Laman Webantu   KM2A1: 5162 File Size: 13.0 Kb *



TAG SP 237: Strategi Perang Saraf
By Harun Rashid

6/8/2001 11:38 pm Mon

[Kerajaan nampaknya mahu mencengkam apa saja yang mengancam dengan harapan akan patahlah semua bangkangan melalui tuduhan pelik-pelik yang tidak perlupun dibuktikan. Tetapi ini tidak akan berjaya kerana isu Anwar lebam sahaja masih belum padam-padam sehingga sekarang. Siapakah yang melempar tuduhan yang tidak masuk aqal itu jika tidak pemimpin No. 1 BN sekarang. Kini Mahathir menuduh dan menangkap lagi sesiapa sahaja sehingga anak pemimpin pembangkang pun ditahan. Tetapi ini semua tidak akan berjaya kerana perang itu ada dua medan sebenarnya. Cubalah Mahathir menekanya kerana yang satu lagi akan menghumbankannya.....
- Editor
]


Strategi Perang Saraf

(Psy-War Strategy)

Oleh: Harun Rashid


Malaysia sedang dilanda satu episod perang saraf yang panjang. Sebagai sebuah parti pemerintah yang sedang mencengkam kuasa, UMNO/BN sudahpun merasakan kepudaran bisa kuasanya sehingga menggunakan segala teknik dan strategi yang menjayakannya pada masa dulu. Segala teknik ini tidak ada bisanya lagi disebabkan pelbagai sebabnya.

ISA

Parti yang berkuasa memang mudah menggunakan kuasa polis dan tentera untuk menyekat aktiviti parti pembangkang. Selalunya tindakan begini memulakan proses peminggiran, baik di tahap nasional ataupun sejagat. Seandainya pihak pembangkang menggunakan kaedah yang tidak dianggap sah, ataupun dikira mencetuskan ancaman yang ketara kepada keharmonian negara, kerajaanpun menggunakan strategi pengekangan yang luar biasa ataupun lebih berbentuk mencengkam hukum-hakam yang dianggapnya berpatutan.

Akan tetapi, ancaman itu mestilah jelas dan ketara, dan segala dalilnya mestilah diterima akal. Jika tidak segala aktiviti itu dilihat sebagai penyalahgunaan kuasa polis, dan dianggap sebagai satu usaha menyangga kuasa politik yang bertentangan dengan rakyat yang terus ditekan secara terus-terang. Sesungguhnya, penentangan terbuka itu ditentang dengan menggunakan media dan ucapan rasmi di khalayak ramai untuk mencetuskan satu aura wujudnya keyakinan, kestabilan dan ketahanan dalam saat yang kritikal. Namun, semua ucapan ini dicemari unsur-unsur pembohongan. Para pendengar dapat merasakan kekosongan dalam setiap keinginan untuk mendedah ataupun menghukum pelaku jenayah. Rakyat marhaen menjadi mual dengan ucapan harian mengenai ketelusan oleh bajingan yang tidak pernah telus dalam hidup hariannya.

Menteri-menteri UMNO/BN bersekongkolan dalam kempen yang berterusan untuk memperakukan penangkapan beberapa tokoh pembangkang dalam usaha melengahkan kuasa politik pembangkang yang semakin berkembang. Pada mulanya, pemimpin Keadilan yang berjaya menahan beberapa bas yang penuh dengan pengundi hantu telah ditangkap tanpa sebarang tuduhan dan pengadilan. Kini, pegawai PAS, yang telah mencabar peraturan himpunan aman rakyat, telah ditangkap, dengan menggunakan undang-undang purba yang sama. Memanglah banyak tuduhan mengenai pengaruh asing, mengenai amalan ajaran sesat, namun rakyat tidak mungkin mudah diperbodohkan.

ISA ialah satu undang-undang yang tidak adil dan tidak sah, kerana ia bergantung kepada wujudnya keadaan darurat di negara ini untuk dianggap berkesan. Tidak ada sebarang darurat di Malaysia kini, kecuali yang akan muncul menghantui kesatuan komponen UMNO/BN. Hukum-hakam ISA dicetuskan daripada keadaan darurat yang wujud beberapa dekad dulu, tetapi sengaja dibiarkan terus melengkar dalam buku perundangan. Kini, menteri yang berkuasa menegaskan wujudnya sebuah negara yang sedang sengsara, sehinggakan keselamatan negara sedang terancam. Semua orang sedar semua ini adalah pembohongan besar, dijadikan alasan untuk menendas dengan kejam dan zalim, untuk membolehkan para menteri terus mencengkam secara terdesak memegang kuasa yang semakin diasak untuk mengelakkan diri mereka ditangkap dan digasak.

Perhimpunan Aman

Penangkapan ahli-ahli PAS menunjukkan kerajaan semakin takut kepada ceramah, memperlekehkannya sebagai satu usaha haram untuk meneruskan tempoh berkempen, melebihi peraturan berkempen hanya untuk sepuluh hari sebelum hari mengundi. Penangkapan itu adalah menyekat sebarang campurtangan dalam proses pengundi hantu, dan juga menyekat penyebaran maklumat yang mencemarkan dalam setiap ceramah.

Salah satu unsur budaya Melayu ialah majlis kenduri-kendara, yang mungkin mencecah sampai sedozen setiap minggu di setiap kampung, tidak kiralah yang di hilir ataupun di hulu. Para menteri mahukan majlis seperti ini dikenakan kawalan mendapat permit dulu kerana inilah majlis di mana semua orang akan berada di situ. Bukannya senang mahu kuatkuasakan keinginan haprak itu kerana majis kenduri adalah darah daging budaya Melayu. Kalau dilaksanakan juga, alamat hanyutlah setiap baja yang masih melekat dalam rumpunan akar umbi parti itu.

Majlis ceramah memang berbeza sedikit daripada majlis kenduri kendara. Pada lazimnya ia menonjolkan seorang tokoh yang popular sementara jamuan makan memang selalu diketepikan. Namun majlis itu semuanya menjadi acara pertemuan sambil minum kopi sambil bertukar maklumat dan penerangan Sekaligus majlis serupa itu menggantikan akhbar dan TV yang digunakan sebagai saluran strategi perang saraf UMNO dan kerajaan.

Internet

Baru-baru ini kerjaan mengancam mahu 'mengbom' laman web pihak pembangkang dalam usaha untuk menyekat kemaraan bahaya internet. Secara praktiknya ini bererti mengirimkan emel suntikan kepada penulis pilihan dengan harapan kotak emel mereka menjadi melimpah-ruah dan tidak mampu beroperasi dengan gagah. Emel suntikan itu adalah bahan kiriman yang mengandungi virus yang melumpuhkan.

Kerja haprak begini adalah satu kerja bangang dan bertindak melemahkan pihak pembangkang. Tidak ada caranya pihak yang diserang oleh kerajaan itu dapat mengetahui pengirim sebenar ataupun siapakah nanti yang terkena palitan virus yang tersalah sasar. Lantas, kerajaan Malaysia kini menjadi tuduhan utama sebagai pengedar virus di saentero dunia. Kerja haprak ini adalah amat bertentangan dengan sumpah awal kerajaan Malaysia dari dulu-dulu sehingga sekarang yang mahu memajukan internet dan menggalakkan teknologi komunikasi supaya terus berkembang. Tidak adapun sebarang usaha mendedahkan serta menghukum pengirim virus itu ataupun pengakuan bahawa kempen itu memang dibiayai secara rasmi oleh kerajaan yang juga bertindak sebagai sutradara bajingan. Apakah semua ini boleh menidakkan marhaen daripada terus mual kepada sikap hipokrasi kerajaan?

Persekolahan

Sesuatu sistem pendidikan menjadi satu aspirasi negara yang dihormati. Usaha yang bersungguh-sungguh dilaksanakan agar dipilih untuk dilatih guru-guru untuk menjadi bijaksana dan memberikan kemudahan yang secukupnya segala peralatan pendidikan agara mereka belajar dengan selesa. Seharusnya semua ini merupakan objektif utama kepimpinan yang berwibawa. Sebaliknya guru-guru Malaysia sentiasa diancam, diugut, diberikan nama jolokan yang mencerca, serta dinafikan segala kemudahan dan suasana yang gagal menajamkan kemahiran berfikir secara kritikal.

Pelajar mudah diserkap untuk ditangkap, diugut dan digugat, dituduh secara palsu pembabitan mereka dengan pergerakan songsang dan samseng, serta diawasi dan diekori sentiasa untuk menghalang sebarang langkah kecil menunjukkan keidak-puasan terhadap kerajaan dan segala dasarnya. Tujuannya diwarwarkan sebagai usaha 'memperbaiki moral dan tatasusila' sedangkan yang sebenarnya ialah menunjukkan betapa institusi yang tidak bermoral sudah lama memerintah laksana institusi bermaharajagila. Segala amalan pemerintah yang pada awalnya merupakan tarikan kepada pengundi yang berdarah muda kini bertukar wajah menjadi gelombang pendidikan yang jijik dan mendera.

Pasaran Modal

Dalam usahanya menarik minat pelabur asing yang kurang teliti memerhatikan perangkap dalam pasaran bon, serta spekulator muda yang ghairah dalam pasaran Asia Tenggara yang diwarnai segala mistik dan mitosnya, carta pasaran BSKL sengaja dicantikkan dengan warna dan lakaran lantunan teknikal yang mengghairahkan. Dua jejakan garisan terbawah dilakar sudah. Laksana tayangan wayang gambar, semua itu adalah satu lakonan laksana mainan silap mata yang membuat hati berdebar, dan menyerongkan pandangan serta selera pelaburan.

Saham syarikat yang tersenarai di bursa yang kebanyakannya sudah muflis dari segi teknikalnya; telah dibeli oleh broker yang bertaraf nomini ataupun proksi dengan menggunakan dana pencen rakyat ataupun peruntukan perjalanan pegawai kerajaan. Segala aset, dan hak menggantikan barisan pengurusan yang ada, serta segala bebanan-hutang yang menggunung tingginya telah diambil-alih oleh kementerian kewangan atas nama rakyat Malaysia. Namun, kementerian kewangan tidak mampu menyediakan seorang peneraju pengurusan yang cekap dan berwibawa menerajui syarikat yang tercungap. Bagaimana pula mungkinnya kerajaan menyediakan seorang peneraju berbakat untuk menjadi adijagat sebagai penyelamat syarikat yang sudah merempat?

Satu ketika dulu, sistem perbankan disarankan oleh kerajaan memberikan pinjaman tanpa kolateral dan harta gadaian ataupun jaminan kepada sesiapa sahaja. Kini, semua bank sudah diberitahu agar merana sendirian dengan hutang yang tidak dilunaskan kerana bank seharusnya 'mengambil risiko pinjaman yang tidak mampu dibayar balik hutangnya.' Segala berita kurang baik sengaja dilecehkan ataupun disembunyikan. Perangkaan menunjukkan betapa Singapura sedang dihantui kegawatan sejak dua suku tahun lalu. Perangkaan suku tahun kedua Singapura itu telahpun disiarkan dalam masa dua minggu selepas tersiarnya perangkaan suku-tahun yang pertama. Berita buruk semacam itu masih belum disiarkan di Malaysia. Kita boleh jangkakan perangkaan suku-tahun kedua Malaysia akan ditunda lagi sehingga September, kerana kerajaan tidak mahu mendedahkan adanya kegawatan dalam negara. Kelewatan itu akan diperjelaskan dengan menyalahkan komputer, yang seperti juga para banduan tidak berupaya mempertahankan tuduhan haprak pihak kerajaan.

Seorang menteri Jepun pernah membuat lawatan untuk membawa utusan yang tidak menyelerakan. Pasaran Amerika sedang menjunam tanpa halangan. Namun Malaysia masih memaparkan wajah seolah-olah tidak ada yang perlu dirunsingkan. Seolah-olah pintar mengelak ataupun menepis kemunculan masalah yang semakin galak. Berita ekonomi selalu diulang-ulang: 'selesai sudah eknomi yang merudum, langkah membeli mula menguntum.' Oleh kerana mudahnya menggunakan perangkaan pengeksportan yang berterusan, serta simpanan yang memang pada warisannya boleh dianggap stabil; kelemahan kepimpinan, hutang yang bertimbun, dan kegagalan Pensyarikatan Malaysia mudah dilenturkan bisanya. Apatah lagi apabila memang sengaja tidak diusahakan cerakinan segala kegagalan kerajaan. Lagipun BPR sengaja dibekukan dalam peti, dan sebagai satu dasar pemerintah, memang tidak ada istilah 'akauntabiliti'.

Rumusan

Suasana (mood) di Malaysia sekarang adalah di tahap 'melancholia' - kelemahan mental disebabkan tekanan jiwa yang diransangkan berita yang mencelaru hingga mencetuskan pemikiran haru-biru. Segala kehaprakan yang terjadi dianggap sebagai biasa sambil marhaen menunggu balasan Allah Yang Maha Kuasa; yang dinanti dengan mulut melopong sahaja. Konsep Malaysia Boleh sudah tidak ada lagi. Malaysia memang boleh menikmati segalanya, cuma tidak berupaya. Kini, semua kenikmatan itu dinafikan. Sidang ceramah akan berterusan, lebih beriltizam daripada usaha yang dulu-dulu. Segala penangkapan hanya menaikkan kemarahan sahaja. Ceramah akan ditambah, lebih banyak lagi daripada yang termampu dipantau oleh polis dan tentera.

Keberanian dan kesabaran adalah darah daging yang dijiwai oleh Bangsa Melayu. Ramai yang yakin bahawa kebenaran dan keadilan akan menjelma juga. Walaupun secara luarannya ada tanda-tanda keluhan yang berirama kekesalan, namun di bahagian pelapiknya memang tersedia lapisan yang tegap dan mantap menunggukan penjelmaan munculnya, tidak kiralah betapa lembabnya; sinar mentari di sebalik garisan fajar yang menyinsing. Inilah strateginya yang InsyaAllah membawa kemenangan yang muncul secara berdesing.

Harun Rashid
5 Ogos 2001.

Terjemahan: SPAR-05-018

Link Reference : Asal: Harun Rashid Worldview: Psy-War Strategy