Laman Webantu   KM2A1: 5130 File Size: 4.6 Kb *



Jangan Persiakan Permata Reformasi
By Dahlia

1/8/2001 9:27 pm Wed

Jangan Persiakan Permata Reformasi

Siapakah penulis-penulis yang tak bernama di laman-laman reformasi yang tak henti-henti dan jemu menulis untuk menyedarkan rakyat negara ini tanpa inginpun dikenali. Ada pula yang sanggup memerah otak untuk menterjemah rencana yang baik-baik untuk tatapan kita. Banyak antara kita sekadar membaca untuk dilupa dan amat sedikit yang menyimpan untuk diGUNAkan. Apakah setakat itu sahaja perjuangan kita? Kalau begini sampai bila pun kita tidak akan berjaya.

Saya kira kalau hendak dikumpulkan sudah ada beribu-ribu rencana yang baik-baik yang telah disumbangkan oleh penulis-penulis sukarela tanah air tetapi semuanya telah diPERSIAKAN begitu sahaja. Ia beredar dikalangan orang yang sama dan tidak sampai kepada mereka yang memerlukannya.


Ceramah Semakin Tiada Kita Akur Sahaja?

Sekarang ceramah sudahpun sukar diadakan dan akhbar Nanyang sudahpun ditelan. Namun kita masih tidak berubah. Mengapa kita jadi begitu? Apakah kerana kita melayu maka kita menjadi me'layu' sahaja walaupun disiram selalu. Sepatutnya kita sudah berbunga dan berbuah. Negara luar sudahpun dua kali bah!< Mungkin kerana itu sudah ada penulis-penulis kita yang hebat itu menjadi tawar hati sehingga ada yang sudah tidak muncul-muncul lagi.

Reformasi memerlukan setiap antara kita memainkan peranan sendiri. Bukan sekadar membaca sahaja kerana itu hanya berpusing dalam diri kita sendiri. Ia tidak akan pergi kemana-mana.

Mengapa dan sampai bilakah kita harus begini? Mahathir terus kuat dan mencengkam tetapi kita tidakpun semakin aktif memainkan peranan. Saban hari kita melalui kehidupan harian seperti tidak ada apa yang berlaku, sedang diri kita semakin terpenjara! Jiwa kita resah dan sakit kerana sikap kita jua. Negara memerlukan sumbangan kita tetapi apakah yang telah kita lakukan untuk menyelamatkan negara ini? Apakah sekadar mengundi sahaja? Fikirkanlah sendiri.

"Ya Allah , beratnya ujian Mu ke atas kami. "



Budak Forest Gump itu cuma cacatnya di kaki, tapi minda dan semangatnya cukup tinggi.

Saya ingin mengajak pembaca merenung sejenak satu pengajaran dalam filem yang banyak memenang anugerah iaitu Forest Gump. Tidak ramai yang cuba meneliti apa yang ingin disampaikan oleh filem ini.

Biasanya, orang cacat yang tak ada semangat akan terus cacat hidupnya. Berlainan dengan Forest Gump yang cacat sebahagian anggota, tetapi mampu membuang kecacatan diri kerana WILL yang ada dalam dirinya. Dia menjadi seorang yang begitu berjaya dalam hidup sehingga ribuan mengikut jejaknya. Bukankah ibunya adalah pendorong kepada kejayaan beliau? Selain ibu, seorang wanita yang dicintainya juga memberikannya ruang untuk lebih berjaya walaupun akhirnya wanita itu tidak sanggup mengharungi hidup bersama kecacatan beliau. Cacat di mata, cacat di hati, begitulah kalau sudah benci. Tetapi siapa menduga si cacat mempunyai cinta yang tulus dan tidak pura-pura, lalu sanggup mengambil kekasih yang sudahpun lari jauh dari hidupnya. Cuba memberikan kebahagiaan hasil dari kekayaan yang diperolehi, tetapi kebahagiaan itu tidak lama. Tetapi lihatlah si cacat itu, cintanya tidak pernah mati bersama kematian si isteri. Cintanya terus hidup bersama sebuah kehidupan yang memberi semangat kepadanya, didorong oleh kasih seorang cahayamata, penyambung zuriat lambang cinta mereka. Tidakkah indah namanya? Apakah si cacat terus menghina dirinya, atau menjauhkan diri dari kebahagiaan setelah kematian isteri? Nope!

Forest Gump mungkin cacat diluar tetapi tidak cacatpun di dalam hati. Tetapi mereka yang amat sempurna di luar itu begitu cacat pula dalam menghadapi hidup ini.

Saya ingin rakyat mengambil iktibar dari kisah filem ini. Kasih kita kepada perjuangan biarlah berbuah dan berisi. Negara luar jiran kita sudah dua kali berbuah tetapi kita jangankan berbuah - berbunga pun tidak walaupun telah banyak dihadiahkan dengan isu yang mahal-mahal sekali. Padahal kita tidak cacatpun di kaki. Kita sebenarnya cacat di hati dan masih belum menyelam apa itu reformasi. Kita sebenarnya menyintai benda lain - bukannya reformasi.

Dahlia/KL