Laman Webantu   KM2A1: 5167 File Size: 23.9 Kb *



TSG 6: 3A - 3B - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India
By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali

7/8/2001 2:08 am Tue

[<[Anak-anak keluarga miskin seperti Phoolan tidak berpeluang bermain sahaja atau mendapat pendidikan yang sewajarnya kerana terpaksa bekerja untuk membantu keluarga. Kesannya mereka tidak dapat mengenal bahaya sehingga bermain-main dengannya. Merotan atau mendera kanak-kanak bukan satu tindakan yang arif kerana tanpa pendidikkan bahaya itu akan kembali semula. Malangnya ayah dan ibu kini sudah terlalu sibuk bekerja kerana keadaan hidup yang sengsara sehingga anak-anak terbiar.

Ada sebabnya kanak-kanak seperti Phoolan bermain-main hantu. Mereka mengidami satu kuasa untuk melepaskan dari cengkaman hidup yang telah mencuri dunia kanak-kanak mereka. Gejala black metal pada remaja Malaysia kini berputik dari masalah yang lebih kurang serupa.... pendidikkan ugama sudah diabaikan kerana terlalu sibuk membanting tulang menafkahi keluarga. - Editor]


Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India

(I, Phoolan: the autobiography of India's bandit queen)

Oleh: Marie-Therese Cuny dan Paul Rambali

BAB 3



Bab 3 A



Aku tidak pernah bertanya kepada ayah ke mana dia mahu pergi setiap kali dia melangkah keluar rumah. Itu adalah soalan yang kurang baik dan mungkin membawa padah.

Ayah bekerja sehari suntuk. Ada kalanya dia menyewa tanah orang yang kaya; menyediakan tanahnya dan menabur benih yang dibeli. Apabila hasil tanaman dituai, diapun diberikan bahagiannya. Tetapi, bahagiannya itu tidak pernah memuaskan hajatnya dan, seandainya hasil tuaian kurang baik, bahagiannya semakin berkurangan. Selain bekerja sebagai seorang petani, ayah juga pandai menyimen dan bertukang kayu. Apabila ayah keluar dengan menjunjung bangku kayu di atas kepalanya aku tahu dia membawanya kepada seseorang yang sudahpun menempahnya. Ayah memang tahu menghasilkan pelbagai pertukangan; dia boleh membuat khat (katil), pintu dan perahu. Hasil kerjanya memang baik cuma dia kerap dibayar dengan satu mangkuk gandum sahaja.

Ketika dia keluar rumah pada hari itu, angin kuat sedang mengancam rumput dan rumpai sehingga menjadi rata; dan debu berterbangan di mana sahaja. Tidak berapa lama lagi musim monsun akan tiba. Walaupun dia tidak berkata apa-apa kepada kami, kami tahu ayah akan menyeberangi Yamuna untuk pergi ke Teonga, kampung bakal ibu bapa mertua Rukmini untuk membincangkan perihal dauri perkahwinannya.

Aku akan dapat seorang "Jeeja", abang-ipar! Aku pernah melihat majlis perkahwinan di kampung dan tahu dia akan datang menunggang seekor kuda betina lengkap dihiasai bunga-bunga dan hadiah perkahwinannya - kalaulah keluarganya menerima dauri yang ditawarkan oleh ayah. Aku telah mendengar bahawa harga dauri ialah lima ribu rupee, berserta seekor lembu betina, seekor lembu jantan dan satu set periuk.

Rukmini terpaksa menunggu sebelum menatap wajah suaminya. Dia tidakpun tahu apakah si suami itu berkulit gelap dan besar hidungnya, hodoh laksana ungka, ataupun tegap dan tampan laksana seekor helang; apakah tengpang kakinya ataupun seorang yang pernah menduda.

Aku semakin tidak sabar untuk mandi di sungai dan bercakap akan hal itu dengan Choti, tetapi ibu telah nampak kami yang cuba keluar secara senyap dan sunyi.

"Phoolan, kemana kamu?" tanya ibu. "Kamu perlu sudahkan kerja-kerja mengangkut talembu itu? Kalau kamu tidak buat siapa lagi? Rukmini kena habiskan mengisar gandum. Baik ambil bakul kamu dan pergi sekarang!"

Aku pun kumpulkan talembu itu, cukup untuk dibakar sepanjang musim tengkujuh.

"Saya sudah siapkan kerja itu! Amma! Boleh kami pergi?"

Memang aku ingin sangat pergi mandi kerana ada sebab yang lain juga. Tetapi aku tidak boleh beritahu pada ibu. Choti dan aku telah mendapat satu harta istimewa - seketul sabun. Seekor gagak yang terbang di angkasa telah menggugurkan sabun itu daripada muncungnya. Aku pun sambut sabun itu secepat yang termampu dan menyorokkannya dalam baju.

"Kami mahu pergi ke kuil nanti dan Choti pula penuh dengan lumpur. Tengoklah rambutnya! Boleh Amma?"

Selalunya aku perlu merayu kepada ibu sekurang-kurangnya sepuluh kali sebelum dia mengizinkan sesuatu. Aku terpaksa menyudahkan setiap tugas yang diberikannya dan berjanji berkali-kali sama banyaknya dengan bilangan bintang di langit: jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali, jangan pergi ke rumah Pradhan, jangan buat itu dan jangan buat ini! Itulah kisahnya dengan Amma "Kalau kamu berjumpa seorang lelaki dan dia cuba menyentuh kamu ataupun memaksa kamu mengikutinya, jangan kamu layan dia! Kalau seorang lelaki menawarkan wang, jangan bercakap dengannya. Walaupun dia cakap benda yang tidak senonoh, kamu mesti beritahu ibu. Kalau kamu tidak dengar cakap ibu, aku akan potong kamu dan hiris-hiris kamu sebelum campakkan semuanya ke dalam sungai!"

Aku pun berjanji dengannya.

Aku tahu ketika itu bahaya ditangkap oleh seorang lelaki adalah bersamaan dengan keaiban. Pernah terjadi apabila seorang gadis di kampung itu ditangkap oleh dua puluh orang lelaki, katanya. Pada waktu itu dia sudahpun bertunang tetapi belum lagi melihat wajah suaminya. Kemudian, seluruh kampung dapat melihat bagaimana perutnya mula kembung perlahan-lahan. Panchayat telah bersidang untuk mengetahui siapa sebenarnya bapa kandungan itu. Mereka menuduh gadis itu buruk laku, semua itu adalah kesilapannya; malahan ada seseorang berkata dia sepatutnya diikat dan dicampakkan dalam sungai Yamuna. Tetapi bapa gadis itu mempertahankan anaknya. Malahan, dengan lantang dia telah menuduh salah seorang Pances itu, "anak lelaki kamu yang membuat kerenah ini!"

Akhirnya, gadis itu telah diarah pergi ke rumah suaminya dan ibu mertuanya telah mendesak dia menggugurkan anak yang dikandungnya. Selepas itu kami tidakpun melihatnya lagi. Dia tidak dibenarkan pulang bertemu ibu-bapanya menyebabkan ayahnya menjadi tidak senang hati. Bapa gadis itu merupakan seorang yang baik hati, dan ketika aku masih kecil dulu dia pernah menyelamatkan aku daripada mati lemas dan kemudiannya mengajar aku bagaimana berenang. Dia selalu berbincang dengan ayah mengenai keaiban anaknya itu dan kerap merintih bagaimana dia merinduinya.

Air sungai naik berbuih sebaik sahaja pasir di dasar sungai itu dicecah oleh kaki kami. Kami ketawa keseronokan sehinggakan burung-burung yang berdekatan terkejut dan terbang kebingungan. Ayah kerap memberi ingatan supaya kami tidak ketawa berdekah-dekah di khalayak ramai, tetapi dia berada jauh di seberang Yamuna berjalan di Teonga. Kami pula berada di air, bebas daripada kawalan orang kampung dan lebih bebas daripada rumput tinggi di ladang-ladang. Air sungai itu memuaskan dahaga kami, membersihkan tubuh badan dan menyucikan semangat kami.

Sabun yang kami dapat itu memang keras, laksana batu. Aku memang tidak pernah memegang sabun sebelum itu, kerana itu aku gosokkan badanku sehingga kulit menjadi merah. Kemudian aku campakkan sabun ke arah Choti untuk dia membuat perkara yang serupa. Kami gosok sekuat yang terdaya, tetapi tidak juga ada buihnya. Aku pernah melihat kaum wanita menggunakan sabun. Muncul buih yang berkilauan putihnya laksana buih yang keluar daripada periuk rebusan sekoi. Apa yang terjadi kepada kulitku hanyalah rasa melekit sahaja. Inilah yang menyebabkan pasir kecil mudah melekat untuk menyusahkan aku mengelap badan. Choti pun hairan dengan sabun itu kerana rambutnya sudah menjadi tergumpal. Mungkinkah kerana kami tidak tahu cara menggunakan sabun? Ataupun apakah sabun itu sudah terlalu lama?


Ada dua orang wanita yang melihat apa yang kami lakukan itu dan telah datang menghampiri.

"Apa yang kamu buat "ni Phoolan?," tanya salah seorang antara mereka.

"Tak nampak?" tanyaku. "Saya sedang membasuh pakaian dengan sabun ini."

"Sabun?....Mari tengok..."

Aku pun hulurkan sabun yang melekit itu. Wanita itu membeleknya dan terus tertawa. "Ini bukan sabun..... kau menggunakan gula-gula untuk membasuh badan?" dia tercengang kerana kehairanan.

Diapun berikan balik benda yang aku sangkakan sabun selama itu. Aku gigit sebahagian ketulan itu dan meludahkannya ke dalam sungai. Memang ada rasa buah-buahan padanya. Perempuan itu berhak ketawa melihatkan kulit kami yang digosok begitu melekit sehinggakan pakaian kamipun melekit sama. Kamipun turut tertawa. Kami tidak ada jalan lain dari menggunakan pasir halus untuk menggosok badan sehingga tanggallah rasa melekit itu.

Kami boleh bertapa di situ ketawa dan bergelumang dalam lumpur sepanjang hari. Tetapi masih banyak kerja yang perlu kami buat, kami terpaksa pergi ke ladang memotong rumput untuk makanan ternakan.

Sambil aku membuat kerja ni, Choti terpaksa menjaga anak lembu, yang semakin berani berlari-lari sesuka hati. Lembu itu semakin liar sehinggakan Choti semakin tidak terdaya memegang talinya. Namun Choti terpaksa menjerit kepada lembu itu sehinggakan terpaksa duduk di atas tanah.

"Seriklah aku," kata Choti. "Biarlah aku potong rumput, kakak boleh jaga anak lembu..."

"Mana boleh, Amma kata kamu mesti jaga lembu, bukannya akak."

"Aku keciklah kak... Lembu tu macam setan.. pusing sini pusing sana macam lalat. Kakak tangkaplah sendiri.."

"Tak boleh.."

Choti mengutip sebatang kayu dan berlari untuk memukul aku. Kami berlawan sehingga dia berlari pulang dengan tangisan untuk mengadu. "Amma! Phoolan pukul saya! Dia tidak mahu jaga anak lembu."

Dia meraung dengan kuatnya sehinggakan aku akhirnya yang mendapat bala. Ibu menangkap rambutku sebelum aku sempat mengelak dan memukul punggungku begitu kuat dengan sebatang kayu sehinggakan peritnya hampir melumpuhkan aku.

Keperitan itu masih terasa keesokan harinya. Bahagian kiri punggungku naik membengkak pada dua tempat. Keesokan harinya muncul satu bengkak lagi sebesar sebiji buah mangga.

"Amma," aku mengadu kepada ibu, "pukulan semalam terlalu kuat sangat sehinggakan saya tidak boleh duduk. Ia menyakitkan."

"Bengkak itu terus membesar dan memberikan keperitan seolah-olah ia membakar kulitku. Aku tidak boleh berjalan lagi. Aku terpaksa berbaring di atas khat dan tidak mampu berjalan ke dalam belukar untuk melegakan pepundiku.

Apabila ayah pulang dari perjalanannya, dia terkejut melihatkan keadaanku.

"Phoolan, anakku! Dia meraung. "Oh, Dewi Durga tolonglah anakku, Tolonglah pulihkan sakitnya."

Ammapun turut membaca doanya. "Tuhan, tolonglah anakku Phoolan," katanya dengan tangisan.




Bab 3 B


Aku agak hanya tuhan yang tahu apakah nanah yang muncul itu hasil daripada pukulan yang dilakukan oleh ibu. Aku tidak pernah merasakan kesakitan seperti itu. Walaupun anjing-anjing Pradhan pernah mengejar kami dan Choti pernah digigit di buku-lali, dia tidakpun merasakan kesakitan seperti yang aku tanggungi.

Amma telah melekapkan lumpur yang dipanaskan di bahagian yang bernanah dan ini membantu mengurangkan kesakitan di tempat itu, untuk sementara waktu. Sebaik sahaja lumpur itu sejuk kembali, kesakitan turut kembali jua. Aku menangis seharian. Ibu telah melecek daun pohon neem, yang tumbuh di atas sekeping tanah kepunyaan ayah. Pokok itu telah lama ditanam dan rantingnya kami gunakan setiap hari untuk menyugi gigi setiap pagi, walaupun rasanya pahit sekali. Pokok neem itu laksana Brahmin kepada kami: ia membantu menghalau makhluk ghaib, mengubati luka dan juga penyakit kami.

Choti telah mengajuk kesakitanku, sambil berseronok dengan perbuatannya Dia tidak sedar semua itu adalah kesilapannya.. "Punggung kamu sudah mengelembung. Eloklah kamu mati sebab kamu tidak boleh berjalan lagi."

Hari terus berputar menjadi minggu dan berminggu-minggu. Pada satu hari, ketika aku cuba mengiring sebelah kanan untuk mengelakkan benda yang membengkak di punggung itu tidak terusik, aku merasa perlu melegakan pepundiku.

"Saya terpaksa buang air," aku berbisik kepada ibu.

Dia memberitahu Rukmini supaya memimpin aku ke arah satu pasu di sudut halaman rumah kami. Kakak memimpin aku di situ. Aku terasa tidak bermaya, tidak lagi mampu keluar rumah untuk melegakan badan sendirian. Tiba-tiba aku melihat seekor binatang mendekati aku. Ia adalah seekor anjing garang. Aku menjerit terhadapnya, dan anjing itu terus membuka mulut untuk menjeringaikan giginya. Dia terhidu luka dibadan aku.

Aku menjerit kepada ayah untuk membantu. "Ayah... ada anjing garang! Dia nak makan saya...!"

Ayah bergegas mencapai sebatang kayu, sambil menghalu anjing itu yang terpaksa mengalah dan mundur ke arah kandang. Dalam sekelip mata anjing itu telah membaham dua ekor anak kambing dan menyiat badan mangsanya sebelum lari entah ke mana.

Aku menjadi gugup melihatkan mata anjing yang kekuningan dan gigi yang berkilauan. Tetapi keadaan anak kambing yang dibahamnya itu telah menakutkan aku lebih lagi. Aku tahu mereka akan hidup semula satu hari nanti sebagai anjing, kerana anjing yang membunuh mereka. Tetapi aku memang benci melihat kematian haiwan. Itu yang membuatkan aku menangis tersedu-sedu sehinggakan ayah terpaksa menenangkan aku.


"Itu bukan anjing, Phoolan. Itu adalah serigala! Sekarang ayah tahu anak gadis ayah tidak akan mati. Kalau serigala tidak boleh membahamnya, bermakna nanah itu tidak akan membunuhnya."

Kalau adapun yang terbaik selama berminggu aku kesakitan itu, ialah beberapa mangkuk susu yang diberikan padaku setiap petang. Itu sahajalah ketikanya aku boleh melupakan kesakitan yang melanda. Selain dari itu aku terpaksa menahan kesakitan dan merangkak di lantai, dan terpaksa meminta jasabaik Rukmini membantu walaupun dia mempunyai banyak tugas yang perlu diselesaikannya.

Pada hari perayaan Deepavali (Deevali), yakni perayaan lampu, aku tinggal keseorangan di rumah. Pada petang hari itu lampu minyakpun dipasang di kuil dan rumah kediaman di kampung sebagai menghormati Lakshmi, isteri Dewa Vishnu. Lakshmi ialah dewi kecantikan dan rezeki. Lakshmi tidak boleh menangani kesedihan ataupun kemiskinan. Perayaan lampu itu adalah satu lambang kejayaannya menumpaskan kuasa jahat. Secara senyap-senyap aku memohon agar Laksmi mengasihani aku. Ketika aku memohon itu aku dapat merasakan betapa segala kejijikan itu terkeluar daripada perasaanku. Aku mempunyai tanggapan betapa aku tidak mampu menangani keadaan itu sehinggakan aku tidak sedar terlepaskan kandungan pepundiku.

Kemunculan pesta ibadah itu telah dimulai dengan pembersihan rumah kami. Dinding rumah telah disapu dengan satu campuran cat yang diperbuat daripada lumpur dan talembu. Amma telah membersihkan lantai rumah, tetapi aku takut kalau dia menjadi marah apabila pulang. Kesakitanku semakin teruk sehingga tidak mampu mengalihkan badan untuk menyaksikan apa yang sebenarnya telah berlaku.

Ibuku yang pulang dulu. Dia telah melihatkan satu garisan darah yang mengalir daripada bilik tidurku menyebabkannya menjerit kerana terkejut, memikirkan seekor lagi serigala telah menyerang aku. Dia mendapati aku terbaring di katil, tidak sedarkan diri. Bahagian bawah badanku telah berlumuran dengan darah. Lubang hidung ibuku telah dipenuhi satu macam bauan yang sunguh masam. Ibu memusingkan badanku dan mendapati bengkak yang bernanah sudah meletup membuatkan segala kandungannya meleleh keluar dengan segala bauan yang meloyakan. Ibu menyapu semua darah pekat yang kotor itu dan ternampak satu lubang yang besar yang mampu memuatkan penumbuknya. Kakiku masih sakit dan aku belum lagi boleh membuat sebarang kerja untuk beberapa hari lamanya. Kerana itu aku masih merupakan beban kepada ahli keluarga.

Kawanku Kusumi, yang tinggal dua rumah jaraknya daripada rumah kami, telah menyatakan betapa gembira hatinya kerana aku tidak mati. Kusumi selalu bermain bersamaku. Badannya kurus dan tinggi - lebih tinggi daripada aku, walaupun umurnya adalah sama dengan umurku dan kulit badannya sama juga gelapnya dengan kulitku. Dia berkata bahawa dia merasa gembira kerana aku akan bersama mereka semula. Selalunya apabila mereka mahu bermain panjat pokok, ada kalanya mereka gagal memanjat sesuatu tempat, tetapi aku mampu menunjukkan caranya sehingga berjaya. Mereka kerap melantik aku sebagai ketua kerana permainan aku lebih menyeronokkan. Tetapi, bukan untuk setiap masa.....

Kini tiba giliran Kusumi mati olok-olok, satu permainan yang amat disukainya. Dia perlu berbaring di atas pasir sungai tanpa bergerak sambil kami berlakon seolah-olah menyediakan upacara pembakaran badannya. Seorang gadis bernama Maya mendapatkan sehelai kain untuk menutup beliau, satu helai kain sari yang disulami benang emas yang merupakan satu hadiah perkahwinan untuk ibunya. Itulah kain sari kegemaran ibunya dan Maya telah membawa sari itu tanpa keizinan. Aku telah menggunakan sabit untuk memotong sedikit kayu kering untuk dijadikan unggun pembakaran. Itu adalah satu permainan yang kerap kami mainkan. Selalunya kami himpunkan rumput di bawah kaki Kusumi dan kamipun lakonkan pembakaran badannya sambil membaca mantra pengebumian: "Ram Nam Satya Hai..........."

Setelah menyanyikan lagu untuk memudahkan perjalanannya ke dunia baqa, kamipun mengusungnya ke sungai. Sebaik sahaja kami mahu mencampakkannya, dia akan bangkit dan menakutkan kami dengan berkata, "Aku adalah hantu dan aku akan makan kamu!" Kami terpaksa lari bertempiaran, berlagak seolah-olah ketakutan. "Kasumi dah jadi hantu! Kasumi dah jadi hantu!" Itulah yang kami sebut ketika bertempiaran. Kemudian dia terpaksa menangkap kami dan kalau berjaya akan mencubit kami dengan kukunya yang tajam. Kami akan menangkapnya untuk mencabut rambut. Tetapi Kusumi akan terus meninggikan badan sehingga rambutnya tidak dapat dicapai lagi. Terpaksalah kami melonjak-melonjak secara berlakon sahaja.

Selalunya permainanpun berakhir di situ. Tarikan rambut akan menyakitkan hantu itu sehinggakan ia menghilang dan Kusumi akan menjadi sedar seperti sediakala. Kemudian kami pun pergilah membuat kerja-kerja di kebun.

Pada hari itu kami telah mengubahsuai sedikit permainan itu. Kami telah suruh Kusumi berbaring seperti biasa tetapi di atas satu lapisan dedaun kering dan ranting kering, laksana unggunan api yang sebenar, seperti yang kami pernah lihat apabila orang kampung membawa satu mayat untuk dibakar. Salah seorang kawanku berkata, "Aku ada bawa sedikit batang mancis. Mari kita bakar dan tengok apa jadinya?" Kami memang selalu melihat orang lelaki menyucuh api kepada unggunan kematian. Memang terdapat satu tempat di tebing Yamuna di mana orang datang dari merata tempat untuk membakar mayat. Mereka membakar unggun itu dengan menggunakan obor yang menyala.

Aku membawa obor, mendekati unggunan mayat untuk membakarnya . Kami perhatikan api naik marak ke atas mencari badan Kusumi yang kaku itu. Akupun berundur perlahan-lahan seperti lagak para membakar mayat yang kami saksikan sebelum itu. Selalunya kita perlu berdoa dengan senyap akan kesejahteraaan roh semangat yang keluar daripada mayat. Tetapi, lakonan upacara kami itu berakhir dengan cepat sekali.

Dengan pantas, kain sari yang bertenun benang emas dan digunakan untuk menutupi badan Kusumi telah dibaham api. Kusumi meloncat bingkas laksana seekor kambing jantan dan terjun ke dalam sungai dengan spontan. Sepatutnya dia campakkan sari yang sedang menyala itu dan lari sendirian Tetapi sari itu diheretnya sambil menjerit laksana orang gila. Seluruh badannya menyala ketika dia menghampiri permukaan sungai. Apabila dia terjun menjunam kami terdangar bunyi: "hiss.." daripada api yang sudah padam.

Untuk satu ketika, Kusumi tenggelam tanpa ada sebarang tanda beliau akan naik ke atas semula.

Tidak beberapa lama selepas itu, badannya naik ke permukaan, terapung-apung, bergelumang dengan lumpur dan abu. Memang dia kelihatan laksana hantu.

"Itu hantu Kusumi! Itu hantu Kusumi!" Kami menjerit.

Kali itu kami semakin yakin. Kami semua lari untuk menyorok di rumah masing-masing.

Ibu ternampak aku lari begitu pantas dan tanpa membawa pulang sabitku. Dia mengerutkan kening, mencurigai aku dengan matanya yng hitam.

"Mana dia rumput makanan ternakan?"

Seperti biasa aku terlupa rumput yang tertinggal di tengah ladang. Sudah tentu aku akan dipukul oleh ibu sekali lagi.

"Rumput itu sudah dipotong, Amma, dan saya sudahpun ikat-ikat, tetapi Kusumi bertukar menjadi hantu yang betul-betul! Kami semua lari pulang ke rumah kerana dia mengejar! Betul Amma!."

Ibu merenung mukaku. Dia mencangkung di batu pengisar, dan meletakkan nyiru yang mengandungi gandum sambil menggelengkan kepala.

"Phoolan, kenapakah kamu selalu sangat menyusahkan kami! Aku suruh kami potong rumput daripada tiga tempat dan bawa semuanya pulang,"

Aku tidak ada peluang untuk menjawabnya. Empat orang abang Kusumi sudah berada di depan pintu rumah kami. Mereka sudah menyeret gadis yang lain dan kini mencari aku. Oleh kerana aku yang menyucuh unggun untuk membakarnya tentulah aku yang akan menghadapi banyak soalannya. Abang-abang Kusumi memang besar-besar dan tegap. Yang sulung telah becakap dengan ibu.

"Anak kamu, Phoolan telah membakar adik kami. Makcik kena ambil tindakan."

Keseluruhan kampung menjadi hingar-bangar. Ayahku telah dipanggil dan satu bentuk penghakiman telahpun diputuskan.

Ibu bapaku memang menjadi begitu marah. Ibu menamparku dengan kuat, kemudian dia pergi memotong sebatang "bajra" untuk merotan aku. Aku tidak terdaya menerangkan kepadanya bahawa aku tidak berniat membakar Kusumi. Aku hanya bermain. Tetapi ibu tidak peduli kerana dia begitu marah kerana aku tinggalkan rumput yang dipotong itu. Aku telah mengabaikan tugasku.

Punggungku memang masih keperitan daripada tempat yang menanah dulu dan kini tempat itu memberikan kepedihan semula setelah dibalun oleh ibu. Hari sudah semakin petang ketika itu, tetapi ibu suruh aku sudahkan kerja yang terbengkalai. Lagipun aku terpaksa pergi mendapatkan sabit aku kembali daripada Kusumi.

Setiba aku di depan pintu rumah Kusumi, ibunya telah menjerit kepada aku. Aku terpaksa berlembut kerana mahukan sabit kepunyaanku.

"Tengok, apa yang sudah kau buat," ibu Kusumi memarahiku. "Lihatlah rupa anak aku."

Aku angkat muka untuk melihat wajah kawanku.

Bulu keningnya telah bertukar menjadi merah. Tangannya telah terbakar dan rambutnya sudah mengeriting. Aku berterimakasih kepada dewi kerana Kusumi berjaya terjun menjunam dalam sungai sebelum api berjaya membaham seluruh badannya.

"Apakah kamu marah dengan aku Kusumi? Apakah berani main mati-mati lagi?"

"Lain kali, kalau aku jadi hantu, aku akan makan kamu! Kemudian aku akan campakkan tulang kamu dalam sungai itu!"

Dia pulangkan balik sabitku.

Akupun berlari dengan cepat memasuki ladang, sambil menggosok-gosok bahagian belakang, sambil diikuti oleh Choti yang mengejar dengan ketawanya yang lantang.

"Phoolan takut hantu! Phoolan takut hantu!"

Pada malam itu, aku telah mengigau. Hantu telah menangkap dan merangkul aku untuk menariknya ke dasar bumi. Aku terpaksa meronta-ronta untuk timbul semula kerana sabit yang terlepas dari tangan.

....bersambung....

Terjemahan: SPAR 10