Laman Webantu   KM2A1: 5236 File Size: 6.7 Kb *



BKAdil: Mahathir Mengamuk, Mendera Melayu
By Nenek Kebayan

16/8/2001 6:49 pm Thu

http://berita-keadilan.net/kolum/kolumnis/160801nenek.htm

Mahathir mengamuk, mendera Melayu

Dia mengamuk lagi. Jika ada yang dianggapnya aral melintang, akan dilanyak dan dibantai. Di zaman remajanya, puisi yang diminati ialah "Charge of the Light Brigade". Seolah-olah beliau berada dalam peperangan; maka pencabar dan pengkritik dianggap musuh yang mesti dilenyapkan. Dalam Malay Dilemma, beliau menyentuh "amok" sebagai sifat Melayu yang bertindak liar dalam keadaan tertekan. Ketika itu, "amok" diungkapkan sebagai amaran kepada masyarakat Cina supaya jangan membuat tuntutan berlebihan.

Dalam suratnya kepada Tunku Abdul Rahman yang kemudiannya dilayangkan kepada umum beliau menyelar Tunku kerana "bertolak-ansur" dan sentiasa mengalah kepada masyarakat Cina. Katanya, Tunku dibenci rakyat hinggakan polis dan tentera memihak untuk mengundi PAS dalam pilihanraya 1969. Beliau marahkan Tunku kerana menuduhnya Pakistani dan menyebut Tunku dari keturunan Siam. Menurutnya, Tunku tidak akan perolehi maklumat benar kerana dikelilingi pengampu; oleh itu wajar meletakkan jawatan selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Almarhum Tunku merajuk dan kemudiannya meletakkan jawatan. Penulis surat tersebut, Dr. Mahathir Mohamad, sekarang terpaksa meneliti semula kandungan surat berkenaan. Di zaman Tunku, rasuah, kronisme dan nepotisme tidak separah ini; tidak ketara megalomania sehingga membazirkan wang rakyat; kerakusan dan kezaliman tidak mencengkam seperti sekarang. Justeru itu, sebaik Tunku meletakkan jawatan, rakyat sedia menganggapnya sebagai "bapa". Tetap di antara nasihat bapa yang paling tegas ialah bahaya dan ancaman Dr. Mahathir yang pasti akan memporakperandakan negara dan mencemarkan amalan demokrasi termasuk institusi kehakiman. Demikian himbauan bapa kemerdekaan.

Di sebaliknya, dengan usianya yang begitu lanjut, Dr. Mahathir memilih untuk mengamuk. Telahan Tunku kini terbukti sudah. Budaya UMNO belum pernah sefeudal dan sebisu sekarang. Para pengampu bersaing untuk memuji dan memuja serta menyerang "kebiadapan" lawan. Walhal isu yang dibangkitkan dalam surat layang 1969 mengenai pengundian, tidak lagi terbatas kepada polis dan tentera kerana majoriti orang Melayu menolak UMNO dan BN dalam pilihanraya 1999. Beliau bukan sekadar dikelilingi para pengampu, tetapi menurut David Roche, penganalisa ekonomi terkemuka, beliau dikelilingi "Sycophants" yakni penjilat yang bacul dan tidak berwibawa! (Secara kebetulan, media BN menghebahkan kenyataan yang mengutuk ketua mereka dalam media internasional dengan maksud membelanya).

Mengamuk adalah pelakuan menyerang secara membabi buta; berkecamuk dan tanpa belas kasihan. Pelakunya sering nanar atau kurang siuman. Mungkin juga dalam kemabukan - takhta dan harta. Rakyat kebengongan melihat feel sang penguasa lanjut usia mengamuk. Malangnya kesan amuk penguasa ialah umat dan negara. "Sycophants" dalam UMNO termasuk pemuda dan puterinya mampu mengaminkan sahaja. Pasukan polis dijadikan perkakas bertindak ganas, memijak hukum, semata-mata untuk membantu penguasa rakus dan zalim mengekalkan kuasa dan melindungi perasuah. Bayangkan, kalangan lain yang dikira siuman mempertahankan segala rencana si pengamuk tadi!

Perhatikan sahaja isu meritocracy atau kuota kemasukan pelajar ke IPT. Ia menjadi dasar yang menjamin keseimbangan berteraskan dasar ekonomi baru dan semangat Perlembagaan Negara. Ia dibahaskan teliti dan kemudiannya diumumkan oleh Perdana Menteri Tun Hussein Onn. Sekonyong-konyong sang penguasa mengamuk, marahkan mahasiswa kerana tidak menyokongnya. Puas ikhtiar memujuk, mengugut tetapi tidak berhasil. Maka terus diumum dasar meritocracy dengan maksud mendera pelajar-pelajar Melayu. Akibatnya bangsa Melayu dan bumiputra yang didera; dan ia mungkin mencetuskan ketegangan sosial baru dalam negara.

Tidak terdapat sama sekali perbincangan dalam UMNO atau kerajaan sebelum kenyataan mengamuk tersebut. Kerana sesungguhnya, isu kuota berkaitan dengan prinsip keadilan dan jaminan masa depan bumiputera. Yang dikritik ialah beberapa aspek pelaksanaanya dari sudut syarat kelayakan, kursus yang dianjurkan dan sebagainya. Dan yang perlu ditangani segera ialah jaminan peluang ke IPT di kalangan pelajar bukan bumiputera mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Kita tidak wajar merungkai persefahaman tersebut sehingga dijamin kemudahan saksama bagi sekolah-sekolah di kawasan desa dan pendalaman Sabah dan Sarawak. Kita harus mengerti kebijaksanaan dasar "affirmative action" tanpa mengabaikan nasib anak-anak miskin dan cemerlang dari kalangan semua kaum.

Kita ulangi, yang dikecam selama ini ialah penyelewengan dalam melaksanakan dasar bumiputera. Anak-anak Menteri dan korporat Melayu turut menerima biasiswa. Kontrak, saham, peluang penswastaan diagih kepada keluarga dan kroni. Mengapa tidak diperbetulkan dasar tersebut dan mengamalkan ketelusan, pertanggungjawaban yakni prinsip pengurusan yang baik (good governance)?

Isu-isu lain yang berbangkit sengaja diperbesarkan seperti Black Metal dan kumpulan mujahidin. Muslihat penguasa sedia diketahui. Pelajar-pelajar yang terlibat dalam amalan agama yang menyeleweng perlu menyertai kursus intensif dan didedahkan dengan maklumat yang benar. Tetapi, cara polis menyerbu kompleks membeli belah, menangkap anak-anak muda semata-mata kerana berkumpul atau memakai t-shirt yang dianggap ofensif oleh orang-orang tua adalah keterlaluan. Janganlah kita bertindak terhadap anak-anak mengikut cara komando; menjurus ke satu sistem ala komunis yang mengongkong. Pihak penguasa mesti akui kenyataan, sekiranya isu aqidah dan penyelewengan ajaran agama berlaku, penyelesaiannya ialah didikan dan dakwah; bukannya kekerasan dan gembar-gembur politik!

Ramai yang mempertikai kewibawaan dan profesionalisme pasukan polis. Kenyataan pimpinan mereka mirip kenyataan politik; tindakan mereka sering mengikut selera politik penguasa sepertimana tindakan melarang ceramah. Maka muncul isu kumpulan mujahidin, rakyat mengeluh lagi memikirkan amuk penguasa. Senjata zalim warisan penjajah mudah dan lumrah digunakan. Sejak bila kunjungan ke Afghanistan menjadi kesalahan? Jika terdapat bukti jenayah, hadapkan mereka ke mahkamah.

Memadailah dengan penguasa dan parti pemerintah yang mengamuk. Jentera kerajaan perlu kekal profesional!

Nenek Kebayan