Laman Webantu   KM2A1: 5173 File Size: 9.0 Kb *



TJ SP MGG: Merit Dan Melayu UMNO
By M.G.G. Pillai

7/8/2001 8:10 pm Tue

[Meritokrasi adalah isu yang dirayu oleh Suqiu satu ketika dulu yang ditentang hebat oleh Umno dan Mahathir sehingga dia melabel sebagai ekstrim dan merbahaya. Kini tanpa malu-malu Mahathir menjilat kembali ludahnya setelah menabur beberapa isu kecil VCD lucah dan black metal yang langsung tidak ada kena mengena dengan soal merit sebenarnya. Gejala itu hidup pegawai ugama seperti JAIS sudah diikat kaki dan tangan kerana politik yang menentukan hala ataupun haram.

Tidak ada contoh merit dalam Umno kerana projek dan permit yang diberi tidak berdasarkan kebolehan berniaga tetapi lebih kepada keakraban dengan pihak berkuasa. Mereka inilah yang istimewa sehingga tidak diapa-apakan walaupun telah menjahanamkan sebuah bank milik bumiputra. Kalaulah memang merit polisi Umno Renung tidak akan terhenyak dengan hutang yang menggunung sebegitu rupa sehingga menyauk dana orang tua, memudaratkan ekonomi negara dan tersebar seantero dunia. Jika Mahathir memang berwawasan orang seperti ini tidak layak menerima projek penswastaan kerana menyusahkan negara sahaja. - Editor]


Merit Dan Melayu UMNO

(Merit and the Malay Umno)

Tidak ada yang menyerabuti otak seseorang pemimpin UMNO selain sewaktu dia berada dalam keadaan yang peling tertekan. Tidak kiralah kalau pemimpin itu seorang perdana menteri, seorang ketua bahagian ataupun seorang ketua cawangan di Tumpat. Dia akan mengawal keadaan untuk menyungkupi ketakutannya kepada semua yang ada. Seperti biasa, Mahathir Mohamad adalah ketuanya yang paling pintar dalam muslihat itu. Tidak berapa dulu dia bertegas agar orang Melayu menunjukkan keunggulan mereka di universiti. Jika tidak, mereka tinggal kebelakang, seperti yang dikatakannya sedang berlaku kini. Inilah katanya kesan keistimewaan yang diberikan kepada pelajar Melayu. Sekarang ini penguat-kuasaan merit ataupun meritokrasi sahaja yang akan menyelamatkan pelajar Melayu. Beberapa perkara kecilan ditarik masuk untuk membesarkan keadaan: Blackmetal, penyembahan hantu dan syaitan di kalangan pelajar, VCD porno dan apa juga yang dapat memperkasakan satu kisah yang memang tidak ada asasnya.

Secara tiba-tiba soal meritokrasi ataupun merit menjadi topik hangat sebagai satu reaksi mendadak terhadap keresahan pelajar di kampus. Soalnya sekarang perkara in tidak dinilai seperti yang sepatutnya. Kerajaan terlalu ghairah mahu meminda perundangan sebaik sahaja Parlimen bersidang pada bulan Oktober untuk mempastikan semua pelajar universiti dan para pensyarah menandatangani perjanjian bahawa mereka tidak terlibat dengan kegiatan anti-kerajaan ketika berada dalam kampus. Mahathir telah mengemukakan cadangan ini dengan cantik sekali: "kalau pelajar tidak mahu belajar, kita tidak mengambil mereka memasuki universiti." Menteri Pendidikan telah menambah pula: 'Adalah penting agar semua pelajar diberikan ingatan yang tegas kerana mengangkat sumpah setia tidak dikira memadai lagi. Kita perlukan satu perjanjian.' Apabila kita ambil kira gelagat kerajaan yang mudah melupakan perjanjiannya dan segala kontrak yang termetrai - Kerajaan Terengganu boleh memberikan satu contoh yang jelas - berapa seriuskah kerajaan dalam segala bentuk perjanjiannya?

Sudah tentu para pemukul canang regim ini akan berserabut otak mereka memikirkan cara untuk menjalankan peranan. Seorang naib presiden UMNO yang merupakan mantan menteri besar Selangor adalah satu contoh apa ertinya merit UMNO selama ini. Tan Sri Muhammad Taib telah ditahan di Darwin dengan matawang luar negara yang bernilai beberapa juta ringgit yang tidakpun mampu diperjelaskan bagaimana boleh berada dalam simpanannya. Namun, dia mempunyai merit untuk terus berada di tahap atasan UMNO walaupun sebelah kepaknya sudah terkehel. Pihak berkuasa tempatan tidakpun bertindak terhadapnya (mungkin kerana sebelah kepak terkehel juga). Dia mengimpikan jawatan perdana menteri satu hari nanti. Memang tidak perlu disangsikan, beliau mempunyai segala keupayaan dan kelulusannya. Kerana itu dia semakin percaya bahawa kemasukan di universiti seharusnya ditapis agar siswa-siswi Melayu ditapis dulu supaya mereka tidak 'memasukki universiti untuk menjuarai perjuangan PAS'.

Jka demikian, masih ada satu jalan yang paling mudah sekali: tentukan setiap anak Melayu yang memasuki universiti disekat kecuali dia menunjukkan kad keahlian UMNO kerana mengikut konteks masakini, merit adalah bersamaan dengan keanggotaan UMNO yang diperakukan dengan kad keahlian. Oleh kerana kerajaan semakin yakin bahawa Malaysia akan menjadi negara bertaraf gred empat di kalangan dunia ketiga, setidak-tidaknya ia diselamatkan daripada kesibukan mengnyahkan pelajar universiti yang akan menentangnya. Lagipun kerajaan masih tidak faham kenapa pelajar universiti akan memberontak, kerana tahap pendidikan yang akan diterimanya untuk menjadi penjual mi siam, pemandu dan peon sahaja.

Begitulah caranya merit yang ditunjukkan oleh Rafidah Aziz ketika membuat ketentuan agar menantunya menerima AP (Approval Permit - penterjemah) yang lumayan tanpa perlu sebarang merit selain mengahwini anak permpuannya. Sedangkan Rafidah semakin lantang menonjolkan tema merit itu sebagai lambang '...yang akan membuktikan betapa orang Melayu mampu bersaing dengan orang lain tanpa hak keistimewaan.....' katanya. 'Kenapakah kita tidak mampu bersaing dengan yang terbaik?' soal Rafidah sambil menyebut betapa kebanyakan pemimpin Melayu naik melalu merit. Mungkin Rafidah mahu memberitahu kita berapa ramaikah pemimpin Melayu yang ada kini yang naik mencanak melalui unsur-unsur merit dan mengamalkan apa yang dikhutbah selalu dan bertegas agar anak-anak mereka tidak menerima biasiswa kerajaan apabila mereka tidak mendapat markah yang cemerlang sebagai syarat kelayakannya.

Ketua Menteri Melaka Ali Rustam berkata bahawa konsep merit adalah satu kejutan untuk menyedarkan orang Melayu setelah 30 tahun dimanjakan oleh dasar DEB. MP Tambun, Ahmad Husni Hanadzlah telah berkata orang Melayu seharusnya menganggap merit sebagai satu cabaran untuk mengekalkan masa depan dan kepentingan mereka.

Seperi biasa oleh kerana terlalu ghairah, parti pembangkang - Keadilan dan PAS telah tersilap langkap sehingga mengaibkan diri sendiri. Namun, presiden PAS, Dato' Fadzil Nor telah menyatakan sesuatu yang menyedarkan bahawa apa yang sebenarnya mahu dikuatkuasakan oleh Mahathir terhadap orang Melayu adalah sama dengan apa yang pernah diminta melalui rayuan khas oleh Suqui (NGO) untuk rakyat Malaysia. Itulah tuntutan Suqui yang didedahkan oleh Mahathir sehingga mencetuskan kejantanan Pemuda UMNO (sehingga berkokok atas pagar - penterjemah) menuntut agar Suqui menarik-balik rayuan mereka. UMNO seharusnya lebih telus dan berterus-terang mengenai perkara ini daripada bersikap mengugut orang Melayu untuk menarik-balik kuota pendidikan yang termaktub dalam perlembagaan. Anak-anak Melayu luar bandar datang daripada keluarga yang miskin dan tidak mampu menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan tuisyen ataupun kelas tambahan. Pelajar di bandar-bandar menunjukkan pencapaian yang lebih cemerlang.

Tidak ada sesiapapun yang menangani perkara ini dengan jelasnya ataupun cadangan itu akan merobah sistem pendidikan negara ini. Keseluruhan asas masyarakat Malaysia adalah bersendikan keistimewaan dan peruntukan istimewa yang khas. Alangkah menariknya ketika Mahathir meraungkan perkataan meritokrasi, ketika setiap seorang peniaga pilihannya yang dipilih dulu bukannya berasaskan meritokrasi ataupun kebijaksanaan berniaga tetapi; berasaskan keakraban mereka kepada pihak yang memegang kuasa, sedang tercungap bila berdiri dan melutut terhenyak apabila mahu duduk.

Penswastaan yang terbesar, Renong dan UEM - melutut secara mengaibkan. Bagaimanakah sebuah kerajaan yang kini yakin akan ketegasannya - demikianlah perkataan yang mereka mahu kita mempercayainya - membenarkan dua syarikat ini menimbunkan hutang bertapuk sehingga bernilai RM30 bilion ringgit? Semua ini membawa kita kepada satu rumusan yang tidak boleh dielakkan: segala minat mendadak terhadap istilah-kata 'meritokrasi' dan pengamalannya adalah satu bahasa halus yang menggantikan apa juga perkataan yang membawa maksud bahawa seseorang Melayu itu seharusnya menjadi ahli UMNO seandainya dia berhajat mahu terus bernafas di bawah pancaran mentari Malaysia. Jika tidak, segala kekalutan dan serangan yang bertubi-tubi sekarang ini tidak akan membawa sebarang makna.

M.G.G. Pillai
pillai@mg.pc.my