu. Semua mereka inilah yang menjiwai Bangsa Xhosa.

Bangsa Xhosa adalah satu bangsa yang besar dan mudah berbangga dengan sejarah kelakian mereka dan mempunyai khazanah bahasa yang tegas dan beralun bunyinya sambil prihatin kepada keluhuran hukum-hakam, pendidikan dan kehidupan yang ramah-tamah. Masyarakat Xhosa mempunyai khazanah etika kehidupan yang seimbang dan harmonis di mana setiap individu itu sedar akan kedudukannya. Setiap warga Xhosa mempunyai pertalian kaum yang mempunyai sejarah jelas kepada generasi lama yang khusus. Contohnya, saya berasal daripada puak Madiba, yang dipinjam daripada nama seorang ketua Thembu yang merajai Transkei pada abad ke-18 dahulu. Saya kerap disebut sebagai Madeba, sebagai satu penghormatan.

Ngubengcuka, merupakan salah seorang maharajah yang hebat yang berjaya menyatukan puak-puak Thembu sebelum baginda meninggal dunia pada 1832. Sebagai satu tradisi, baginda mempunyai isteri daripada beberapa istana. Istana Utama ('The Great House') adalah penyumbang kepada pewaris takhta. Kemudian ada pula Istana Kanan. Selepas itu ada pula Istana Kiri ataupun Ixhiba. Adalah menjadi tugas puteranya di istana Ixhiba ataupun Istina Tangan Kiri untuk menyelesaikan sebarang perbalahan yang timbul. Apabila Ngubengcuka mati, puteranya yang tertua di Great House, Mthikrakra, telah menggantikannya. Beliau pula mempunyai anak-anak lelakinya Ngangelizwe dan Matanzima.

Sabata yang memerintah puak Thumbe sejak 1954, adalah merupakan cucunda kepada Ngangelizmwe dan merupakan senior kepada Kalzer Daliwonga yang lebih dikenali sebagai K.D. Matanzimamantan ketua menteri Transkei, yang juga merupakan seorang anak saudara saya secara hukum dan adat - beliau juga merupakan zuriat warisan Matanzima. Anak lelaki tertua puak Ixhiba ialah Smakade, yang mempunyai seorang adik lelaki bernama Mandela, datuk saya sebenarnya.

Selama berdekad lamanya saya mendengar pelbagai kisah bapa saya mempunyai hak yang sahih untuk mewarisi takhta Thembe, namun carta yang paling mudah seperti yang saya terangkan tadi menunjukkan betapa cerita itu semuanya adalah dongeng sahaja. Walaupun saya merupakan ahli keluarga istana, saya tidakpun mendapat kehormatan dilatih untuk merajai sesiapa. Sebaliknya sebagai pewaris kuasa Ixhiba, saya telah dilatih seperti juga datuk saya untuk memberi nasihat kepada para pemerintah kaum saya.

Ayah saya ialah seorang lelaki yang gelap kulitnya tetapi tinggi orangnya dengan berbadan gempal dan tegap. Saya fikir itulah perwatakan yang saya warisi dengan tepat. Ayah mempuyai sejemput rambut berwarna putih di bahagian ubun-ubunnya ketika masih budak lagi. Pernah juga saya mengambil abu yang putih untuk menggosok rambut di bahagian depan kepala sebagai meniru stail rambut ayah. Ayah memang merupakan manusia yang tegas dan tidak teragak-agak menggunakan rotan untuk mendisiplin anaknya. Ada kalanya dia memang bersikap terlalu berdegil dan besar kemungkinan itulah juga perwatakan yang diturunkannya kepada saya - mengikut ragam kalau ayah sudah borek, anak apa lagi?

Pada zaman pemerintahan Dalinyebo (ayah kepada Sabata) ke atas Thembuland pada awal 1900-an dan juga oleh puteranya Jongintaba yang mewarisi takhta itu, pernah juga ayah disebut sebagai memegang jawatan perdana menteri kerajaan itu. Inipun satu kesilapan kerana pada waktu itu tidak ada jawatan yang disebut begitu. Mungkin kerana dia dihormati dan kerap dirujuk untuk mendapatkan pendapat, oleh dua-dua raja dulu, dia pernah menemani mereka ketika mengadakan lawatan diraja. Kerana itu ayah kerap dilihat berada di sebelah raja ketika menemui pegawai kerajaan mereka. Memanglah dia terkenal sebagai penyimpan sejarah Xhoza, dan mungkin kerana itu dia kerap dirujuk sebagai seorang penasihat. Minat saya kepada sejarah memang diasaskan oleh minat ayah saya jua. Walaupun ayah tidak boleh menulis dan membaca, dia mempunyai kepintaran mempengaruhi orang lain melalui syarahannya.dengan menarik minat dan memberikan tunjuk ajar kepada mereka.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini barulah saya mengetahui rupanya ayah bukan saja pernah menjadi seorang penasihat kepada raja-raja ataupun beperanan sebagai pengatur cara. Dengan kematian Jongiilswe pada tahun 1920-an, puteranya Sabata, masih telalu kecil untuk mewarisi tahkta. Tercetuslah perbalahan siapakah antara puteranya daripada permaisuri yang lain - Jongintaba, Dabulamanzi dan Melithafa - yang harus dilantik untuk menaiki tahkta. Ayah saya telah dirujukkan untuk memberikan nasihatnya. Ayah telah memberi cadangannya agar mereka memilih Jongintaba, berasaskan beliaulah yang lebih berpendidikan antara adik-beradiknya yang lain. Ayah berpendapat Jongintaba bukan sahaja berkelayakan malahan boleh menjadi guru yang berwawasan kepada putera yang masih kecil itu. Ayah saya dan juga beberapa ketua yang berpengaruh memang memberi keutamaan kepada pelajaran yang sebenarnya memang wujud di kalangan mereka yang tidak mendapat pendidikan formal. Cadangan ayah itu memang mencetuskan kontroversi kerana ibu Jongintaba adalah daripada puak yang tidak berapa utama, namun saranan ayah itu telah diambil-kira dan diterima-pakai oleh puak Thembu dan pemerintah British. Tidak lama kemudian, Jonginteba telah membalas budi baik ayah itu di luar dugaan orang tua dalam hidupnya.

Mengikut ceritanya, ayah mempunyai empat orang isteri. Isterinya yang ketiga ialah ibu saya, Nosekeni Fanny, anak kepada Nkedama daripada puak amaMpemvu, satu lagi kaum Xhosa. Setiap isteri ini - Isteri Tua, isteri Tangan Kanan, isteri Tangan Kiri dan isteri rumah sokongan (iqadi) diberikan 'kraal' masing-masing. 'Kraal' bererti perkarangan rumah yang selalunya merupakan rumah yang mempunyai kawasan berpagar untuk peliharaan ternakan, ladang untuk menanam jagung atupun tanaman lain, dan satu ataupun dua pondok kediaman yang beratapkan rumput kering. Jarak antara satu kraal isteri ayah saya dengan kraal isterinya yang lain ialah berbatu-batu jauhnya dan dia terpaksa berulang-alik antara satu kraal ke satu kraal. Sepanjang perjalanan itu, ayah mendapat tiga belas cahaya mata semuanya; empat lelaki dan sembilan perempuan. Saya merupakan anak sulung daripada Rumah Tangan-Kanan ayah dan merupakan anak lelaki bungsu antara empat orang semuanya itu. Saya mempunyai tiga orang adik beradik perempuan. Baliwe ialah kakak yang tua, diikuti oleh Notancu dan Makhutswana. Walaupun anak ayah yang paling tua ialah Mlahlwa, pewaris takhta ayah ialah Daligqili anak lelaki daripada Rumah Besar, yang meninggal dunia pada awal 1930-an. Semua anak lelaki ayah kecuali saya sudahpun meninggal dunia, dan setiap mereka itu adalah lebih tua daripada saya dan dalam taraf status mereka.

Tidak berapa lama selepas saya dilahirkan, ayah telah terlibat dengan satu pertelagahan yang mengorbankan pangkat Ketua puak Mvezo sehinggakan ia menjejas perwatakannya yang saya percaya telah terpalit kepada anak lelakinya. Saya masih percaya bahawa pendidikan dan bukannya alam sekeliling yang membentuk personaliti seseorang. Oleh kerana ayah saya mempunyai sifat membangkang yang dibanggakannya, dan yang diwarnai oleh kedegilan mahukan kesaksamaan, sehinggakan ia mempengaruhi perjalanan hidup saya. Sebagai seorang pemimpin ataupun ketua kaum seperti yang lebih dikenalli oleh penjajah British dulu - ayah terpaksa menentukan setiap tindakannya itu bukan sahaja merupakan satu sikap taat setia kepada raja Thembu bahkan juga kepada majistret tempatan. Pada satu hari, salah seorang pengikut ayah membuat aduan terhadap ayah melibatkan seekor lembu jantan yang telah tersesat jauh daripada rumah pemiliknya. Majistretpun mengeluarkan perintah agar ayah datang ke mahkamah. Apabila menerima saman itu ayah menulis balik dengan: 'Andizi, ndisaqula' (aku tidak dapat datang aku sedang bersedia untuk berperang). Pada waktu dahulu, mana boleh seseorang melanggar perintah seorang majistret. Perbuatan itu dianggap satu perbuatan menderhaka - dan begitulah kenyataannya.

Tindak balas ayah itu berasaskan kepercayaannya bahawa majistret terbabit tidak ada hak undang-undang terhadap beliau. Apabila sesuatu hal itu melihatkan hal ehwal puaknya, dia lebih dikuasai oleh hukum adat puaknya dan bukannya oleh hukum raja England. Kedegilannya itu bukannya tanda beliau mengada-ada, tetapi kerana beliau bertegas dengan prinsip hidupnya. Ayah telah menggunakan haknya sebagai seorang ketua adat dan mencabar kuasa seorang majistret.

Apabila majistret menerima jawapan ayah, diapun mendakwa beliau kerana melanggar arahan pihak atasan. Tidak ada satupun siasatan ataupun penyelidikan kerana itu semua hanya laku kalau orang bawahan itu berkulit putih. Majistret telah menggugurkan kuasa ayah sehingga sekaligus memotong hak ayak dan keluarganya mewarisi kuasa pangkat ketuanan itu.

Saya tidakpun diberitahu akan perkara itu ketika itu, tetapi tidak pula saya terbabit kerananya. Ayah yang merupakan orang ternama ketika itu telah kehilangan gelarannya dan juga segala kemewahannya. Dia telah kehilangan kebanyakan ternakan dan tanah, dan segala pendapatan yang terhasil darinya. Disebabkan keadaan yang berubah itu, ibu telah berpindah ke Qunu, sebuah perkampungan yang lebih besar di utara Mveso, untuk hidup di kalangan kawan-kawan dan saudara mara. Kamipun menyambung hidup dengan cara yang kurang gah di Qunu, namun ketika hidup di Qunu berhampiran Umtata itu yang merupakan sebahagian besar zaman kanak-kanak saya yang paling ceria sekali dan setiap kali saya mengimbau zaman silam saya.

Tamat



Catatan Penterjemah:

Bismillahirrahmanirrahim

Kalau kita amati buku Nelson Mandela ini dia mempunyai pilihan mengubah tajuk buku untuk menunjukkan kuasa dan kebesaran sejarah sendirinya. Dia lebih senang boleh meletakkan tajuk 'Long Struggle To Freedom' kerana itulah yang amat cocok dengan sejarah hidupnya. Dia boleh menggunakan perkataan lain yang lebih menarik lagi, kalau dia mahu. Tetapi dia memilih 'Long Walk To Freedom.' Sekaligus dia menulis dengan isihati yang bersih dan murni, semurni ingatannya yang silam. Lantas, penulisan ini menyorokkan segala dendam kesumat yang ada dalam setiap insan pribumi Afrika, yang dirundung malang ratusan tahun lamanya.

Kita memilih menterjemahkan Long Walk to Fredom, dengan menterjemahkannya sebagai 'Perjalanan Yang Panjang' dengan mengambil harapan agar pembacanya terutama orang Melayu sedar bahawa di sebalik perujuangan segelintir manusia Melayu yang berstatus lintah darat sekarang ini yang mewarnai suasana politik Melayu, terdapat ratusan malahan ribuan hati yang merintih dan mengharapkan perjalanan mereka yang panjang itu akan membawa mereka ke ambang kebebasan juga.

Penterjemahan buku ini dimulakan sempena pelancaran Lamanweb 'MARHAEN'. Semoga cita-cita murni WM 'Marhaen' dan dokongan barisan penulis serta rakan WM lamanweb yang lain, akan diberkati Allah sepanjang perjalanan mereka yang panjang itu.


SPAR 11

Rolihlahla88@hotmail.com




Laman M@RHAEN

https://members.tripod.com/e-umno/