Laman Webantu   KM2A1: 5187 File Size: 4.7 Kb *



Pembangkang Bagai Si Buta Berbini Cantik?
By MSuri

9/8/2001 10:34 am Thu

Urutan peristiwa mutakhir ini mencuit minda kita. Mahathir seperti menguji reaksi rakyat secara berdikit dengan mematahkan sayap pemuda parti keADILan terlebih dahulu pada April lalu dengan tuduhan luarbiasa ingin menumbangkan kerajaan dengan bom dan grened. Kini sudah 4 bulan berlalu jangankan bom, grened pun tidak ada dan tidak seorang pun didakwa. Ini menunjukkan Mahathir dan polis mengada-ngada sesuatu yang tidak ada untuk mengaibkan lawan.

Sekarang musim mematahkan kepak parti PAS pula. Sekali lagi polis digunakan untuk menyumbat lawan dengan tuduhan luarbiasa juga tanpa perlu mempamirkan bukti dan tanpa dibicarakan. Jika kita mengikuti perkembangan isu nampak jelas semua ini sudah dirancang terlebih dahulu agar PAS menjadi buntu dan masyarakat Cina tidak menyokong parti itu:

1 - Isu Negara Islam kembali ditimbulkan

2 - Ceramah sudah tidak dibenarkan

3 - Penangkapan Nik Adli Nik Aziz

Ada penulis melahirkan kebimbangan PAS mungkin akan diharamkan terus kerana amat mengancam UMNO. Ini serba mungkin jika PAS tetap hidup walaupun cuba disekat dan diaib dengan pelbagai cara.


Walaupun begitu ada banyak perkembangan lain yang menyebelahi pecinta keadilan di negara ini. Tetapi ia perlu dikejar sebelum semuanya lari kerana Mahathir semakin menutup ruang sekarang ini.

1 - Hakim Dzaiddin sendiri sudi mendengar kes habeaus corpus tahanan ISA dan mengizinkan peguam berkenaan membela. Sekaligus ini melebamkan polis, Mahathir, Dollah Badawi dan Rais Yatim.

2 - Suhakam tampil dengan lapuran yang panjang lebar menyeru kerajaan agar menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara kerana itu dizinkan oleh Artikel 10 Perlembagaan. Professor Hamdan Adnan telah menempelak kerajaan kerana menolak terus saranan Suhakam tanpa membacanya terlebih dulu.

3 - Anwar akan mencabar kerajaan Malaysia kerana menafikan haknya sebagai pesakit. Ini pastinya akan membuat senario politik negara kembali bergegar.

4 - Ekonomi amat tidak memberangsangkan ketika ini kerana lapuran terbaru IPI menunjukkan Malaysia merosot lebih teruk daripada jangkaan. Sebarang kesilapan Mahathir dalam menangani kegetiran ekonomi ini bakal mengundang kecaman dari akarumbi dan kroni UMNO sendiri yang kini sedang tersepit wang. Mahathir tidak akan mampu melayan semua yang meminta itu kerana sudah tiada dana untuk melancarkan projek baru agar mereka kekenyangan.

5 - Tidak ada tanda Mahathir akan berhenti menuduh bukan-bukan dan menindas pembangkang serta menangkap orang. Dia telah membelakangkan keputusan hakim Hishamuddin dan saranan Suhakam. Dengan ceramah tidak dibenarkan ini menunjukkan Mahathir sudah semakin lemah dan gagal untuk menangkis hujah pembangkang.

6 - Negara kita semakin dibanjiri masalah sosial dan penyakit masyarakat yang pelik-pelik yang akan menimbulkan kemarahan semua pihak termasuk penyokong totok UMNO selama ini. Inilah akibatnya bila ajaran sesat seperti Astora Jebat dan Kassim Ahmad diberi laluan tanpa batasan tetapi pegawai pencegah maksiat dan mufti diikat tangan. Apabila pelajar sudah rosak ramai ibu dan bapa akan merasa tertekan dan membuak dengan kemarahan.

7 - Laman Detik Daily melapurkan kebangkitan sasterawan negara untuk membela anak bangsa dengan penerbitan antologi karya yang amat tajam isinya menyanggah kezaliman UMNO. Ini dijangka akan menjentik ramai untuk bangun memperjuangkan maruah bangsa yang diperkosa oleh pemimpin UMNO.

8 - Megawati telah mengarahkan agar Tommy Suharto ditangkap kerana terbabit dalam jenayah membunuh hakim yang mengadili beliau. Polis Indonesia telah menemui senjata dan peluru di dalam rumah rakan Tommy. Jika Tommy dapat ditangkap dan dibicarakan semua rahsia dijangka akan terbongkar termasuk rakan Tommy di dalam UMNO yang kini sedang meratah wang dan projek di Malaysia. Kita pasti mereka akan menggeletar lutut nanti kerana semua kepincangan akan terbogel satu persatu.


Ada satu rencana yang menyebut perkara ini yang telah diterjemahkan oleh MT satu ketika dulu:

[KM2 4052 TAG MT 60: Hubungan Urusniaga Keluarga Suharto di Malaysia - Michael Backman]

Barangkali kerana itulah kerajaan agak bimbang perkembangan terbaru di Indonesia sekarang. Ia akan terpercik ke Malaysia kerana kroni di sana mempunyai jalinan yang intim dengan kroni di sini.