Laman Webantu   KM2A1: 5247 File Size: 8.3 Kb *



TJ SP MGG: Kecelaruan Meritokrasi
By M.G.G. Pilllai

17/8/2001 9:45 pm Fri

[Isu meritokrasi adalah isu lama yang Umno sendiri naik darah kerananya sehingga mahu membakar dewan kaum cina. Kini tanpa malu ia merujuk semula kepada meritokrasi tetapi begitu bercelaru dan terkeliru pula. Malah isu meritokrasi itu sendiri diusulkan dalam MT Umno sedangkan sepatutnya parlimenlah yang lebih layak (atau merit) untuk membahasnya.

Perjalanan parti dan kerajaan itu sendiri tidak menggambarkan ujudnya meritokrasi kerana bukan kepintaran yang menjadi ukuran untuk memegang jawatan tertinggi dalam parti. Mereka tidak bersedia turun memberi peluang kepada yang bisa dan berpengalaman. Banyak yang dilantik secara terbang dan melintang seperti yang bersarang dalam kementerian pendidikkan. Bukankah kementerian inilah yang paling banyak mencetuskan kontroversi? Yang peliknya ia masih belum-belum pandai lagi dan asyik mengeluarkan cadangan haprak yang terkini yang akhirnya menjadi bahan ketawa sahaja. - Editor]


Kecelaruan Meritokrasi

(Confusing the Confuser)

Oleh MGG Pillai

Persoalan berkaitan meritokrasi yang sengaja di gembar-gembur sana dan sini adalah satu helah untuk mendera orang Melayu kerana keluar berbondong-bondong daripada UMNO dan menarik sokongan mereka kepada kerajaan pimpinannya. Majlis Tertinggi UMNO telah bersidang untuk menyetujui akan konsep meritokrasi, hanya untuk mencetuskan kecelaruan, selepas itu. Ini adalah satu perkara biasa walaupun pada satu ketika dulu tidak ada sesiapa yang menyibuk mengenainya. Semua pihak telah menyetujui apa juga yang dicadangkan oleh presiden UMNO. Perdana menteri yang juga merupakan presiden UMNO memang menghadapi masa yang getir sekarang ini. Itu jugalah yang dihadapinya ketika mahu memperkenalkan meritokrasi di universiti. Majlis tertinggi akur dengan usahanya itu tanpa banyak bicara, cuma para anggota majlis itu mudah lupa apa yang mereka persetujui sebaik keluar daripada bilik persidangan. Lantas, UMNO dan kerajaan kerap bercakap secara bercangah. Meritokrasi diterima hanya merangkumi kuota istimewa yang dikhaskan kepada bumiputra yang mengizinkan mereka yang tidak layak memenuhi kuota yang ditetapkan. Demikianlah yang diputuskan dalam satu persidangan majlis itu. Pihak mengelirukan sudah menjadi semakin keliru sendiri: jadinya meritokrasi dikenakan pada satu pihak yang diterima masuk sedangkan calon haprak akan diberi peluang untuk belajar juga.

Majlis Tertinggi UMNO adalah lebih penting daripada Parlimen. Mahathir dan ahli kabinet daripada UMNO tidak berani ponteng menghadiri mesyuarat itu, tetapi lebih rela ponteng menghadiri Parlimen. Mereka tidak mudah culas menjawab soalan di mesyuarat MT itu, seperti yang kerap mereka gagalkan di Parlimen. Memang jarang soalan di Parlimen dijawab oleh para menteri kerana tugas itu diserahkan kepada timbalan dan setiausaha politik sahaja. Adalah tidak menjadi satu perkara ganjil apabila MT UMNO membuat keputusan yang tidakpun diberitahu kepada Parlimen tetapi diambil tindakannya oleh kabinet tanpa sebarang kertas perbincangan mengenainya. Inilah yang memeritkan menteri pendidikan apabila cuba mempraktikkan keputusan seperti itu dan naib presiden UMNO turut menggeletar menghadapi kesannya. Tetapi arahan Perdana Menteri adalah sesuatu yang tidak boleh ditukar-ganti laksana petua Dewa Zeus dari mercu Gunung Olympus dalam dongeng Yunani, satu ketika dulu. (Zeus dianggap sebagai dewa cuaca dalam peradaban purba Yunani - penterjemah)

Meritokrasi adalah satu alat politik kepada mahathir, tetapi kini ia merupakan satu arahan yang sanggup disokong dengan padunya oleh Ketua Pemuda UMNO, sedangkan itulah yang membuatkan pergerakan itu naik sawan beberapa bulan lalu apabila satu kumpulan kebudayaan Cina mencadangkannya (sebagai rayuan) dalam pembentukan sebuah negara Malaysia. Dasar yang dicadangkan laksana satu suruhan Dewata, memerlukan sokongan yang tidak boleh berbelah-bagi. UMNO telah bernasib baik mempunyai sokongan yang kukuh begitu lama satu ketika dulu sehinggalah munculnya satu peristiwa yang mengaibkan pada 1998, yang membuatkan sokongan itu menghilang dan cuba didapatkan semula dengan bersyarat pula. Namun, UMNO menganggap sikap orang Melayu menarik sokongan itu sebagai satu pembelotan dan penderhakaan yang mesti dibalas dengan penderaan dan hukuman.

Seandainya UMNO ingin kembali gemilang, satu proses reformasi dalaman mesti dimulakan. Ini bukannya mudah untuk dilaksanakan. Disebabkan korupsi yang berleluasa membuatkan pemimpin UMNO dan parti sekutunya terlalu selesa melahapnya sehingga sanggup menyediakan benteng untuk mempertahankannya. Titisan darah dan airmata adalah alat penyanggahnya sehinggakan tidak ada yang sanggup menjadi penyanggah itu setelah melihatkan penderitaan Anwar yang membuka gelanggang silatnya dan terus dimangsakan. Lagipun, kemewahan yang mengipas setiap jawatan adalah nikmat yang tidak mudah dilepaskan. Inilah alasan utama kenapa pemimpin parti koalisi BN seperti MCA, MIC, dan pemimpin parti sekutu yang lain sanggup menongkat langit walaupun ketokohan sudah tidak diperlukan dan nama sudah semakin hangit.

Dalam UMNO keadaannya adalah lebih dahsyat lagi.

Jadinya, merit dijadikan senjata terkini untuk menghukum orang Melayu kerana memikirkan kereputan UMNO. Lantas merit adalah satu pelencong untuk mengabui fikiran sahaja. Tidak ada siapapun dalam UMNO waima BN yang mampu mengnyahkan tunggul-mati dalam UMNO dan BN tanpa mencetuskan ledakan tentangan berbentuk dalaman. Kerana itu cara Mahathir memilih warga mahasiswa mencetuskan banyak tandatanya. Tindakannya itu menyerlahkan betapa warga pelajar universiti yang akan datang akan bersifat lebih kecoh dan lebih liat untuk mudah dirasuk oleh pihak yang berkuasa berbanding warga mahasiswa dan mahasiswi yang ada. Ini adalah satu tanggapan yang amat berbahaya kerana ia memutikkan sindiran betapa setiap bakal pelajar menara gading adalah bakal penentang kerajaan yang ada. Terdapat banyak isu lain yang boleh dijadikan bahan ketawa sahaja, kebanyakannya, seperti mensyaratkan warga pengajar dan pelajar di universiti menandatangani perjanjian agar para menteri dan pemimpin UMNO tidak diejek dan diboo ketika mereka melawat kampus.

Apabila jentera kerajaan akur kepada tindak-tanduk UMNO, perkara itu sengaja dibiarkan. Tetapi apabila berlaku perubahan dalam proses itu, seperti yang ditunjukkan oleh badan kehakiman negara dan diikuti pula oleh perkhidmatan awam, bahtera keangkuhan UMNO mula terhencot menuju batu karang. Sambil mengabaikan fenomena ini, nakhoda kapal cuba mengugut, gelombang lautan kebangkitan Melayu mula menggigit untuk membiarkan bahtera itu terkandas dengan sendirinya. Kerana itu UMNO mahukan kita memeram apa yang kita tahu dan menerima apa yang tidak laku. Kita sedang hidup selesa kerana itu yang Putrajaya kata, sedangkan apa yang kita lihat dan apa yang kita hadap adalah jauh bezanya.

UMNO mungkin sudah rabun mata untuk melihat betapa semua kaum terbesar negara ini - Melayu, China, India, Kadazan, Dayak - sudah mencanai satu tekad bahawa pemimpin politik dan parti dalam BN tidak diperlukan lagi dan tekad ini adalah satu ikatan yang disimpul mati. Dongeng lama akan keagungan hsudah menjadi sejarah kini. Berbalik kepada meritokrasi, seandainya pelajar Melayu yang memasuki universiti swasta menganggotai UMNO dan tidak menentang apa yang dicanangkan oleh parti pembangkang seperti PAS, UMNO percaya ia mampu menarik nafas udara yang nyaman. Tetapi, udara nyaman itu adalah alat UMNO menangani pelajar institusi pengajian tinggi, yang semakin jauh larinya ditolak jerebu yang kini memendungi Kuala Lumpur.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my




Asal: KM2 5238 - MGG: Confusing the Confuser