Laman Webantu   KM2A1: 5234 File Size: 4.9 Kb *



AG: Bila Pakaian Dalam Dan Kondom Ditemui Sekitar KLCC...
By Roslan Bian

16/8/2001 6:20 pm Thu

[Lihatlah apa yang terjadi kepada masyarakat melayu sekarang ini. Dimanakah polis yang sudah ditambahkan gaji dan bilangan mereka itu? Bukankah remaja ini berkumpul lebih dari bilangan yang dibolehkan? Mengapa tidak dikirim polis untuk meleraikan mereka? Bagaimana pula dengan pegawai jabatan ugama? Apakah mereka semua sudah serik kerana asyik diganggu dan ditegur oleh pemimpin Umno? Sekarang siapa yang rugi sebenarnya? - Editor]


http://www.agendadaily.com/details.php?id=518

Bila Pakaian Dalam Dan Kondom Ditemui Sekitar KLCC...

Laporan Oleh : ROSLAN BIAN

KUALA LUMPUR, Ahad 5 Ogos - Penemuan pakaian dalam wanita dan lelaki serta kondom di sekitar kawasan taman sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) mendedahkan kepada umum bagaimana kawasan berkenaan kini menjadi tempat remaja termasuk mereka di bawah umur melakukan perbuatan tidak senonoh.

Malah kawasan itu juga dipercayai menjadi medan kepada tiga kumpulan remaja - Punk, Skin Head dan Hip Hop menjalankan aktiviti tidak bermoral, mengamalkan ajaran bertentangan agama dan kerap bergaduh antara satu sama lain termasuk menggunakan senjata tajam.

Kegiatan bebas remaja lelaki dan gadis bawah umur itu dikesan setelah pemantauan bersepadu oleh pemimpin Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Pemuda Umno Wilayah serta Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang pada setiap hujung minggu sejak pertengahan Julai lalu.

Sekumpulan wartawan media cetak dan elektronik yang mengikuti gerakan pemantauan awal pagi ini melihat sendiri beberapa helai pakaian dalam lelaki dan seluar dalam wanita serta kondom yang di temui di sekitar taman KLCC berhampiran sebuah hotel di situ.

Lebih memeranjatkan lagi dua remaja anggota kumpulan Skin Head dan Hip Hop mendedahkan bahawa kegiatan kumpulan terbabit sudah ketahap serius sehingga ada yang terpengaruh ajaran memuja syaitan dan gerakan Nazi - Hitler.

Remaja anggota kumpulan Skin Head berusia lingkungan 17 tahun itu mendedahkan bahawa kegiatan mereka yang bercirikan gerakan Nazi - Hitler itu diketuai seorang lelaki lingkungan 30 an yang dikenali sebagai 'Sham 69' atau 'Papa Skin'.

Lelaki terbabit dikatakan berasal dari Johor dan hampir setiap hujung minggu akan ke kawasan KLCC bertemu anggota kumpulan lelaki Skin Head dan anggota wanita yang dikenali Skin Girl.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Abdul Rauf Yusoh yang juga Ahli Sekretariat Pemantauan dan Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Haidar Abdul Kadir yang mengetuai operasi pemantauan pagi ini turut terperanjat dengan pendedahan remaja terbabit.

Sambil menganggap kegiatan seks bebas dan ajaran Punk, Skin Head dan Hip Hop di sekitar KLCC sudah ditahap membimbangkan, Abdul Rauf yang juga Ketua Pemuda Bukit Bintang berharap, sesuatu dapat dilakukan segera bagi menangani gejala sosial terbabit.

Di peringkat Pergerakan Pemuda katanya, persediaan terakhir untuk menubuhkan Pasukan Sukarela Remaja sedang dilakukan dan orang ramai warga kota dipelawa menyertai pasukan terbabit.

Katanya, pasukan ini kelak akan terbabit program pencegahan dengan memantau kegiatan remaja tidak bermoral di pusat-pusat hiburan termasuk KLCC, mendekati golongan berkenaan, mengumpul maklumat strategik dan kaji selidik.

"Bagi memastikan ianya berkesan, sukarelawan ini akan diberi bimbingan dan pengetahuan untuk melaksanakan tugas-tugas berkenaan melalui kerjasama Jabatan Polis, Jabatan Agama, Jabatan Kebajikan Massyarakat serta pihak berkuasa tempatan," katanya kepada media selepas sesi pemantauan jam 1 pagi tadi.

Abdul Rauf berkata, pada peringkat awal ini, kawasan sekitar KLCC akan diberi tumpuan kerana maklumat awal mendapati antara 100 hingga 300 remaja lelaki dan perempuan melepak, menghisap ganja, bercumbuan dan melakukan hubungan seks di kawasan terbabit pada tengah malam terutama hujung minggu.

"Sebahagian gadis terbabit adalah mereka di bawah umur 15 tahun yang lari dari rumah malah ada yang memilih beberapa tempat tersorok di sekitar hotel berhampiran KLCC sebagai tempat tinggal. Ini terbukti dengan penemuan pakaian dan beg mereka," katanya.

Katanya, walaupun ada pemantauan oleh pasukan keselamatan KLCC dan hotel berkenaan, tetapi aktiviti remaja terbabit sudah ke tahap serius malah ada yang mengancam mencederakan pengawal keselamatan di situ yang menegur kegiatan mereka.

Beliau berharap orang ramai yang berminat menyertai pasukan sukarela itu menghubungi Biro Amal dan Aduan Pergerakan Permuda Wilayah Persekutuan di talian 03 - 26922442 untuk mendaftar diri sebagai anggota pasukan dan dapat bersama dengan pergerakan pemuda mencegah kegiatan remaja untuk mengelak lahirnya generasi bobrok pada masa depan yang boleh menghancurkan negara.