Laman Webantu   KM2A1: 5262 File Size: 24.3 Kb *



TSG 14: 7 - Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India
By Marie-Therese Cuny, Paul Rambali

20/8/2001 10:30 pm Mon

[Suami Phoolan itu jelas mementingkan diri sendiri. Sebagai suami dia sepatutnya mengasihani isteri lebih dari dia mengasihi dirinya sendiri. Perkahwinan bukannya satu institusi mendera atau membuli tetapi untuk merapatkan ikatan silatur rahim. Jelas di sini suami Phoolan itu belum 'suami' lagi dalam artikata yang sebenarnya. Dia menggunakan sistem (abuse) untuk memuaskan nafsu-nafsinya. Dia juga telah memungkiri janjinya untuk menunggu Phoolan cukup dewasa dahulu.

Perkahwinan bukan hubungan satu hala sahaja dimana hanya sebelah pihak yang untung, senang atau gembira. Jika tidak ia tidak akan kekal lama dan hanya memunahkan lagi hidup manusia. Bukan sahaja suami mempunyai hak tetapi isteri juga ada haknya. Sebab itulah dalam Islam ada had untuk bilangan isteri. Jika lebih dari 4 pasti ada yang tidak senang hati.
- Editor
]


Saya, Phoolan Devi: Autobiografi Seorang Wirawati India

(I, Phoolan: the autobiography of India's bandit queen)

Oleh: Marie-Therese Cuny dan Paul Rambali

BAB 7



Bab 7


Orang tua itu menyuci rambutku dan memberi aku makan. Dia melayaniku dengan baik. Malahan dia berkata: "Oh Phoolaan, kalaulah isteriku masih hidup, tentu dia lakukan semua ini untukmu sambil kami menunggukan kamu membesar. Apakan daya ayah seorang duda dan tidak ada orang dalam rumah. Satu hari nanti kamu akan melakukannya untuk aku dan suamimu."

Inilah yang leceh. 'Suami' itu apa maknanya? Semua wanita yang datang dulu sudahpun pulang ke rumah mereka, untuk aku bertanya. Itupun mereka akan ketawakan aku. Rukmini memasak dan lakukan kerja-rumah untuk suaminya, seperti yang dilakukan kepada ayah. Aku tidak percaya Putti Lal ini boleh jadi macam ayah. Dia tidak pernah bercakap sepertimana ayah bertutur sapa denganku; dia tidak pernah bertanya apakah aku sudah memotong rumput ataupun kalau aku sudah pergi ke kuil. Seseorang suami mana boleh jadi seperti seorang ayah; ayahku tidak pernah cuba meraba badanku seperti itu...

"Phoolan! Di mana kamu menyorok, merpatiku?"

Itulah suara Putti Lal.

"Kita sudahpun berkahwin. Abang akan tunjukkan apa yang dibuat oleh orang yang sudah berkahwin....... Jangan takut.... Abang akan tunjukkan satu mainan baru...."

Mainan? Aku merasa curiga ketika itu, walaupun ada keinginan mahu tahu. Kalau bagus permainan baru itu, bolehlah aku ajarkan Choti satu hari nanti. Matanya menunjukkan kilauan yang tidak membayangkan niat jahat terhadapku. Aku tidak fikir dia mahu mencederakan aku. Tetapi, tidak ada orang lain yang pernah memandangku seperti itu...

"Mari! Untuk memainkan permainan ini kita kena masuk ke dalam .... Mula-mula kamu akan merasa takut, tetapi lama-lama kamu akan menjadi seronok dengan mainan ini."

Dia cekup tengkuk aku dan menyeret aku masuk dalam rumah. Aku benci berada dalam rumah. Aku lebih suka berada di halaman luar dan tidur di khat di luar rumah untuk menjauhkan diri daripada dua orang lelaki itu. Berdekatan halaman itu, selain adanya dapur dan kandang ternakan, terdapat dua bilik tidur, dan satu lagi bilik yang bertutup rapat. Di bilik inilah Putti Lal kerap bersendirian. Seorang wanita pernah masuk bilik ini beberapa hari dulu bersama Putti Lal. Ayahnya naik berang dan mereka telah bertengkar di situ sehinggakan wanita itu keluar.

Dia memaksa aku memasuki bilik itu dan aku tidak bermaya membantahnya. Aku telah nampak orang tua itu keluar dari rumah, bererti kami sedang bersendirian, tetapi aku tidak pula menjerit. Lagipun aku fikir itu adalah satu permainan sahaja. Selain pintu masuk ada satu lagi pintu dalam bilik itu yang menuju sebuah bilik menyimpanan barang (stor). Di situlah Putti Lal menyimpan bawang, gandum dan minyak. Apakah jenis permainannya sehingga perlu bergelap? Fikirku. Dia menutup pintu dan menyuruh aku duduk di lantai. Tidak ada simen di lantai itu, cuma tanah yang kering dan keras; dan bilik itu kelihatan berselerak dan berdebu, semacam bilik-bilik lain di rumah itu. Putti Lal telah menanggalkan butang kurtanya kemudian dia melonggarkan dhottti di bahagian pinggangnya untuk membiarkan dhotti gugur ke bumi.

Oh.....dia telah berbogel di depanku!

Apakah dia sudah gila? Fikirku. Dia berbogel bulat di depanku! Di kampung dulu kami menanggalkan pakaian apabila di kalangan adik beradik ataupun sepupu perempuan sahaja untuk mandi ataupun bermain dalam air, tetapi tidak pernah di hadapan lelaki.

Aku gugup, tetapi mampu bersuara, "Saya mahu bermain di luar! Kenapa kita tidak boleh main di luar?"

Aku tidak berani memandang tubuhnya. Sambil menundukkan kepala, dan dengan perasaan yang gugup aku cuba bayangkan apa tindakan beliau seterusnya. Dia tidak memegang kayu ketika itu, bererti dia tidak berniat memukul aku. Bilik itu tidak berair, bererti dia tidak mahu membersihkan dirinya.

Dia menghampiriku dan menangkap tanganku, kemudian dia duduk di atas lantai dan merenung mukaku. Mataku sudah biasa dengan keadaan kamar itu, dan aku boleh nampak satu pandangan yang ganjil pada tenungannya. Keseluruhan badannya ditumbuhi bulu hitam yang kasar. Dadanya yang bidang membuak setiap kali dia menarik nafas. Aku meronta-ronta ketika dia cuba menanggalkan sari yang aku pakai, tetapi dia hanya perlu mengetatkan pegangan pada lenganku.

"Janganlah bergerak!" dia mengeluh.

Sari kuning pakaianku jatuh ke bumi juga, dan terus disepaknya jauh. Kemudian dia cuba menanggalkan blausku, walaupuan aku terus memeluk tubuhku dengan kuatnya. Aku berundur ke belakang, apabila terasakan tangannya meraba badanku, tetapi dia mengepit kakiku antara dua lututnya sehinggakan aku tidak berdaya bergerak lagi.

Pada waktu itu aku dapat merasakan satu benda pendek yang melengser dan menikamku.

Ular, rupanya! Rupanya ada seekor ular yang melekat di badannya! Dia mahukan aku menyentuh ular itu. Aku menjadi kaku dibuatnya.

Dia memekap mulutku dengan satu tangannya sehinggakan aku hampir tersedak. Kemudian, tangannya yang lagi satu mula memicit bahagian dada yang masih dilindungi blaus, sambil terus menyepitku dengan peritnya di bahagian bawah badanku. Aku dapat rasakan seluruh tulang di badan sudah mahu patah. Memang kuat penyangak ini sehinggakan aku terpenjara dalam pelukan badannya yang penuh berbulu itu. Peluhnya semakin memercik dan baunya terlalu jijik, laksana apanamaaa.... seekor serigala tua yang tidak sedar dia hampir mati. Aku fikirkan serigala itu sedang mencuba membaham badanku. Aku cuba meruntun sana-sini untuk melepaskan diri. Tetapi hampa sahaja semua usaha. Kemudian dia cuba menggunakan ularnya sekali lagi dengan perbuatan yang tidak pernah terlintas difikiranku. Kepedihannya tidak terkata, aku meraung dan merayu agar dia membebaskan aku. Aku berjanji tidak buat kecoh ataupun menjamah makanan yang dihidangnya lagi. Lantas dia menekup mulutku dan aku tidak bermaya untuk menangis lagi.

Dia menggegarkan bahuku dan dengan ganasnya memusingkan badanku, dan menekan mukaku ke bumi.

Aku dapat rasakan berat badannya di belakangku laksana berat seekor kerbau. Kemudian ditamparnya badanku sekuat yang tidak pernah aku alami sebelum itu. Aku tidak lagi mampu menjerit apabila ular itu meredah badanku daripada belakang. Dia memukulku di bahagian dalam pula! Aku fikir ular itu mahu mengoyakku di dalam! Memangpun, dan ular itu terus membahamku...... Penyangak itu telah membawa aku ke dalam satu lubang gelap yang dalam di mana aku tidak bermaya untuk menjerit dan tidak bertenaga untuk menggigitnya. Ular itu akan terus menggigitku sehingga aku mati.

Kemudian dia berkata tidak ada yang dapat dilaksanakannya dengan aku, dan di mahu mengambil pisau untuk membuka perutku dan menyimpan ular itu.

Aku telah mencakar dan mengutil kulit badannya sekuat yang termampu, tetapi tidak menghasilkan apa-apa. Aku naik sasau melihatkan mata pisau yang berkilau. Dia meletakkan mata pisau itu di atas perutku seolah-olah mahu bermain sesuatu, ataupun sengaja menakutkan aku.

Aku pernah melihat seekor cerpelai (mongoose) melawan seekor ular di tepi sungai. Aku terlupa bagaimana cerpelai itu mempertahankan dirinya. Tiba-tiba aku ketakutan yang amat sangat, aku menjerit dan meneriak nama ibu, sambil berdoa ada yang akan datang membantu, di kalangan para dewa dan dewi yang aku puja selalu. Sayang, merekapun tidak mendengarkan jeritanku.

Perkara ini berterusan lamanya, aku sudah dikelebek laksana patung kepunyaannya. Aku telah melihat mukanya yang berkedut dan giginya herut-merut ketika dia menyiksaku. Kenapa? Inilah yang aku mahu tahu, kenapa? Ularnya itu bertukar menjadi satu tongkat sakti yang telah mengoyakkan badanku. Kenapakah dia mahu menghukum aku? Aku tidak pernah berdosa kepadanya? Aku tidak pernah memaki-hamunnya. Aku tidakpun mengenalinya.

Aku fikir aku telah mati kerana ketakutan - seperti wanita ungka, ibu Mayadin dulu - pergi, dan tidak akan bernyawa lagi.

Aku gigit tangannya, untuk mengetahui apakah aku masih bernyawa, dan dia menjerit menanggung kesakitannya. Rupanya, aku masih bernyawa.

Dia memusingkan badanku dan menumbuk mukaku.

Titisan darah yang mengalir daripada hidung mula dapatku rasa mengalir dalam mulutku, bercampur baur rasa debu di lantai itu. Aku menanggung beberapa tamparan lagi, namun takutku kepada ularnya semakin menyiksa jiwa. Dia cuba menggunakan ular itu untuk buatkan aku tersedak, dan menyekat daripada aku terus terisak-isak. Tiba-tiba aku sudah jadi mangli daripada tumbukan dan tamparannya. Melihatkan rupanya yang ganas di depan muka, bibir yang berair-liur dan misai hitam yang menebal dan kotor, tiba-tiba tenaga dalaman memberikan kekuatan untuk menjerit dan melawan balik.

Sambil memegang lenganku dengan kuat, dia mencapai pisau dan menghalakannya arah mukaku, menyuruh aku bangkit. "Celaka, betina sundal! Aku boleh lakukan apa aku mahu. Akulah suamimu dan akulah rajamu! Faham? Sekarang diam!"

Nafasnya naik membusar dan matanya semakin liar.

Dia bangkit dari melutut dan meletakkan pisau itu mencecah perutku lagi. Ketika itu di terdengarkan satu suara di luar pintu. Dia berpusing dan melonggarkan pegangannya pada tanganku. Aku menyusup antara kangkangnya untuk meluru ke pintu. Aku angkat palang kayu dan membuka pintu untuk cuba meluru keluar. Tetapi dia pantas menangkap aku semula, sambil mencekik dengan dua tangannya.

Pada kali ini dia meletakkan mata pisau di leherku.

Dia tolak aku ke bawah lagi, melutut dan cuba mengacukan pisau itu kepada perutku. Pisau itu besar dengan satu pemegang yang diperbuat daripada kayu dan matanya yang besar dapat dirasakan sedang mencecah kulitku, tepat pada bahagian yang mahu dijoloknya dengan ularnya sekali lagi.

Sambil membongkok badanku, dia tunjukkan pisau itu sekali lagi, sambil menggoyang-goyangknnya di depan hidungku.

"Aku akan gunakan ini untuk membelah kamu selagi kamu tidak lakukan apa yang aku mahu!

Aku semakin panik, dan melompat ketika dia bercakap itu. Laksana seekor kancil aku bingkas meluru keluar daripada rumah sebelum dia dapat menyedari mana arahnya aku pergi. Dia telah membiarkan pintu itu terbuka dan kali kedua ini dia pasti tidak dapat menangkap aku semula.

Aku menjerit sekuat hati, tetapi di waktu panas tengah hari, kampung itu lengang dan tidak siapapun yang dapat mendengar jeritan yang aku laungkan.

Dia cepat mengejarku, berdengus mencuba menangkap aku semula. Hampir juga dia dapat menggapai aku ketika memanjat tangga yang menuju ke bahagian teres rumah, sambil aku terus menjerit untuk sesiapa datang membantu. 'Dia mahu membaham saya!....'

Dia memanjat tangga sambil berbogel sahaja. Tetapi aku berjaya melompat melepasi tembok rumah jirannya, dan inilah yang membuatkannya terhenti di atas tangga.

Tanpa berpakaian takkan dia boleh teruskan...

Aku melompat daripada satu bumbung rumah ke pada satu bumbung lagi. Daripada satu tembok ke satu tembok lagi, dan lagi dan lagi, sehingga aku dapat menarik perhatian dua orang wanita yang sedang bersembang di halaman rumah mereka. Mereka terkejut melihatkan keadaanku.

"Hei, apa yang kamu buat?" tanya seorang antara mereka. Aku terhenti kerana tidak seorangpun di kampung itu yang aku kenali. Mungkin juga perempuan itu akan mengheret aku pulang kepada hantu itu kerana mereka sedar aku sudah menjadi isterinya. Aku boleh dilakukan mengikut kehendak nafsunya. Tetapi, dia mungkin sedang mengejar aku.

"Tolonglah saya, selamatkan saya...! Putti Lal cuba membaham saya. Dia pukul saya dengan seekor ular!"

Mereka memandang saya dengan ketakutan. Mukaku sedang berlumuran darah, kain dalamku berkecai, blausku sudah tidak berbutang lagi. Perempuan itu terpaksa menyelamatkan aku, mereka terpaksa mengasihani aku. Aku sudah menyerahkan nasibku kepada mereka. Dari bumbung itu aku melihat keadaan sekeliling, melihatkan apakah hantu penyangak itu sedang mengejar aku, sambil mencari kedudukan jalan berdebu yang menghala ke sungai dulu. Apa yang dapat aku lihat ialah barisan rumah dan bumbung serta dahan pokok yang terlalu tinggi untuk aku panjat lagi.

Di tengah halaman, salah seorang wanita itu menggelengkan kepalanya. "Inilah agaknya suara orang menjerit yang kita dengar tadi," katanya. "Ibu bapanya tidak patut mengahwinkannya ketika masih budak lagi. Memalukan saja!

Semakin ramai kaum ibu yang muncul. Oleh kerana aku keperitan, sukar juga aku mencari jalan turun ke bawah.

Aku sudah tidak mampu bersuara kembali.

Dalam masa yang sekejap, halaman itu dipenuhi oleh kaum wanita yang tidak pernah aku kenali. Mereka cuba menenangkan aku sambil aku menangis terisak-isak dalam pelukan mereka, merayu-rayu agar mereka hantarkan aku pulang kepada ibu. Aku dapat merasakan seluruh badanku terbakar dan membuatkan aku mahu memuntahkan segala isi perutku. Kakiku tidak tertahan lagi dan aku hanya mampu duduk bersila. Mereka membawakan air untuk aku minum. "Jangan serahkan saya kepada orang itu," bisikku, "dia mahu membaham saya."

Seorang wanita tua meletakkan tangannya di bahuku.

"Jangan takut lagi, kami tidak hantar kamu semula kepadanya," katanya sambil menguntumkan senyumannya.

Wanita yang lain memerhatikan aku, wajah mereka tersorok sedikit di belakang ekor sari mereka. Mereka terkejut melihatkan darah yang melumuri kain dalam, muka dan kakiku.

"Dia simpan ular," kataku tergagap-gagap.

"Ular apa?"

"Dalam dhottinya..."

Waktu itu Putti Lal tiba. Dia sudah berpakaian semula dan sedang bengis sahaja rupanya. Dia terus meluru untuk memukul aku dan memaki semula. Semua wanita yang ada tidakpun bergerak. Mereka beranggapan beliau boleh melakukan apa yang dia mahu, seperti cara suami mereka melakukan begitu kepada mereka, kerana aku adalah isteri kepada Putti Lal. Itulah yang aku fikirkan ketika itu.

Hanya wanita tua itu yang berani bergerak ke depan. Sambil mengangkat ghoonghat yang menutupi mukanya, dia berani bercakap: "Seluruh kampung ini sedar kamu adalah seorang yang jahat dan zalim, Putti Lal. Jiwa kamu bergelumang dengan dosa. Ibu bapa budak ini membuat silap menyerahkannya kepada kamu. Kami semua terdengarkan jeritannya. Kamu telah berjanji untuk menunggu tetapi sekarang kamu sudah mencabulnya!

"Ah, pergilah orang tua semput.... ! Dia isteri aku. Aku boleh buat apa yang aku suka. Dan engkau pulak......."

Dia berpaling menolehku.

"Kenapa kamu lari? Bangun! Mari pulang, ataupun aku bunuh kamu di sini?" Dia menampar aku lagi.

Aku terdengarkan suara merayu padanya sambil aku terus meletakkan tanganku ke atas kepala menepis tamparannya.

"Sudahlah! kalau kamu terus layan dia begitu, dia akan mati!"

Suara itu datang daripada mulut seorang lelaki. "Sabarlah sikit! Kalau kamu layan dia dengan baik, satu hari nanti dia akan menjadi wanita yang baik untukmu."

Putti Lal terhenti dan aku telah mengambil peluang itu untuk melepaskan diri dan lari. Tetapi dia berjaya menangkap aku semula dengan mencapai rambutku dan menjerit kepada kumpulan manusia itu. "Aku akan bawa dia pulang untuk menjadikannya seorang wanita, dan aku lakukannya malam ini! Jangan halang aku lagi..."

Dia mengeheretku di sepanjang jalan di hadapan orang kampung. Mereka semua telah keluar menyiasat apkah punca hingar-bingar itu tetapi tidak ada sesiapa yang cuba menahannya. Begitulah dengan Paman Bihari dan Mayadin, tetapi aku selalu berjaya terlepas daripada mereka. Aku terperangkap dengan Putti Lal. Tidak ada siapa yang sanggup masuk campur dan membela aku. Malahan anjing-anjing turut juga membiarkan kami. Orang lelaki cuma melihat laksana pengecut membiarkan salah seorang jenis mereka lakukan kepada aku dan tidak ada sesiapa yang sanggup mengganggu. Mereka terlalu takut, laksana ayahku. Ayah tidak pernah menahan Bihari ataupun Mayadin memukul aku. Yang termampu dilakukannya ialah menutup muka dan menangis sahaja. Di setiap rumah yang kami lintasi, ramai orang kampung yang berbaring atas khat mereka melihatkan suami aku menolak dan memukul aku setiap kali aku terjatuh dalam perjalanan ke rumah. Lagi kerap dia memukulku lagi kuat tangisanku, sambil meraung meminta orang luar datang menolong, tidak ada siapapun yang sanggup angkat punggung. Dia boleh memukul aku dan mengaibkan aku sesuka hatinya. Itulah adatnya dan itulah hukum-hakamnya.

Sebaik tiba di rumah, dia telah meragut rambutku. Aku dapat rasakan kulit kepalaku sedang berapi setiap kali dia ragut segumpal rambut setiap kali dia menolak aku. Dia menolakku masuk halaman rumah dan menutup pintu kayu di belakangnya. Kemudian, dia menolak aku memasuki bilik yang bersebelahan kandang lembu, dan mencari satu helai tali pengikat ternakan untuk mengikat tangan dan kakiku kepada satu khat. Kemudian dia pun menendang pintu bilik untuk menutupnya.

Aku menutupkan mata.

Sudah tidak ada lagi tenaga dalam badanku. Aku sudah tidak bermaya lagi untuk menangis ataupun meminta kasihan. Semuanya sudah berakhir. Dia boleh lakukan apa sahaja yang dia suka denganku ataupun memotong badanku beberapa kali.

"Aku sudah mengahwini kamu," jeritnya, "anak sundal! Siapa cakap kamu boleh lari daripadaku? Kamu telah memalukan aku depan mereka, semua itu tidak ada kena mengena dengan mereka, faham?"

Tiba-tiba aku terdengar suara seorang tua.

"Buka pintu! Buka pintu ini atau aku akan pecahkan."

Orang itu menghentak pintu itu dengan kuat sehingga terkopak. Aku membuka mata dan dapat melihat di belakangnya satu kumpulan manusia, lelaki dan perempuan berada di luar sana. "Dia cuba membunuhnya, Bappu." Aku terdengar suara seseorang yang berkata: "Ayah mesti cegah dia."

Orangtua itu mengherdik anaknya. "Apakah kamu tidak tahu malu?"

"Tengoklah saya, Bappu," bisikku. "Dia ikat saya, dia pukul saya. Dia mahu bunuh saya!"

Putti Lal berjalan keluar sambil menyumpah-seranah sendirian

Bapa mertuaku menanggalkan tali yang mengikatku, memberikan air untuk di minum dan menyuruh aku pergi membersihkan diri dan mengenakan sari aku semula. Aku sudah ketakutan memasuki bilik gelap itu kerana memikirkan aku hampir mati sehinggakan aku hanya berdiri di pintu dengan kain dalam yang berlumuran darah! Akhirnya aku berlari masuk dan menyauk longgokan kain kuning daripada lantai.

Di sudut halaman di bawah cucuran atap, terletak satu tempayan air dan gayungnya. Apabila orang kampung mula keluar dari situ, akupun mencuci badanku dengan perlahan. Aku dapat melihat lembu di luar pintu merenung aku dengan matanya yang kuyu. Bapa mertuaku sedang mengunci pintu besar di halaman itu. Kalaupun aku mahu lari, aku tidak tahu ke mana harus aku pergi. Aku tidak tahu macam mana mencari jalan pulang ke rumah ibu.

Sambil mencuci badan itu, aku terlihatkan seekor burung yang sedang mematuk seekor ulat dalam tanah. Begitulah rupanya apabila sudah bersuami. Semua perkara yang tidak aku tahu dulu, semakin jelas ketika itu. Orang kampung semunya sudah pergi, dua orang itu sedang berada dalam rumah. Aku dapat mendengar mereka bertengkar. Telingaku mula berdesing dan darah masih mengalir di bahagian pelipis mukaku. Waktu itu baru pukul empat petang dan mentari masih meninggi, tetapi aku masih menggeletar. Air yang dicurah daripada gayung membuatkan aku menggeletar. Aku sedang menggigil kesejukan di tengah-tengah panas. Kesakitan itu memuncak sehingga aku tidak lagi terdaya untuk menyuci tempat yang dikoyaknya. Dia telah menggunakan ularnya untuk menyakitkan bahagian dalam badanku.

Apa juga kerja-kerja jijik yang dilakukannya itu adalah bahaya yang ibu pernah ingatkan aku untuk mengelaknya dulu. Itulah yang berlaku kepada kaum perempuan di selekoh sungai. Dan semua itu berlaku dengan persetujuan semua insan apabila lelaki seperti Putti Lal berkata; "Dia sesuai untuk saya."

Barulah aku sedar kenapa ayah begitu runsing dan mengapa ibu bapaku mahukan dia menunggu sehingga aku membesar mencapai umur Rukmini. Kakakku itu tidak pernah mengadu dipukul oleh suaminya. Dia berkata suaminya baik hati dan pemurah, dan menjaganya dengan sempurna. Mana datangnya binatang ini yang suka makan perempuan dengan menggunakan ular? Apakah dia dihantar untuk menyiksa aku, seperti hantu yang telah dimusnahkan oleh Rama?

Aku tidak dapat melupakan apa yang telah dilakukan. Ibu bapaku telah mengikut adat resam memikirkan mereka boleh mempercayainya dan mengharapkan dia boleh bersabar menjaga anak mereka sehingga membesar dan sesuai dijadikan seorang isteri yang sempurna. Mereka tidak tahu apa yang diketahui oleh semua orang kampung di situ, bahawa Putti Lal ialah seorang kaki-botol dan kaki judi, yang bengis dan tidak bermoral, dan dia hanya fikirkan keseronokan dirinya sahaja sehingga sanggup memperkosa seorang budak kecil untuk memuaskan nafsunya.

Sejak peristiwa itu, setaip kali aku ternampak Putti Lal, ataupun setiap kali terdengarkan hentakan tapak kakinya di jalanraya atau dalam rumah, aku tidak tertahan lagi, kerana ketakutan aku terpaksa terkencing sendiri.

Aku tidur di gelegar bumbung kandang lembu, dengan pintunya terbuka untuk membolehkan aku melihat pergerakannya. Pada siang hari aku tidak berani berenggang daripada Bappu walaupun untuk sesaat. Kalau orang tua itu pergi ke pasar ataupun kuil, aku panjat balik gelegar bumbung walaupun cuaca panas terik. Aku tidak mahu merasakan tangannya meraba badanku lagi. Aku menjadi takut kepada segalanya, takut pergi ke tandas, ataupun memusingkan badan kepadanya. Aku amat takut kalau dia menangkapku secara mengejut apabila hari menjadi gelap...

Satu, ketika ada satu majlis perkahwinan di kampung, dia cuba membaham aku lagi. Dia fikir bunyi muzik dan suasana pesta perkahwinan itu akan menenggelamkan jeritanku. Tetapi aku berjaya melepaskan diri daripada cengkamannya dan berlari sambil menjerit di jalanraya: "Dia cuba lagi membaham saya!"

Pada waktu itu, bapa mertuaku mendengarnya dan pulang untuk memujuk aku semula.

Tidak lama kemudian, aku jatuh sakit. Badanku mula bernanah. Aku kena demam panas yang menggila dan rambut mula gugur daripada kepala. Aku tidak lagi berselera untuk makan; dan perutku kerap mengocok, sehinggakan aku tidak lalu minum walaupun seteguk.

Manusia penyangak itu membawa seorang wanita yang berbadan besar dan mengajaknya masuk ke dalam kamar. Tidak lama kemudian aku terdengarkan dia bergaduh dengan ayahnya dan dalam demam itu aku mampu mendengar jeritannya.

"Kenapa ayah pilih seorang budak, sedangkan aku mahukan seorang perempuan."

"Kamu sudah berkahwin. Adalah memalukan apabila membawa perempuan ke dalam rumah."

"Kalau ayah boleh buat, kenapa aku tidak boleh?"

"Aku tidak berkahwin, aku seorang duda."

"Kahwin! Dengan seorang budak seperti itu? Dia tidak berguna untuk apapun, sekarang dia sakit pulak! Aku harap tuhan akan matikan dia supaya aku boleh cari yang lain menggantinya.


....bersambung....


Terjemahan: SPAR 10

Phoolandevi88@hotmail.com