Laman Webantu   KM2A1: 5195 File Size: 14.9 Kb *



TSG 9: 4C - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India
By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali

10/8/2001 4:28 pm Fri

[Rupa-rupanya anak penyangak itu selalunya penyangak juga. Mayadin berpura baik itu ada muslihat rupanya. Dia mahu mencuri bila ibu dan bapa Phoolan tiada. Apa yang menariknya semua orang kampung tidak berani menolong Phoolan memperjuangkan haknya - sebaliknya mereka tertawa pula. Orang kampung itu sudahpun dibeli maruah mereka dengan wang dan imbuhan. Beginilah apa turut berlaku dalam masyarakat kita hari ini di mana ketua masyarakat atau jabatan kerajaan selalunya disogokkan agar si pencuri dapat menyauk dengan tiada siapa pun menghalang. Kes Daim-Datuk Harun dan pengondolan balak yang rakus di Pahang itu bolehlah diambil misalan. Tetapi berapa keratkan rakyat negara ini yang bangun membantah seperti Phoolan?

Kisah dalam bab ini harus dijadikan teladan bagaimana seorang kanak-kanak kecil memperjuangkan haknya hingga keakhir tenaganya walaupun dia tahu dia mungkin menempa kegagalan. Sebenarnya dalam perjuangan menang atau kalah dalam pertempuran itu tidak penting. Yang penting apakah kita sudahpun berjuang ... kerana ada banyak mata hati yang memandang. Di sinilah kita sebenarnya berperang kerana ia lebih tajam dan berkesan. - Editor]


Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India

(I, Phoolan: the autobiography of India's bandit queen)

Oleh: Marie-Therese Cuny dan Paul Rambali

BAB 4



Bab 4 C


Fajar baru sudah tiba, bintang yang berkerlipan di malam hari sudah hilang entah ke mana. Tiba-tiba mataku terbuka sambil aku terbaring di atas khat bersama Choti di bahagian terbuka dalam rumah. Aku terkejut mendengar bunyi sayup-sayup hayunan kapak ke arah sesuatu yang keras, membelah kayu mungkin. Bunyi hayunan itu terus kedengaran dan berurutan, tetapi dari manakah datangnya? Aku tutup mataku dengan penuh kerunsingan dan mengejutkan Choti untuk turut mendengarnya.


"Bangun Choti, ada orang menebang pokok."

"Jadi?"

"Pokok neem kita...mesti ada orang yang menebangnya."

"Kenapa mereka tebang? Apakah ayah menyuruh orang menebangnya?"

"Ahhh....ayuh.!"

"Akak gila ke? Kalau kita keluar rumah waktu ni... nanti ada orang yang akan kacau kita...!"

Kami telah dibiarkan tinggal sendirian di rumah. Ibu berada di rumah adik beradiknya di kampung mereka. Ibu pergi bersama Rukmini untuk mengatur upacara perkahwinanku, agaknya. Ayah sedang berkerja di hulu sungai. Dia berkata akan berada di kampung itu selama enam hari. Pada kali itu dia membuat tembok telaga seorang kaya di halaman rumahnya. Namun, aku sudah lupa mengira berapa hari lagi ayah akan pulang. Kerana itu aku tidak fikir kayu yang dikapak itu adalah pokok neem kesayangan kami. Akupun cuba tidur semula kerana pagi itu masih terlalu awal untuk pergi ke telaga ataupun membuat sebarang kerja. Namun, aku tidak boleh tidur lagi, memikirkan pokok kesayangan yang tinggi itu dan kalau-kalau batangnya dibaham kapak yang masih berbunyi.

Apabila terlihat pancaran mentari pagi, aku cuit Choti untuk pergi sambil menyarung baju menutupi pakaian tidurku.

"Mari Choti, kita mesti tengok apa yang terjadi!"

Kami berlari meredah kampung sambil menggesel dinding rumah orang dan melangkah longkang menuju satu kawasan tanah mencari batas tanaman ayah yang dinaungi pokok yang tinggi. Tetapi, pokok itu sudah tidak ada lagi! Kawasan itu dipenuhi satu kumpulan pekerja lelaki yang sibuk mengangkut kabung kayu yang merupakan pokok neem kesayangan kami yang sudah dikerat-kerat. Mereka mengangkat dan menyusunnya dalam satu 'wagon' yang ditarik oleh traktor. Di sebelah traktor itu ada satu kereta lembu yang dicat berwarna-warni. Lembu penariknya dihiasi perhiasan perak pada tali pengekangnya. Aku tahu kereta lembu itu adalah milik Mayadin.

Mana perginya pokok kesayanganku? Mana perginya raja segala pokok di situ?

Batang pokok itu ada dalam kereta lembu Mayadin, dipotong-potong. Mereka sudah membunuh pokok itu. Rupanya itulah bunyi kapak yang aku dengar malam itu. Aku terlihat hati batang pokok yang berwarna ungu mengeluarkan getahnya, seolah-olah menanggung luka yang terlalu berat. Dahan yang besar-besar sedang dikerat-kerat menggunakan mesin berantai, untuk diangkut dan dijual. Hatiku naik marah seolah-olah ada yang membalunnya. Aku dapat rasakan betapa semangat kemarahan itu sedang memuncak, membuak-buak. Mayadin sudah berbohong! Anak gampang bapaknya ini tidakpun mahu menolong kami. Dia telah menunggu ayah tidak ada di rumah untuk mencuri pokok kami. Dia telah menebangnya pada waktu malam laksana seorang pencuri. Sedangkan ini juga bedebahnya yang telah merapatkan dua telapak tanganya dengan penuh hormat berkata kepada ayah: "Tebanglah pokok itu, Chacha, dan juallah." Senyumannya itu memanglah senyuman seorang penyamun besar, rupanya.


Tanah sekangkang kera itu merupakan tanah yang kami miliki. Itu sahaja tanah kami dan pokok yang ditanam di situ adalah milik kami yang mutlak. Aku terpaku melihatkan pokok kami diangkut oleh traktor, tetapi melihatkan Mayadin di atas kereta-lembunya yang mahal itu, aku naik angin dan marahpun naik bukan main. Mayadin menaiki keretanya sambil berpakaian dhoti yang terkulai antara lutut dan kurta yang diperbuat daripada kain sutera yang tertutup rapat sehingga ditutup butang di bahagian lehernya. Aku marah kerana dia tidakpun mengotorkan tangannya. Tetapi pokok kayu aku itu sudah pun mati dengan darahnya mencurah ke bumi. Aku melompat naik ke atas kereta lembu itu dan menarik tali pengekang yang menyentap hidung lembu.

"Penyamun!" kataku. "Berikan balik pokok kami."

Mayadin cuba menghayun pelibas untuk memukulku. Tetapi aku tidak juga lepaskan tali pengekang itu. Hidung lembu adalah bahagian yang paling sensitif. Kerana itu haiwan itu mendengus kesakitan dan biji matanya berputar-putar kerana menanggung kesakitan yang amat sangat apabila aku terus berpegang kepada tali pengekang dan menendang kakinya. Lembu merasakan kesakitannya tetapi aku naik marah kepada tuannya.

"Kamu tidak boleh ambil kayu ini. Aku tidak merelakannya!"

Mayadin terus menghayunkan tali pelibas bertalu-talu kepada aku. Semakin kuat hayunannya semakin keras libasannya. Dia telah menjadi takut kalau-kalau aku akan mengoyakkan hidung lembunya sehinggakan haiwan itu dapat dilepaskan tali pengekang dan cabut lari. Aku tidak mahu melepaskan tali itu walaupun libasan Mayadin semakin menjadi, memberi keperitan kepada tangan dan kaki, dan mengenai juga bahagian belakang, telinga dan kepala. Aku sudah tidak nampak dengan jelas lagi kerana darah yang mengalir pada mataku. Namun, aku masih teguh memegang tali pengekang lembu.

"Aku tidak akan merelakan kamu mengambil kayu ini!"

Choti sudah lari jauh apabila melihatkan aku menunggang bahagian hidung lembu. Aku dapat melihat dia meraung meminta tolong pada orang kampung. "Tolong..... tolong.... kakak.....mari..tolong dia..."

Semua orang kampung keluar, tetapi bukannya untuk menolong. Mereka ketawa melihatkan perangaiku ketika itu, seolah-olah sedang menyaksikan satu pertunjukan. Aku terdengar laungan seorang kampung yang berkata: "Budak gila tu, mampu menahan kereta lembu Mayadin!!"

Apabila dia sedar bahawa aku tidak mahu melepaskan pegangan tanganku itu, Mayadin sedar dia tidak boleh meneruskan perjalanan lembunya. Dia meneriak nama tukang pukulnya. Empat orang lelaki muncul untuk membaham badanku. Ada yang menumbuk ada yang menendang dan ada yang memukul aku, namun aku tidak lepaskan tali kekang yang memaut hidung lembu.


Kerana kepenatan aku terlepaskan tali pegangan itu dan pada waktu yang sama aku telah ditangkap oleh seorang lelaki yang berbadan besar. Dia telah memusingkan badanku dan menghumbanku ke bumi. Tetapi, aku tidak mengalah dengan mudah. Melihatkan Mayadin cuba melepaskan keretanya dari situ, aku berlari memaut roda besar kereta lembu itu sambil terus menjerit memakinya. Mayadin tahu kalau dia teruskan juga pergerakan kereta itu, roda yang besar itu akan memutar ke bawah membawa badanku sama untuk dipenyetkannya. Mayadin termangu kerana melihatkan ratusan mata yang memerhatikannya. Hampir separuh penduduk kampung yang berada di situ.


"Itu pokok kami! Kamu memang pencuri!"

Aku sempat menarik kurta yang dipakainya sehigga tercarik kainnya, dan sempat juga melihat matanya menyala kerana terlalu malu dan marah menggila. Beberapa tangan yang tegap telah menangkap pakaianku dan berjaya merangkul badanku tanpa mahu melepaskannya lagi. Aku tersedak dan marahku itu adalah disebabkan perasaan yang membuak. Tangan-tangan yang mencekikku tersus memaut badanku tanpa mahu melepaskannya walaupun aku terus terbatuk dan tersedak. Aku tidak mampu lagi melihatkan orang-orang Mayadin mengangkat kayu-kayu yang telah dikerat itu memenuhi keretanya.

"Jangan ambil...itu adalah kayu kepunyaan ayahku...!"


Orang yang memegang badanku masih juga memaut pelukannya. "Tuhan sahaja yang tahu apa jenis betina ni.." jeritnya. Aku gigit tangannya dan meludahkan darah yang mengalir ke atas debu jalan. Dia melepaskan aku sambil meraung kesakitan pula.

Semuanya berakhir juga.

Aku hanya mampu merenung pemergian Mayadin bersama kereta lembunya yang sarat dengan kayu kepunyaan ayahku. Kereta itu beransur hilang dari penglihatan walaupun terhoyong hayang mengikut ragam tarikan lembu yang turut terancam. Tidak ada yang tinggal di situ, tidak ada sebatang rantingpun. Hanya satu tunggul kayu yang tertanam di tengah-tengah tanah kepunyaan ayah. Segala tumbuhan bijirin yang hidup subur di bawah pokok neem itu dulu turut musnah dipijak-pijak oleh kumpulan penyangak. Tidak ada lagi naungan daripada pokok yang gagah itu melainkan keaiban kepada ayahku.

Pokok itu memang berharga kerana dijangkakan dapat memberikan kami lebih dari satu ribu rupee. Sebelum peristiwa itu aku merasa ceria untuk seketika. Kini aku dapat merasakan keperitan, kesedihan dan kepedihan menjadi seorang hamba abdi yang lebih hina daripada seekor anjing. Aku rasa mahu muntah. Kami miskin, kerana itu kami ditindas. Kerana keletihan, aku terduduk di atas jalan di tengah-tengah debu dan bijiran tanaman yang sudah lesu dan menangis di kaki orang-orang Mayadin yang masih lagi berdiri di sampingku. Lelaki berempat itu menarik aku berdiri dan menolak aku berjalan di hadapan mereka menyusuri lorong yang menghala rumahku. Mereka menolak aku masuk ke halaman rumah dan menutup pintu rumah dan meletakkan penghalang daripada luar. Semua itu sudah tidak perlu, kerana sudah tidak ada lagi tenaga melawan di badanku. Walaupun terbaring menyungkup di bumi, aku sudah tidak lagi berdaya untuk menangis dan mengeluarkan airmata. Aku dapat rasakan degupan jantung yang bergerak begitu pantas dan tangkas sehingga muncul perasaan takut bahawa jantung yang kuat berdegup akan meletup. Aku telah berjuang mempertahankan maruah keluarga, tetapi berjuang seorang manakan terdaya.

Orang kampung seronok ketawa. Ketika aku bertarung, tidak ada sesiapa yang berani menolong. Apabila selesai peristiwa itu mereka pulang ke rumah menyorok di belakang pintu. Terdapat beberapa orang kampung di kalangan pekerja Mayadin dan salah seorang itu memang amat aku kenali. "Kenapakah kamu lakukan ini, awak kenal ayah dan tahu ini pokok kepunyaannya!" demikian aku menjerit padanya.

"Dia membayar upahnya Phoolan," orang itu menjawab. "Dia menjanjikan sekarung gandum sebagai upahnya."

Mayadin sudah mula belajar menggunakan kuasa yang ada dan yang diwarisi daripada ayahnya. Semua anjing bangsat di kampung sanggup menjilatnya. Tetapi dia marah membuak terhadapku dan berpeluh jantan ketika melihat aku menentangnya walaupun ayah tidak ada. Aku mula meredakan perasaan mengenai keaibannya. Peristiwa itu mesti telah menaikan kemarahannya. Tentu dia terfikir betapa aku telah memainkan peranan sebagai ketua keluargaku. Kalaulah ada sebilah pisau di tangan ketika itu, sudah pasti aku benamkan mata pisau pada badannya ketika dia ada di atas kereta lembu yang dihiasi perak itu. Sayangnya pisau aku hanya diperbuat daripada kayu yang sesuai untuk memotong sayur.

Choti berjaya membolosi sekatan di pintu luar melalui dinding rumah jiran. Dia masuk dan duduk di sisiku. "Aku terkencing melihatkan mereka menyiksa kamu Phoolan. Tengok, badan akak masih berdarah."

Suaranya serak keletihan meraung meminta tolong. Tidak ada sesiapa yang datang menolong anak Devidian. Tidak ada seorangpun.

"Choti...mari sini adikku!"

Darah yang mengalir di badanku mula mengeras dan membeku. Segala ototku menyakitkan dan aku dapat melihat calar-balar yang melakar badan. Kami melompat melangkah tembok dan berlari ke arah sungai. Di situlah kami berendam menenangkan luka-luka, membasuh segala darah yang membeku, melepaskan air-kecil kami dan airmata untuk mengalir menyertai air sungai yang kami anggap suci.

Mentari sudahpun tenggelam ketika ibu muncul dengan mendakap Bhuri yang masih kecil lagi. Di langit, bulan sudah mula menunjukkan wajahnya, bulat dan pucat laksana mutiara, namun aku perhatikan sahaja sambil menceritakan kisah yang lalu kepada ibu. Dia memicit tanganku dulu sebelum memicit kakiku, meraba-raba kalau ada tulang yang sudah patah. Kemudian ibu duduk di atas khat, menekup kepala dengan dua tangannya sambil menagis pula.

"Phoolan.... ada sahaja masalah yang kamu bawa untuk kami."

Itulah ulangan khutbah yang pernah aku dengan sebelum itu. Tetapi kali ini suaranya perlahan dan samar sahaja. Ibu tidak menjerit ataupun cuba memukul aku. Dia menjadi begitu letih pada malam itu untuk memukul aku. Dauri perkahwinanku sudah lesap dibawa pergi oleh kereta pencuri dan aku juga yang dianggap menyusahkan? Kerana berlawan dengan Mayadin aku dianggap mencetuskan huru-hara? Itu adalah kesalahan aku, selalunya itu adalah kesalahanku? Aku adalah seorang gadis pengotor yang tidak tahu menghormati orang lain. Aku cuma tahu buat jahat kerana itu aku mesti disebat?

Aku menyeru nama Durga, dewi yang selalu aku puja.

"Tuhan? Engkau merayu pada Tuhan?" Ibu masih merayu lagi. Suaranya serak dan kesal. "Bagaimanakah caranya kami akan mengahwinkan kamu? Cuba tanya Tuhan kamu soalan itu?"

....bersambung....


Terjemahan: SPAR 10