Laman Webantu   KM2A1: 5189 File Size: 5.5 Kb *



TAG SP 243: Rancangan Untuk Mengharamkan PAS?
By eS

9/8/2001 5:30 pm Thu

[Mahathir mengatakan beliau mempunyai cukup bukti terhadap anak TG Nik Aziz tetapi kenapa tidak dikemukakan sahaja bukti itu? Sebaliknya beliau ditangkap melalui ISA dulu seperti Anwar - sekaligus membayangkan bukti itu terlalu samar.

Kalaulah benar ahli KMM melakukan pembunuhan dan rompakkan bank itu tidak bermakna ketua KMM turut terbabit kerana ada kemungkinan SB sendiri menyelinap dalam KMM sebagai pengintip tidur (sleeping spy) untuk mengenakan Nik Adli. Kerajaan perlu membuktikan Nik merestui semua ini tanpa diragui. Sebab itulah ISA digunakan agar dapat dicipta beberapa bukti.

Kerajaan sepatutnya mendedahkan tunjang tubuh (dasar) KMM itu terlebih dahulu sebelum bertindak menangkap tidak menentu. Menyalahkan pemimpin kerana ahli yang menyeleweng (jika benar) adalah amat tidak patut kerana polis dan askar sendiri terbabit dalam jenayah terancang di negara ini. Semakin lambat kerajaan tampil dengan bukti semakin lemahlah sangkalan kerajaan itu. Oleh kerana isu negara Islam baru berlalu dan ceramah tidak dibenarkan baru-baru ini, nampak benar kerajaan seperti merancang untuk membunuh PAS jika perlu.
- Editor
]


Rancangan Untuk Mengharamkan PAS?

Oleh: eS


Ramai di Malaysia yang cenderung untuk mempercayai bahawa Malaysia sepatutnya mencontohi Turki, sebuah 'negara sekular' yang ideal. Agama tidak patut dicampuradukkan dengan politik, kata mereka. (saya harap mereka juga tidak akan mencampuradukkan politik dengan agama). Namun selepas beberapa tahun, apa yang kita lihat adalah peningkatan di dalam kesedaran agama di kalangan penduduk kita. Saya mempertikaikan beberapa hari yang lalu bahawa ini hanyalah sesuatu yang sementara.

Walau bagaimanapun, saya merasa amat bimbang pada hari ini, membaca tulisan saudara Ahmad Abdullah. Beliau menulis dari Turki seperti berikut :

'Pas dan parti-parti pembangkang dapat terus hidup disebabkan demokrasi liberal kami. Barangkali, kita perlu mempertimbangkan semula atau adalah lebih baik untuk kita mengamalkan pada dasarnya demokrasi ala Malaysia, dengan beberapa pengubahsuaian kepada tradisi liberal yang sedia ada, seperti demokrasi terpimpin di Hong Kong dan Singapura.'

Saya tidak begitu pasti tentang apa yang dimaksudkannya, kerana, seperti yang kita sedia maklum, kita sudahpun berada di dalam satu sistem demokrasi tidak liberal. Adakah beliau membayangkan bahawa kita perlu terus dinafikan saki-baki yang tinggal sedikit sahaja itu? Saya bimbang sesuatu yang lebih teruk dari itu. Oh ya, tentera Turki telah menggulingkan kerajaan pimpinan Islam pada tahun 1997, dan kemudian, terus mengharamkan parti Islam; ia juga menghalang pemimpin Islam, Erbakan yang berkarisma, dari bertanding di dalam pilihan raya Turki selama 5 tahun.

Mengkaji dari sudut pandangan itu, apakah yang cuba disampaikan oleh Encik Ahmad Abdullah? Haramkan PAS? Sumbatkan para pemimpinnya ke dalam penjara?

Beberapa hari yang lalu, beberapa orang aktivis PAS - termasuk anak lelaki Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan - telah ditahan di bawah Akta Drakonian ISA (yang membenarkan penahanan tanpa bicara). Dikatakan bahawa mereka mempunyai kaitan dengan KMM, sebuah kumpulan militan, yang kewujudannya masih belum dapat dibuktikan sehingga kini. Dr. Mahathir, walau bagaimanapun, kelihatan begitu berminat sekali dengan isu ini, diperlihatkan pada hari ini bahawa beliau mempunyai bukti penglibatan Nik Adli dalam gerakan militan. Semoga, harapan kita, bukti tersebut bukanlah sepertimana bukti yang pernah beliau kemukakan untuk mensabitkan kesalahan Anwar Ibrahim.

Apa juga yang ada (atau mungkin ada) dalam fikiran Dr.M, jangan sekali-kali kita lupa tentang nasib yang menimpa Turki. Di sebalik semua kelebihan yang ketara itu, Turki masih dilanda masalah - korup, tidak liberal dan ekonomi yang tidak menentu. Apa juga yang telah dilakukan oleh parti Islam, mereka memang telah berusaha untuk menghapuskan korupsi, dan ramai yang mengatakan, pemerintahan mereka adalah agak memuaskan - jauh lebih baik, sudah tentu, dari kerajaan-kerajaan yang muncul selepas itu. Tetapi, malangnya, pihak militari (tentera) membuat keputusan untuk mengharamkan parti tersebut kerana memberikan kebebasan memilih kepada para wanita di dalam isu memakai tudung.

Kembali semula ke Malaysia. Kita masih tidak pasti sekiranya kumpulan militan memang sedang merancang untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih; sekalipun jika perkara ini memang wujud, tidak dapat pula dipastikan jika mereka benar-benar merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara. Merompak bank dan membunuh seorang wakil rakyat, pada pandangan saya, tidak merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara. Mereka yang terlibat di dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti itu perlu diambil tindakan seperti yang sewajarnya; ini merupakan jenayah-jenayah biasa, dan patut didakwa di mahkamah yang terbuka, dan diaibkan. Menganggap mereka sebagai militan pelampau agama akan membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan, mewujudkan militan masa hadapan yang berazam untuk menunaikan 'suruhan' tuhan.


Terjemahan: SPAR