Laman Webantu   KM2A1: 5214 File Size: 33.5 Kb *



TAG SP 247: B7 - Perjalanan Yang Panjang [Mandela]
By Nelson Mandela

13/8/2001 10:08 pm Mon

[Konflik sentiasa ada di mana-mana termasuk di pusat pengajian tinggi yang hebat juga tetapi itu dibiarkan berlaku kerana ia berguna dan akan mendidik pelajar juga. Negara Afrika Selatan berjaya melepasi diri dari cengkaman apartheid kerana golongan cendiakawan mereka (pelajar dan professor) aktif dan peka kepada isu semasa - tidak seperti Malaysia. Bayangkan bekas pelajar inilah yang menjadi pemimpin terkenal di Afrika sehingga seluruh dunia kagum dan menghormatinya walaupun dia cuma seorang budak kampung. Sebaliknya pemimpin Malaysia begitu haprak sehingga ditertawakan dunia sahaja.... - Editor]



PERJALANAN YANG PANJANG

(Long Walk To Freedom)


Oleh: Nelson Mandela



Satu Autobiografi

Terjemahan SPAR 11



Bab 7

Sehingga tahun 1960, University College of Fort Hare, yang terletak di Alice, sekitar dua puluh batu sebelah timur Healdtown, merupakan hanya satu pusat penempatan anak-anak kulit putih untuk pendidikan tinggi di keseluruhan Afrika Selatan. Fort Hare berperanan lebih hebat daripada itu, kerana menjadi impian utama pelajar semua pelosok Afrika. Kepada pelajar kulit hitam Afrika Selatan dan saya, ia adalah laksana Oxford dan Cambridge, Harvard dan Yale yang disatukan.

Tuanku (Regent) memang sudah lama mahukan saya belajar di Fort Haredan, dan saya memang bersedia menerima arahan baginda. Sebelum bertolak baginda telah membelikan saya sepasang 'suit' yang bercorak 'double-breasted' dan berwarna kelabu. Pakaian itu membuatkan saya kelihatan matang dan sofistiket walaupun usia ketika itu hanya baru dua puluh tahun. Dalam angan-angan ketika itu apakah ada lelaki lain yang lebih tampan dari saya di Fort Hare.

Saya dapat rasakan betapa saya sengaja disediakan untuk menggapai kejayaan dunia ini. Adalah sesuatu yang membanggakan apabila tuanku mempunyai salah seorang ahli puaknya yang mampu memegang segulung ijazah universiti. Justice masih lagi di Healdtown menyudahkan kajian 'junior certificate'. Dia lebih seronok bermain daripada belajar sehingga menunjukkan sikap yang acuh tak acuh sahaja.

Fort Hare telah diasaskan pada tahun 1916 oleh pendakwah Kristian daripada Scotland, menggunakan bekas tapak kubu peperangan terbesar pada abad ke-19 di Cape (Tanjung Harapan) dulu. Tapak bangunannya adalah kawasan tinggi yang berbatu-batu dan diperteguhkan keselamatannya dengan lingkaran parit besar di bahagian bawahnya yang dimudahkan oleh aliran berliku Sungai Tyume. Itulah sebabnya Fort Hare menjadi satu kubu yang sungguh kukuh untuk memerangi keberanian para pahlawan Xhosa yang dipimpin oleh Sandile. Beliau merupakan Raja Rharhabe yang terakhir setelah British berjaya menumpaskan bala tentera Xhosa pada 1800-an dulu.

Jumlah pelajar di Fort Hare cuma 150 orang sahaja dan saya sudahpun mengenali sekitar sedozen dua antara mereka itu yang pernah mengaji di Clarkebury dan Healdtown. Antara mereka yang pertama kali saya temui di situ ialah K.D. Matanzima. Kalau mengikut hiraki kaum kami, K.D. adalah berpangkat anak saudara saya, tetapi dari segi umur, saya lebih muda dan jauh lebih junior daripadanya. Badannya tinggi lampai dan orangnya memang mempunyai keyakinan, K.D. merupakan pelajar tahun tiga dan diapun telah betindak memimpin saya sehingga saya menghormati beliau seperti cara saya menghormati Justice.

Kami berdua mempunyai fahaman Methodist, dan saya telah dikhususkan menetap di sebuah asrama yang sama dengannya. Asrama itu diberi nama Wesley House, sebuah bangunan dua tingkat yang terletak di bahagian anjung kampus. Dengan pimpinannya, saya kerap pergi beribadat di Loveday yang terletak berhampiran kampus, dan turut menyertai permainan bolasepak, kerana dia memang pandai main bola dan berjaya mempengaruhi saya bermain sama. Tuanku tidak percaya dengan mengirimkan wang-jajan kepada anak-anaknya yang belajar di sekolah berasrama, kerana itu sayapun sentiasa tidak berwang. Mujurlah K.D. bermurah hati mengongsi elaun yang diterimanya dengan saya. Seperti juga tuanku, K.D. dapat membayangkan peranan saya sebagai ahli majlis penasihat kepada Sabata, dan dia menggalakkan saya mengikuti jurusan undang-undang.

Seperti Clarkebury dan Healdtown, Fort Hare adalah sebuah maktab tajaan pertubuhan pendakwah (mission). Kami diperingatkan untuk mematuhi ajaran tuhan, menghormati penguatkuasa politik dan bersyukur kepada peluang pendidikan yang diuruskan oleh Gereja dan Kerajaan. Sekolah dan institusi pendidikan begini kerap dikritik kerana sikap dan amalannya. Namun, dengan sikap yang ditunjukkan, faedah yang telah diraih adalah lebih besar daripada segala unsur negatifnya. Pertubuhan pendakwah menguruskan sistem pendidikan ketika kerajaan tidak berminat ataupun tidak mampu melaksanakannya. Suasana pelajaran di sekolah mission ini walaupun bersifat terlalu tegas, adalah jauh lebih terbuka daripada segala perinsip perkauman yang mendasari sekolah kerajaan.

Fort Hare menjadi kediaman dan juga tapak inkubator kepada beberapa pelajar Afrikan yang terunggul yang pernah dikenali di benua ini. Professoan Z.K. Matthews adalah model ulung kehebatan intelek Afrika. Sebagai anak kepada seorang pekerja lombong, Z.K. telah diperngaruhi oleh autobiografi Booker Washington yang bertajuk 'Up From Slavery' yang memberi penekanan terhadap sikap berusaha, gigih dan bertolak ansur sebagai senjata utama untuk mencapai kejayaan. Dia telah mengajar 'social anthropology' dan hukum-hakam Afrika serta lantang bersuara terhadap dasar sosial kerajaan.

Fort Hare dan Professor D.D.T. Jabavu adalah dua nama yang sinonim. Jabavu adalah kakitangan pertama ketika universiti mula dibuka pada 1916. Beliau telah menerima ijazahnya dalam pengajian Bahasa Inggeris daripada University of London. Ini merupakan satu anugerah yang sungguh menakjubkan. Professor Jabavu mengajar Bahasa Xhosa, termasuk Latin, sejarah dan anthropologi. Dia merupakan ensiklopedia bergerak dalam kajian susurgalur Xhosa, dan telah menceritakan kisah ayah dan keluarga saya yang tidakpun saya tahu sebelum itu. Beliau merupakan jurucakap yang berwibawa terhadap hak asasi Afrikana, dan telah menjadi presiden pengasas kepada penubuhan All-African Convention (AAC) pada tahun 1936, yang menentang pembentangan rang undang-undang di Parlimen yang bertujuan menamatkan daftar pengundi biasa di Cape.

Saya teringat satu kisah ketika dalam perjalanan menaiki keretapi daripada Fort Hare menuju Umatata, dan duduk di gerabak khas untuk Afrikan (kulit hitam) sahaja. Seorang pemeriksa tiket yang berkulit putih datang memeriksa tiket saya. Apabila melihat saya akan turun di Alice, dia bertanya "Kamu daripada sekolah Jabavu?" Saya mengangguk tanda bersetuju. Dia tersenyum dan mengetip tiket saya itu sambil mengomel sendirian dan menyebut dengan jelas betapa Jabavu adalah seorang insan yang hebat.

Pada tahun pertama pengajian, saya telah mempelajari English, antropologi, politik, pentadbiran pribumi dan undang-undang Roman Dutch. Pengajian pentadbiran pribumi merangkumi undang-undang berkaitan pribumi Afrika dan merupakan pengajian yang sesuai dipelajari oleh mereka yang berminat berkhidmat dengan Native Affairs Department (NAD: Jabatan Hal Ehwal Pribumi). Walaupun K.D. menasihati saya mengambil ijazah undang-undang, saya telah berminat ketika itu menjadi seorang penterjemah atupun seorang kerani di NAD. Ketika itu jawatan sebagai pegawai kerajaan adalah hadiah terunggul kepada seorang anak pribumi, kerana itulah jawatan yang tertinggi yang boleh diharapkannya. Di kawawan luarbandar, seorang penterjemah di mahkamah majistret merupakan orang kedua pentingnya selepas majistret itu. Ketika saya mengaji pada tahun kedua di Fort Hare dulu ada satu kursus baru dalam bidang penterjemahan yang diperkenalkan. Pensyarahnya ialah seorang bekas penterjemah terkenal bernama Tyamzashe, dan saya merupakan salah seorang pelajar yang mula-mula mendaftarkan diri untuk kursus itu.

Fort Hare merupakan tempat golongan elitis, tentunya mempunyai pelbagai masalah yang menyerupai hambatan yang dialami oleh pusat pengajian tinggi yang lain. Pelajar yang lebih lama (senior) menganggap pelajar baru (junior) dengan gelagat sombong dan bongkak. Ketika mula-mula sampai, saya ternampak Gamaliel Vabaza di seberang laman terbuka. Dia merupakan seorang pelajar yang lebih tua daripada saya dan kami memang pernah belajar di Clarkebury. Saya bersalaman denganya dengan perasaan yang riang kerana lama tidak berjumpa, tetapi dia memberikan sambutan yang sungguh dingin seolah-olah membenci saya dan merendahkan saya kerana menginap di asrama yang dikhaskan untuk orang baru. Vabaza memberitahu bahawa dia masih menjadi ahli jawatankuasa domitori saya, walaupun sebagai seorang senior dia tidak lagi mengongsi dormitori itu. Saya mendapati peraturan itu ganjil dan tidak demokratik, walaupun ia dianggap amalan yang boleh diterima.

Pada satu malam tidak lama selepas itu, kami berkumpul dan berbincang kenapa tidak ada seorangpun penghuni asrama kami ataupun pelajar baru yang dilantik mewakili Jawatankuasa Asrama (House Committee). Kami membuat keputusan untuk melaksanakan satu amalan baru mengenepikan tradisi lama dan menubuhkan satu jawatankuasa daripada dua kumpulan ini. Kami berbincang dan berkempen kepada semua penghuni dormitori, sehinggakan kami berjaya menubuhkan satu jawatankuasa baru, dalam jangkamasa beberapa minggu, dan menyingkirkan kumpulan senior itu. Sebagai salah seorang penaja, saya telah dilantik menganggotai jawatankuasa yang baru.

Kumpulan senior enggan mengalah dengan mudah. Mereka adakan mesyuarat di mana salah seorang antara mereka yang pintar berbahasa Inggeris dan bernama Rex Tatane telah berkata: "Kita tidak boleh biarkan gelagat kumpulan baru ini. Macam manakah kita kumpulan senior boleh dihumbankan oleh orang kampung seperti Mandela, seorang haprak yang tidakpun pandai bercakap Bahasa Inggeris dengan betul?" Kemudian dia bercakap meniru gaya saya, yang mengikutnya mempunyai ragam (telor) kedaerahan Gcaleka, sehinggakan rakan-rakannya ketawa keriangan. Ucapan menyindir Tatane itu membuatkan kami lebih bertegas. Oleh kerana kami sebagai pelajar tahun satu sudahpun mempunyai kuasa ke atas Jawatankuasa 'House Committee' itu secara perlembagaannya, kamipun mengaturkan tugas kepada kumpulan senior yang membuatkan mereka terasa terhina.

Warden maktab, Reverand A.J.Cook telah diberitahu perkara ini dan memanggil kami untuk membincangkannya. Kami yakin dengan hak kami dan enggan mengalah. Tatane merayu agar Warden menyalahkan kami, dan di tengah-tengah ucapannya, dia telah terhenti dan mengeluarkan airmata (aikkk........ Macam presiden UMNO plakkk - penterjemah). Kami memberitahu Warden, kalau dia memveto hak kami, kami bersedia meletakkan jawatan secara berkumpulan, menjadikan jawatankuasa itu kehilangan martabatnya. (kalaulah MT MNO baca bahagian ini dan tiru sikit... alangkah!!!.... penterjemah). Akhirnya Warden membuat keputusan tidak mahu masuk campur. Kami telah bertegas dan kami menang. Inilah peristiwa yang merupakan pengalaman saya yang pertama bertelagah dengan pihak yang berkuasa. Saya dapat rasakan kemunculan kuasa daripada usaha yang diperkasakan oleh kebenaran dan keadilan. Selepas itu nasib yang baik tidak berulang lagi dalam pertelagahan saya dengan pihak yang berkuasa di maktab itu.

Di Fort Hare pendidikan yang saya terima adalah rangkuman pengajaran di bilik darjah dengan pengalaman di luarnya. Saya melibatkan lebih masa dalam kesukanan berbanding ketika saya berada di Heltdown. Ini adalah disebabkan dua perkara: Badan saya menjadi lebih tinggi dan lebih bertenaga, yang lebih pentingnya. Fort Hare adalah lebih kecil daripada Heltdown, bererti saya mempunyai kurang saingan. Saya berjaya melibatkan diri dalam bola sepak dan larian merentas desa. Saya menimba banyak pengalaman melalui larian. Dalam pertandingan lari merentas desa, latihan adalah penting dan saya dapat menggantikan kekurangan bakat semula jadi dengan ketahanan diri dan disiplin. Saya telah perhatikan ramai anak muda yang berbakat tetapi kekurangan jatidiri dan ketabahan untuk memperkasakan kebolehan semulajadi mereka.

Saya telah menjadi ahli persatuan drama dan berlakon dalam satu pementasan mengenai Abraham Lincoln yang diarahkan oleh seorang rakan sedarjah bernama Lincoln Mkentane. Mkentane berasal daripada satu keluarga Transkei yang terkenal dan merupakan seorang rakan yang saya hormati. Lagipun badannya lebih tinggi daripada saya berbanding pelajar yang lain di Fort Hare. Dalam pementasan drama itu Mkatene telah melakonkan Lincoln dan saya mengambil watak pembunuhnya, John Wilkes Booth. Lakonan Mkatene memang boleh dipuji dan lakonannya memberikan ucapan yang begitu terkenal, 'Gettysburg Address' sungguh mempersonakan sehingga para penonton berdiri memberikan tepukan pujian kepadanya. Watak yang saya mainkan itu hanya kecil sahaja. Namun, ia merupakan intipati moral drama itu di mana orang yang mengambil risiko yang tinggi-tinggi selalunya diancam bahana yang besar-besar.

Saya juga telah menjadi ahli Persatuan Pelajar Kristian (Students Christian Association) dan mengendalikan kelas pengajian Injil pada hari Ahad di perkampungan yang berjiran dengan kami. Salah seorang kawan seperjuangan saya dalam ekspedisi begini ialah seorang pelajar sains yang mula-mula sekali saya kenali ketika kami bermain bola sepak. Dia berasal daripada Pondoland di Transkei. Namanya ialah OLIVER TAMBO. Pada mula lagi saya telah melihat kepintaran Oliver laksana mata berlian; dia pintar berdebat dan tidak mudah dipuji seperti perangai kebanyakan kami. Oliver menginap di Beda Hall, sebuah asrama Anglican, dan walaupun perhubungan kami tidak berapa erat di Fort Hare, adalah amat jelas bahawa beliau akan menerima jalan yang lebih besar dan hebat di masa depannya.

Pada setiap hari Ahad, kumpulan kami kerap juga berjalan kaki pergi ke Alice, untuk menikmati hidangan makan restoran. Restoran itu diuruskan oleh orang kulit putih dan pada waktu itu orang kulit hitam tidak dibenarkan lalu di hadapan restoran semacam itu, apalagi untuk makan di dalam. Sebaliknya, kami mengumpul wang yang ada dan pergi di pintu belakang restoran untuk memesan makanan yang diperlukan.

Di Fort Hare seya telah mempelajari kajian fizik, dan termasuklah tarian 'ballroom dancing'. Kami menggunakan satu peti nyanyi untuk memainkan lagu di dewan makan dan belajar menari rentak 'foxtrot' dan 'waltz'. Kami menghabiskan masa yang panjang mempelajari tarian itu, sambil berganti-ganti menarikan ragam pasangan perempuan. Idola kami ketika itu ialah Victor Sylvester yang menjadi juara tarian 'ballroom' dunia. Guru tari kami pada waktu itu ialah seorang pelajar, Smallie Simundla, yang merupakan semacam kembar-siam Victor Sylvester.

Di sebuah kampung berdekatan, ada sebuah dewan menari khas untuk orang Afrika yang bernama Ntselamanzi. Itulah dewan tarian yang memberi khidmat khas kepada golongan atasan masyarakat kulit hitam. Tempat ini merupakan satu taman larangan kepada mahasiswa. Tetapi pada satu malam, kerana terlalu terdesak untuk melakonkan rentak kaki yang dipelajari dengan teman menari wanita yang sebenarnya, kami telah nekad memberanikan diri memasuki dewan tari itu. Kamipun mengenakan pakaian terbaik untuk melaram, dan keluar domitori secara haram, dan masuk berlagak di waktu malam. Memang tempat itu hebat dan suasanapun cepat hangat. Nun di satu kerusi di tepi gelanggang menari, saya terpandang seorang gadis yang cantik sekali. Saya beranikan hati untuk mendekati dan mengajak dia menari bersama. Sejurus kemudian gadis manis itu sudah berada dalam pelukan.

Kami menari seirama dengan langkah kaki menari dengan penuh bergaya. Saya dapat merasakan keseronokan seiras imaginasi sambil cuba melayari keseluruhan ruang lantai menari. Saya pun bertanya siapa nama gadis pasangan menari itu: "Nama saya Mrs. Bokwe," jawapnya dengan lembut dan manja. Terus berderau darah muda saya mendengar nama itu. Hampir terlepas pegangan saya pada pinggangnya yang ramping kerana saya mahu lari cepat berpusing. Sayapun cuba melihat di seberang lantai menari dan ternampak tubuh suaminya Dr. Roseberry Bokwe, salah seorang pemimpin Afrika yang paling dihormati yang merupakan seorang pendidik disegani zaman itu, sedang berbual dengan adik iparnya yang juga merupakan pensyarah saya; professor Z.K. Matthews. Saya menuntut maaf kepada Mrs. Bokwe dan dengan hormatnya tertunduk-tunduk menemaninya ke kerusi duduknya sambil diperhatikan secara tertanya-tanya oleh Dr. Bokwe dan iparnya Proffessor Matthews. Kalau boleh saya mahu menyorok bawah lantai tari itu kerana saya telah melanggar beberapa peraturan ketat universiti. Bayangkanlah saya melanggar peraturan itu di depan mata Professor Matthews yang merupakan guru disiplin kami di Fort Hare. Namun dia tidak pernah mengungkit peristiwa itu. Beliau telah membiarkannya kerana menganggap perkara itu dengan penilaian satu semangat istimewa asalkan pengecualian yang dilakukan itu dapat kami balas dengan kerja kuat dan keputusan yang hebat. Peristiwa di Ntelamanzi itu telah meransang saya untuk lebih tekun dan tabah dalam pelajaran.

Fort Hare telah diwarnai satu tahap kecanggihan baik dari sudut keintelektualan ataupun sosial yang ketara baru dan sedikit aneh kepada saya. Mengikut piawaian Barat, apa yang terdapat di Fort Hare mungkin tidak ada yang anehnya, tetapi kepada seorang budak kampung seperti saya ia merupakan sesuatu yang serba-serbi baru. Di situlah saya mula-mula mengenakan pakaian pijama, dan semakin selesa memakainya. Sebelum itu saya tidak pernah menggunakan berus dan ubat gigi; di rumah kami menggunakan abu dapur untuk memutihkan gigi dan kayu-penyungkil untuk membersihkannya. Pancuran air tandas dan pancutan air hangat ketika mandi adalah satu perkara baru untuk saya ketika itu. Di sana juga saya mula gunakan sabun mandi, bukannya sabun-debu berwarna biru yang saya gunakan di kampung untuk membersihkan kepala bertahun lamanya.

Mungkin disebabkan keganjilan semua itu saya telah mengharapkan sedikit peluang untuk mengimbau kembali keseronokan lama yang saya nikmati ketika muda dan berada di kampung dulu. Rupanya saya tidak keseorangan dalam perasaan begitu kerana ramai juga antara kami yang akhirnya berkumpul dalam satu pasukan khas yang kerap membuat ekspedisi khas meredah ladang universiti di petang hari. Di sana kami berkumpul dalam satu bulatan dan membakar jagung dan menikmatinya sambil bercerita dongeng laksana kisah penglipur lara. Kami berlagak dengan segala kejayaan dan membincangkan habuan wang gaji yang akan diterima apabila sudah lulus dan mula bekerja. Walaupun saya rasakan kemajuan diri sebagai seorang anak muda, saya masih mempunyai hati seorang pemuda kampung yang rindukan kenikmatan suasana hidup di desa.

Sungguhpun Fort Hare jauh daripada arus hingar-bangar dunia, kami masih berminat dengan pergolakan Perang Dunia Kedua. Seperti rakan sedarjah, saya memang memihakkan sokongan kepada Great Britain. Saya menjadi seronok apabila diberitahu sambutan upacara tamat pengajian tahun satu akan diwarnai kehadiran seorang peguam terkenal di Afrika Selatan, bekas perdana menteri Jan Smuts. Memang Fort Hare rasa dihormati apabila berjaya menarik minat seorang negarawan berstatus dunia. Ketika itu Smuts memegang jawatan timbalan perdana menteri dan sedang berkempen seluruh negara agar Afrika Selatan mengisytiharkan perang terhadap Jerman. Sebaliknya perdana menteri J.B.Hertztog mahu sikap berkecuali. Saya mula menaruh minat untuk melihat J. Smuts secara dekat.

Tiga tahun sebelum itu Hertztog telah memimpin kempen memansuhkan nama pengundi pribumi Afrika daripada daftar biasa pengundi di Cape. Saya mendapati Smuts merupakan insan yang berbeza pula dengan perjuangan orang kulit hitam. Ini diasaskan kepada maklumat betapa dia telah berusaha dengan penubuhan League of Nations (diasaskan di Geneva dan dimansuhkan untuk diganti dengan PBB: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kemudiannya - penterjemah) dan mencadangkan agar dibenarkan kebebasan manusia sejagat, sedangkan di negara sendiri wujud pelbagai tekanan terhadap penduduknya.

Smuts telah berucap mengenai pentingnya menyokong Great Britain melawan Jerman dan pendirian Britain yang sama dengan nilai hidup Barat yang turut dikongsi sama oleh kami rakyat Afrika Selatan. Saya masih ingat loghatnya bertutur bahasa Inggeris adalah seteruk bunyi sebutan saya sendiri! Saya telah mengikut gelagat rakan sedarjah menepuk tangan tanda bersetuju dengan ucapannya, sambil menyetujui seruan Smuts menyokong peperangan untuk kebebasan Eropah, tetapi lupa diri bahawa kebebasan yang dikatakan itu masih belum nampak bayangnya lagi di negara sendiri.

Smuts berjaya dengan khutbahnya itu di Fort Hare. Setiap petang warden di Wesley House kerap mengikuti kisah perang di Eropah, dan pada waktu tengah malam kami selalu berkumpul berdekatan sebuah radio buruk mengikuti siaran BBC dan mendengar ucapan Winston Churchill yang berapi-api. Walaupun kami sokong lawatan Smuts, kata-katanya telah mencetuskan banyak perdebatan. Dalam satu sessi perbincangan, seorang teman saya, Nyathi Khongisa, yang merupakan seorang yang memang pintar telah mengutuk Smuts sebagai seorang yang rasis. Dia berkata mungkin kami menganggap diri laksana orang kulit hitam Inggeris (Black Englishman), namun orang Inggeris itulah yang telah menekan kami, atas nama membawa tamaddun mereka. Katanya, betapa kuat dan hebatpun antagonisma antara British dan Boer, dua kumpulan orang putih ini masih mampu bersatu untuk menghenyak orang kulit hitam. Segala pendapat Khongisa itu memeranjatkan kami kerana mengandungi unsur-unsur radikal di dalamnya.

Seorang kawan telah berbisik kepada saya bahawa Nyati adalah seorang ahli African National Congress (ANC) sebuah pertubuhan yang saya dengar samar-samar sahaja dan tidak amat mengetahui akan aktivitinya. Apabila Afrika Selatan mengishtiharkan perang terhadap Jerman, Hertztog mengundurkan diri dan Smuts menjadi perdana menteri.

Sewaktu saya berada di tahun dua di Fort Hare, saya telah mengajak seorang kawan bernama Paul Mahabane menghabiskan cuti musim sejuk bersama saya di Transkei. Paul berasal daripada Bloemfontein dan terkenal di kampus kerana bapanya Reverand Zaccheus Mahabane telah dua kali dilantik menjadi 'president-general African Naional Congress'. Hubungannya dengan organisasi yang tidakpun berapa saya fahami telah membuatkan perangainya berunsur mudah memberontak.

Satu hari ketika bercuti itu, kami pergi ke Umata, ibukota Transkei, yang ketika itu hanya mempunyai beberapa jalan yang bertar dan beberapa bangunan kerajaan. Kami sedang berdiri di hadapan pejabat pos apabila majistret (berkulit putih) tempatan yang berumur sekitar enam puluhan, mendekati Paul. Dia mahukan Paul masuk ke dalam membelikannya beberapa keping setem. Adalah satu perkara biasa di zaman itu seseorang berkulit putih memanggil orang kulit hitam membuat sesuatu tugasan untuknya. Majistret itu telah menghulurkan sedikit wang, tetapi enggan diterima oleh Paul. Majistret itu merasa terhina, "Apakah anda kenal siapa saya?" tanya majistret itu sambil menunjukkan wajah yang marah dan merah. "Apa perlunya mengetahui siapa anda?" kata Mahabane. "Aku tahu anda itu siapa." Majistret menanyakan apa sebenarnya erti kenyataan Paul itu. "Saya tahu anda seorang penyamun." (nasib baik dia tidak cakap macam apanamaaaa? - penterjemah) Majistret melenting dan meninggikan suaranya, "Anda akan tahu satu hari nanti!" dan terus melangkahkan kakinya.

Saya merasa begitu tidak senang dengan sikap Paul. Walaupun saya memuji keberaniannya, namun saya merasa tersentuh perasaan juga. Majistret itu kenal siapa saya sebenarnya dan saya tahu kalaulah dia meminta saya dan bukannya Paul untuk membeli setem itu, saya sudah pasti melaksanakan permintaan itu dan melupakan peristiwa tersebut. Namun, saya mengkagumi perbuatan Paul walaupun saya belum bersedia meniru gelagat itu. Saya mula sedar selepas itu bahawa seorang berkulit hitam tidak perlu menerima segala bentuk celaan yang diarahkan padanya setiap hari.

Selepas bercuti, saya pulang ke universti lebih awal pada tahun baru itu dengan perasaan baru dan lebih menyegarkan. Saya tumpukan perhatian penuh kepada pelajaran untuk menghadapi peperiksaan pada bulan Oktober. Saya telah mula membayangkan, betapa dalam setahun lagi ijazah B.A akan berada dalam genggaman, seperti Gertrude Ntlabathi. Saya percaya ketika itu, bahawa ijazah universiti adalah satu pasport bukan sahaja untuk menjadi pemimpin masyarakat bahkan untuk mencapai kejayaan dalam bidang kewangan. Kami pernah diingatkan secara berulang-ulang oleh pengetua Dr. Alexander Kerr, dan Professor Jajabavu dan Matthews bahawa sebagai mahasiswa Fort Hare kamilah pelajar Afrika yang terbaik. Saya semakin percaya bahawa dunia ini akan menjadi pentas saya.

Dengan ijazah B.A. bolehlah saya kembalikan kekayaan dan penghormatan yang lama menghilang daripada dakapan ibu saya selepas kematian ayah. Saya bercadang membina sebuah rumah kediaman yang selesa untuknya di Qanu, lengkap dengan taman bunga, berserta perabot dan segala kemudahan dalam rumah. Saya mahu membantu ibu dan adik-adik perempuan yang lain dengan membelikan apa jua yang selama itu telah dinafikan kepada mereka. Itulah impian saya yang nampaknya boleh kesampaian.

Pada tahun itu saya telah dicalonkan untuk menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (SRC: Student Representative Council) yang merupakan badan pelajar yang tertinggi di Fort Hare. Saya tidak menjangkakan ketika itu bahawa peristiwa pelantikan seorang pelajar di universiti boleh memainkan peranan yang merobah halatuju dan menyulitkan hidup saya. Pemilihan SRC diadakan pada penggal akhir tahun itu, ketika kami sibuk bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Mengikut perlembagaan Fort Hare, keseluruhan badan pelajar memilih enam pelajar untuk menganggotai SRC. Sebelum dibuat piihan, satu mesyuarat dilangsungkan untuk membincangkan masalah dan membolehkan sesiapa menyuarakan kemusykilan. Para pelajar bersetuju secara sebulat suara bahawa menu hidangan makanan di Fort Hare perlu diperbaiki; dan kuasa SRC perlu ditambah lagi supaya tidak menjadi tukang angguk kepada segala keputusan pentadbiran. Saya bersetuju dengan dua cadangan itu. Apabila majoriti pelajar mengundi memboikot pemilihan seandainya pihak pentadbiran tidak setuju menerima tuntutan kami, saya pun turut bersetuju dengan mereka.

Tidak berapa lama selepas mesyuarat itu, proses mengundipun dilaksanakan dengan majoriti pelajar memboikot pengundian. Tetapi seramai dua puluh lima pelajar yang bersamaan dengan satu per enam badan pelajar telah hadir dan memilih enam orang perwakilan yang termasuk saya. Pada hari yang sama, enam pelajar yang telah dipilih secara 'in absentia' bertemu untuk membincangkan perlantikan itu. Secara sebulat suara kami meletakkan jawatan daripada perlantikan itu kerana berpendirian, kami menyokong pemboikotan itu dan kerana tidak mendapat sokongan majoriti pelajar yang ada. Kamipun menyediakan surat untuk diserahkan kepada Dr. Kerr.

Akan tetapi, Dr. Kerr adalah seorang manusia yang pintar. Dia telah menerima perletakan jawatan kami dan mengumumkan pemilihan baru keesokan harinya di waktu makan malam, di dewan makan. Dengan cara ini semua pelajar akan hadir dan tidak ada sebab kenapa SRC tidak mendapat sokongan keseluruhan masyarakat pelajar. Pada malam diadakan pemilihan mengikut syarat yang ditetapkan oleh Dr. Kerr, hanya dua puluh lima pelajar yang sama telah memberikan undi mereka memilih enam orang pelajar yang sama. Bererti, masalah lama timbul semula.

Pada kali itu, kami berenam telah bermesyuarat menilai keadaan terbaru mengenai kedudukan kami. Lima orang kawan saya itu berpendapat bahawa secara teknikalnya, walaupun hanya dua puluh lima pelajar yang hadir telah memangkah kertas undi mereka memilih kami, seluruh masyarakat pelajar telah hadir menyaksikannya dan dengan itu kami tidak ada asas mengatakan bahawa kami tidak mendapat mandat mewakili keseluruhan pelajar. Lima orang kawan saya beranggapan kami seharusnya menerima perlantikan itu. Tetapi saya telah mengambil pendirian yang berbeza; walaupun semua pelajar hadir, majoriti mereka tidakpun mengundi, kerana itu dari segi moral adalah tidak tepat mengatakan kami mendapat restu keyakinan mereka. Oleh kerana sasaran utama adalah memboikot pengundian itu, yang mendapat persetujuan majoriti masyarakat pelajar, tugas kami ialah mematuhi resolusi pelajar itu dan tidak terpesong kepada muslihat yang dirancang oleh pengetua maktab. Apabila gagal meyakinkan kawan-kawan, sayapun meletakkan jawatan, dan itulah tindakan yang tidak ada orang lain menirunya.

Pada keesokan harinya, saya diarahkan menemui pengetua. Dr. Kerr, adalah lulusan Edinburg University yang merupakan pengasas Fort Hare dan seorang yang amat dihormati. Dengan tenang dia mengkaji peristiwa yang berlaku selama itu dan meminta saya memikirkan semula tindakan meletakkan jawatan. Saya memberitahu beliau betapa saya enggan menarik balik tindakan itu. Dia menyuruh saya memikirkan dulu perkara itu semalaman dan memberitahu keputusannya keesokan hari. Namun dia ada memberikan amaran bahawa dia tidak membenarkan pelajar bertindak sesuka hati mereka dan berkata kalau saya berdegil untuk meletakkan jawatan itu, dia terpaksa membuang saya daripada Fort Hare.

Saya terkejut dengan kata-katanya,dan tidak dapat tidur semalaman. Belum pernah saya berdepan dengan satu masalah sebesar itu. Pada petang itu saya telah berunding dengan mentor (sifu) saya K.D. yang berpendapat, bahawa dari segi prinsip saya tidak bersalah meletakkan jawatan dan seharusnya tidak merobah pendirian untuk mengalah. Saya fikir ketika itu saya lebih takutkan K.D daripada Dr. Kerr dan mengucapkan terimakasih kepadanya sebelum balik ke kamar saya.

Walaupun saya terfikir bahawa tindakan saya itu ada asas moralitinya, saya masih lagi tidak yakin apakah itu satu keputusan yang baik. Apakah saya mensabotaj kerjaya akademi saya gara-gara prinsip moral yang abstrak dan samar yang tidakpun membawa banyak makna? Saya mendapati sukar menelan tanggapan bahawa saya sanggup mengorbankan apa yang saya anggap satu perjanjian kepada para pelajar disebabkan ketamakan peribadi. Saya telah membuat satu pendirian yang tidak mahu diubah-ubah seolah-olah saya adalah seorang hipokrit di mata pelajar yang ada. Pada waktu yang sama, saya tidak mahu jahanamkan masa depan saya di Fort Hare.

Saya masih belum pasti dengan pendirian muktamad ketika melangkahkan kaki ke bilik Dr. Kerr pada keesokan harinya. Hanya apabila dia menyoal akan keputusan saya barulah saya membuat keputusan yang muktamat. Saya memberitahu dia saya sudah bersedia dengan jawapannya; bahawa saya tidak boleh melawan keputusan naluri untuk berkhidmat dengan baik di SRC. Dr. Kerr semacam terkejut dengan jawapan saya itu. Dia termenung sebentar sebelum bercakap semula. "Baiklah," katanya. "Itu adalah keputusan kamu sebenarnya, Tetapi sayapun sudah memikirkan sedikit perkara itu dan mencadangkan perkara ini: anda boleh kembali ke Fort Hare tahun depan dengan syarat anda menganggotai jawatankuasa SRC. Anda mempunyai masa sepanjang cuti panas untuk membuat keputusan itu, Mr. Mandela."

Sebenarnya saya pun terkejut juga dengan jawapan yang saya berikan kepada Dr. Kerr. Saya sedar adalah sesuatu yang bodoh untuk saya meninggalkan Fort Hare. Tetapi, pada waktu saya terpaksa berkompromi dengan keadaan sebenar, saya masih tidak mampu melaksanakannya. Ada sesuatu dalam saya yang tidak mahu bertolak ansur. Walaupun saya menghormati keputusan Dr. Kerr dan kesediaan beliau memberikan saya satu peluang lagi, saya tidak merelakan kuasa mutlaknya yang cuba menentukan takdir hidup saya. Sepatutnya saya mempunyai hak yang mutlak untuk menarik diri daripada SRC mengikut kehendak saya sendiri. Inilah keadilan yang pincang, dan pada waktu itu saya melihat Dr. Kerr bukan lagi sebagai seorang dermawan, tetapi lebih sebagai seorang diktator yang tidak berapa ganas. Ketika saya melangkahkan kaki melepasi gerbang Fort Hare pada akhir tahun itu, perasaan hati saya mula merasakan ketenteraman yang berbelah-bagi.

....bersambung....


Rolihlahla88@hotmail.com