Laman Webantu   KM2A1: 5172 File Size: 12.8 Kb *



TAG SP 239: B3B - Perjalanan Yang Panjang [Mandela]
By Nelson Mandela

7/8/2001 7:18 pm Tue

[Ibu Mandela sanggup berkorban untuk berpisah dengan anaknya demi masadepan anaknya walhal dia baru sahaja kehilangan suaminya. Pendidikkan lebih utama kerana peluang itu tidak selalu tiba jika tiada wangnya. Cuma nasihat ketabahan yang mampu dibekalkan oleh ibunya kerana itulah penentu sebenar kejayaannya - bukannya wang, bukannya teman dan bukan kedekatan di sisi keluarga.

Mandela yang duduk di istana itu mula mempelajari sesuatu yang berguna dan tidak mempersiakannya. Tetapi sebagai manusia dia melakukan beberapa kesilapan yang tentunya mengundang kemarahan. Tetapi itu tidak mengapa kerana ia pun satu pengajaran juga. Keluarga istana tempat dia menumpang itu amat sensitif dan tidak toleran lansgung terhadap sebarang perbuatan mencuri atau menganiaya rakyat miskin sehingga mencuri seketul jagung pun dikenakan denda. Hukuman seperti itu mempunyai kesan yang amat mendalam kepada anak kecil seperti Mandela. Ia menyebabkan dia merasa takut dan bersalah kerana menyalahi ugama dan mengaibkan keluarga angkatnya. Sepatutnya inilah cara yang digunakan untuk mendidik dan mengajar anak-anak kita.
- Editor
]


PERJALANAN YANG PANJANG

(Long Walk To Freedom)


Oleh: NELSON MANDELA



Satu Autobiografi

Terjemahan SPAR 11



BAB 3B


Tidak lama kemudian barulah saya dapat tahu, sebaik sahaja kematian ayah tersebar luas, Jongintaba telah membuat tawaran menjadi penjaga saya. Baginda telah menyatakan kesanggupan mendidik saya seperti dia mendidik semua anaknya. Ibu tidak punya pilihan kerana bukannya mudah menolak tawaran daripada istana. Ibu berpuashati, walaupun dia akan merasakan kesepian dengan ketiadaan saya, dia faham saya akan menerima aturan pendidikan yang lebih canggih daripada yang terdaya diusahakannya sendirian. Putera Mahkota itu masih tidak lupa bahawa ayah saya telah banyak menyumbang kepada keunggulan jawatan yang sedang disandangnya.

Ibu menetap di Mqhekezweni untuk sehari dua lagi sebelum pulang ke Qunu. Perpisahan kami itu berlangsung tanpa banyak masalah. Ibu tidak meninggalkan pesan dengan berkhutbah ataupun kata-kata hikmah ataupun kucupan kasih sayang. Saya mengsyaki ibu tidak mahu berasa sedih dan sugul dengan perpisahan kami ketika itu. Saya sedar mendiang ayah memang mahukan saya berpendidikan tinggi untuk bersedia menawan dunia ini, tentu sekali saya tidak mampu mencapainya kalau terus kekal di Qunu. Ibu merenung saya lama-lama dengan isyarat terselindung betapa dia mengasihi saya dan segala sokongan yang saya perlukan. Ketika mahu bertolak itu, ibu berpaling dan berkata: 'Uqinisufokotho, Kwedini!'(Tabahkan dirimu, anakku!). Di waktu kecilnya, kanak-kanak merupakan insan yang tidak tebal perasaannya, lebih-lebih lagi kalau dia asyik dengan beberapa pengalaman baru yang meragut perhatiannya. Walaupun ibu dan seorang kawannya sedang bersiap untuk bepergian, saya sudah diserabuti pemikiran mengenai tempat tinggal yang baru itu. Bagaimanalah saya tidak tabahkan diri sedangkan saya sudah pun memakai pakaian baru yang dibeli oleh penjaga saya.

Saya tidak perlu masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup harian di Mqhekezwini. Selalunya seorang anak kecil mudah menyesuaikan dirinya kepada suasana baru ataupun tidak dapat menyesuaikan dirinya langsung kepada persekitaran itu. Saya melihat istana itu sebagai tempat yang penuh keajaibannya, serba-serbi menyeronokkan, sehingga tugas harian di Qunu menjadi aktiviti keseronokan di Mqhekezweni. Apabila saya tidak pergi ke sekolah, saya bekerja menenggala ladang, memandu kereta kuda, dan menjadi seorang pengembala ternakan. Saya menunggang kuda, melastik burung, dan bergumpal dengan rakan sebaya. Ada kalannya pada waktu malam, saya bertandak dan menari mengikut tepukan tangan dan iringan nyanyian dara sunti Thembu. Sungguhpun saya merindukan Qunu dan ibu saya, memang segala aktiviti itu membuatkan saya keseronokan dengan diri baru.

Saya belajar di sebuah sekolah yang mempunyai hanya satu bilik kuliah di sebelah istana untuk mempelajari bahasa Inggeris, Xhosa. Ilmu-alam dan sejarah. Kami disediakan 'Chambers English Reader' dan papan batu untuk menulis. Guru kami, Mr. Fadana, dan kemudiannya Mr. Gigwa, memberikan tumpuan yang hebat terhadap pendidikan saya. Saya menunjukkan kecemerlangan di sekolah bukannya disebabkan kepintaran tetapi disebabkan ketabahan. Jatidiri saya diperteguhkan oleh Makcik Phatiwe di istana yang menengok buku saya setiap malam.

Mqhekezweni menjadi stesen ataupun pusat kegiatan Methodist Church yang lebih tersusun daripada kegiatan membaratkan orang pribumi di Qunu. Penduduk di situ memakai pakaian barat. Orang lelaki memakai 'suit' dan yang perempuan pula memakai cara ajaran Protestan: gaun berlabuh panjang dan baju yang berkolar tinggi, dengan gebar tebal menyangkuti bahu dan 'scarf' ataupun tudung menutupi kepala.


Kalau dunia istana Mqhekezweni berkisar membabitkan putera mahkota, dunia kecilku pula berkisar membabitkan dua anak Putera Mahkota. Yang tuanya ialah seorang lelaki bernama Justice, dan berkemungkinan mewarisi takhta 'Great Palace', sementara yang nombor dua ialah seorang puteri bernama Nomafu. Saya hidup di istana bersama mereka dan diberikan layanan yang serupa. Kami makan hidangan yang sama, memakai pakaian yang serupa dan menjalankan tugas harian yang sama. Tidak lama kemudian kami disertai oleh Nxeko, abang tua kepada Sabata, pewaris takhta istana. Kami berempat dianggap sebagai serangkai 'quartet' diraja. Putera mahkota dan permaisuri baginda No-England telah mendidik saya laksana anak mereka sendiri. Mereka memang risau akan masa depan saya, mendidik dan mendenda dengan penuh semangat kasih sayang. Jongintaba memang tegas orangnya tetapi saya tidak pernah meragukan kasih sayangnya. Mereka memanggil saya 'Tatomkhulu' yang bererti 'Datuk' kerana apabila saya serius, mereka berkata wajah saya laksana muka orang tua.

Justice berusia empat tahun lebih tua dan menjadi idola saya selain mendiang bapa. Saya amat mengkaguminya. Ketika itu dia sudahpun tinggal di Clarkebury, sebuah asrama yang terletak enam puluh batu jauhnya. Berbadan tinggi lampai, tampan dan kacak, dia merupakan ahli sukan yang baik, unggul di balapan dan permainan padang seperti kriket, ragbi dan bolasepak. Sikapnya yang sentiasa ceria, dia mudah bersikap terbuka dan menarik minat dengan suaranya yang lunak dan kepintarannya bertandak. Dia sentiasa digerami peminat wanita, tetapi dicemuh juga oleh pengkritik yang menganggapnya bersifat biang dan 'playboy' yang miang. Justice dan saya bersahabat ikrab, walaupun kami mempunyai watak yang bertentangan. Dia bersifat terbuka sedangkan saya suka berahsia, dia bebas bersuka-ria tetapi saya lekas serius. Dia mudah memahami sesuatu sedangkan saya memerlukan masa memahaminya. Saya menganggapnya seorang muda yang mempunyai segalanya sedangkan itulah perwatakan yang sepatutnya ada pada saya. Walaupun kami dilayan serupa, destini kami memang jauh berbeza. Justice dijangkakan mewarisi salah satu istana ketuanan kaum Thembu yang terkuat, sedangkan saya ditakdirkan mewarisi apa juga yang dikasihani oleh putera mahkota untuk saya.

Setiap hari saya keluar-masuk istana untuk melaksanakan tugas harian saya. Kalau dikenangkan kerja-kerja yang saya laksanakan untuk putera mahkota, yang paling saya minati ialah menseterika pakaiannya, kerana itu saya lakukan dengan penuh hati-hati. Dia memiliki sekitar sedozen pakaian Barat, dan saya kerap menghabiskan masa yang lama-lama untuk menggosok garis kedutan di seluarnya. Istana baginda mengandungi dua buah rumah ala-barat yang berbumbung zink. Pada zaman itu, tidak ramai orang Afrikan yang mempunyai rumah begitu yang menjadi lambang kemewahan. Enam buah rondavel dibina dalam bentuk setengah bulatan memagari istana, Semuanya berlantaikan papan, yang pertama kali saya melihatnya. Putera mahkota bersama isterinya beradu (tidur) di sebuah rondavel, adik kepada permaisuri tidur di rondavel yang di sebelahnya, sementara rondavel yang ketiga dijadikan tempat persiapan masakan. Di bawah lantai pondok kediaman adik permaisuri itu ada satu sarang lebah yang memberikan kami keseronokan mencecah madunya. Sejurus selepas berpindah ke Mqhekezwani putera mahkota dan isterinya berpindah ke 'uxande' (rumah tengah), yang secara automatis menjadi Rumah Besar. Terdapat tiga lagi rondavel yang terbaru dan kecil di situ, satu untuk ibu kepada putera mahkota, satu untuk para pelawat, dan satu lagi untuk dikongsi oleh Justice bersama saya.

Ada dua rukun hidup utama yang menguasai hidup saya di Mqkezweni; ketuanan dan gereja. Dua doktrin ini hidup dalam suasana yang tidak berapa harmoni, walaupun saya tidak pula menganggap keduanya sabagai bertentangan. Kristianiti bukannya setakat satu sistem kepercayaan berbanding kewujudan pengaruh perwatakan Reverand Matyolo. Saya menganggap kehadirannya itu sebagai satu lambang apa juga kebaikan agama Kristian yang didedahkan kepada saya. Dia merupakan insan yang popular dan sama dihormati seperti putera mahkota. Apabila dia dianggap sebagai guru kepada putera mahkota dalam perihal keagamaan, membuatkan dia dihormati dan menghasilkan kesan pengaruhnya terhadap saya. Tetapi, gereja itu memang prihatin dengan dunia ini seperti ia prihatin dengan dunia yang lagi satu; saya mendapati keseluruhan kejayaan Afrika nampaknya disebabkan kegigihan tugas yang dilaksanakan oleh rangkaian Gereja. Sekolah 'mission school' melatih kerani, para penterjemah, dan anggota polis yang pada waktu itu adalah lambang kemuncak aspirasi pribumi Afrika.

Reverand Matyolo adalah seorang yang gempal badannya dan berusia sekitar lima puluhan. Dia memilikki suara yang lantang yang amat baik ketika berdakwah, menyanyi ataupun bermadah. Setiap kali dia berdakwah di sebuah gereja di hujung Mqhekewweni, dewan gereja penuh dengan pendatang yang mahu mendengarnya. Dewan dipenuhi oleh pengikut agamanya sedangkan kaum wanita melutut di lantai mencecah kakinya memohon ampun.. Kisah pertama yang saya dengar mengenainya di Great Place, ialah kisah bagaimana dia menghambat hantu berbahaya dengan berbekalkan Kitab Injil dan satu pelita sebagai senjata. Dakwah 'The Methodism' yang dikembangkan oleh Matyolo adalah daripada ajaran dari corak 'fire-and-brimstone' yang diwarnai sedikit unsur-unsur amalan animisma Afrika. Yang Maha Berkuasa di anggap Bijaksana dan Serbaserbi Berkuasa, tetapi Dia juga adalah Tuhan yang tidak membenarkan setiap kesilapan dibiarkan tanpa hukuman.

Di Qunu, pertama kali saya menghadiri gereja ialah pada hari saya diKristienkan. Agama menjadi satu ritual yang saya anuti kerana ibu saya dan sesuatu yang tidak pula mentaksubkan saya. Tetapi, di Mqhekezweni, agama menjadi sebahagian warna-warni kehidupan dan saya menghadiri himpunan setiap hari Ahad, bersama putera mahkota dan isterinya. Putera mahkota memang serius dengan amalan agamanya. Malahan pernah saya dibalunnya kerana culas menghadiri upacara gereja, semata-mata kerana saya mengambil bahagian berlawan dengan budak lelaki kampung lain. Tuanku menganggap itu sebagai satu dalih yang tidak pernah saya ulangi.

Tetapi itu bukannya merupakan satu deraan kerana cuba melanggari aturan penghormatan terhadap Reverand Matyolo. Pada satu hari, saya telah merangkak memasuki kebun Reverend Matyolo, untuk mencuri jagung yang kemudiannya saya panggang untuk dimakan. Seorang gadis telah melihat perbuatan saya itu dan melaporkan kepada ketua gereja tersebut. Berita itu merebak dengan pantas di kalangan istana sehingga sampai ke telinga permaisuri. Sebelah petang dia menunggu hingga selesai waktu kami beribadat yang merupakan ritual harian kami, dan menyoal saya akan kerja yang tidak senonoh itu. Baginda marahkan saya kerana mencuri sesuatu milik hamba Tuhan yang miskin sambil mengaibkan keluarga. Dia memberitahu kesalahan saya itu akan didera oleh hantu. Saya merasakan betapa malunya yang bercampur baur dengan ketakutan - ketakutan itu adalah disebabkan akan dikenakan balasan daripada Tuhan dan malu kerana saya telah salahgunakan amanah keluarga angkat saya.

....bersambung....