Laman Webantu   KM2A1: 5253 File Size: 9.3 Kb *



TAG SP 255: Crescent: Mahathir Gian Menunggu Jemputan Rumah Putih
By Abdar-Rahman Koya

19/8/2001 4:06 am Sun

[Mahathir nampaknya ingin menggoda Bush dan kaum Cina dengan tindakan terbarunya menangkap rakyat dengan alasan ancaman 'militan' dan 'fundamentalis Islam'. Tetapi tanpa bukti yang meyakinkan serta perbicaraan itu hanya akan menjejaskan dirinya sendiri. ISA dan pengharaman ceramah adalah langkah dayus kerana sudah gagal menepis secara berdepan secara anak jantan. Padahal kerajaan baru menambah bilangan polis dan menaikkan gaji mereka. Lagipun ada bermacam akta (seperti akta hasutan) yang mencengkam mengapa ceramah tidak dibenarkan?

Mahathir seperti mahu menggunakan Bush untuk agendanya yang seterusnya. Sepatutnya dia faham kalau Bush masih belum tergoda setelah dicuba pelbagai cara itu petanda dia sudah tidak berguna. Sebaliknya Megawati lebih berguna untuk Amerika..... lagipun Mahathir baru berpeluk dengan Castro. Itu orang Amerika tidak mudah lupa. Bukankah Clinton lingkup kerana satu skandal sahaja? - Editor]


http://www.muslimedia.com/my-repress.htm

Muslimedia
17 Ogos 2001

Mahathir Gian Menunggu Jemputan Rumah Putih

(Mahathir Eyes White House Invitation as repression continues...)

Oleh: Abdar-Rahman Koya

Regim Mahathir yang semakin dipinggirkan oleh rakyat Malaysia nampaknya semakin galak mencari strategi yang membawa kesan yang menyimpang. Dalam kempen terbarunya untuk membisukan pembangkang, sepuluh orang lagi, termasuk Nik Adli Nik Aziz, anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah diculik pada minggu pertama Ogos di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan. Dosa yang dilakukan oleh Nik Adli ialah berjihad di Afghanistan melawan tentera Soviet Union, (satu ketika dulu). Pihak polis telah memperakukan betapa beberapa tangkapan lagi akan dilaksanakan untuk menangkap anggota 'militan' yang pernah berjihad. Mahathir mempertahankan penangkapan rambang ini sebagai satu tindakan berjaga-jaga dengan alasan tindakan yang sama dibuat juga oleh Israel terhadap orang Palestin.

Penangkapan ini adalah kali yang ketiga dalam apa yang semacam tiga peringkat pengganyangan terhadap pemimpin reformasi, pelajar dan aktivis Islam: bererti ahli-ahli Pas. Pada bulan April, sepuluh aktivis, majoritinya ahli Keadilan, telah ditangkap, enam di antaranya kini sedang merengkok di kem tahanan politik. Ini diikuti dua penangkapan bulan lalu dalam satu usaha menyeluruhi kampus universiti.

Mangsa operasi polis yang terbaru adalah aktivis Islam dan pemimpin PAS. Kerajaan berkata penangkapan itu disasarkan pada 'militan' yang dilatih di Afghanistan, yang telahpun dituduh dengan pelbagai tohmahan, daripada perompakan bank dan pembunuhan kepada serangan terhadap rumah ibadat bukan-Islam untuk menegakkan satu negara Islam. Tidak satupun tohmahan ini disokong oleh sebarang bukti, kerana itu ISA digunakan sebagai ganti.

Ramai yang melihat usaha terdesak oleh Mahathir ini sebagai satu helah untuk berbaik semula dengan pemimpin dunia Barat. Satu laporan di Far Eastern Economic Review bertarikh 26 Julai, mendedahkan betapa Mahathir amat mengimpikan satu jemputan daripada Rumah Putih. Walaupun dulu dia amat gemar mengutuk negara Barat, Mahathir sudah mengirimkan surat sebanyak tiga kali kepada Presiden George W. Bush. Satu, kandungan suratnya itu memberi ucapan tahniah mengenai cara Bush menangani episod pesawat risikan Amerika di China, April lalu. Ini diikuti oleh satu keizinan untuk beberapa ratus askar Amerika mendarat di Malaysia untuk latihan ketenteraan.

Penangkapan yang terbaru itu dibuat ketika PAS memperlekehkan pengharaman ceramah politik dan bertegas untuk meneruskan perhimpunan politik. Satu ketika dahulu Mahathir pernah mengeluh, orang Melayu membenci regimnya disebabkan 'kempen membenci' yang dilancarkan oleh PAS. Kini, perhimpunan ceramah PAS disambut dengan tindakan ganas polis untuk menyuraikan perhimpunan.

Di sebalik kegagalan melenyapkan suara pengkritik, provokasi polis itu nampaknya telah menaikkan nama PAS di kalangan orang Melayu beragama Islam dan menarik lebih ramai sokongan mereka yang keluar daripada UMNO sejak Anwar Ibrahim dipecat oleh Mahathir. Dulu, ramai yang merungut betapa PAS yang berjaya memenangi dua negeri dengan selesa pada pemilu yang lalu, sudah menunjukkan petanda keselesaan tanpa mahu mengambil sebarang risiko. Ada yang runsing bahawa PAS sudah semakin kurang bertenaga dengan pergerakan Islamiahnya. Tetapi, serangan mengganyang PAS yang terbaru itu telah menyedarkan beberapa pemimpin PAS bahana bersikap sambil lewa membiarkan sistem pemerintahan yang ada.

Sejak memenjarakan Anwar Ibrahim pada September 1998, Mahathir telah menunjukkan tipu muslihat politiknya dengan pelbagai strategi putarbelit, dengan tujuan yang berbeza; untuk menarik kembali sokongan orang Melayu dan memperkasakan sokongan masyarakat Cina, yang telah memberikan undi mereka pada 1999 dulu dan menentukan kemenangan kerajaan pimpinannya. Kepada orang Melayu, dia menakutkan mereka berasaskan ketuanan Melayu dan unsur-unsur perkauman; kepada orang Cina dia menakutkan mereka akan bahaya Islam dan bahaya yang menggugat budaya Mereka seandainya PAS berkuasa. Inilah yang memberi dalil yang paling baik untuk orang Melayu lebih menyokong PAS dan untuk pemimpin Cina kebebasan memperlekehkan Islam.

Cara Mahathir mengubah-ubah taktik hapraknya memang amat menarik. Satu ketika dulu dia mencabar aktivis Cina sambil menempelak mereka kerana mempersoalkan apa yang disebutnya sebagai hak keistimewaan orang Melayu. UMNOpun melancarkan satu kempen anti-Cina dengan berdemo dan selaran media, sambil mengingatkan orang Melayu bahawa tanpa UMNO mereka sudah lama kehilangan hak itu.

Namun, di sebalik semua itu, sokongan orang Melayu kepada kerajaan terus menggelonsor. Ini diperteguhkan oleh sokongan padu di kalangan pelajar, golongan muda-mudi dan warga perundangan yang semakin berubah. Inilah yang membuatkan Mahathir mengumumkan betapa sistem pendidikan yang memberikan keutamaan kepada pelajar Melayu diubah kepada sistem meritokrasi. Walaupun tindakan itu diterima-pakai, tindakannya itu bukannya beasaskan kesaksamaan tetapi disebabkan dendam kesumat terhadap pelajar Melayu, yang kerap dituduhnya sebagai 'pemalas' dan 'tidak tahu bersyukur'.

Bukan UMNO sahaja yang runsing akan kemaraan PAS. MCA yang memang mempunyai semangat anti-Islam yang kuat, telahpun menubuhkan satu unit khas untuk memberi penjelasan kepada masyarakat Cina yang bukan-Islam, mengenai 'bahaya sebuah negara Islam'. Parti itu tidak pernah menyorokkan hasrat untuk 'mendidik dan memberikan penerangan kepada rakyat kecemaran yang akan berlaku kepada satu negara Islam terhadap masyarakat majmuk'. Tidak berapa lama dulu, seorang ahli politik yang bukan beragama Islam tidak berani celupar secara terbuka akan perkara begini. Tetapi, apabila Mahathir sendiri kerap memperlekehkan keutuhan 'Ad-din' Islam hampir setiap hari, mereka mengambil iktibar untuk terus celupar.

Walaupun demikian, kita boleh ketawa juga apabila melihatkan Mahathir didampingi oleh beberapa tokoh asentrik Islam. Baru-baru ini Mahathir di istyiharkan sebagai seorang pemimpin Islam tulen oleh seorang 'guru sufi' daripada Scotland, yang memakai nama Abdulqadir Jilani. Beliau telah menziarahi Mahathir untuk mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Beliau telah mengkritik ulama tempatan dengan mendakwa mereka adalah 'Shi'ah' yang tidak ada 'wawasan kewangan.' Jilani menjadi bangga apabila Mahathir bertindak dengan postifnya kepada cadangan beliau untuk menggunakan apa yang dikatakan 'dinar emas' yang dikeluarkan oleh syarikatnya untuk menggantikan dollar AS.

Apa juga martabat keIslaman yang ada pada regim Mahathir, sudah lama menghilang. Beberapa tokoh Islam terkenal seperti Yusuf Qardawi dan Taha jaber Alwani yang satu ketika dulu memuji kerajaan kerana mempunyai sikap keIslaman yang progresif, kini mahukan Mahathir diadili mengikut hukum Syariah, dan inilah yang memudahkan Mahathir membelakangi isu Islam itu sama sekali. Itu juga membuatkan Mahathir semakin gian untuk dijemput oleh Rumah Putih. Malangnya, dia amat kecewa kerana tidak diberi muka. Duta Amerika di Malaysia telah memberitahu beliau dengan berterus-terang, agar mengembalikan sistem 'demokrasi' yang menunjangi Malaysia sebelum 'perhubungan lama dapat dibaiki semula'.

Yang paling terdaya dilakukannya untuk mengabui kerajaan Amerika ialah menunjuk-nunjuk betapa dia memainkan satu peranan kecil untuk memerangi apa yang difikirkannya sebagai satu keganasan Islam


TAMAT

Catatan Penterjemah:
Semoga Allah mengampuni Mahathir dan menyedarkannya untuk bertaubat, sebelum terlambat.




Asal:

http://www.muslimedia.com/my-repress.htm

atau KM2: 5248