Laman Webantu   KM2A1: 5181 File Size: 8.0 Kb *



BKAdil: Phoolan Devi: Tamatnya Riwayat Seorang Ratu
By BKAdil

8/8/2001 8:58 pm Wed

[Phoolan Devi adalah simbol satu perjuangan yang tidak mengenal henti walaupun asyik ditusuk duri atau diaibkan dengan begitu teruk sekali. Tiada siapa menghormatinya melainkan golongan tertindas yang diwakilinya. Tetapi kini semua mengkagumi kegigihannya itu kerana dia mampu menggemparkan cengkaman politik dan kasta di negara India dengan berbekal satu semangat yang tidak gentar. Kesannya seluruh benua India dan dunia bergegar.....

Tentu ada sebabnya kerajaan tidak membicarakan Phoolan Devi kerana itu akan menelanjangkan kerajaan sebenarnya - bukannya Phoolan Devi. Jika BN mahu membela kaum wanita di negara ini ia sepatutnya memburu dan menghukum inspektor Dayang yang membogelkan Norazimah tempoh hari. Mengapa Wanita Umno dan Puteri-puterinya itu menyepi sahaja? Apa yang berlaku di negara India itu sudah banyak yang muncul di negara ini tanpa adanya satu siasatan dan pengadilan yang boleh dipercayai. Apakah kerajaan mahu kaum wanita negara ini melunaskan 'dendam' sendiri seperti Phoolan Devi? - Editor]



http://berita-keadilan.net/bmelayu/berita/080801poolandevi.htm


Phoolan Devi: Tamatnya riwayat seorang ratu

Pertama kali mendengar nama Poolan Devi atau sinonim dengan gelaran Bandit Queen ketika saya, mengikuti kursus penulisan skrip filem di Finas pada tahun 1996.

Filem Bandit Queen, arahan Shekhar Kapoor yang diadaptasi dari novel tulisan Mala Sen itu, cuba memaparkan kekejaman yang dilakukan oleh golongan kasta tinggi terhadap golongan minoriti berkasta rendah di India.

Paling meruntun hati sesiapa yang berkesempatan menonton filem Bandit Queen ini, ialah adegan bagaimana seorang wanita bernama Poolan Devi dikurung beberapa minggu, dipukul dan dirogol secara bergilir-gilir di kalangan lelaki berkasta tinggi. Tidak cukup dengan adegan memuaskan nafsu itu, beliau diikat dan dibogelkan di khalayak ramai di perkampungan Behmai di Uttar Pradesh.

Saya tidak berminat untuk menceritakan apa yang telah di "point of view" oleh Shekhar Kapoor dalam layar putihnya, sehingga filem ini menimbulkan kontroversi di India walaupun berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik dalam Festival Filem India (IFFI) 1996.

Saya akui bahawa adegan-adegan yang dipaparkan dalam filem Bandit Queen sungguh menakutkan dan mendebarkan, daripada lakonan berkesan oleh pelakon Seema Biswas yang memegang watak Poolan Devi. Maka itu saya tidak hairan, jika filem ini diharamkan penayangannya di Malaysia kerana spesifikasi filem ini menjurus (18SX). Malah jauh sekali untuk saya menceritakan detik akhir kehidupan beliau sebelum ditembak mati di hadapan rumahnya di New Delhi pada 25 Julai lalu. Maka itu berakhirlah riwayat Bandit Queen!

Cuma disebalik kisah benar Poolan Devi itu, dapat saya kutip moral cerita yang patut direnungi semua gadis dan wanita tidak mengira, bangsa dan agama seluruh dunia.

Jika golongan wanita mengenali dan menyanjungi Ratu Elizabeth kerana kuasanya, Lady Diana kerana kecantikannya, Mother Theresa kerana sifat keibuannya, tidak keterlaluan untuk saya katakan; Phoolan Devi disanjung kerana maruahnya.

Jika tangan yang menghayun buaian bisa menggoncang dunia, begitulah apa yang telah dilakukan oleh Poolan Devi sehingga beliau dinobatkan di kalangan masyarakat India sebagai "Bandit Queen" yang bermaksud "Ratu Pengganas".

Poolan Devi dan "perjuangan menuntut bela" untuk diri dan kasta, sebenarnya telah mencatatkan sejarah India sekaligus dunia. Ganasnya Poolan Devi kerana maruah wanita dipijak-pijak; ditindas sesuka hati; dianiaya tanpa belas; ditinggalkan tanpa kasihan; diperkudakan tanpa sifat kemanusiaan. Kesabaran wanita ada hadnya, amarah dan dendam wanita membawa padah akhirnya! Itulah Poolan Devi.

Poolan Devi yang berkahwin tanpa rela ketika usia 11 tahun kerana dijual oleh bapanya; pernah diculik satu kumpulan penjenayah bersenjata; dilatih menjadi penganas; kemudian diculik kali kedua; berlakulah peristiwa rogol bergilir; dan dibogelkan di khalayak.

Pada 1983 beliau menghadapi 57 dakwaan membunuh dan mengganas kerana telah menembak mati 22 lelaki yang merogolnya. Beliau kemudian telah merengkok dalam penjara selama 11 tahun tanpa dibicarakan di Penjara Pusat Gwalior di Madhya Pradesh sebelum dibebaskan pada tahun 1995.

Bukan tujuan penulisan untuk provokasi dengan mengaitkan situasi yang berlaku di negara ini, jauh sekali membayangkan sesuatu yang buruk. Namun beberapa peristiwa yang di luar dugaan telahpun berlaku dalam negara ini, terhadap golongan wanita dalam sebuah masyarakat yang mengakui sudah maju dan merdeka.

Pasti ada suara sumbang akan berkata: "Itu di India bukan di Malaysia!" Mungkin ramai beranggap perbandingan yang dibuat agak melampau, berbanding nasib dan masa depan golongan wanita di Malaysia?

Ada benarnya pernyataan itu! Tapi saya melihat kepada semangat untuk menebus maruah yang digenggam Poolan Devi sehingga meletakkan dirinya sebagai Ahli Parlimen Mirzapur dari parti Samajwadi yang mewakili golongan kasta rendah di India ini patut dibanggakan. Itulah perjuangan!

Telah tercatat peristiwa penting dalam perjuangan parti Keadilan kisah Norazimah Hassan ibu beranak lima dengan sengaja telah dibogelkan di hadapan 12 orang tahanan lain di sebuah lokap empat bulan lalu. Begitu juga dengan kisah sedih yang mengundang polemik parti politik antara BA dan BN kisah kes rogol dan bunuh, Nur Suzaily Mokhtar apabila mayatnya dicampakkan ke semak dalam keadaan bogel. Dua kejadian yang mengaibkan golongan wanita menggugat perasaan dan kengerian, sekiranya saya di tempat mereka!

Dari rentetan peristiwa yang dilalui Poolan Devi, salah satu persamaan yang hampir dapat saya kutip dan dijadikan perbandingan perihal kisah "wanita yang dibogelkan di khalayak" yang telahpun berlaku di negara ini.

Apa yang memilukan saya, ibu ini telah dipaksa berbogel oleh seorang inspektor polis wanita! Wanita menganiayai wanita... perkara sebegini tidak seharusnya berlaku! Tiada persatuan wanita yang tampil untuk bersama membela nasib ibu dan gadis ini melainkan parti pembangkang dan beberapa NGO yang pro pembangkang saja yang bersimpati.

Walaupun kabinet BN telah mengwujudkan portfolio baru Menteri Hal Ehwal Wanita kini diterajui Datuk Shahrizat Jalil, kebetulan selepas peristiwa Noorsuzaily itu, malang sekali Shahrizat tidak langsung berminat atau berani membangkitkan isu "dibogelkan" sebagai satu penganiayaan serius terhadap golongan wanita di negara ini.

Apakah isu-isu yang membabitkan golongan wanita, perlu dibatasi dengan fahaman politik sempit di kalangan pemimpin atasan negara? Alangkah baiknya Shahrizat memikirkan bahawa maruah wanita itu bersifat universal merangkumi semua aspek kehidupan dan persekitarannya.

Usahlah memikirkan siapa sokong siapa, kuasa di tangan siapa, yang pasti biarlah maruah dan keadilan terhadap golongan wanita terbela dan terpilihara daripada apa juga bentuk penindasan lahiriah atau zahiriah yang dilakukan golongan lelaki atau mereka yang memegang kuasa.

Jika Poolan Devi termakan janji manis pihak pemerintah sehingga sanggup menyerah diri dan dipenjara selama 11 tahun tanpa bicara, setidak-tidaknya beliau telah menelempiaskan amarah dan dendamnya dengan menyaksikan kematian para perogolnya. Namun tiada bezanya dengan nasib yang menimpa Norazimah dan Nur Suzaily, mereka wanita Islam! Langsung tidak terbela untuk selamanya... jauh sekali berpeluang membalas dendam!

Shahrizat seharusnya menjadi menteri wanita yang tulin. Bangkitlah Shahrizat demi maruah wanita!