Laman Webantu   KM2A1: 5256 File Size: 11.8 Kb *



Detik: PAS Mengail Di daratan?
By Dr Mohamad Agus Yusoff

19/8/2001 11:51 pm Sun

[PAS dan DAP sudah dicampak di dalam dilema oleh Mahathir. PAS perlu mempertingkatkan penerangan mengenai negara Islam. DAP pula perlu meningkatkan kesedaran ahli parti kerana jika mereka pun sangsi, masyarakat cina tentulah lebih sukar lagi untuk menerima konsep negara islam itu. Tetapi ceramah dan rapat umum bersama sudahpun dilarang....

Sebenarnya masih ada ruang lain iaitu di laman web. Namun seperti tidak ada kesungguhan kedua pihak untuk duduk bersama dengan lama memberi penerangan. Bak kata Dr Agus, politik adalah proses yang panjang dan pertemuan dan penerangan yang sedikit masih belum mencukupi untuk menang kerana BA asyik diserang berpanjangan.

Soalnya mengapa PAS dan DAP tidak menggunakan sebaiknya ruang di alam siber untuk bersekemuka dan memberi kenyataan dan penerangan bersama? Jangan persiakan pengguna internet Malaysia yang berjumlah kira-kira 2 juta. Lagipun ramai antara mereka adalah pelajar yang bakal mewarisi negara. Pertemuan di laman web cukup penting, dan mungkin sepenting pertemuan di alam nyata kerana ia akan menjadi bahan tatapan dan rujukan sesiapa yang curiga tanpa perlu jauh berjalan untuk mendapatkan jawapan semua kecelaruan yang menghantui minda. Sudah tiba masanya untuk PAS dan DAP aktif BERSAMA di alam siber jika tidak mereka akan semakin dipandang tidak bermaya, tidak sekata dan tidak bersama.
- Editor
]


http://detik.daily.tripod.com/ogosa/5ogos_2.htm

Wawancara Detik bersama Dr Mohammad Agus

PAS mengail di daratan?

Oleh: DR MOHAMAD AGUS YUSOFF

Pada pendapat Dr sejauh manakah pendekatan politik PAS dapat menguatkan gabungan pembangkang untuk menghadapi pilihan raya akan datang?

DR AGUS: Tidak dinafikan PAS memang dilihat sebagai satu parti yang mengetuai barisan pembangkang. Saya lihat rakyat mengharapkan PAS dapat mengetuai barisan pembangkang untuk memberikan cabaran terbaik kepada pemerintah bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Malah terdapat mereka yang bercakap tentang gabungan pembangkang ini sebagai government in waiting. Jadi dari segi harapan, saya lihat rakyat meletakkan harapan kepada PAS dan barisan pembangkang untuk menunjukkan wibawa sebagai government in waiting.

Rakyat mengharapkan barisan pembangkang dapat bekerjasama dengan baik tanpa ada kekangan yang boleh membatasi keakraban mereka. Namun, bagi saya barisan pembangkang seperti kek icing, nampak sahaja comel tetapi hakikatnya rapuh. Kerapuhan asas yang membatasi kerjasama pembangkang ialah isu Negara Islam.

Di sini PAS harus pandai memainkan peranan untuk menarik sokongan bukan Melayu. Bagi saya, DAP sama sekali tidak boleh menerima konsep Negara Islam PAS. KeADILan yang cuba bersikap fleksibel terperangkap di tengah-tengah - untuk memenuhi aspirasi PAS dan memenuhi keinginan DAP. Selagi pemimpin PAS tidak berubah untuk memahami realiti politik masyarakat majmuk dengan mengurangkan sedikit rigid mereka, agak sukar PAS mengetuai barisan pembangkang. Justeru, barisan pembangkang ini masih lagi rapuh jikalau isu besar ini tidak dapat lagi diselesaikan. Saya berpendapat dalam konteks menubuhkan Negara Islam, PAS mengail bukan di air tetapi di daratan, seperti ikan kalau berenang di luar kolamnya maka ia akan lemas. Inilah realiti PAS.


Dr nyatakan PAS perlu fleksibel, namun tahukah Dr bahawa tujuan penubuhan PAS ialah untuk menegakkan Negara Islam. Jadi bagaimanakah tujuan utama PAS boleh digugurkan?

Saya faham PAS tidak boleh mengugurkan pembentukan Negara Islam dalam perjuangannya. Begitupun, bagi memenangi pilihan raya, penting bagi PAS berunding dengan barisan pembangkang untuk menjelaskan bagaimana Negara Islam yang hendak dibentuk. PAS harus memberi penerangan kepada rakan-rakan gabungannya dalam Barisan Alternatif (BA) supaya DAP khususnya akan lebih memahami. Selagi DAP tidak faham, gabungan pembangkang dalam BA tidak akan kekal lama. PAS kena jelaskan kepada rakan-rakan gabungannya bagaimana dengan kedudukan wanita yang bekerja dalam sebuah Negara Islam, bagaimana dengan judi, arak dan lain-lain. PAS juga kena terangkan bagaimana rupa bentuk Negara Islam yang hendak ditubuhkan. Ini kena jelas, supaya nantinya DAP dan orang bukan Islam boleh faham. Bila DAP sudah faham dan orang bukan Islam sudah faham, maka barulah hasrat PAS untuk mewujudkan Negara Islam dapat diterima oleh DAP dan dengan itu kuranglah bangkangan. Sekarang ini saya lihat PAS sendiri masih belum konsisten dengan konsep negara Islam yang hendak dibentuknya.


Apakah sebabnya PAS dan DAP masih berusaha untuk bekerjasama biarpun mereka jelas berbeza fahaman?

PAS sedar perjuangannya dalam politik adalah untuk menang pilihan raya. Dan PAS juga faham untuk menang pilihan raya dalam sebuah negara yang masyarakatnya heteregenous, satu caranya ialah menonjolkan imej perpaduan. Dalam istilah politik ini dipanggil consociational politics, iaitu politik permuafakatan, satu istilah yang pertama kali digunakan Profesor Arend Lijphart dalam persidangan ahli--ahli sains politik sedunia di Brussels pada 1967. Lijphart menyatakan sesebuah parti dalam negara yang mempunyai anakeragam masyarakat sukar untuk menang dan mengekalkan kestabilan politik jika ia gagal untuk membentuk grand coalition pattern of government. PAS sedar keadaan ini, jika bertanding sendirian dan hanya bergantung kepada undi Melayu untuk menang, ia tidak ke mana. Atas alasan itulah PAS bersedia bergabung dengan DAP biarpun ia mempunyai fahaman politik yang berbeza.

Ringkasnya, PAS sedar ia tidak boleh menang tanpa sokongan bukan Melayu. DAP juga sedar konsep 'Malaysian Malaysia' juga tidak akan ke mana-mana jikalau ia gagal mendapat sokongan Melayu. Kedua-dua parti saling sedar, namun dalam kesedaran itulah mereka memenjarakan parti masing-masing dengan retorik yang tidak memungkinkan mereka menang dalam pilihan raya. Pada saya, dua parti ini sekadar hanya bertemu tetapi tidak bersatu. Bagaimana mungkin mereka boleh membina sebuah keluarga yang bahagia dalam satu barisan jikalau mereka sekadar bertemu untuk berbincang tetapi akhirnya mereka gagal untuk bersatu.


Pada andaian Dr, adakah DAP dan masyarakat Cina boleh menerima Negara Islam?

Konsep menerima itu, setelah ada fahaman atau gambaran. Selagi belum ada kefahaman, tentunya DAP dan masyarakat Cina menolak konsep Negara Islam. Di sinilah PAS harus memainkan peranan untuk menperjelaskan lagi konsep Negara Islamnya. Perlu dijelaskan bagaimana rupa bentuk sebuah Negara Islam, kedudukan bukan Islam di bawah pemerintahan Islam dan bagaimana dengan hak bukan Islam dalam soal adat dan budaya dalam sebuah negara Islam. PAS perlu jelaskannya supaya apabila ia bercakap tentang negara Islam, DAP boleh mempertahankannya. Bila DAP pula bercakap tentang 'Malaysian Malaysia', PAS boleh mempertahankan. Selain itu, risalah-risalah memperjelaskan soal negara Islam sudah sepatutnya mula ditaburkan mulai sekarang untuk memberikan penerangan kepada rakyat. Ini perlu dibuat kerana politik is a long process, bukan hanya sekadar perancangan tiga bulan. Tetapi sekarang ini apa yang kita lihat ialah pemimpin hanya bertemu dalam mesyuarat BA dan selepas itu mereka tidak turun menjelaskan kepada rakyat isu sebenar yang mendepani mereka. Kalau mereka menjelaskannya pun, ia adalah secara berasingan bukan secara bersama. Selepas bermesyuarat, pemimpin kembali kepada parti masing-masing dan melaksanakan strategi dan keputusan mesyuarat secara berasingan.

Keadaan sebeginilah yang menyebabkan ramai rakyat Cina masih belum memahami konsep Negara Islam secara menyeluruh kerana DAP tidak menjelaskan persoalan ini kepada penyokongnya dan PAS pula tidak menjelaskan konsep 'Malaysian Malaysia' DAP kepada ahli-ahlinya. Kalaulah perkara asas sebegini pun gagal mereka selesaikan, maka apa yang mereka inginkan hanyalah sebagai ilusi, bukan realiti.


Adakah konsep Negara Islam dan 'Malaysian Malaysia' boleh selari?

Antara kedua-dua parti ini terdapat satu persamaan nyata, iaitu keadilan. Masing-masing dapat berjuang bersama atas dasar keadilan, demokrasi dan membantah penyelewengan. Negara Islam mahukan keadilan dan 'Malaysian Malaysia' juga mahukan keadilan. Cuma masalahnya, Negara Islam hanya difahami oleh orang Islam dan tidak begitu difahami oleh orang bukan Islam. PAS perlu mempergiatkan lagi usaha-usaha penerangannya. Sebagai contoh, PAS perlu menjelaskan kenapa kita memerlukan sebuah Negara Islam dalam masyarakat majmuk? Apa kebaikannya kalau kita sokong, bukan sahaja untuk orang Melayu yang beragama Islam atau bukan sahaja kerana tuntutan Tuhan, bahkan juga negara Islam memberi kebaikan kepada bukan Islam. PAS perlu menyakinkan masyarakat bukan Melayu dan Islam tentang konsep negara Islamnya.

DAP juga haruslah jelaskan apa kebaikannya ia memperjuangkan konsep 'Malaysian Malaysia' ini? DAP perlu tegaskan bahawa sudah sampai masanya kita meninggalkan konsep mementingkan politik untuk hanya satu kaum sahaja. Sudah sampai masanya kita menganggap rakyat Malaysia adalah orang Malaysia dan bukannya rakyat yang terbahagi kepada Melayu, Cina dan India. Ini yang DAP perlu perjelaskan Ringkasnya, tidak bolehlah DAP hanya bercakap tentang 'Malaysian Malaysia' dan PAS pula hanya bercakap tentang Negara Islam. Kerana ia tetap tidak boleh menyatukan orang Melayu dan bukan Melayu di dalam satu barisan yang kukuh. Oleh itu, adalah perlu bagi PAS, DAP dan KeADILan mencari satu slogan yang serupa yang boleh menyatukan mereka.

Mereka hendaklah bercakap dalam 'bahasa' yang sama dan diterjemahkan dengan cara yang sama. Inilah yang boleh meyakinkan rakyat. Sebab satu cara untuk meyakinkan rakyat bagi meraih sokongan mereka dalam pilihan raya yang akan datang ialah apabila mereka bercakap dalam satu bahasa dan nada yang serupa. Jadi imej perpaduan itu adalah sesuatu yang amat penting.

Sebagai contohnya, kenapa PAS tewas di Kelantan pada tahun 1978? Ini kerana PAS gagal menunjukkan imej perpaduan di saat Berjasa dan Umno mampu bersatu. Kenapa undi Umno merosot pada 1990? Ini kerana barisan pembangkang telah muncul dengan APU dan Gagasan Rakyat. Kenapa undi Umno sekali lagi merosot sembilan tahun kemudian? Kerana BA telah muncul sebagai barisan alternatif kepada rakyat.

Tetapi mengapa BA masih lagi tewas biarpun dikatakan mendapat sokongan generasi muda? Ini kerana BA masih digoyangkan dengan isu kerjasama PAS dan DAP. Maka, selagi imej perpaduan antara parti PAS dan gabungannya masih belum wujud, maka rakyat tidak akan yakin untuk menukar kerajaan, biarpun mereka berhasrat untuk berbuat demikian.


Jadi Dr maksudkan usaha ini belum ada?

Usaha ini telah bermula sekian lama. Itu jelas. Kita boleh lihat dalam pilihan raya umum 1990 dan 1999, barisan pembangkang cuba bersatu dan membentuk gabungan. Namun, dari segi strategi saya kira ia perlu diperkemaskan supaya gabungan ini kelihatan berkesan. Peluang barisan pembangkang terbuka luas kerana sekarang ini BN sendiri berada dalam keadaan yang goyah kerana terlalu banyak isu yang mendepani mereka. Misalnya, terdapat jurang pelaksanaan, strategik dan generasi yang dihadapi oleh Umno khasnya, dan BN amnya. Biarpun BN berada dalam keadaan lemah, keupayaan pembangkang masih lagi terbatas kerana imej perpaduan yang mereka cipta sesama mereka masih lagi belum boleh meyakinkan rakyat.