Laman Webantu   KM2A1: 5246 File Size: 9.3 Kb *



TAG SP 253: AWSJ - Dendangan Terakhir Buat Mahathir
By Barry Wain

17/8/2001 7:23 pm Fri

[Demi kebaikkan rakyat negara ini, Mahathir sepatutnya kembali ke pangkal jalan dan membebaskan Anwar. Mungkin rakyat bersedia memaafkan beliau yang telah mengaibkan Anwar. Tidak ada tanda rakyat semakin memihak kepada Mahathir walaupun sudah sekian lama. Mereka tidak lupa. Malah jika Anwar maut atau cacatpun kebangkitan rakyat mungkin akan semakin bertambah pula. Mahathir tidak sanggup berkorban dan menelan kepahitan untuk kebaikkan rakyat negara ini. Kesannya lebih banyak lagi masalah bakal melanda negara. Tangkapan ISA dan cengkaman terhadap media tidak akan dapat menyelesaikan apa-apa. Rakyat akan tetap menyanggah dengan saluran lain pula dan kali ini ia mungkin lebih menyengat dan merbahaya kerana tidak dapat dikesan dengan nyata.
- Editor
]


AWSJ 24 Mei, 2001.

Dendangan Terakhir Buat Mahathir

(Mahathir's Swan Song)

Oleh: Barry Wain

Ferdinand Marcos terpaksa terbang melarikan diri pada malam hari, dengan bantuan Amerika untuk mati dengan penuh kehinaan di rantau orang. Suharto terpaksa turun takhta kerana dipulaukan, dan ditinggalkan oleh kabinet pilihan sendiri sambil rusuhan jalanan menggila setiap hari. Dia masih terselamat daripada pendakwaan disebabkan adanya banyak kecelaruan fikiran. Pengunduran Mahathir Mohammad daripada mercu kuasa Malaysia walaupun masih tidak ketara buat masa ini akan berlaku juga dan menjadi yang paling menyedihkan berbanding semua.

Malaysia sedang menggelongsor untuk menghenyak krisis politik dan ekonomi, hasil segala sikap angkuh bercampur degil yang Mahathir tunjukkan untuk memimpin negara mengikut acuan bikinannya yang ternyata haprak dan tidak berguna untuk 20 tahun lamanya. Dengan masalah yang tumbuh sakan laksana cendawan selepas hujan Mahathir yang sudah mencecah 76 kini, memang ketandusan idea, tenaga dan masa. Dia sudah menjadi bebanan besar kepada UMNO yang menjadi teras kerajaan Barisan Nasional, kepada Malaysia dan kepada Asia Tenggara. Dia sudah semakin terkenal sebagai manusia yang mempunyai lidah bercabang, kerana berkali-kali menyebut inilah tempoh terakhir untuknya, cuma dia tidak menampakkan gelagat mahu menepati janjinya.

Penggelongsoran kuasa Mahathir bermula setelah dia menghumbankan Anwar Ibrahim dan memenjarakan timbalannya itu pada 1998, sedangkan itulah insan yang diwar-warkan sebagai penggantinya. Kesungguhannya mengganyang dan mengaibkan seorang pesaing yang berbakat telah mencemar kebijaksanaannya, dan menjebaknya ke kancah yang penuh masalah baik bersifat dalaman ataupun sejagat. Mahathir hanya mempunyai satu jalan untuk menyauk sedikit martabat yang lama terhumban dengan mengampunkan Dato' Seri Anwar Ibrahim, sebelum dia melepaskan jawatannya. Tindakan itu walaupun diramalkan tidak akan berlaku, akan membawa kebaikan kepada negara dan kepada masalah peribadi mereka berdua.

Mereka berdua mempunyai peluang mengimbau kembali kisah lama betapa mereka tersilap membuat perkiraannya ketika bertindak bermasam muka ketika kegawatan ekonomi melanda negara. Walaupun setiap mereka sedang merana, Anwar yang baru meraikan harijadinya yang ke-54 kini, sudah mampu berada di posisi yang lebih selesa. Di sebalik kamar penjara berjeriji besi, dengan peranan sebagai mangsa politik satu konspirasi, Anwar mampu menghantui Mahathir setiap hari sehinggakan Mahathir merasa sukar menjalankan tugas perdana menteri sesuka hati.

Walaupun Mahathir berusaha menggunakan segala tipu helah menekan para pengkritiknya, semua taktik lama sudah tidak lagi berbisa. Dia tangkap setiap pembangkang dan mendera serta memenjarakan mereka tanpa perbicaraan dengan menggunakan hukum ISA yang zalim dan melarang para pembangkang berhimpun untuk memperotes. Namun, mereka tidak mudah diugut lagi ataupun didiamkan sesuka hati. Dia telah melancarkan serangan tekanan itu dengan menghancurkan aktiviti perniagaan penyokong Anwar sambil menggunakan isu perkauman dan hak keistimewaan Melayu sebagai pelencongnya.

Sebaliknya, Anwar yang dilanyak sehingga lebam matanya, ketika tangannya bergari dan matanya ditutup rapi dalam sebuah bilik penderaan polis pada satu malam hari, dan kini dinafikan hak menerima rawatan di luar negara, berjaya mengharumkan namanya untuk menarik pengaruh rakyat memberikan simpati. Semakin ramai Melayu keluar daripada UMNO. Apabila berbilion dollar dihamburkan untuk menyelamatkan perniagaan para kroni dan suku-sakatnya sehinggakan ada perniagaan itu yang dimilik-negarakan semula, Mahathir terpaksa berdepan dengan kenyataan yang pernah disebut oleh John Funston sebagai 'kehilangan besar kepercayaan dan amanah dalam kerajaan dan kepimpinan UMNO.'

Apapun, Mahathir cuba lakonkan apa yang dianggapnya satu usaha mampu bertahan laksana gelagat yang dulu-dulu. Dia tidak ditentang oleh pemimpin kanan parti dalam UMNO, kerana mereka terlalu taksub dengan taat dan setia kapadanya walaupun pakar strategi parti sedar UMNO tidak mampu menyekat penggelongsorannya selagi Mahathir ada. Mungkin juga Mahathir curiga bahana yang menghambat anak-anak selepas pengundurannya, walaupun seorang anak lelakinya sudahpun menjual segala saham perniagaan berdaftar miliknya untuk memberikan tumpuan kepada UMNO.

Walaupun tidak ketara bahaya yang akan menghumban Mahathir dalam masa yang terdekat, hanya masa yang akan jadi penentunya sebelum gelombang penentangan itu muncul secara menggila. Dalam menangani era pasca-Mahathir, mereka yang mengimpikan jawatannya itu, perlu berubah sikap dan menyauk dasar baru terhadap Anwar, terutama sekali mengenai pemenjaraannya sedangkan majoriti rakyat menganggap dia tidak bersalah. Satu fraksi dalam kepimpinan parti berkemungkinan menjalin kata sepakat dengan saki-baki penyokong Anwar yang dianggarkan sekitar 25% ahli UMNO, untuk merampas pucuk kepimpinan.

Kalau adapun peluang Mahathir melangkah keluar daripada jawatannya tanpa banyak bahaya ialah menghulurkan tangan kemaafan kepada Anwar. Seandainya dia tersilap langkah, besar kemungkinan dia menerima padah. Kalau roda politik berputar, bukan sahaja legasinya yang sudah tercemar itu akan terlontar, segala igauannya akan menjadi benar. Anwar berkemungkinan bangkit semula untuk merangkul kuasa di Putrajaya.

Memang tidak dinafikan, di sebalik segala keaiban yang menghimpitnya termasuk dua perbicaraan yang menghukumnya dipenjara selama 15 tahun, Anwar masih tidak putus asa. Sambil mempunyai harapan besar akan masa depannya, Anwar telah menggunakan kes perbicaraannya laksana satu pementasan teater. Tidaklah menghairankan dia menyerlahkan kekecewaan apabila pihak pendakwa enggan meneruskan pendakwaan bersabit lima lagi tuduhan.

Sudah tentu Anwar tidak selesa dengan kemungkinan adanya ura-ura mendapatkan pengampunan daripada istana. Dia telah memberitahu orang yang rapat dengannya bahawa dia lebih suka kalau perbicaraan semula dilakukan untuk membebaskan dirinya. Tetapi Anwar mesti sedar betapa keadaan kesihatannya telah menurun sejak dipenjarakan, bermula dengan penahannnya dua setengah tahun dulu. Setelah mengalami penurunan berat badan dan keguguran rambutnya, dia telah terlantar di hospital berbulan-bulan kerana penyakit tulang belakang yang sungguh menyakitkan. Lagipun, masalahnya menjadi satu bebanan besar kepada isterinya yang terpaksa membahagi masa antara memimpin sebuah parti pembangkang dan menjadi penjaga enam orang anak yang merindui bapa mereka.

Lebih penting lagi, tidak ada jaminan bahawa Anwar tidak perlu menghabiskan seluruh hukuman penjara yang diterimanya, walaupun terdapat kepincangan dalam proses penghakiman yang diamati. Seandainya pengganti pilihan Mahathir, Paklah mengambil-alih, dia mungkin tidak bersedia membebaskan Anwar. Pencabar Paklah mungkin mempunyai sikap berbeza walaupun mereka juga lebih selesa melihatkan Anwar terus terpenjara.

Mahathir dan Anwar yang bertahun lamanya bersikap laksana seorang bapa dan seorang anaknya, tidak akan menjadi kawan baik semula. Namun, mereka boleh mencapai satu muafakat untuk kebaikan negara dan kepentingan peribadi mereka. Ia mesti merupakan satu kompromi tulen yang tidak ada unsur berbalas dendam. Ini boleh dimulakan dengan si banduan pergi ke luar negara untuk mendapatkan rawatannya dan pulang sebagai manusia yang bebas, tetapi terpaksa menunggu si doktor berundur dulu.

Apabila masalah peralihan kuasa itu dapat diselesaikan, barulah mungkin menyelesaikan masalah perpaduan Melayu dan segala persoalan yang sensitif. Ahli politik sepatutnya tidak perlu memainkan api perkauman. Pelabur asing akan menilai semula Malaysia, yang mesti membetulkan keadaan yang pincang, bekerjasama dengan negara jirannya dan bersaing pula dengan China.


TAMAT

Terjemahan: SPAR-01-??





Asal: AWSJ: Mahathir's Swan Song by Barry Wain