Laman Webantu   KM2A1: 5206 File Size: 22.7 Kb *



TAG SP 246: B6 - Perjalanan Yang Panjang [Mandela] [Mesti Baca]
By Nelson Mandela

11/8/2001 7:40 pm Sat

[Sekali lagi Mandela menganalisa karekter orang-orang disekelilingnya dan perjalanan sistem yang mempengaruhi hidupnya. Dia sering memikirkan punca seseorang itu mewarisi sikap-sikap tertentu - dan di pusat pengajian inilah terbongkar beberapa rahsia itu. Rakyat dijajah minda mereka sejak kecil lagi di pusat pendidikkan agar mereka mengganti dan mendewakan penjajah itu bila besar nanti.

Kemunculan tiba-tiba Mqhayi di pintu itu amat mengejutkan Mandela. Dia dipandang hebat walaupun bercakap amat tergagap kerana budaya yang sudah terkoyak. Ini adalah kerana pemikirannya yang dipandang hormat - bukannya penampilannya yang tidak perkasa. Hanya KEKUATAN MINDA-lah yang akan dapat membebaskan anak-bangsa dan mengembalikan maruah yang ternoda. Tetapi Mqhayi terlalu pekat di dalam walaupun sudah tercair di luar. Dia menjadi terlalu nationalis yang mudaratnya tidak jauh beda dengan sikap orang asing yang dicela.

Perhatikan Mandela begitu banyak belajar dari apa yang berlaku di luar bilik kuliah kerana di sanalah terserlah formula segala masalah. Sepatutnya kerajaan Malaysia tidak menyekat kebebasan pelajar kerana mereka sudah cukup dewasa untuk menilai siapa itu siapa. Masadepan negara terletak di bahu pelajar tetapi minda yang dibekukan itu tidak akan dapat melahirkan seorang yang hebat seperti Mandela.

Bab ini memang patut dibaca oleh semua pelajar di negara ini. Bayangkan ada universiti di Amerika mengajar dan mengkaji buku Mandela tetapi orang melayu masih mentelaah hikayat Hang Tuah yang setia membabi buta.... - Editor]



PERJALANAN YANG PANJANG

(Long Walk To Freedom)


Oleh: Nelson Mandela



Satu Autobiografi

Terjemahan SPAR 11



Bab 6


Pada 1937 saya sudah berumur 19 tahun, dan telah mengikut jejak langkah Justice, di Healdtown dan memasuki Wesleyan College di Fort Beaufort, kira-kira 175 batu jaraknya daripada tenggara Umtata. Pada abad yang ke-19, Fort Beaufort merupakan salah satu kubu peninjau British ketika berlakunya peperangan yang disebut 'Frontier Wars'. Ketika itu, kemaraan secara bertali arus peneroka dan petani British telah berjaya menghalau puak Xhosa daripada kawasan perladangan mereka dan merampas tanah itu sebaik saja tuanpunya tanah melarikan diri. Peperangan yang berpanjangan selama seratus tahun, telah merakamkan beberapa pahlawan Xhosa yang berani seperti Sandile, Makhanda dan Moqoma. Dua penama yang terakhir itu telah dipenjarakan di Robben Island oleh pemerintah British dan mereka mati akhirnya di pulau itu. Tatkala saya muncul di Healdtown, tidak banyak lagi bekas peperangan yang mengorbankan satu ratus tahun itu. Cuma, Fort Beaufort menjadi satu pekan khas untuk orang kulit putih sedangkan pada satu ketika, itulah tempatnya yang hanya dihuni oleh masyarakat Xhosa untuk bercucuk tanam.

Terletak di hujung satu jalan yang berliku-liku dan memandang arah satu lembah yang menghijau pandangannya, Healtdown memang lebih menarik dan cantik berbanding Clarkebury. Itulah pusat pengajian yang terbesar di bawah garisan Khatulistiwa di Afrika, ketika itu. Terdapat lebih seribu pelajar Afrika; lelaki dan perempuan. Bangunannya yang berbentuk lakaran kolonial sungguh menakjubkan dan kawasan lapang yang dinaungi pokok yang lebat dedaunnya menjentik perasaan bahawa ia merupakan satu 'oasis' akademi yang teristimewa, dan itulah yang sebenarnya. Seperti Clarkebury, Healtdown adalah sekolah tajaan 'mission' daripada mazhab Methodist Church yang memberikan pendidikan berunsur ajaran Kristian dan kesusateraan liberal berasaskan model pendidikan di Britain.

Pengetua Healtdown ketika itu ialah Dr. Arthur Wellington, seorang yang berbadan gempal dan pendek dan megah dengan pertalian darahnya dengan Duke of Wellington. Pada satu perhimpunan pelajar dia pernah berkata: "Saya adalah pewaris Duke of Wellington, seorang aristokrat, negarawan, dan panglima perang yang telah mengalahkan panglima Peranchis bernama Napoleoan (Bonaparte - penterjemah) di Waterloo, dan berjaya menyelamatkan tamadun untuk orang Eropah - dan untuk kamu orang pribumi Afrika." Ketika dia sebut perenggan ini kami para pelajarpun akan bertepuk tangan dengan ghairahnya, setiap kami ketika itu merasa bersyukur kerana suku-sakat Duke of Wellington sanggup bertungkus lumus mendidik pribumi Afrika seperti kami. Orang Inggeris yang terdidik itu adalah menjadi model kami; sedangkan kami mengharapkan menjadi apa yang disebut ketika itu sebagai 'black Englishman' (orang Inggeris berkulit hitam). Kami telah diajar untuk mempercayai bahawa segala idea yang baik datangnya daripada orang Inggeris, kerajaan yang terbaik adalah kerajaan British dan orang yang baik-baik adalah orang Inggeris juga.

Kehidupan di Healtdown memang rancak. Loceng pertama berbunyi pada jam enam pagi. Kami masuk bersarapan pada 6.40 pagi, diberikan roti kering dan air panas bergula, sambil disaksikan oleh potret George VI yang menjadi Raja England ketika itu. Pelajar yang mampu membeli mentega menyimpannya di dapur untuk kegunaan sendiri. Saya makan roti bakar sahaja. Pada jam lapan pagi kami berhimpun di kawasan lapang, di sebelah luar dormitori kami untuk 'observation' yakni satu penantian menunggu ketibaan pelajar wanita muncul daripada dormitori mereka yang berasingan. Kami berada di bilik darjah sehingga 12.45, kemudiannya menikmati makan tengah hari. Kami dihidangkan 'samp' yang mengandungi susu masam yang dicampur dengan kekacang, dan jarang sangat diberikan daging. Kami sambung pelajaran sehingga 5 petang, diikuti waktu berriadah selama satu jam yang disusuli makan malam. Kemudian belajar lagi antara jam tujuh hingga sembilan. Lampu dipadamkan pada jam 9.30 malam.

Heltdown berjaya menarik pelajar daripada tempat lain di seluruh negara, termasuk mereka daripada kawasan 'protectorate' seperti Basutoland, Swaziland, dan Bechuanaland. Walaupun ia merupakan satu institusi untuk kaum Xhosa, terdapat juga pelajar daripada puak lain. Selepas waktu belajar dan juga pada hujung minggu, pelajar daripada puak yang sama berkumpul sesama mereka. Malahan mereka daripada suku-kaum Xhosapun akan berkumpul sesama mereka; contohnya mereka daripada amaMpondo akan berkumpul dengan amaMpondo sahaja, dan bergitulah seterusnya. Dulupun saya taksub dengan amalan itu, tetapi di Heltdown saya bertemu seorang kawan yang bertutur bahasa Sotho, bernama Zachariah Molete. Saya masih ingat betapa bangganya mempunyai seorang sahabat yang bukannya daripada kaum Xhosa.

Guru zoology kami ialah Frank Lebentele, seorang yang bertutur bahasa Sotho dan amat popular di kalangan pelajar. Beliau seorang yang peramah dan bukannya berapa tua sangat daripada kami. Kerana itu dia mudah mesra dengan pelajar. Dia bermain bola sepak dengan pasukan utama maktab, dan merupakan pemain yang terbaik. Yang lebih menakjubkan kami ialah perkahwinannya dengan seorang gadis Xhosa daripada Umtata. Perkahwinan di luar suku kaum sendiri memang dianggap perkara luarbiasa di zaman itu. Sehingga itu saya belum terjumpa sesiapapun yang berkahwin dengan orang yang dari luar suku kaumnya. Kami telah diajar perkahwinan semacam itu adalah satu pantang (taboo). Setelah melihatkan gelagat bersama isterinya ia telah membuka minda saya dan meruntuhkan fikiran sempit saya sehinggakan merungkai ketaksuban terhadap kesukuan yang memenjarakan fikiran. Saya mula membentuk pemikiran identiti saya sebagi seorang Afrikan, tidak semestinya sebagai seorang Thembu, ataupun Xhosa. Namun ini merupakan satu perasaan yang amat baru sahaja.

Dormitori kami mempunyai empat puluh katil. Terdapat dua puluh katil di satu barisan dengan satu ruang lalu-lalang di tengah-tengah. Guru rumah kami ketika itu ialah Reverand S.S.Mokitimi, yang kemudiannya menjadi orang pertama menyandang jawatan Presiden Gereja Methodist Afrika Selatan (African President of the Methodist Church of South Africa). Reverand Mokitimi adalah daripada kaum Sotho juga dan memang dikagumi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Dia amat mengetahui masalah kami dan bersedia mendengar apa juga yang kami kemukakan.

Ada satu sebab kenapa Reverand Mokitimi dikagumi. Dia berani mencabar Dr. Wellington. Pada satu, petang berlaku pertengkaran antara dua orang pengawas di ruang legar utama maktab kiami. Pengawas adalah bertanggungjawab mengawal perbalahan dan bukan mencetuskannya. Reverand Mokitimi terpaksa masuk campur. Ketika itu Dr. Wellington muncul daripada perjalanannya ke bandar. Kemunculannya yang secara tiba-tiba itu menakutkan kami. Seolah-olah seorang dewa sudah turun daripada langit untuk menyelesaikan masalah yang kecil.

Dr. Wellington mahukan jawapan kepada beberapa persoalannya. Reverand Mokitimi yang pendek dan kepalanya tidakpun mampu setara dengan bahu Dr. Wellington, telah mejawab dengan lembut: "Dr. Wellington, semuanya terkawal, dan saya akan sediakan laporannya esok hari." Inilah yang membuatkan Dr. Wellington tidak puashati. Dia masih berdegil dan mahukan jawapan yang spontan. "Tidak... saya mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku, sekarang juga." Reverand Mokitimi terus bertegas; "Dr. Wellington, saya adalah guru yang bertanggungjawab dalam hal ini, saya sudah beritahu anda yang saya akan sediakan laporannya esok hari. Itulah yang akan saya lakukan." Kami terkejut. Belum pernah sebelum itu kami melihat sesiapa membangkang Dr. Wellington. Inikan pula seorang guru kulit hitam. Kami menantikan satu ledakan ketika itu. "Baiklah," kata Dr. Wellington dan terus beredar dari situ. Ketika itu barulah saya sedar bahawa Dr. Wellington adalah manusia biasa sahaja dan bukannya laksana dewa yang saya anggapkan dulu. Daripada situ juga saya mempelajari bahawa Reverand Mokitimi sebagai orang kulit hitam tidak perlu takut kepada orang kulit putih walaupun dia mempunyai pangkat yang lebih tinggi.

Reverand Mokitimi telah mengusahakan beberapa tindakan reformasi di maktab itu. Kami menyokong usahanya memperbaiki diet makanan kami dan cara para pelajar diberikan layanan, termasuk cadangannya bahawa para pelajar bertanggungjawab dengan mendisiplinkan diri mereka sendiri. Namun ada satu perubahan yang dilakukannya menakutkan kami; terutama sekali para pelajar daripada luar bandar. Reverand Mokitimi mencadangkan agar pelajar lelaki dan perempuan dibiarkan bercampur ketika makan tengah hari pada hari Ahad. Saya menentang cadangannya ini, kerana alasan pertama, saya masih belum pintar sangat menggunakan sudu dan garpu waktu makan. Saya masih belum bersedia diaibkan oleh perempuan yang tajam pandangannya. Tetapi Reverand Mokitimi bertegas, dan setiap hari Ahad saya tinggalkan dewan makan dengan perasaan lapar dan tertekan.

Akan tetapi, saya semakin berseronok di atas padang. Jenis sukan di Heltdowan adalah lebih berkualiti daripada yang terdapat di Clarkebury. Pada tahun pertama saya tidak menonjol sangat. Tetapi pada tahun yang kedua, kawan saya Locke Ndzamela, yang merupakan johan lompat pagar telah menggalakkan saya mencuba satu jenis sukan yang baru. Dia menggalakkan saya mencuba larian jarak jauh. Badan saya kurus dan tinggi, tentu sesuai untuk larian jauh. Dengan mendapatkan beberapa tunjuk-ajar daripadanya, saya mulakan latihan berlari jarak jauh. Saya seronok dengan disiplin latihan dan berlari jauh sendirian itu memberikan satu kenikmatan pula untuk mengelakkan segala tekanan kehidupan seorang pelajar. Pada waktu yang sama saya mulakan pula satu jenis sukan yang tidak berapa sesuai dengan badan saya. Saya mula berlatih sebagai seorang peninju. Tetapi saya berlatih tanpa agenda tersusun. Hanya beberapa tahun kemudiannya, ketika badan saya mula naik barulah saya bertinju dengan ghairah.

Pada tahun kedua di Heltdown, saya telah dilantik menjadi salah seorang pengawas sekolah oleh Dr. Wellingon dan Reverand Mokitimi. Para pengawas mempunyai tugas yang berbeza. Sebagai pengawas baru saya telah diberikan tugas mengawasi beberapa kumpulan pelajar mengelap jendela waktu kerja bebas di tengah hari, dan saya terpaksa membawa mereka ke beberapa tempat setiap hari.

Tidak lama kemudian saya diberi tugas yang lebih mencabar, termasuk bertugas pada malam hari. Saya memang tidak mempunyai masalah berjaga malam. Tetapi pada satu malam saya telah terjebak dalam satu masalah etika yang tidak boleh saya lupakan hingga kini. Kami tidak mempunyai tandas dalam kawasan dormitori. Tandas terdekat berada kira-kira satu ratus kaki di bahagian belakang bangunan. Pada waktu hujan, apabila pelajar terbangun daripada tidur di tengah malam, mereka tidak mahu berjalan kaki pergi ke tandas sambil meredah rumput yang basah dan berlumpur. Sebaliknya mereka berdiri di verandah dan memancutkan sahaja apa yang mereka ada, menghala ke kawasan belukar. Perbuatan ini dikira salah dan adalah menjadi tugas seseorang pengawas mencatatkan nama pelajar yang membuat kerja 'menembak air' ini.

Pada satu malam saya sedang berugas apabila hujan turun lebat dan saya ternampak beberapa pelajar yang melanggar peraturan - sekitar lima belas pelajar semuanya - memancutkan air daripada beranda. Ketika fajar mahu menyinsing, saya ternampak seorang pelajar yang baru bangun dan menoleh ke kiri dan kanan sambil berdiri untuk terkencing juga. Sayapun berjalan ke arahnya dan memberitahu yang dia telah ditangkap kerana melanggar peraturan. Saya menjadi serbasalah; dalam hukum undang-undang ada falsafah yang berbunyi 'Quis custodiet ipsos custodes?' (Siapakah yang mengawasi para pengawal?) Kalau para pengawas tidak menghormati undang-undang, bagaimana pelajar mampu menghormatinya? Pada halnya seorang pengawas itu mengatasi undang-undang kerana dialah undang-undang. Lagipun seorang pengawas tidak sepatutnya melaporkan akan seorang pengawas yang lain. Tetapi saya tidak fikir adalah adil mengecualikan pengawas itu sedangkan lima belas orang yang lain dikenakan tindakan. Jadi saya koyakkan senarai tangkapan dan tidakpun melaporkan sebarang nama.

Pada tahun akhir saya di Heltdown, berlaku satu peristiwa yang saya anggap laksana tahi bintang jatuh daripada langit. Ketika akhir tahun semakin hampir, kami diberitahu bahawa penyajak besar kaum Xhosa, Krune Mqhayi, dijadualkan melawat sekolah kami. Sebenarnya Mqhayi ialah seorang 'imbongi' seorang penyanyi yang pandai memuji-muja laksana seorang pencatat sejarah yang merakamkan peralihan zaman dengan merakamkannya secara bergurindam yang memaut hati pendengarnya.

Hari lawatannya itu diisytiharkan hari cuti sekolah kami oleh pihak yang berkuasa. Pada pagi yang dijadualkan, keseluruhan sekolah termasuk kakitangan sekolah termasuk yang berkulit hitam dan putih, berkumpul di dewan makan, kerana di sana kami kerap berhimpun. Terdapat satu pentas di satu hujung dewan itu dan daripada situ, pintunya menghala ke rumah Dr. Wellington. Pintu itu tidakpun istimewa tetapi kami selalu sebutkannya sebagai pintu Dr. Wellington kerana tidak siapa yang menggunakannya kecuali Dr. Wellington.

Tiba-tiba pintu itu terbuka tetapi yang muncul bukannya Dr. Wellington. Sebaliknya yang muncul itu ialah seorang lelaki kulit hitam memakai pakaian daripada kulit harimau bintang (kaross) dengan topi yang menggunakan fabrik yang serupa, sambil memegang sebatang tombak di tangannya. Dr. Wellington mengekori di belakangnya. Tetapi rupa seorang kulit hitam muncul dengan berpakaian demikian melalui pintu sungguh menakjubkan kami. Kesannya sungguh mengkagumkan kerana dunia seolah-olah sudah terbalik untuk seketika. Apabila Mqhayi duduk di atas pentas bersama Dr. Wellington, kami tidak dapat mengawal kecerian hati yang amat sangat.

Akan tetapi, apabila Mqhayi bangun untuk berucap, saya merasa sedikit kecewa. Selama itu imaginasi saya menjangka beliau adalah seorang wira Xhosa yang tinggi lampai, garang dan berwajah seorang yang bijaksana. Tetapi, tidak ada yang menyerlah dalam perwatakannya, kalau tanpa pakaiannya itu, dia adalah semacam orang biasa sahaja. Ketika berucap dalam Bahasa Xhosa, dia kelihatan lembab dan terhenti-henti mencari perkataan yang diminati dan tertahan-tahan lagi setelah menjumpainya.

Pada satu ketika dia telah mengangkat 'assegai' nya ke udara untuk memberi penekanan kepada apa yang dilaungkannya. Pada waktu itu, hujung tombaknya itu tertikam hujung tirai di atas kepalanya, sehingga berbunyi tempat itu dan membuatkan langsir itu bergoyang. Penyajak itu melihatkan hujung tombaknya dan kepada tirai di atas kepalanya. Dia kelihatan termenung sendirian sambil mundar-mandir di atas pentas. Selepas satu minit kemudian, dia berdiri memandang kami seolah-olah semakin bertenaga dan berkata; "Peristiwa ini - tombak tertikam wayar langsir- melambangkan pertembungan antara budaya Afrika dan budaya Eropah." Suaranya naik meninggi sambil berkata; "Tombak tadi adalah satu lambang segala kehebatan dan kebenaran dalam sejarah Afrika, itulah lambang Afrika sebagai seorang perwira dan Afrika sebagai seorang artis. Wayar itu tadi," katanya sambil menunjukan ke atas, "adalah satu contoh bikinan Barat. Yang sungguh bijak tetapi dingin, cerdik tetapi tidak bernyawa."

"Apa yang saya cakapkan ini," sambungnya, "bukannya secebis tulang yang menyentuh secebis besi, ataupun penindihan satu budaya ke atas budaya yang lain. Apa yang saya katakan ini ialah mengenai pertempuran ganas antara yang asli dan suci, dan apa yang asing tetapi jahat. Kita tidak boleh izinkan orang asing yang tidak pedulikan budaya kita untuk merampas negara ini. Saya meramalkan satu hari nanti, keseluruhan tenaga masyarakat Afrika akan berjaya merangkul kejayaan daripada penceroboh negara kita. Untuk begitu lama kita telah diperdaya oleh dewa-dewa yang ditonjolkan oleh orang kulit putih. Kita akan berjaya juga dan menghumbankan fikiran yang songsang ini."

Saya semacam tidak percaya dengan apa yang saya dengar. Keberaniannya mengucapkan perkara yang sungguh meruntun perasaan di hadapan Dr. Wellington dan juga beberapa ramai lagi orang kulit putih sungguh memeranjatkan kami. Namun pada waktu yang sama, ia telah menaikkan semangat kami dan mula merobah persepsi saya terhadap orang seperti Dr. Wellington, yang secara automatis telah saya anggap sebagai dermawan yang berjasa kepada saya.

Mqhayi kemudian mulakan sajak-sajaknya yang tekenal di mana dia membahagikan beberapa bahagian bintang di langit kepada beberapa negara dalam dunia ini. Saya tidakpun mendengarnya sebelum itu. Sambil mengangkat tombaknya ke atas, dia telah berkata kepada orang-orang Eropah - Peranchis, Jerman, Inggeris - "Aku berikan kamu keseluruhan cakrawala, kumpulan bintang yang terbesar, kerana kalian manusia aneh, penuh tamak dan haloba, kuat cemburunya, bergaduh dengan buas kerana tidak pernah puas." Kemudian dia peruntukkan beberapa bintang tertentu kepada negara Asian, dan juga kepada Amerika Timur dan Amerika Selatan. Kemudian dia membincangkan Afrika dan membahagikan benua itu kepada beberapa negara, dan peruntukkan beberapa kumpulan bintang tertentu kepada beberapa kaum. Dia telah bertandak di atas pentas, menggoncang tombaknya, mengawal intonasi suaranya. Sekali sekala dia terhenti dan merendahkan suaranya.

"Sekarang, bangkitlah kamu anak watan Xhosa," katanya. Sambil perlahan dia merendahkan dirinya sehingga melutut pada satu bahagian kakinya. "Aku berikan kamu sebutir bintang yang paling terang kerlipannya, itulah dia Bintang Pagi, kerana kalian adalah satu bangsa yang besar dan berbangga dengan kuasa yang ada. Itulah bintang untuk mengira tahunnya - tahun-tahun kedewasaan." Apabila dia menyebut perkataan itu dia jatuhkan kepalanya mendekati dadanya. Kami bangun memberikan tepukan yang hebat dan kuat. Saya tidak mahu berhenti menepuk tangan pada waktu itu kerana merasakan satu semangat kebanggaan ketika itu bukannya sebagai seorang peribumi Afrika tetapi sebagai seorang anak Xhosa; Saya merasakan saya adalah tergolong antara salah seorang yang terpilih itu.

Saya menjadi teransang tetapi menjadi keliru juga dengan gelagat Mqhayi. Dia telah mengalihkan wataknya daripada seorang yang bersifat nasionalis, yang memberi semangat untuk menyatukan keseluruhan Afrika Selatan kepada seorang taksub kepada keunggulan bangsa Xhosa. Sedangkan kita hanya sebahagian daripada bangsa Afrika itu. Tempohku belajar di Healdtown sudah sampai ke penghujungnya. Terdapat berbagai-bagai idea yang terapung-apung di otak saya ketika itu. Saya semakin sedar bahawa rakyat Afrika daripada semua suku kaum mempunyai banyak persamaannya. Namun di sini Mqhayi telah memuji kaum Xhosa daripada yang lainnya. Saya dapat melihat bagaimana seorang Afrika sanggup mempertahankan haknya terhadap orang putih, tetapi saya terus mencari peluang daripada orang putih yang selalunya mensyaratkan kesetiaan. Pada satu segi perubahan yang dilaksanakan oleh Mqhayi adalah satu cerminan apa yang bersarang dalam pemikiran saya. Itulah yang membuatkan pemikiran saya mundar mandir memikirkan kebanggaan diri sebagai seorang Xhosa dan perasaan kesetiaan sebagai seorang Afrika. Namun, apabila saya keluar daripada Healdtown pada akhir tahun itu, saya sudah nampak pendirian saya yang pertamanya, sebagai seorang Xhosa, dan yang kedua, barulah sebagai seorang Afrika.


....bersambung....


Rolihlahla88@hotmail.com




Gambar Muda Nelson

Gambar Muda Pelajar/Pengawas Nelson Mandela