Laman Webantu   KM2A1: 5251 File Size: 15.4 Kb *



SG 13: 6B - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India
By Marie-Therese Cuny, Paul Ramba

19/8/2001 2:42 am Sun

[Phoolan dikahwinkan dalam keadaan dia tidak tahu menahu adat resam dan peraturan kaumnya itu. Akibatnya dia ditertawakan dan dipandang dungu. Sepatutnya mereka mengajarkannya atau melayannya bagai keluarga sendiri bukannya asyik ketawa dan memperli.

Seorang suami itu seharusnya lebih rapat kepada isteri berbanding ayah isterinya itu sendiri. Tetapi suami Phoolan seperti tidak ambil perduli sedangkan dia sepatutnya sentiasa berada di sisi dan melayannya bagai permaisuri. Perkahwinan nampaknya menjadi satu bentuk penjajahan yang 'disahkan'.
- Editor
]


Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India

(I, Phoolan: the autobiography of India's bandit queen)

Oleh: Marie-Therese Cuny dan Paul Rambali

BAB 6



Bab 6B


Sungai Yamuna sudah semakin kering kontang di beberapa tempat yang membolehkan orang menyeberang. Namun lembu-lembu penarik itu merasa amat sukar mengheret kereta yang sarat dengan penumpang. Apabila roda kereta terjerlus dalam pasir sungai, dua orang wanita terpaksa turun meringankan beban, dan berpatah balik ke jalan raya menantikan bas untuk pulang ke rumah mereka. Ketika kami merintasi sungai itu, aku terdengar suara mengatakan kami akan menyusuri jalanraya di seberang sungai untuk pergi menuju Kampung Maheshpur. Cuaca memang panas ketika itu menyebabkan aku mudah terlena dibuai ayunan kereta lembu yang sesekali terhentak disebabkan boggolan jalan yang penuh berdebu. Aku terimbau ketika itu kepada khat milikku yang diperbuat daripada buluh dan diletakkan di bahagian halaman bawah cucuran atap rumah. Choti sudah dinaikkan pangkat menjadi anak yang sulung di rumah, dan terpaksalah dia menguruskan semua tugas harian termasuk menjadi orang terakhir menikmati hidangan makan....

Sepanjang hari itu kami terus dibuai oleh hayunan kereta lembu yang tidak mampu bergerak laju. Musim panas baru bermula dan segala tumbuhan mula bertukar warna. Rumput-rampai sudah bertukar kekuningan dan semakin rapuh dipegang tangan. Hanya batang tebu yang terus meninggi dan daunnnya menghijau dan bercapuk di sana sini. Kereta lembu dan lori terus bersimpang siur sekali sekala. Tetapi soal "dulhan" ini sudah semakin membuatkan aku gila...... Kalaulah ada orang mengatakan aku miliknya, dia akan merasakan belasahanku kerana aku sudah bernekad dengan perkara itu! Aku adalah Phoolan Devi, dan hanya ayah berhak memilikiku.

Aku terkejut dan terjaga apabila kereta lembu berhenti dengan tiba-tiba. Mukaku memang tertutup oleh sari untuk mengelakkan debu tadi. Aku menyingkap kain penutup muka mencari kepastian di mana aku berada. Malam terlalu gelap gelita, tidak ada bintang atau lampu elektrik yang menyala.

Ada satu tangan yang menutupi penudung mukaku semula.

"Jangan buat macam tu!" kata seoang wanita. "Kamu mesti pakai 'ghoongghat' kamu!"

"Kenapa? Saya mahu lihat kita di mana!"

"Kita berada di rumah suami kamu, tongong...!"

Kenapakah wanita ini melayan aku dengan cara ini? Inilah yang membuatkan aku takut. Aku memang tidak dapat melihat apapun.

"Saya tidak mahu tinggal di sini. Saya mahu pulang!"

"Kamu tidak boleh cakap begitu. Rumah ini kepunyaan bapa mertua kamu dan suami kamu. Kamu adalah milik Putti Lal. Kamu adalah dulhannya! Sekarang tutup mulut kamu!"

"Itu bohong. Aku bukan dulhan sesiapa!"

Wanita itu heret aku memasuki rumah dengan kepalaku masih tersungkup. Apabila berada dalam rumah, dapatlah aku menyingkap kain penudung muka. Mulutku kekeringan kerana kehausan di sepanjang perjalanan. Aku diberikan sedikit air tebu untuk melepaskan dahaga. Apabila bapa mertuaku menyalakan lampu minyak barulah aku dapat melihat keadaan rumah yang tidak banyak bezanya dengan rumah kami, cuma sedikit besar sahaja. Aku disuruh duduk dalam satu kamar yang berlantai simen dan berdinding putih. Aku mahu keluar ketika itu melihatkan kalau-kalau ada budak-budak yang sedang bermain untuk aku tumpang sekaki. Tetapi, wanita penjaga itu tidak membenarkan aku pergi. Ketika aku cuba lari, mereka menangkap aku lagi dan membawa masuk ke kamar itu kembali.

"Tolonglah.... saya rindukan Amma, tolonglah panggilkan Amma!"

"Diam!"

"Boleh saya makan capati?" tanyaku. "Saya lapar, tolonglah."

Aku tidak suka semua wanita di situ. Aku fikir mereka itu semuanya adalah saudara mara Putti Lal. Tetapi kenapa mereka tidak beri aku makan? Aku cuba meneka berapa jauhnya rumahku daripada tempat itu.

"Mari, kita mesti pegi ke kuil dulu."

Adalah menjadi adat kepada mereka yang baru berkahwin untuk pergi ke kuil kampung membawa bahan pemujaan kepada dewata, demikian kata mereka. Sebelum kami bertolak, Putti Lal mendukung aku dan memangku di ribanya. Dia menarik ekor dhottinya dan membuat satu simpulan mengelilingi badanku. Aku pernah membuat semacam itu ketika bermain kahwin-kahwin dengan Choti bersama patung permainan kami; membuat simpulan itu; bererti kami sudahpun berkahwin. Nampaknya permainan itu masih diteruskan lagi. Aku terpaksa mencelupkan tangan ke dalam cat putih dan meletakkan telapak tangan pada setiap daun pintu di rumah itu. Upacara itu memakan masa dan ketika ia hampir selesai, aku sudah merasa kepeningan kerana kelaparan. Aku faham makna tanda tapak tangan di pintu. Ia adalah tanda aku sebenarnya sudah menjadi seorang dulhan. Wanita itu semua memang menyatakan kebenarannya, aku memang sudah dimiliki oleh lelaki ini.

Kami pergi dari satu kuil ke kuil yang lagi satu. Sepanjang malam itu kami melakukan pelbagai jenis pemujaan serta memberikan bermacam barang pemujaan. Kalau ada kuil yang tertutup, kami lakukan upacara itu di kawasan luarnya. Melalui cahaya lampu minyak yang ada, Putti Lal kelihatan padaku laksana Raavana, hantu yang telah dibunuh oleh Dewa Rama.

Fajar pagi sudahpun menyinsing di ufuknya ketika kami melangkahkan kaki pulang ke rumah semula. Perutku bergelodak mahukan sesuatu untuk dilantak, tetapi tidak ada ibu di rumah itu ataupun adik-adikku. Rupanya wanita yang ada itu hanya menziarahi sahaja dan merekapun akan pergi juga dalam sehari dua, membiarkan aku di situ dengan dua orang lelaki tua. Orang lelaki yang lebih tua memmanggil aku dengan panggil 'Beti' bererti anak perempuan. Oleh kerana semua orang memanggilnya Buppa, bererti akupun terpaksa memanggilnya begitu. Tetapi dia tidak mempunyai perwatakan lemah-lembut seperti bapaku.

Kalau dia bapaku, tentu aku boleh angkat kain penutup muka di depannya - tetapi aku tidak berani bertanya; lagipun si Putti Lal ini belum berkata apa-apa. Aku berpaling kepada salah seorang wanita di situ:

"Tolonglah, saya mahu pulang ke rumah."

"Tidak...kamu akan terus menetap di sini. Faham?"

Wanita itu memandang kepada dua lelaki itu dan mereka turut tertawa. Putti Lal ketawa terbahak-bahak, lebih kuat daripada semua yang ada. "Dia tidak faham segalanya," katanya. "Dia tidak faham apa yang kalian cakapkan."

Aku terus mendiamkan diri selepas itu.

Akhirnya mereka berikan aku chapati untuk dimakan. Selepas itu aku dibiarkan tidur sendirian di satu khat di satu sudut halaman, sementara wanita yang ada menyanyi. Aku merasa kesakitan kerana keletihan, dan khat yang disulam dengan kain guni yang aku gunakan itu adalah benda yang baru. Kaki khat itu dibuat daripada buluh yang berkilat dan bingkainya memang lurus. Ia amat berbeza dengan khat melengkung dan berderak serta koyak-rabak yang aku gunakan di rumah ibu. Si Putti Lal ini adalah manusia yang banyak duit, rupanya. Tetapi, macam mana boleh begini jadinya sedangkan kami datang daripada kasta yang sama? Apakah kekayaan itu seperti Mayadin juga kerana mencuri daripada keluarga? Semakin ramai lelaki di rumah itu makan dan minum, dan aku dapat mendengar hilai ketawa mereka, sambil aku terus berbaring di satu sudut di halaman rumah itu.

Aku terlena sepanjang malam dan terkejut hanya menyedari hari sudah siang. Hari sudah terang benderang tetapi aku masih samar hari apakah itu.

Aku pandang ke sekeliling dan sedar hari masih pagi, dan tentunya pagi kepada hari yang kedua - dan semua orang lain masih terbaring melelapkan mata. Pakaian dan beg bergelimpangan di sana-sini, semua ini mestilah kepunyaan para tetamu yang sedang bergelimpangan tidurnya. Aku bangun dan melihatkan pinggan dan mangkuk yang kosong, berselerakan. Aku pergi mencari air dan mendapati tempayan air sudahpun kontang tidak berisi. Ada orang yang tidur di atas khat, ada yang tidur di luar, ada yang tidur di dalam di lantai simen yang beralaskan lembek kekabu. Aku naik ke bahagian atas untuk melihat apa yang ada di sebalik tembok pagar. Beberapa orang kanak-kanak sedang bermain di atas jalanraya di bahagian luar rumah. Apabila aku pergi semula ke halaman di luar, aku goyang salah seorang lelaki yang sedang tidur itu.

Orang tua yang menjadi bapa mertuaku terkejut. Aku pegang lengan bajunya.

"Bappu, saya rindukan Amma!"

"Mana boleh Beta...!"

"Kalu begitu bawakan adik Choti tinggal di sini. Saya takut tinggal sendirian di sini Bappu...!

"Dengar sini baik-baik Phoolan," kata mertuaku dengan perlahan sambil dia menyiku lantai untuk bangun. "Bapa kamu memberi izin agar kamu boleh tinggal bersama kami untuk beberapa hari. Itulah yang dijanjikan oleh bapa kamu. Apabila dia datang nanti, kamu boleh balik dengannya. Tetapi, menunggukan masa itu, kamu mesti tinggal bersama kami. Faham?"

Aku merasa lega. Kalaulah ayah akan datang, bererti aku mesti menunggunya. Orang tua itu merupakan hanya orang yang boleh aku percaya di sini. Yang lain semuanya mentertawakan aku. Aku tidak percaya langsung si Putti Lal yang mengatakan aku adalah isterinya. Aku cuba fikirkan berapa ramai lagi lelaki lain di kampungku yang tinggal sendirian dengan seorang bapanya yang tua dan tanpa wanita di rumahnya. Tiada ibu, makchik, isteri dan orang seperti aku. Kenapakah Putti Lal tidak mempunyai seorang isteri dalam rumahnya? Kenapa tidak ada anak perempuan untuk membuat kerja rumahnya?

"Saya tidak suka tinggal di sini, Bappu."

Dia mendakapku pada bahunya dengan perlahan dan mendekati telingaku. "Ini rumah kamu Phoolan," bisiknya. "Kamu terpaksa menunggu sehingga ketibaan ayahmu."

Kemudian, dia tersentak melihatkan badanku. "Kenapa kamu pakai blaus sahaja."

"Saya tanggalkan sari ketika mahu tidur, terlalu panas dan terlalu ketat."

Dia tersentak dan memimpin tanganku memasukki rumah. Wanita yang tertidur di situ sudah bangun dan dia serahkan aku kepada mereka. "Tolonglah siapkan budak ini. Pakaiannyapun tidak senonoh."

Wanita itu tertawa. Sudah tentu aku melucukan mereka. Salah seorang wanita itu membuka baju dan melihat dadaku sambil ketawa lebih kuat lagi.

"Dadanya ada dua noktah sahaja!"

Aku tertunggu-tunggu memikirkan mereka akan memandikan aku, namun mereka asyik berborak sahaja.

"Pengantin perempuan begitu muda dan mempelai lelaki begitu tua," kata seorang wanita.

Sari sutera yang berwarna ungu itu merupakan sari yang pertama pernah aku miliki. Aku mahukan salah seorang wanita itu membantu aku mengikatnya, kerana aku belum tahu lagi bagaimana. Namun, mereka masih bersembang juga. Kalaulah Choti ada, fikirku, tentu dia mampu mengajar mereka. Aku butangkan blaus aku. Ibu telah mengajar kami jangan berjalan-jalan tanpa membutang baju dan takkan aku mesti berdiri di situ dengan keadaan separuh bogel.

"Ini rumah kamu sekarang, mandilah sendiri." Kata seorang wanita itu.

"Bapa mertua kamu sudahpun sediakan air di belakang sana."

Memang ada satu takung di belakang yang penuh dengan air dan satu pasu besar yang mempunyai lubang untuk mengalirkan air ke bumi. Tidak ada lelaki di situ, akupun letakkan sari dengan hati-hati dan tanggalkan baju dan blaus untuk mandi dengan pantas sekali. Akupun minta tolong kalau ada orang yang boleh menyikatkan rambutku. Salah seorang wanita itu, yang merupakan saudara Putti Lal telah membantu aku. Dia tolong aku mengikat sari yang memang terlalu besar untuk badanku. Aku merasakan seolah-olah dililit oleh karung guni. Cara terbaik menyelesaikan masalah itu ialah melilit kain keliling pinggang dan menggunakan dua gelang tangan untuk mengetatkannya.

"Kita terpaksa mencari sari yang kecil lagi untuk kamu," kata wanita itu sambil berjenaka. Aku memang lebih suka memakai baju dan blaus sahaja. Tetapi dia menegahnya. Perempuan yang sudah bersuami mesti memakai sari. "Jangan kamu lupa menyungkup muka dalam rumah hari ini. Para tetamu akan datang memberi kamu duit dan mereka mahu melihat muka kamu. Bila kamu angkat 'ghoonghat' mereka akan berikan duit."

"Duit? Untuk apa? Saya tidakpun buat sebarang kerja?"

"Memang bengong juga budak ini," wanita itu mengeluh. "Setiap tetamu akan memberikan hadiahnya, sekurang-kurangnya lima rupee, untuk melihat wajah kamu. Apakah tidak tahu adat, Mud-dikhai?"

Mereka suruh aku duduk di atas permaidani di tengah halaman sambil para tetamu lalu di hadapanku. Setiap kali salah seorang tetamu mengangkat ghoognat, semua wanita itu akan mengkekek. Tetapi mereka telah bercakap benar. Para tetamu telah memberikan aku wang, setiap kali itu aku masukkan dalam satu dompet hitam yang dihiasi mutiara yang ibu belikan. Dompet itu memang cantik kerana ada seutas tali yang boleh aku gantungkan di leher. Ketika memberikan pundi-pundi itu dulu ibu telah berpesan untuk menyimpan semua wang di dalamnya dan tidak memberikan kepada sesiapa. Bermakna ibu sudah tahu perkara ini lebih awal dulu. Apabila pundi-pundi itu penuh akupun gantung di leher di bawah sariku, seperti yang diajarkan oleh ibu. Aku teringatkan pesanannya: "Jaga-jaga! Ada orang yang mungkin meragutnya dan larikannya." Oleh kerana itu semua adalah adat, aku mahu simpan semua rupee, lagipun aku tidak tahu bila mereka berikan aku rupee lagi. Mereka boleh ketawakan aku sesuka hati asalkan mereka berikan aku rupee. Aku tidak akan berikan kepada Choti. Aku akan berikan semuanya kepada ayah supaya dia boleh membayar peguam untuk mengalahkan Mayadin.

Aku bukannya tahu mengira lebih daripada jejari di tangan. Tetapi, aku agak mesti ada sampai tiga puluh rupee dalam dompetku. Aku sudah menjadi kaya, tanpa perlu berbuat apa-apa selain menunjukkan hidung kecilku kepada mereka semua.

Setiapkali Putti Lal menjengukkan muka di halaman, wanita di sisiku cepat-cepat menurunkan kain penudung mukaku. Dia melakukan perkara itu setiap kali adanya orang yang tua di situ, tetapi tidak pula apabila adik ipar lelaki Putti Lal.

Hari itu memang memeningkan kepalaku. Mereka memberi aku rupee untuk membeli gula-gula tetapi mereka kerap tertawakan aku.

"Nampaknya laksana angsa diikat kepada ekor unta," kata sesaorang sambil ketawa.

Apabila aku mempunyai peluang, aku cuba mengintai di luar sana. Tidak pula ada unta. Tidak adapun sesuatu yang boleh membuatkan kita ketawa.



....bersambung....

Phoolandevi88@hotmail.com

Terjemahan: SPAR-10