Laman Webantu   KM2A1: 5215 File Size: 12.8 Kb *



TAG SP 250: WPost - Malaysia Mengekang Aktivis Politik Pembangkang
By Rajiv Chandrasekaran

13/8/2001 10:12 pm Mon

[Apa yang dialami oleh Gobalakrishnan itu sudah cukup untuk menunjukkan Mahathir menangkap bukan kerana pembangkang mengancam keselamatan negara - tetapi kerana mahu BN kekal berkuasa dengan apa jua cara. Polis bertopeng Mahathir nampaknya berminat dengan soalan seks dan desakkan agar Gobalakrishnan meninggalkan parti keADILan kerana itu akan mengaibkan dan melemahkan sasaran - pembangkang.

Ahli Umno yang terlalu taksub menyokong Mahathir perlu menitip perkara ini. Mengapa Gobalakrishnan tidak dihadapkan sahaja ke mahkamah jika benar dia mengancam keselamatan. Kerajaan seperti gerun dengan kebangkitan hakim negara ini - jika Gobalakrishnan terhukum itu mungkin akan mencetus kebangkitan kaum India pula kerana mereka kenal siapa Gobalakrishnan yang sebenarnya. Dia sanggup ditangkap dan didera lagi untukmu rakyat Malaysia... - Editor]


Washington Post

Malaysia Mengekang Aktivis Politik Pembangkang

(Malaysia Reins In Opposition Political Activists)

Oleh: Rajiv Chandrasekaran

Dua kereta polis yang tidak bertanda telah memotong kereta yang dipandu oleh Nagapan Gobalkrishnan, ketika beredar daripada satu ceramah politik di man dia telah berucap berapi-api menggesa Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad mengundurkan dirinya.

"Kamu kena ikut kami,' kata salah seorang pegawai yang memintasnya. 'Kami mahu tanya kamu sedikit.'

Setibanya di balai polis pada April itu, pegawai yang berkuasa telah memberitahu Gobalkrishnan bahawa dia ditahan mengikut ISA, satu undang-undang peninggalan penjajah yang membenarkan sesiapa sahaja ditahan tanpa perbicaraan selagi yang disenangi oleh kerajaan. Pegawai polis telah menuduh beliau bersama dengan tujuh lagi pemimpin Parti Keadilan merancang menggunakan 'kaedah militan' menjatuhkan Mahathir, seorang diktator yang paling lama berkuasa di Asia.

Tujuh minggu berikutnya, Gobalakrishnan telah dikurung sendirian dan tidak dibenarkan menemui peguam dan ahli keluarganya. Dia menceritakan bagaimana dia didera oleh soal-siasat yang panjang-panjang yang kerap diselang-seli dengan penderaan fizikal yang kejam. Soalan itu tidakpun memberi tumpuan kepada tuduhan terhadap keganasan politik, yang telah dinafikannya, tetapi mengenai pengendalian dalaman partinya dan kepada perhimpunan besar antikerajaan yang telah dikendalikannya.

"Semua itu kerja haprak," jerit Gobalakrishnan, 41, seorang aktivis politik veteran yang lantang suaranya. "Mereka tangkap kami dengan tuduhan palsu hanya untuk menakutkan kami - dan yang lain di pihak pembangkang."

Ramai pemimpin pembangkang dan aktivis hak asasi manusia beranggapan bahawa Mahathir sedang menggunakan beberapa undang-undang zalim untuk melancarkan satu usaha memecah-belahkan gerakan pembangkang yang semakin kuat gegarannya sehingga menjadi bencana yang paling menggugat kerajaan; berbanding dua dekad kepimpinannya. Kerajaan Mahathir telah mengarahkan satu siri penangkapan mengikut akta Keselamatan Dalam Negeri dan telah mengharamkan ceramah terbuka. Ini bererti puluh-ribuan pegawai polis sudah digembleng keluar daripada tugas rutin mereka untuk memantau ceramah pembangkang dan membubarkan kumpulan yang melebehi empat orang.

'Demokrasi negara kami telah dikasi, kerana Mahathir takut dia tidak lagi mampu mencengkam kuasa kuku besinya,' kata Chandra Muzaffar timbalan presiden Keadilan. Parti itu telah ditubuhkan oleh isteri Anwar Ibrahim, bekas timbalan perdana menteri yang popular dan kini merengkok dalam penjara kerana tuduhan palsu yang telah sengaja direka-reka.

Pada awal bulan ini, kerajaan telah menahan 10 orang lagi di bawah akta Keselamatan Dalam Negeri itu. Kebanyakan mereka adalah ahli aktif parti pembangkang terbesar, PAS. Pegawai polis menuduh para tahanan yang dikatakan telah dilatih di Afghanistan, terlibat dengan pengeboman, rompakan, dan pembunuhan seorang ahli politik. Pegawai parti (PAS) telah menafikan tuduhan itu dan berkata penangkapan mereka adalah disebabkan aktiviti mereka sebagai pembangkang.

Penangkapan dan larangan himpunan untuk berceramah sudah menyemarakkan ketegangan politik di negara Asia Tenggara yang mempunyai penduduk seramai 23 juta. Ini telah mencetuskan kesangsian apakah pihak pembangkang akan terus dihenyak gara-gara penglibatan mereka dengan peningkatan polarisasi etnik dan agama yang semakin berjaya memaut hati rakyat kebelakangan ini, menjadikan negara satu model kancah keharmonian pelbagai kaum.

Walaupun Barisan Nasional pimpinan Mahathir menguasai tiga per empat kerusi di Parlimen, parti pembangkang telah berjaya maju ke depan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada pemilu yang terakhir, PAS mampu menambah tiga kali ganda kerusi di Parlimen dan merangkul kuasa pemerintahan dua negeri.

Sejak itu, kumpulan pembangkang telah meneruskan kempen untuk menggesa rakyat keluar daripada parti pimpinan Mahathir dengan menggunakan kisah pembabitan Mahathir dengan para kroni dalam dunia perniagaan, cara dia mengaibkan Anwar, putarbelitnya terhadap badan kehakiman negara, dan gelagatnya menindas pembangkang. PAS telah berjaya meyakinkan orang Melayu yang juga beragama Islam bahawa Mahathir gaagal menangnai masalah bersangkut-paut dengan agama Islam.

Di Malaysia tidak ada sistem pungutan suara yang boleh diyakini, tetapi para pengamat politik berkata taktik PAS memang nampak kejayaannya. Mahathir sudah semakin menggelabah.

"Kegarangan pihak pembangkang memang merumitkan.," kata Zulkifli Mohd. Alwi, seorang pegawai parti Mahathir, UMNO.

Perdana Menteri dan sekutunya menafikan bahawa penangkapan itu bertujuan menekan penentangnya. Mereka bertegas mentohmah bahawa ahli-ahli Keadilan dan mereka yang bersekutu dengan PAS sememangnya mahu menggunakan keganasan untuk menjatuhkan kerajaan.

'Ada yang cuba membuat bom tangan, mencari senjata dan membeli senapang daripada negara jiran dan merusuh sepanjang masa sehinga kerajaan dapat mereka gulingkan,' kata Mahathir mengenai pemimpin Keadilan yang telah ditahan. 'Kita tidak boleh benarkan perkara itu.'

Akan tetapi, kerajaan tidakpun mempunyai bukti kepada semua tuduhan itu. Mengikut perundangan ISA, pegawai berkuasa tidak perlu mengemukakan tuduhan ataupun mendapatkan izin seorang hakim untuk menahan seseorang selama 60 hari. Selepas itu, mereka yang dianggap sebagai anasir berbahaya kepada keselamatan negara ditahan tanpa perlu dibicara selama yang disenangi oleh menteri dalam negeri. Pakar guaman berkata undang-undang Malaysia ialah antara yang paling kejam di dunia.

Peguam yang membela tahanan daripada pemimpin Keadilan berkata bahawa kegagalan kerajaan mengemukakan bukti terhadap dakwaan tindakan ganas yang dirancangkan itu menunjukkan betapa segala tuduhan itu sengaja direka-reka. 'Semua ini adalah tuduhan palsu yang sengaja direka-reka untuk meyakinkan orang awam untuk membolehkan penggunaan ISA,' kata peguam Sivarasa Rasiah. 'Tujuan kerajaan sebenarnya ialah untuk mengurangkan bisa kebangkitan rakyat.'

Sivarasa berkata mereka telah disoal-siasat mengenai organisasi dalaman parti dan kewangannya, bukanpun keganasan. Mereka juga berkata bagaimana pegawai polis mahukan mereka menganggotai parti Mahathir dan tinggalkan parti pembangkang. 'Semua ini adalah mainan politik,' kata Sivarasa.

Inilah juga rumusan Gobalakrishnan sebaik sahaja ditangkap untuk ditahan selama 51 hari, dan sebelum dia mula-mula disoal-siasat untuk pertama kalinya.

Mereka tidak pernah menyoal saya mengenai keganasan, ataupun bom tangan, senapang dan pelancar roket yang mereka tohmahkan sebagai alat kelengkapan kami,' kata beliau. 'Mereka mahu tahu mengenai perjalanan parti.' Kemudian dia berkata betapa para penyoalnya 'mahu saya mengaku ada perhubungan seks dengan wanita lain selain isteri saya, kisah wanita dalam parti. Mereka mahu menggambarkan wanita dalam parti sebagai mereka yang kurang bermoral.'

Pengamat politik dan para diplomat berkata kehairanan kenapa polis berminat mengetahui kecenderongan seks ahli parti pembangkang. Mereka mengungkit tindakan kerajaan mengaitkan tuduhan perbuatan buruk melibatkan Anwar yang menghasilkan penghukumannya sedangkan segala bukti yang dikemukakan adalah bukti haprak yang mudah dipertikaikan. Inilah yang menjahanamkan reputasi Mahathir sebaliknya menaikkan nama Anwar.

Gobalakrishnan berkata pembebasannya dahulu bersama seorang lagi aktivis adalah disebabkan seorang hakim yang bersimpati dengannya dan yang berani menggosok airmuka pihak kerajaan kerana gagal mengemukakan sebarang bukti menyokong tuduhan mereka. Enam lagi pemimpin yang merayu kepada seorang hakim lain telah ditolak dan kini sedang ditahan. Timbalan Mahathir telah mengarahkan mereka dipindahkan kepada penjara tahanan dengan menandatangani surat tahanan untuk dua tahun lamanya.

Para peguambela kepada enam tahanan ini telah merayu kepada Mahkamah Persekutuan. Satu kejutan dari segi prosedur telah berlaku, Ketua Hakim Negara telah mengenepikan bantahan kerajaan dan memutuskan pada minggu ini bahawa beliau akan mengambil kira bukti soal-siasat dulu.

Para peguam parti dan aktivis hak asasi manusia mengharapkan Ketua Hakim Negara, Mohd Dzaiddin Abdullah, yang berazam mahu mengembalikan martabat badan kehakiman negara, akan menyedarkan Mahathir bahawa dia tidak boleh menyalah-gunakan undang-undang untuk menyakat pemimpin pembangkang.

Beberapa bulan terakhir ini, badan kehakiman negara telah menunjukkan riak-riak kebebasannya. Dalam satu contoh yang sungguh bermakna, seorang hakim telah memansuhkan keputusan pilihanraya pada Jun dulu, walaupun pemilu itu telah dimenangi oleh parti komponen BN pimpinan Mahathir. Hakim itu berkata pada 1999, ketika perbicaraan dimulakan, dia telah 'diberikan arahan' oleh 'ketuanya' untuk mengenepikan kes itu.

'Kini, para hakim merasa lega kerana mereka ada sedikit kebebasan,' kata Param Cumaraswamy, seorang peguam Malaysia yang berkhidmat sebagai utusan khas PBB mengenai kebebasan undang-undang. 'Dengan munculnya Ketua Hakim Negara yang baru suasana yang lebih tenteram telah tercipta untuk membolehkan para hakim menjalankan tugas tanpa ada tekanan daripada atas.'

Baru-baru ini perdana menteri ada berkata bahawa kerajaannya 'tidak perlu meminta maaf kepada sesiapa' dengan penangkapan itu, yang katanya dilaksanakan 'untuk kebaikan dan keselamatan negara.'

Pengamat politik dan para diplomat berkata penangkapan 10 orang itu dengan dakwaan mereka ada hubungkait dengan pejuang jihad di Afghanistan boleh jadi sebagai satu usaha untuk melencongkan kritikan kerajaan Barat terhadap akta ISA. 'Dia cuba menunjukkan bahawa ini adalah satu operasi memansuhkan ekstremis Islam,' kata seorang diplomat Barat. 'Dia fikir kelentongannya itu boleh mengabui orang Amerika dan Eropah.'

Akan tetapi, diplomat itu menyoal apa yang ditohmahkan oleh perdana menteri. 'Setakat ini kami tidakpun melihat sebarang bukti yang benar-benar menunjukkan bahawa orang-orang ini melakukan segala kejijikan itu selain daripada mereka ini sebenarnya pekerja biasa untuk pembangkang.'

Beberapa pemimpin sekutu Mahathir telah menyerlahkan kebimbangan mereka bahawa segala penahanan ini akan melibas balik. Mereka curiga kelentongan Mahathir kali ini akan menyemarakkan semangat dan bukannya menakutkan para pemimpin pembangkang seperti Gobalakrishnan.

'Mahathir tidak boleh menakutkan saya,' kata Gobalakrihnan. 'Saya akan terus menentangnya walaupun ini bermakna disumbat semula dalam penjara.'

***

Catatan Penerjemah:

Hai, Mahathir haprak....! Kalau beginilah berita yang ditulis dan disiarkan di Washington di mana ribuan diplomat asing menetap di sana, bagaimana agaknya dia mahu terus kelentong di Kampala, Uganda dalam persidangan South-South itu? Semua negara barat sudah tahu lama bahawa persidangan itu adalah tajaan duit rakyat Malaysia yang bertujuan menonjolkan Wira Terhaprak Dunia Ketiga. Cuma orang UMNO yang tidak (MAHU) sedar.


Terjemahkan: SPAR-01?




Asal:

http://washingtonpost.com/wp-dyn/articles/A64593-2001Aug11.html

atau KM2: 5211