Laman Webantu   KM2A1: 5159 File Size: 16.4 Kb *



TSG 5: 2C - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India
By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali

6/8/2001 7:21 am Mon

[Bayangkan dalam kes mencuri perca itu si Bihari berdebah itu tidak pula meminta kembali kain yang tercuri. Dia datang bukan kerana kain itu tetapi kerana sengaja mahu membuli dan menunjukkan kebesaran diri. Padahal kekayaannya tidakpun berkurang kerana cebisan kain yang terhilang.

Kisah dalam bab ini menunjukkan bagaimana rakyat miskin telah dilayan bagai haiwan tanpa ada sesiapa pun berani melawan. Sikap itu menular hingga aspek pendidikkan dan keugamaan. Ramai orang kerap mempersalahkan pencuri kecil sedangkan mereka jadi begitu kerana pencuri besar yang dibiarkan oleh sistem itu melakukan apa sahaja. Sebenarnya jika tidak ada pencuri besar, pencuri kecil tidak akan ada. Sebab itulah dalam Islam keadaan itu perlu dipertimbangkan dahulu sebelum menghukum sesiapa. - Editor]


Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India

(I, Phoolan: the autobiography of India's bandit queen)

Oleh: Marie-Therese Cuny dan Paul Rambali

BAB 2



Bab 2 C



Ketika usiaku menjangkau gerbang sepuluh tahun, Choti masih lagi berusia sekitar tujuh tahun, namun kami telah mengajarnya banyak perkara sehinggakan dia membuat beberapa perbuatan kurang senonoh yang pernah kami lakukan sebelum itu - seperti mencuri perca kain daripada satu 'ghoora' untuk membuat patung mainan.

Di rumah memang tidak ada perca kain yang boleh dibuat patung mainan, tetapi di kampung kami ada seorang tukang jahit yang membuang perca kain yang tidak digunakannya lagi. Berdekatan kedainya itu terdapat satu longgokan kain perca daripada pelbagai warna. Longgokan itu dinamakan 'ghoora'. Apabila kami yakin tidak ada sesiapa yang melihat, kamipun pergi ke ghoora itu untuk mencari perca kain yang kami perlukan.

Setiba di rumah selepas bermandi-manda dengan Ram Dhelki, aku telah berjanji dengan Choti untuk pergi mencari perca yang diminatinya. Tetapi kami perlu menyudahkan beberapa tugas yang mustahak terlebih dahulu. Ibu telah menyuruh aku mengutip baja talembu dan membawanya ke tebing sungai untuk dipindahkan ke kachwari kami. Ibu sudahpun menyeberang Sungai Yamuna bersama Rukmini.

Bukannya mudah kerja mengutip baja talembu itu. Choti dan aku terpaksa mengumpulnya dan mengangkutnya dalam bakul untuk dimuatkan dalam perahu. Kami menyanyi sambil membuat tugasan itu.:

Kerja kuat-kuat pasti dapat berkat,

Kalau kerja dengan nyaman hasilnya tentu lumayan.

Sambil membanting tulang empat keratku, jauh di fikiran masih melengkar ingatan lama laksana seekor ular yang berbisa, betapa perlunya kami bekerja kuat untuk membolehkan ayah mendapatkan kemampuan pergi ke Orai menuntut keadilan dalam kes terhadap abangnya. Bolehlah kami memiliki tanah kebun sendiri untuk menanam kekacang kuning yang besar (kacang kuda), yang mencukupi untuk bekalan kehidupan kami.

Ayah telah menyertai kami di kachwari untuk menandakan sempadan ladang dengan menggunakan akar-akar kayu. Dia terpakasa cepat ke sana sebaik sahaja air banjir sudah surut untuk menetapkan sempadan kebun daripada kawasan jiran kami. Apabila mentimun dan tembikai kami sudah ranum, kamipun menuainya untuk dijual dan dengan hasil penjualan itu dapatlah kami membeli gandum untuk disimpan sebagai kegunaan masa kami memerlukannya. Rukmini dan aku berjalan mengekor ibu bapa kami di jalanraya sambil menjunjung barang jualan di atas kepala. Choti terpaksa tinggal di belakang menjaga hasil tanaman supaya tidak dibaham oleh lembu dan ternakan lain. Ketika musim menuai, kami tidur di kachwari, menjaga keselamatan tanaman agar tidak disauk orang lain. Kerja semacam itu hanya dilakukan pada bulan 'Jeth' yakni musim panas. Kami telah memulakan menanam itu pada bulan 'Magh', yakni pada musim sejuk, dan apabila muncul musim bunga batas tanaman perlu dibajai untuk menyuburkannya.

Pada musim sejuk tapak kaki kami menjadi kebiruan ketika menabur benih. Kami tidak punyai pakaian yang sesuai untuk musim sejuk kerana belum mendapat rupee yang mencukupi untuk membeli pakaian. Pada musim panas tapak kaki bertukar rupa kemerah-merahan disebabkan pasir luas yang kepanasan. Musim panas sedemikian menjelma, kain perca daripada ghoora itu sudah tentu semakin berguna untuk dijadikan sandal dan patung mainan. Namun, kaki yang dibaluti kain percapun mesti tangkas melompat-lompat di atas pasir yang berbahang itu untuk mengelakkannya menjadi melecur.

Takung ghoora itu memang penuh dengan perca pelbagai warna menyebabkan kami amat berminat selalu ke sana. Perca yang paling tebal adalah diperlukan untuk membuat patung mainan. Kemudian barulah dicari perca yang cantik warna untuk menghiasinya.


Setiap kali kami tidak bekerja di kachwari, kami (Choti dan aku) bekerja menjaga ternakan. Kami mengambil upah menjaga ternakan orang lain jua. Ketika aku masih kecil, kami hanya memiliki dua ekor lembu sahaja. Kini kami memiliki lima ekor lembu betina, beberapa ekor kambing dan masih belum memiliki lembu jantan lagi. Lembu jantan adalah lebih mahal daripada lembu betina.

Kami baru saja mendapat anak lembu jantan. Kami terpaksa menunggunya membesar sehingga dua ataupun tiga tahun untuk menjualnya dengan harga lebih dari seribu rupee. Itupun kalau Bihari tidak mencurinya seperti yang dilakukannya kepada seekor anak lembu jantan pada tahun kelahiran Bhuri. Pada malam itu kami mencari anak lembu itu di merata tempat. Anak lembu itu gempal dengan tanduk yang baru tumbuh. Usaha itu sia-sia sahaja kerana tidak sesiapa yang berani bersuara walaupun ramai yang mengetahui siapa pencurinya tetapi takut menyebut namanya kerana kuasa dan ancaman balasnya. Cara Bihari mencuri lembu itu ialah menunggu apabila lembu lalu di hadapan rumahnya. Diapun menarik lembu itu dan menambatnya di bahagian dalam rumahnya untuk beberapa hari. Dia sedar kami tidak berani menyoalnya untuk mendapatkan lembu itu semula.

Kami menyimpan sedikit susu perahan untuk kegunaan sendiri, tetapi ibu memang menjual susu yang pekat di pasar, untuk membeli gandum yang kemudiannya dikisar oleh Rukmini untuk dibuat capati. Aku tahu ayah memang mahu memelihara kerbau agar mendapatkan lebih banyak susu untuk semua ahli keluarga.

Kami bekerja seharian di kachwari dan pulang apabila mentari sudah hampir tenggelam sebelum kami tiba di pintu rumah. Ayah terus ke kuil untuk membuat pemujaannya meminta hasil tanaman yang baik sementara Rukmini terus membuat capati. Aku telah mendapatkan keizinan ibu untuk keluar membuang air kecil dan Chotipun mahu melakukan kerja yang serupa. Tetapi itu hanya satu alasan untuk kami pergi mencari perca. Kalau disebut alasan sebenarnya sudah tentu ibu mengugut untuk memukul kami.

Sambil mencangkung dengan melondeh seluar dalam, seolah-olah kami sedang melepaskan kandungan pepundi, kamipun mula menggeledah ghoora untuk mendapatkan perca pilihan. Setelah yakin tidak ada sesiapa yang memerhati kami, Chotipun memasukkan kepalanya dalam ghoora itu sehinggakan dia terus tenggelam ke dalamnya, kemudian menghulurkan tangannya dengan sehelai perca berwarna kuning.

Tiba-tiba Choti berpusing, dengan wajah yang ketakutan.

Beberapa orang gaji Bihari telah ternampak kami! Dari anjung rumahnya yang besar itu memang jelas kelihatan pemandangan sekeliling kampung.

Sambil menjinjing seluar-dalam di satu tangan dan perca kain dengan tangan yang lagi satu kami pecut lari lebh laju daripada kambing untuk menuju tebing sungai.

Bihari menyusul di belakang sambil menggoyangkan 'lathi' (tongkat). Aku menjerit kepada ibu meminta tolong. Seandainya dia berjaya menangkap kami sudah tentu kami dibelasahnya.

Kami punyai satu jalan sahaja untuk menyelamatkan diri. Kami terpaksa terjun ke sungai dan menyorok antara lembu dan kerbau yang sedang berkubang, sambil berenang di depan hidung mereka. Sebentar kemudian, kami menyorok di sebalik bukit supaya tidak kelihatan dengan jelasnya daripada kampung. Sambil membongkok di dalam longkang, kami tiba di bahagian dinding rumah jiran. Setiap kali kami keluar daripada longkang dan berlari di satu kebun, Dhakelli, nelayan yang berjiran dengan kami menjerit. Dia adalah soerang lelaki yang baik hati dan tidak pernah memukul kami.

Malangnya, Bihari sudahpun tiba di rumah kami menjerit dan mencaci ibu. "Kelakuan anak-anak kamu mengutip kain perca mencemar nama baik aku!!!" Dia memukul ibu dengan tongkat buluhnya. "Anak-anak gampang kamu mencemar nama baik aku dengan mencuri perca itu!... Moola Devidin ...kau harus mengunci mereka di rumah!"

Dia terus memukulnya sambil ibu cuba mmenepis hayunan tongkat buluh itu. Aku sedar sebaik sahaja dia pergi, ibu akan memukul kami pula, dan selepas itu ibu akan menangis mengenangkan nasibnya.

Begitulah caranya selalu, aku sudah lupa mengira berapa kali si tua haprak itu mengejar kami kerana menggeledah 'ghoora'. Tetapi kami terlalu berminat dengan patung mainan, kalau disebat sekali lagipun memang berbaloi juga usaha kami itu.

Kami memang keletihan pada hari itu. Kerja-kerja mengangkut baja dengan bakul memang membuatkan belikatpun keperitan. Kalau mentari tidak membakar kepala, nyamuk pula yang berkeliaran untuk menjadikan kami mangsanya. Kaki kami membengkak dan aku masih dapat menghidu bau talembu di rambutku. Ibu telah memukul kami lagi disebabkan Bihari, tetapi kain perca yang kami dapat telah meringankan penderitaan itu. Kami telah membuat bahagian tangan dan kaki patung dan menyumbat jerami ke dalamnya. Patung itu mempunyai kain sari berwarna kuning, tudung untuk menutup kepala dan satu tanda merah di bahagian dahinya. Choti telah memangkunya seperti cara kami memangku Bhuri yang masih bayi, untuk bermain dengan patung. Tetapi kami tidak pernah memukul patung-patung kami dan main kahwin-kahwin dengan semua patung itu.

Bila tiba musim sejuk kami tidur dalam rumah. Rukmini mempunyai gebar untuk kegunaannya sendirian. Aku berkongsi satu khat dengan Choti dan kami bentangkan jerami di bahagian bawah kami untuk dijadikan pelapik tidur yang hangat. Choti mudah tidur lasak dan kerap menendang dalam tidurnya kalau tidak menguasai ruang tidur yang berlebihan. Adakalanya aku terkena juga libasan kakinya sehingga terjatuh ke lantai. Pernah perkara itu terjadi sehingga aku disengat oleh kala jengking. Pada mulanya ibu tidak mempercayai hal itu, tetapi apabila jeritan aku kuat sangat dia terpaksa memanggil seorang Brahmin membaca mantera untuk menarik bisa sengatan itu.

Tetapi, pada malam itu, udara nyaman sekali dan kami bersiap untuk tidur di ruang terbuka di bawah kerlipan bintang-bintang untuk pertama kali sejak setahun dulu. Sebelum menutup mata, aku memang gemar merenung bintang. Pada waktu itu aku membayangkan betapa segala dewa dan dewi berada di atas sana, sambil segala aktiviti pada hari itu terus bertimbun dalam ingatanku laksana kain perca dalam timbunan ghoora. Sambil memikirkan semua itu, aku terdengar anak lembu merengek untuk disusukan dan desiran tapak kaki ayah yang baru pulang daripada kerja pemujaannya di kuil. Aku terfikir, mungkin juga ada kebenarannya dalam tanggapan ibu. Memuja dan merayu kepada dewata tidak mencukupi lagi. Namun, aku kasih pada ayah dan tidak sampai hati melihatkan dia melinangkan airmata.

Ayah pernah juga memukul aku, cuma sekali sahaja. Peristiwa itu berlaku selepas Bhuri dilahirkan. Waktu itu aku terpaksa menyediakan makanan lembu kami, mengadunkan rumput dengan bijiran. Ketika itu aku sedang memasukkan makanan itu dalam pasu sedangkan ayah mahu aku memenuhkan satu bakul dulu. Aku berdegil kerana tidak mahu mengulangi kerja itu semula. Aku hempaskan bakul itu dan merenung muka ayah dengan tepatnya.

"Ayah buatlah kerja itu!" kataku.

Memang tidak pernah aku mengada-ngada seperti itu dengan ayah, ataupun merenung wajahnya dengan tepat seperti itu. Memang tidak patut perbuatan aku itu. Tetapi aku marah ketika itu. "Saya tidak larat membawa beban itu. Ayah ingat saya lembu?"

Ayah menampar mukaku.

Memang kuat tamparannya sehingga aku meraung kesakitan membuatkan ibu datang berlari. "Kenapa awak tampar anak saya?" dia menyoal ayah. "Siapakah awak sehingga berani menampar anak saya?"

"Aku kan ayahnya?" kata ayah. "Kau kan ibunya. Setiap hari engkau pukul dia, tanpa sebab! Inilah kali pertama aku menamparnya. Aku minta maaf dan aku tidak akan buat perkara itu lagi."

Mereka terus berbalah sedangkan aku terus meraung juga. Selama tiga hari, setiap kali aku ternampak ayah mendekatiku, akupun menyorok kerana takutkan tamparannya berulang lagi. Tetapi dia tidak melakukannya. Malahan dia telah menunjukkan sayangnya kepadaku. Ayah pernah membawa buah tangan daripada tempat kerjanya dan memanggil aku untuk menikmatinya.

"Phoolan, mari sini, jangan takut lagi!!!!!!"

Dia beri aku beberapa mangkuk susu yang pekat dan lazat untuk aku nikmati bersama capati tebal yang diperbuat daripada gandum yang bermutu. Aku makan semua itu dengan gelojoh tanpa mengangkat mukaku. Ayah ketawa dan berkata: "Usah takut, jangan gelojoh sangat dengan makanan".

Selepas itu, setiap kali aku terpaksa membawa makanan lembu, aku isikan dulu bakul sepenuh-penuhnya supaya dia tidak marah lagi dan supaya dia berlembut dengan anaknya ini.

Satu ketika baru sahaja aku mahu menutup mata, aku terbayangkan muka bajingan seperti Bihari dan Pradhan. Aku ludah pada kaki mereka. Aku naik marah kerana keluarga kami menjadi papa kedana. Kami tidak boleh mandi di selekoh sungai kerana Pradhan kerap mengacau. Kami terpaksa mengambil jalan jauh untuk membuang air besar, kerana terpaksa mengelakkan kawasan Bihari yang rapat dengan Pradhan. Kami terpaksa menjaga ternakan mereka sebelum memberi perhatian kepada ternakan sendiri, sambil berharap mereka tidak mencuri ternakan kami. Keadaan menunjukkan seolah-olah bumi yang kami pijak itu adalah kawasan larangan untuk tapak kaki kami. Kami dianggap lebih teruk daripada kaum pariah yang tidak boleh mereka sentuh, dan yang mereka anggap laksana haiwan.

Menjadi seorang gadis, lebih menghina nasib. Seorang gadis tidak dianggap mulia tanpa kewujudan seorang ayah, abangnya, pamannya ataupun suaminya; ataupun sebarang lelaki yang menjadi warga keluarga ataupun kastanya. Dia tidak boleh berjalan tanpa ketakutan walaupun antara kampung dengan sungai yang berdekatan.

Aku pernah diberitahu adanya Brahmin yang lemah lembut perangainya seperti sami Brahma yang menyerupai Tuhan yang aku pernah cari dulu dan sudahpun lama melepaskan hasrat itu. Tetapi, sami Brahmin di kampung, memukul budak-budak kecil ketika mengajar mereka. Di kampungku, ada manusia yang gemar berbaring seharian dengan memegang tongkat buluh di tangan sambil mengutip hasil tanaman mereka, daripada hasil titik peluh mereka yang terpaksa menepis hayunan pukulan dan terus merana membanting tulang dan makan apa sahaja yang ada untuk menyambung nyawa.

Paman Bihari, isterinya yang hodoh, anak lelakinya Mayadin, memikirkan mereka lebih istimewa daripada kami. Mereka telah mencuri tanah kami dan mereka telah meracuni hidup kami laksana ular yang berbisa. Tetapi aku tidak pernah takut kepada ular yang kerap merayap di kampung pada musim monsun yang membawa hujan. Aku selalu juga membaca kata-kata pemujaan seperti ayah terhadap Durga, dewi garang yang menonggang harimau di malam hari yang panjang. Hanya Durga tempat aku mengadu. Aku telah meminta cara membunuh hantu seperti yang pernah dilakukannya. Aku juga pernah meminta diberi sebatang tongkat untuk melawan balik.

....Bersambung....

Terjemahan: SPAR 10.