Laman Webantu   KM2A1: 5255 File Size: 8.8 Kb *



TJ DK FEER: Hutang, Daim dan Kemelesetan Ekonomi
By S. Jayasankaran

19/8/2001 11:38 pm Sun

FEER Ogos 9, 2001

http://detik.daily.tripod.com/ogosa/18ogos_6.htm


Cerita menarik MRCB dan Rahman Maidin

(Debts, Daim And Downturn)

Oleh: S. Jayasankaran

Sewaktu ekonomi berkembang dengan rancak dalam tahun-tahun 1990-an, Malaysian Recources atau MRCB cukup banyak mendapat faedah melalui pertalian politik. Tapi kini, masa depannya tidak lagi menentu apabila terdapat cadangan kerajaan akan mengambil-alih Renong bulan lepas.

Beban hutang yang ditanggung MRCB tidaklah seberat Renong tapi ia tetap menjadi sasaran atas dua sebab: pertama, kerana pemilik terbesar sahamnya mempunyai kaitan dengan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dan kedua, kerana hutang-hutangnya melibatkan institusi dana pencen yang dimiliki kerajaan.

Orang yang perlu diperhatikan dalam MRCB ialah Abdul Rahman Maidin, yang memiliki 25% MRCB menerusi sebuah syarikat persendirian, Realmild. Bekas eksekutif MRCB berkata Realmild berhutang dengan dana pencen negara, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kira-kira RM600-700 juta.

Hutang-hutang ini dan hubungannya dengan Daim telah menjadikannya sasaran utama untuk diambil-alih oleh kerajaan dalam langkahnya cuba meyakinkan pasaran kewangan bahawa peraturan yang ada akan dikuatkuasakan.

Renong juga mempunyai hutang yang banyak dengan negara dan cadangan untuk mengambil-alihnya mula ditimbulkan pada 25 Julai lalu apabila kerajaan tidak sanggup lagi melihat syarikat itu terus gagal melakukan pengstrukturan semula, dan ini merupakan salah satu faktor yang melemahkan sentimen pasaran.

Pengambilalihan yang melibatkan RM3.8 bilion ini, merupakan isyarat kepada pasaran kewangan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur lagi terhadap karenah-karenah seperti ini. Cadangan kerajaan untuk mengambil-alih Renong, sekaligus menyingkirkan Halim Saad - seorang lagi anak didik Daim - dari syarikat itu, mendapat reaksi yang cukup baik daripada pasaran dan telah mencetuskan banyak usaha-usaha penggabungan serta pengambil-alihan di Malaysia.

Berbanding Renong, MRCB lebih kukuh dari segi kewangan tapi tokoh-tokoh politik yang menjadi pendokongnya sering sahaja gugur setelah berseteru dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad. Penglibatan KWSP dalam kes ini pula, dari segi politiknya, merupakan satu isu yang agak sensitif.

Bahkan Mahathir sendiri pernah memberi jaminan kepada kesatuan-kesatuan sekerja bahawa dana KWSP tidak akan disalahgunakan. KWSP melabur cukup banyak dalam MRCB. Selain pinjaman yang diberikan kepada Realmild, KWSP menguasai 12% saham MRCB.

Apa yang berlaku pada MRCB jelas melukiskan bentuk pertalian yang terdapat antara perniagaan dan politik di Malaysia, dan menceritakan bagaimana besarnya kekayaan boleh dicipta jika mendapat kelulusan menteri. Ia juga menunjukkan bagaimana mudahnya sesuatu perniagaan itu jatuh semata-mata disebabkan menyokong kumpulan-kumpulan politik yang salah.

MRCB, dari sudut politiknya boleh dianggap satu kumpulan yang sangat penting kerana ia menguasai dua syarikat media utama negara yang banyak mempengaruhi pengundi: penerbit akhbar harian New Straits Times Press atau NSTP dan syarikat penyiaran Sistem Televisyen Malaysia, atau TV3.

MRCB mula menonjol sejak 1993 apabila Menteri Kewangan pada waktu itu, Anwar Ibrahim, telah mengusahakan pengambilalihan kedua-dua syarikat itu daripada Renong. Seperti yang dilakukan Daim sebelumnya, Anwar juga mahu mempunyai kumpulan perniagaan yang terdiri daripada orang-orangnya. Di antara 'orang-orangnya' itu ialah empat orang eksekutif NSTP yang diketuai Nazri Abdullah, yang pada ketika itu merupakan pengarang sebuah akhbar harian utama berbahasa Melayu.

Keempat-empat orang ini kemudian menubuhkan Realmild dan mencadangkan supaya NSTP dan TV3 dibeli dengan harga RM600 juta. Renong tidak begitu gembira dengan pembelian itu tetapi memandangkan Anwar pada masa itu dilihat sebagai orang kuat Mahathir, kedua-dua syarikat itu dilepaskan.

Beberapa orang eksekutif kewangan berkata keempat-empat orang itu tidak perlu bekerja keras untuk menjayakan pembelian tersebut. Seorang lagi rakan perniagaan Anwar, Quek Leng Chan, ketua konglomerat Hong Leong, telah menyediakan semuanya; nasihat, kewangan dan jentera: dia memiliki MRCB. Melalui Quek, Realmild diberi pinjaman RM267 juta untuk membeli MRCB semata-mata atas asas politik.

Dan kemudian, dengan menggunakan saham baru serta pinjaman, MRCB membeli kedua-dua syarikat media itu.

Sebulan selepas itu, MRCB mula menjadi tumpuan utama pelabur. Harga sahamnya meningkat dengan mendadak dari RM1.8 kepada RM12. Dan Anwar telah membuatkan syarikat itu cukup berbangga kerana dapat memiliki projek-projek awam yang besar, lesen telekomunikasi, dua buah penjana kuasa terbesar di Malaysia, kontrak transmisi mewah dan RM5 bilion konsesi untuk membina pusat perhentian keretapi di pinggir bandaraya Kuala Lumpur.

Pada waktu itu, yakni dalam tahun-tahun ekonomi berkembang begitu rancak, semangat dan optimisme begitu tinggi sehinggakan beberapa kegagalan dianggap remeh. Sebagai contoh, dalam Jun 1996, syarikat telekomunikasi negara, Telekom Malaysia membayar 640 juta untuk membeli syarikat telefon mudah alih MRCB yang rugi, Emartel.

Dan sementara MRCB semakin banyak menimbun hutang untuk melaksanakan projek-projek yang semakin besar, Realmild pula berjaya melangsaikan keseluruhan RM267 juta hutangnya melalui pinjaman yang dibuatnya dalam 1996 itu setelah menjual anak syarikatnya.

Tapi kesilapan yang dilakukan Realmild lewat 1997 kini datang menghantuinya semula. Pada waktu itu MRCB membayar hampir 1.5 bilion ringgit untuk memiliki 27% saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan Rashid Hussin. Bank Negara kemudiannya mengeluarkan arahan bahawa sebagai pemilik saham dalam bank, Realmild perlu mempunyai jumlah saham yang lebih besar dalam MRCB. Untuk mendapatkan saham-saham itu, Realmild meminjam 500 juta ringgit dari KWSP.

Tiba-tiba krisis ekonomi Asia berlaku. Harga saham jatuh menjunam. Anwar disingkirkan dan MRCB terperangkap dalam hutang lebih 2 bilion ringgit. Pasukan Nazri pula disingkirkan dalam 1999. Menurut seorang pegawai kanan Umno, Daim yang pada waktu itu telah dilantik semula sebagai Menteri Kewangan, berusaha mencari pemegang saham yang baru. Dia pernah menawarkannya kepada Kadir Jasin, salah seorang tokoh Realmild yang masih rapat dengannya, dan kepada Razali Ismail, bekas duta Malaysia.

Tapi akhirnya saham-saham itu diberikan kepada Rahman, seorang tokoh perniagaan yang kurang dikenali di luar Pulau Pinang. Di atas kertas, Rahman memiliki semua saham kecuali saham Realmild berjumlah 7.1 juta ringgit dalam bentuk equiti. Tapi adalah tidak jelas sama ada dia benar-benar memiliki MRCB atau tidak.

Kata Anwar dari penjara dalam 1998, sebahagian besar equiti MRCB dipegang sebagai amanah Umno. Rahman bagaimanapun enggan mengulas mengenainya apabila diminta Review. Menurut beberapa orang pegawai Umno, Mahathir sendiri pernah membangkitkan persoalan mengenai pemilikan MRCB dalam satu mesyuarat bersama menteri-menteri besar lewat Jun lalu. "Tidak ada siapa tahu siapa yang memiliki MRCB," kata seorang pegawai kanan Umno. "Saya rasa perkara ini perlu disemak."

Walaupun keadaan masa depan nampaknya sangat tidak menentu, namun Rahman, kata beberapa orang penganalisis kewangan, serius berusaha untuk melangsaikan hutang-hutang itu dan telahpun mengambil beberapa tindakan bagi tujuan itu.

Setakat ini, projek-projek janakuasa dan saham-saham MRCB dalam Rashid Husain telah dijual, dan hasilnya lebih 1.2 bilion ringgit diperolehi. Kini MRCB telah berjaya mengurangkan hutangnya kepada 800 juta ringgit. Sebahagian besar daripada hutang ini adalah disebabkan oleh pembangunan projek Sentral.

Sementara itu, MRCB masih memiliki NSTP - yang mengalami masalah kewangan dan beroperasi dalam keadaan rugi - dan sebahagian besar saham dalam TV3 yang tidak mampu bayar dan terpaksa mengalami pengurangan modal. NSTP dijangka akan dijual selepas ini, dengan Munir Majid, bekas banker dan regulator, diramalkan besar kemungkinan akan mengambil-alihnya.

Ramai penganalis ragu apakah Realmild membayar balik hutangnya pada KWSP mengikut jadual memandangkan bayaran dividen daripada syarikat-syarikat MRCB dijangkakan begitu rendah. Walaupun MRCB telahpun mengurangkan perbelanjaannya begitu drastik sekali, namun ia masih belum kebal selagi masalah Realmild belum diselesaikan.

Terjemahan: Muhammad Nor Samad
(Detikdaily)




Asal:

FEER: FEER Debts Daim and Downturn

atau KM2: 5144