Laman Webantu   KM2A1: 5260 File Size: 9.7 Kb *



TJ SP MGG: Antara Menteri Besar dan Hutan Simpan
By M.G.G. Pillai

20/8/2001 7:54 pm Mon

[Majlis Perhutanan Negara ditubuhkan sejak tahun 1971 lagi manakala FRIM pula pada tahun 1985. Dasar perhutanan Negara digubal pada tahun 1978 dan Aktanya pada 1984. Pendeknya sudah lama ada peraturan mengenai hutan simpan tetapi ia telah dilanggar tanpa apa-apa tindakkan. Jawapan tidak tahu menahu tidak boleh diterima kerana adalah menjadi tugas MB untuk memastikan semua tindakkannya tidak becanggah dengan akta yang ada. Lagipun, bukankah ada pegawai khas perundangan dalam pejabat MB?

Kekayaan MB BN terlalu luar biasa dan tidak padan dengan jawatan mereka. Ini sudah cukup buat BPR untuk menyiasat tetapi ia sengaja memejam mata. Patutlah kes ini berulang semula. Sepatutnya hutan simpan dijaga kerana ia adalah penapis udara semulajadi. Lihatah daun yang gugur merata kerana itu petanda betapa bisanya racun dari pencemaran udara. Kalau manusia bagaimana? - Editor]


Antara Menteri Besar dan Hutan Simpan

(The Menteris Besar And Forest Reserve)

Tapak Universiti Kebangsaan Malaysia (di Bangi) satu ketika dulu, merupakan satu hutan simpan yang lebih setengah abad usianya dengan keluasan beberapa ratus ekar. Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Harun Idris, dengan persekongkolan ahli exco negeri telah membenarkan hutan simpan itu ditebas-tebang sehingga semua balak di situ habis dibalun sebelum seluruh kawasan diserahkan sebagai tapak universiti. Orang ramai hanya tersedar akan pencabulan ekologi itu, setelah hutan rimba bertukar menjadi belukar. Dato' Harun pura-pura membuat pengakuan bahawa beliau tidak tahu betapa kawasan itu adalah kawasan hutan simpan dan menyalahkan anggota exco negeri dan pegawai tinggi kerajaan kerana tidak memberitahu perkara ini. Jabatan hutan tidak pernah dirujuk dulu, apabila ada wang yang terlindung di sebalik pokok yang mesti ditebang. Lagipun, menteri besar yang mana sanggup menerima pesanan yang dia tidak boleh menebang hutan simpan?

Dua puluh satu tahun kemudiannya, pencabulan ekologi yang serupa berulang semula, di Selangor juga; kali ini di bawah menteri besar lain tetapi yang mempunyai nafsu politik yang tidak kurang besarnya. Antara dua zaman pemerintahan bekas menteri besar itu, sudah wujud di negara ini satu kesedaran betapa orang politik harus mengamalkan sistem politik yang bersih. Hutan simpan kini dilihat sebagai sarang perlindungan hidupan liar. Orang ramai kini mudah menempelak kerajaan kalau menidakkan hidupan liar hidup bebas, tetapi tidak pula kerana menggondolkan hutan simpan. Apa juapun, dua-dua perkara ini adalah lambang amalan korupsi. Zoo Negara akan dialihkan daripada tapaknya yang sedia ada di Ulu Klang kerana kerajaan Selangor menyedari berapa mahalnya tanah di situ; dan memungkin usaha mewujudkan beberapa orang jutawan kalau mereka mengusahakannya menjadi kawasan perumahan.

Muhammad Muhammad Taib, merupakan naib presiden UMNO dan menteri besar Selangor pada 1992. Pada waktu itu sekitar 305 hektar daripada kawasan hutan simpan seluas 575 hektar di Bukit Sungai Putih, telah diisytiharkan keluar daripada status hutan simpan. Seperti semua menteri besar, dia memang bersikap autokratik, dan tidak pernah menyenangi sesiapa yang membangkangnya. Untuk menentukan semua pihak menyokongnya, dia membenarkan setiap ahli exco mengatur rencana sampingan mereka. Tidak ada seorang ahli exco negeri, sudah tentulah seorang menteri besar kerajaan negeri BN yang harus dibiarkan hidup dalam kemiskinan. Kerana itu, sikap membisu menjadi budaya Melayu baru apabila hutan simpan digondolkan dan balaknya dikebas seperti yang berlaku di Bangi dan Cheras.

Perkara semacam ini bukannya khusus di Selangor sahaja. Menteri besar negeri yang paling kecil, Perlis, turut menggondolkan hutan simpan negerinya. Tuduhan yang dikemukakan oleh Fauzi Abdul Rahman terhadap bekas Menteri Besar Pahang, Khalil Yaakub adalah tertumpu kepada pembahagian hutan simpan juga. Muhiyuddin Yassin adalah seorang kaya hari ini kerana dia pernah menjadi menteri besar di Johor dan mempunyai kuasa mengagihkan kawasan hutan simpan. Pernah terjadi satu ketika dulu, seorang menteri besar Perak, yang merupakan bapa menteri besar yang sedia ada, menjadi begitu kaya raya sehinggakan sultan naik murka seperti yang pernah ditunjukkan oleh Sultan Johor terhadap Muhiyuddin. Beliau dipindahkan menjadi duta Malaysia di Mesir. Begitulah juga halnya kepada menteri besar Terengganu, Wan Mokhtar Ahmad yang kini menjadi duta ke Arab Saudi.

Keadaan adalah lebih teruk lagi di Sabah dan Sarawak, di mana hutan simpan memang luas dan korupsi adalah satu cara hidup bebas. Ada satu permohonan mendapatkan hutan simpan oleh satu syarikat di Sabah sebagai usaha mengelakkan syarikat membuang sekitar 2,000 pekerjanya secara terpaksa. Permohonan itu menjadi satu skandal: wang berjuta sudah 'didermakan' tetapi lesen pembalakan belum diluluskan, dan fail skandal ini ada di pejabat perdana menteri. Sistem menukar-nukar ketua menteri membawa kesan di mana wang sogokan yang dikutip oleh seseorang ketua menteri untuk kelulusan sesuatu projek, berakhir dengan projek itu terpaksa diluluskan oleh penggantinya. Tentu ketua menteri yang baru enggan meluluskan projek itu kerana dia tidak menerima bayarannya pula. Adalah satu amalan di Sabah dan Sarawak, setiap menteri yang berkhidmat menerima satu peruntukan kawasan balak, setiap tahun, dan menjadikan mereka jutawan ekspres. Saya tidak tahu apakah amalan itu masih dikekalkan lagi. Tetapi, ketua menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, merupakan salah seorang pemimpin politik yang terkaya di negara ini. Begitu juga bapa saudara yang menjawat jawatan yang sama dan kemudiannya menjadi Yang Dipertua Negeri, Abdul Rahman Yaakob. Apabila seorang bapa saudara dan anak buahnya menjadi ketua menteri lebih dari tiga puluh tahun, kita boleh bayangkan betapa korupsi dapat membiak dengan dahsyat sekali.

Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Zulkipli Mat Nor, pernah ditanya mengenai tanah Cheras itu, tetapi dia menjawab: "Saya tidak ada komen, tidak ada komen, tidak ada komen......." Kenapa agaknya? Apakah kerana semua orang yang terlibat beranggapan mereka mempunyai peluang dan peranan yang cerah dalam politik persekutuan? Apakah layak BPR enggan membuat sebarang komen sedangkan ia menjalankan siasatan berbulan-bulan lamanya? BPR seperti juga Suhakam adalah satu pertubuhan yang mengaibkan kerajaan, walupun ia ditubuhkan untuk menentukan rakyat tidak rapat dengan kerajaan. Bisa BPR pernah ditumpulkan pada 1969, selepas ia berjaya menghenyak menteri besar Perak dan Terengganu sehingga kehilangan jawatan mereka. Ironisnya, ketua pengarah BPR pada ketika itu ialah insan yang sama kini menjadi timbalan pengerusi Suhakam - Tan Sri Harun Hashim. BPR yang sedia ada, tidak boleh dan tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat gejala korupsi di bahagian atasan kerajaan dan Barisan Nasional - kecuali orang yang akan disiasat itu sudah menjadi orang yang mahu dinyahkan oleh pemimpin yang ada.

Kerana itu Anwar Ibrahim disiasat tetapi orang lain seperti.... ...tak apalah. Almarhum Tun Sardon Jubir yang pernah menjadi orang kuat UMNO, dan pernah menjadi menteri kabinet, sebelum ditukarkan menjadi duta di PBB dan Amerika Syarikat dan akhirnya menjadi gabenor Pulau Pinang. Beliau pernah memberitahu saya betapa dia bersara daripada politik apabila UMNO bahagiannya di Johor mahukan dia meletakkan jawatan untuk memberi peluang orang lain membuat harta. Inilah ragam dunia. Korupsi semakin berleluasa kini berbanding dulu. Tetapi, tidak ada sesiapa, termasuk perdana menteri yang serius memeranginya walaupun itu tugas utamanya. Politik negara ini sudah tunggang-langgang. Seandainya seseorang pemimpin politik disiasat kerana korupsi, ini bererti dia sudah tidak sebulu dengan perdana menteri. Bekas timbalannya boleh menulis buku mengenai hal ini.

Apabila kerajaan yang ada ini terus menggelongsor disebabkan pelbagai bentuk tentangan dalam kabinet, parti, dan kerajaan itu dianggap sebagai satu penderhakaan dan anti-kerajaan. Kerana itu penggelongsoran akan berterusan. Penggelongsoran itu tidak akan dapat dihentikan dengan cara menahan dan menangkap beberapa anggota polis kerana menerima sogokan sebanyak beberapa ratus ringgit - kerana kalau disogok kurang pada itu, si penyogok akan ditangkap kerana memberi rasuah. Semua tindakan pemberentasan mesti dimulakan dari atas. Muhammad Muhammad Taib masih lagi gagal memberikan penjelasan bagaimana dia memiliki RM2.4 juta dalam bentuk matawang asing di Darwin beberapa tahun yang lalu. Ataupun bagaimana dia mampu membayar jandanya yang juga puteri sultannya sejumlah USD 5 juta. Ataupun bagaimanakah beliau bersama jandanya itu memiliki satu kawasan tanah yang luas dan mewah di Shah Alam. Ataupun apakah menjadi satu syarat kelayakan jawatan seseorang menteri besar agar tidak mengetahui mana satu kawasan luas yang menjadi hutan simpan ataupun kawasan lindungan hidupan liar? Segala gembar-gembur kisah ini adalah laksana menutup pintu kandang selepas semua kuda lama menghilang.

M.G.G. Pillai
pillai@mgg.pc.my




Asal:

KM2 5254: MGG: The Menteris Besar And Forest Reserve